16 Disember 2009

Golongan Pemuda : Panji Dakwah


Assalamualaikum..

Segala pujian bagi Allah Yang Maha Agung, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan yang mulia, Nabi Muhammad SAW, ikutan sepanjang zaman.

Tidak lama lagi kita akan menyambut awal Muharram. Di mana pada bulan tersebut banyak peristiwa yang dicatatkan di dalam buku-buku sirah berkenaan kebangkitan agama Islam di zaman Rasulullah SAW.

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan satu peristiwa yang sangat penting bagi umat islam. Peristiwa tersebut merupakan titik tolak kepada perjuangan Islam yang sangat penting di mana generasi awal para sahabat telah menjadikan hijrah sebagai permulaan tahun bagi umat Islam.

Hal ini menandakan bahawa perlu untuk sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah Nabi Muhammad SAW ini. Di antara iktibar dan perkara penting yang boleh diambil ialah, golongan pemuda atau belia bekerjasama untuk menegakkan agama islam di tempat masing-masing.

Sekiranya kita meninjau kembali peristiwa hijrah Nabi SAW, kita akan mendapati bahawa golongan pemuda merupakan pemangkin kepada kelansungan dakwah Nabi SAW.

Antara pemuda-pemuda di zaman Rasulullah SAW yang membantu penghijrahan Nabi SAW ialah

- Saidina Ali bin Abi Talib
- Saidina Abdullah bin Abu Bakar
- Saidina Usamah bin Zaid
- Saidatuna Asmak binti Abu Bakar
- Saidina Amir bin Fuhairah dan banyak lagi.

Kehebatan golongan pemuda di zaman Rasulullah SAW teserlah apabila mereka bersungguh-sungguh melaksanakan arahan serta apa yang memberi kebaikan kepada agama Islam.

Dr. Said Ramadhan Al-Buti menulis di dalam kitabnya berkenaan tentang ketekunan golongan pemuda-pamudi dalam menjayakan hijrah nabi SAW dari Mekah ke Madinah.

1)Abdullah bin Abu Bakar yang mewakili golongan pemuda berulang alik dari kota Mekah ke Gua Thur. Beliau mengintip jejak langkah kaum musyrikin Mekah dan membawa berita tersebut kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Gua Thur.

2)Manakala Asmak binti Abu Bakar mewakili golongan pemudi, menyediakan makanan dan kenderaan untuk keperluan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam penghijrahan tersebut. Usaha mereka yang bersungguh-sungguh ini membuahkan hasil yang cemerlang dalam Penghijrahan Nabi SAW.

Pendokong dakwah di zaman nabi SAW adalah terdiri daripada golongan pemuda. Merekalah yang memperjuangkan dakwah Islam, membawa panji-panji Islam, mempertahankan islam daripada serangan musuh, bahkan mereka inilah yang menjadi panglima-panglima perang, mengetuai tentera Islam menentang musuh-musuh Allah SWT.

Mereka secara keseluruhannya terdiri daripada golongan pemuda. Bahkan ada di antara mereka yang masih belum dewasa tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi seperti para sahabat yang lain.

Sebagai contoh, Usamah bin Zaid. Beliau merupakan panglima perang dalam meyerbu Wilayah Syam. Ketika itu beliau baru berusia 18 tahun. Antara contoh yang lain ialah Abdullah bin Umar yang mempunyai semangat juang yang tinggi sejak berusia 13 tahun lagi.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadi golongan yang memperjuangkan agama Islam. Tidak kiralah sama ada usia kita di waktu muda mahupun usia kita di waktu tua. Mereka yang digelar golongan pemuda, lebih-lebih lagi mempunyai semangat untuk memperjuangkan islam yang sejahtera.

Anugerah Nabi Muhammad SAW kepada umat di akhir zaman merupakan suatu rahmat daripada Allah SWT kepada umat Islam dan kepada seluruh alam. Firman Allah SWT

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya : Tidalah Kami utuskan engkau wahai Nabi Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam.
(Al-Anbiyak: 107)

Al-Imam Ibnu Kathir RH menyebutkan di dalam tafsirnya iaitu Tafsir Al-Azim, Allah SWT memberitahu bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat bagi sekalian alam. Barangsiapa yang menerima ajaran nabi ini serta mensyukuri nikmat Allah, maka dia akan memperoleh kebahagian di dunia dan akhirat. Tetapi barangsiapa yang tidak menerima ajaran nabi ini serta mengkufuri nikmat, maka dia akan mendapat kerugian dan kerosakan di dunia dan akhirat kelak.


Oleh itu marilah sama-sama kita menunjukkan tanda syukur kita kepada Allah SWT dengan menyambung kelansungan dakwah Nabi Muhammad SAW. Kitalah orang yang akan menyampaikan ajaran nabi SAW. Dan kitalah orang yang akan melaksanakan apa yang kita pelajari serta apa yang kita perolehi daripada Al-Quran.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails