30 Januari 2010

Di jalan DAKWAH kita bernikah


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT yang memiliki seluruh isi langit dan bumi ini. Selawat dan salam buat penghulu kepada segala nabi dan rasul, Nabi Muhammad SAW.

Kebahagiaan di dunia merupakan impian semua manusia. Tidak kiralah sama ada kaum lelaki mahupun kaum perempuan. Tetapi mereka yang hanya mencari kebahagiaan di dunia semata-mata pasti akan menyesali dengan perbuatan tersebut kerana kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan di akhirat.

Antara kebahagiaan yang ingin dikecapi ialah memiliki keluarga yang bahagia. Ketahuilah bahawa keluarga yang soleh dan solehah itu bermula daripada titik pertemuan antara pasangan lelaki dan perempuan yang mengikut batasan syarak.

Ada di antara pasangan lelaki dan perempuan yang terpaksa bernikah akibat berlaku fitnah yang cukup hebat antara keduanya. Hakikatnya fitnah tersebut adalah berpunca daripada diri pasangan tersebut.

Kadang-kadang si lelaki mengambil kesempatan untuk keluar bersama-sama dengan pasangannya, akhirnya timbul fitnah.

Kadang-kadang si perempuan yang tidak dapat menahan rindu pada pasangannya bercerita tentang perkara yang tidak sepatutnya kepada kawan-kawan di sekeliling. Akhir sekali timbul fitnah.

Saya sebenarnya tidak ingin bahas panjang tentang keadaan yang berlaku pada pasangan-pasangan yang terpaksa bernikah akibat berlaku fitnah yang cukup dahsyat antara mereka. Tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini ialah batasan-batasan ataupun adab-adab pergaulan bagi mereka yang inginkan keluarga bahagia di masa hadapan.

Saya ingin bincangkan salah satu muamalah antara lelaki dan perempuan yang timbul keinginan untuk melansungkan pernikahan iaitu tentang bab pertunangan.

******

DEFINISI PERTUNANGAN

Keinginan seseorang untuk melakukan pernikahan kemudian meluahkannya kepada orang yang ingin dinikahinya.

(Perlu diingatkan bahawa, Islam mengharuskan seseorang untuk melamar

1. Perempuan dara yang masih belum dilamar orang
2. Perempuan janda yang sudah berakhir tempoh iddahnya. Perempuan janda yang saya maksudkan di sini ialah mereka yang dicerai atau kematian suami.

Terdapat beberapa jenis wanita yang dilarang untuk seseorang melamarnya iaitu
1. Perempuan yang menjadi mahram kepada si lelaki seperti kakaknya, ibunya dan lain-lain.
2. Perempuan dara yang sudah dilamar orang.
3. Perempuan janda yang masih berada dalam tempoh iddahnya.
4. Perempuan yang sudah bernikah dan suaminya masih hidup.
5. Perempuan yang sudah ditalak tiga. Perempuan ini haram dilamar kembali oleh suaminya yang menjatuhkan talak tiga kecuali setelah diceraikan oleh suaminya yang kedua dan tamat tempoh iddah.
6. Perempuan yang mempunyai pertalian darah dengan isterinya (masih hidup dan belum bercerai) seperti kakak ipar, adik ipar dan lain-lain.

Seseorang lelaki yang memiliki 4 orang isteri (poligami) diharamkan untuk melamar perempuan lain kerana lelaki hanya dibenarkan bernikah 4 sahaja pada satu-satu masa.)

(perasaan cemburu akibat poligami)

******

DALIL-DALIL BERKAITAN PERTUNANGAN

قَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ وَقَدْ خَطَبَ امْرَأَةً : اُنْظُرْ إلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا الْمَوَدَّةُ وَالْأُلْفَةُ

Bermaksud : Sabda nabi Muhammad SAW kepada sahabat beliau iaitu Al-Mughirah bin Syu'bah ketika beliau melamar seorang perempuan "Lihatlah kepada perempuan tersebut. Sesungguhnya perbuatan itu akan menimbulkan perasaan kasih sayang dan satu hati antara kedua-duanya".
Hadis diriwayatkan oleh Imam Tirmizi

إذَا أُلْقِيَ فِي قَلْبِ امْرِئٍ خِطْبَةُ امْرَأَةٍ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَنْظُرَ إلَيْهَا

Bermaksud : Jika terlintas di hati seseorang untuk melamar perempuan, maka diharuskan untuk dia melihatnya (perempuan yang ingin dilamar).
Hadis riwayat Abu Daud.

******

HUKUM-HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN PERTUNANGAN

ADAKAH HARUS MELIHAT WAJAH WANITA YANG INGIN DINIKAHI?

Adalah sunat bagi seseorang lelaki untuk melihat wajah perempuan yang ingin dinikahinya sebelum melamar dan setelah berazam untuk bernikah walaupun tanpa mendapat keizinan daripada perempuan tersebut atau walinya. Hanya memadai dengan keizinan daripada hukum syarak.

Tetapi sekiranya tidak ada keinginan untuk bernikah, maka hukum melihat perempuan tanpa hajat adalah haram. Ini merupakan pendapat Imam Syafie Rahimahullah, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dan Al-Imam Ramli. Walaupun begitu lebih elok sekiranya seseorang itu meminta izin terlebih dahulu.

(Hal ini kerana sekiranya seseorang hanya dibenarkan melihat wajah perempuan setelah melamarnya, maka akan timbul kesulitan sekiranya perempuan tersebut tidak berkenan di hati. Begitu telitinya agama Islam sehingga dalam perkara sebegini sekalipun.)

(muslimah solehah idaman pejuang Allah)

Manakala Imam Maliki Rahimahullah pula berpendapat bahawa perlu mendapat keizinan perempuan tersebut untuk melihat wajahnya.

Lelaki hanya dibenarkan melihatnya sahaja tanpa menyetuh perempuan tersebut walaupun berlapik. Hukumnya adalah haram walaupun lelaki itu buta.

Agama Islam mengajar supaya si lelaki hanya berdiam diri sahaja sekiranya perempuan tersebut tidak berkenan di hati. Islam tidak menganjurkan untuk berkata "aku tidak berkenan padanya" kerana perkara tersebut akan menyakiti hati perempuan.

Agama Islam juga memberikan keharusan kepada seseorang lelaki untuk berulang kali memandang perempuan tersebut untuk mengetahui keadaan dirinya yang sebenar supaya tidak timbul penyesalan setelah bernikah. Hal ini kerana wajah seseorang wanita itu menggambarkan kecantikannya dan kedua-dua tangan perempuan itu menggambarkan kesuburan tubuhnya.

Hukum melihat ini bukan hanya disunatkan kepada lelaki sahaja bahkan ianya juga disunatkan kepada perempuan. Wanita juga berhak untuk mengetahui ciri-ciri bakal suami yang akan mengemudi bahtera hidupnya.

Tetapi harus diingatkan bahawa, hukum melihat kepada perempuan atau kepada lelaki itu akan bertukar menjadi haram sekiranya perbuatan tersebut boleh menimbulkan fitnah. Hukumnya juga menjadi haram sekiranya pandangan tersebut merupakan pandangan syahwat walaupun selamat daripada fitnah.

Saya harap pembaca mampu untuk membezakan antara berlakunya fitnah dan perkara yang menimbulkan syahwat.

******

ADAKAH HARUS SAYA KELUAR BERSAMA-SAMA DENGAN TUNANG SAYA UNTUK MEMBELI BARANG WALIMAH?

Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang lelaki untuk keluar bersama-sama dengan wanita kerana ada hajat atau keperluan. Hajat yang saya maksudkan di sini ialah keperluan yang memestikan kedua-duanya keluar bersama.

Sebagai contoh seorang wanita memerlukan seorang lelaki yang dipercayai yakni thiqah untuk menemaninya keluar di waktu malam. Pada masa yang sama wanita tersebut tidak mempunyai mahram lelaki. Maka dalam perkara sedemikian dibenarkan oleh syarak.


(setelah bernikah tidak ada masalah untuk keluar bedua-duaan)

Sekiranya barang walimah yang hendak dibeli itu memerlukan kedua-duanya keluar bersama, maka hukumnya adalah harus. Tetapi harus dipastikan bahawa perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah.

Oleh itu, saya menyarankan supaya si lelaki tersebut supaya tidak hanya keluar dengan tunangnya sahaja tetapi keluar bersama-sama dengan mahram kepada bakal isterinya tersebut seperti bakal mertuanya, bakal abang iparnya dan lain-lain. Perkara ini boleh mengelakkan daripada berlakunya fitnah.

Harus diingatkan bahawa, godaan syaitan kepada mereka yang sudah bertunang adalah lebih dahsyat daripada mereka yang belum bertunang. Oleh itu, demi memiliki keluarga yang bahagia di masa hadapan maka kita harus berwaspada dan mengikut batasan syarak berdasarkan ilmu dan kefahaman yang dipelajari daripada para alim ulamak.

*******

BAGAIMANA FAHAMAN TENTANG "TUNANG BERMAKSUD KEIZINAN DARIPADA KEDUA-DUA BELAH KELUARGA UNTUK KELUAR BERSAMA" ?

Fahaman ini banyak berleluasa di kalangan pemuda dan pemudi. Mereka menganggap bahawa apabila sudah bertunang maka sudah diizinkan oleh keluarga untuk keluar bersama-sama.

Akad pertunangan bukanlah bermaksud akad pernikahan. Perempuan yang dilamar masih lagi ajnabi (bukan mahram) kepada si lelaki. Oleh itu haram kepada si lelaki memegang atau menyentuh kulit perempuan tersebut. Haram juga bagi lelaki tersebut memandang perempuan dengan perasaan syahwat.

Pada hakikatnya, terdapat beberapa hikmah di sebalik suruhan Islam dalam bab pertunangan. Islam menyuruh umatnya bertunang untuk memulakan hubungan ikatan antara kedua-duanya. Antara hikmah pertunangan ialah kedua-dua belah pihak keluarga saling kenal mengenal antara satu sama lain. Tetapi perkenalan ini tetap mempunyai batasan syarak.

Ada di kalangan masyarakat yang mengenepikan batasan syarak ini lalu melakukan perbuatan mengikut hawa nafsu bukan berlandaskan ilmu dan kefahaman.

Ada juga di kalangan masyarakat yang terlalu syadid sehingga mengenepikan hikmah pertunangan sebagai contoh si lelaki tidak dibenarkan melihat wajah dan mengenali keluarga si perempuan (tunangnya). Mereka menyangkakan bahawa perbuatan tersebut dipuji oleh syarak padahal inilah salah satu daripada fahaman salah yang perlu diperbetulkan.

Perhatikan Usul 'Asyrin ke-16 yang disebutkan oleh Al-Imam Hasan Al-Banna di dalam kitab Risalah Ta'lim

و العرف الـخـاطئ لا يغير حقائق الألـفـاظ الـشـرعية بل يجـب الـتأكد من حـدود الـمعـانى الـمقصود بـهـا و الـوقـوف عـنـدها كـمـا يجـب الإحـتراز من الـخداع اللفـظـى فى كل نواحى الدنـيـا و الديـن . فـالـعـبرة بـالـمـســمـيـات لا بـالأســمـاء

Bermaksud : " Kebiasaan ( u'ruf ) yang salah tidak merubah hakikat lafaz - lafaz syariat bahkan wajib dipastikan batas makna yang dimaksudkan oleh lafaz - lafaz itu dan terhenti diatas pengertian yang dimaksudkan sahaja sebagaimana jua wajib berwaspada dari tertipu dengan perkataan - perkataan dalam semua bidang , dunia dan agama . ( Iktibar berdasarkan hakikat sesuatu yang dinamakan bukan pada nama )

Oleh itu, saya menyarankan kepada diri saya dan pembaca sekalian untuk beramal merdasarkan ilmu dan kefahaman yang diambil daripada para alim ulamak. Islam mengeji orang yang terlalu memudahkan urusan agama. Dan Islam juga mengutuk orang yang terlalu menyempitkan urusan agama.

Tetapi bersikaplah sederhana berdasarkan ilmu dan kefahaman kerana itu merupakan sikap yang terpuji di sisi syarak.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Rujukan

1. Mughni Al-Muhtaj syarah Al-Minhaj karangan Al-Imam Khatib Syarbini

2. Fath Al-Qarib Al-Mujib syarah Matan Abi Syuja' karangan Al-Imam Ibnu Qasim Al-Ghazzi

3. Hasyiatan Qolyubi wa Umairah karangan Al-Imam Al-Qolyubi dan Al-Imam Umairah


Baca Lagi...

29 Januari 2010

Hanya sekadar ini yang saya mampu


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi tempoh saya menghirup udara segar di bumi Malaysia ini. 1 Febuari 2010 merupakan tarikh untuk saya berangkat menuju ke Bumi Anbiyak bagi meneruskan pengajian Ijazah Lanjutan di sana.

Kepada orang-orang taman, pakcik makcik, sahabat-sahabat dan orang-orang Kedah khususnya, hanya sekadar ini sahaja yang saya termampu untuk sumbangkan tenaga Azhari pada kalian. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua di dunia dan di akhirat kelak InsyaAllah

Doakan semoga saya selamat menyambung pengajian di sana kemudian pulang ke tanah air untuk mengisi kemenangan Islam. Banyak lagi tugasan dan tanggungjawab yang perlu saya langsaikan di Perlembahan Nil.

******

3 hari yang lepas, saya sempat mengadakan kelas tafaqquh yang terakhir di Alor Star. Dalam kuliah tersebut teringat saya tentang satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebutkan tentang sifat peribadi muslim apabila berhadapan dengan waktu dan masa.

Hadisnya seperti berikut

من حسن الإسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Maksudnya : Salah satu tanda baiknya Islam pada seseorang itu ialah ianya meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat baginya.

Sepertimana yang disyarahkan oleh Imam Nawawi Rahimahullah, seseorang muslim itu mesti meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat sama ada dalam perbuatannya atau pun percakapannya.

(Selasa, pengajian terakhir di Masjid Maktab Mahmud, Alor Star)

Saya ingin membawa para pembaca khususnya nuqaba' atau naqibat untuk sama-sama kita merenung pesanan nabi Muhammad SAW buat umatnya. Sebagai seseorang yang memimpin usrah dan halaqah tentu sekali kita seolah-olah kekurangan masa untuk bersedia memimpin masyarakat.

Sepuluh langkah lebih ke hadapan perlu di susun supaya kita menjadi golongan yang mampu berkongsi manfaat yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Justeru itu, apabila kita dibentangkan dengan masa dan waktu maka anugerah tersebut perlu dipegang dan dilaksanakan dengan sebaiknya. Apa yang mampu untuk kita berbakti pada masyarakat, buatlah hanya sekadar yang mampu. Semoga ianya menjadi amalan soleh yang berterusan walaupun kita sudah meninggalkan bumi yang fana ini.

Tentu sekali perkara-perkara yang tidak bermanfaat itu adalah perkara-perkara yang diharam oleh Allah SWT seperti berzina, berjudi, merokok, berpasang-pasangan (couple) dan lain-lain.

Ataupun ianya perkara yang diharuskan oleh syarak tetapi tidak bermanfaat untuk dilakukan. Contohnya seperti sembang kosong, melepak, duduk termenung, makan banyak dan sebagainya.

(Isnin, usrah terakhir bersama pimpinan)

Saya yakin sekiranya disenaraikan kerja-kerja yang perlu untuk nuqaba' dan naqibat lakukan, pasti mereka merasakan seolah-olah tidak cukup masa. Kalau boleh tangan yang ada ini biar bertukar menjadi lapan. Masa yang ada sebanyak 24 jam ini bertukar menjadi 34 jam dalam sehari.

Tetapi semua itu adalah angan-angan fantasi yang pasti tidak akan terjadi. Oleh itu seseorang nuqaba' perlu memikirkan cara yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah ini.

Terkenang saya satu kata-kata Al-Imam Hasan Al-Banna yang selalu diucapkan oleh naqib saya iaitu "KEWAJIPAB ITU LEBIH BANYAK DARIPADA MASA YANG ADA".

Oleh itu, gunalah masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menimba sebanyak-banyak ilmu yang ada kemudian berkongsi dan berbakti pada masyarakat di masa akan datang.

(Darul Sofwah Al-Mukhtarah, rumah sewa Badan Dakwah Maktab Mahmud)

(Darul Ittihad, rumah sewa saya 2004)

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

27 Januari 2010

Wuduk orang yang ditimpa kemalangan


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT yang menciptakan kehidupan sebagai ujian bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW,penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Wuduk merupakan suatu perkara wang wajib dilakukan bagi mereka yang sudah sampai umur baligh. Hal ini kerana hukum solat adalah wajib kecuali dalam beberapa keadaan dan individu tertentu sahaja seperti gila, koma, pengsan dan lain-lain.

Hukum berwuduk adalah sunat sebelum masuk waktu solat. Manakala hukumnya berubah menjadi wajib setelah masuk waktu solat. Dalam kebanyakan perkara hukum wajib adalah lebih afdhal dan lebih diutamakan daripada hukum sunat.

Tetapi dalam masalah ini, hukum sunat berwuduk sebelum masuk waktu adalah lebih afdhal daripada hukum wajib berwuduk setelah masuk waktu. Ini merupakan salah satu daripada masalah yang terkeluar daripada kaedah yang asal.

Bukan ini yang ingin saya bahaskan, tetapi apa yang ingin saya bincangkan di sini adalah tentang perbahasan sapuan wuduk di atas balutan. Masalah ini sering terjadi terutamanya bagi mereka yang mengalami kecederaan akibat kemalangan, patah tulang, luka dan lain-lain.

Saya datangkan perbahasan di bawah ini mengikut pendapat Imam As-Syafie Rahimahullah. Semoga pembaca mampu memahami jenis perbahasan yang saya bawakan.

DEFINISI BALUTAN (JABIROH)

Balutan yang saya maksudkan di sini ialah balutan yang diletakkan di atas anggota wuduk yang 4 iaitu

1. Muka
2. Kedua-dua belah tangan hingga ke siku
3. Sebahagian kepala
4. Kedua-dua belah kaki hingga ke buku lali.

Balutan ini menghalang air daripada sampai ke anggota ketika mengambil wuduk. Kebiasaannya balutan ini disebabkan oleh luka yang parah dan patah tulang.

HUKUM BALUTAN KETIKA BERWUDUK

Sekiranya balutan tersebut mampu ditanggalkan bermaksud ianya tidak mendatangkan mudharat,maka wajib untuk ditanggalkan kemudian wuduk diambil seperti biasa.

Tetapi sekiranya perbuatan menanggalkannya itu mendatangkan mudharat seperti luka lambat sembuh, bertambah sakit atau hilang fungsi anggota maka balutan tersebut tidak wajib ditanggalkan.

CARA-CARA BERWUDUK BAGI MEREKA YANG MEMAKAI BALUTAN

(Perhatian : Bagi memudahkan perbahasan, saya menggunakan istilah 'mangsa' bagi mereka yang memakai balutan kerana kebanyakan soalan yang saya terima adalah daripada mangsa kemalangan)

1. Mangsa hendaklah memulakan basuhan anggota wuduk seperti biasa sehinggalah sampai pada anggota wuduk yang berbalut itu tadi.

2. Sebelum membasuh anggota berbalut tersebut, mangsa hendaklah bertayamum sebagai ganti kepada bahagian yang tidak terkena air akibat balutan.

(Perlu diingatkan bahawa tayammum yang saya maksudkan di sini ialah menyapu muka dan kedua belah tangan hingga ke siku dengan menggunakan debu yang suci. Ada sesetengah pembaca yang memahami maksud tayammum itu adalah menyapu debu di atas balutan. Ini fahaman yang perlu di perbetulkan)

3. Setelah itu, mangsa hendaklah membasuh anggota wuduk yang sihat.

4. Menyapu air di atas balutan tersebut.

(Tidak ada masalah sekiranya mangsa membasuh dahulu anggota wuduk kemudian barulah bertayammum, tetapi tertib yang lebih afdhal adalah bertayamum duhulu kemudian barulah membasuh anggota yang sihat. Keadaan ini lebih baik kerana ketika bertayammum, anggota wuduk masih dalam keadaan yang kering.

Perlu diingatkan bahawa satu tayammum adalah untuk satu anggota wuduk sahaja. Ini bermaksud kalaulah 2 anggota wuduk yang berbalut, maka mangsa harus bertayammum sebanyak 2 kali.


Satu lagi perkara yang mungkin mengelirukan iaitu satu tayammum hanya untuk satu fardhu sahaja. Oleh itu, apabila masuk waktu yang berikutnya maka orang yang berwuduk tadi perlu mengulangi tayammumnya kembali untuk melakukan solat fardhu.

Tetapi wuduk tidak perlu diulang sekiranya mangsa masih dalam keadaan berwuduk. Ini merupakan pendapat yang dikeluarkan oleh Imam Nawawi Rahimahullah di dalam kitab Al-Raudhah dan inilah pendapat yang muktamad dalam mazhab Imam Syafie. Selain Imam Nawawi, Imam Haramain, Imam Mawardi dan Imam Ghazali juga berpendapat sedemikian.

Mengikut pendapat Imam Rafie Rahimahullah, tayammum perlu diulang apabila masuk waktu yang berikutnya kemudian anggota wuduk yang dibasuh selepas anggota berbalut juga perlu diulang basuhannya. Ini bagi mereka yang masih dalam keadaan berwuduk.

Sekiranya mangsa melakukan perkara-perkara yang membatalkan wuduk seperti kencing atau qada hajat, maka ulangi wuduk dan tayammum kembali seperti biasa)

5. Membasuh anggota wuduk yang berikutnya.

CARA-CARA MANDI WAJIB BAGI MEREKA YANG MEMAKAI BALUTAN

1. Bertayammum.

2. Membasuh badan dan anggota yang sihat dengan niat mandi wajib.

(Dalam keadaan ini, tayammum juga perlu diulang setelah masuk waktu solat yang berikutnya bagi menggantikan anggota yang dibalut . Maksud saya anggota yang dibalut itu bukanlah anggota wuduk sebagai contoh paha seseorang yang dibalut dan tidak boleh terkena air.)

*******

ADAKAH PERLU DIULANGI SOLAT (QADA)?

Di sini terdapat beberapa keadaan yang perlu dikategorikan oleh pembaca.

PERTAMA
Sekiranya anggota yang berbalut tersebut berada pada anggota tayammum iaitu muka dan tangan hingga ke siku, maka mangsa perlu mengulangi (qada) solatnya setelah sembuh walau apa jua jenis balutan tersebut.

KEDUA
1. Sekiranya anggota yang berbalut tersebut berada pada bukan anggota tayammum iaitu kepala dan kaki hingga ke buku lali.
2. Balutan tersebut tidak melebihi bahagian yang terluka, maka solatnya tidak perlu diulang(qada).

KETIGA
1. Sekiranya anggota yang berbalut tersebut berada pada bukan anggota tayammum iaitu kepala dan kaki hingga ke buku lali.
2. Balutan tersebut melebihi bahagian yang terluka kerana diperlukan
3, Anggota tersebut dibalut setelah mangsa berwuduk, maka solatnya juga tidak perlu diulang (qada).

KEEMPAT
1. Sekiranya anggota yang berbalut tersebut berada pada bukan anggota tayammum iaitu kepala dan kaki hingga ke buku lali.
2. Balutan tersebut melebihi bahagian yang terluka kerana diperlukan
3. Anggota tersebut dibalut sebelum mangsa berwuduk, maka solatnya perlu diulang (qada) setelah sembuh.

KELIMA
1. Sekiranya anggota yang berbalut tersebut berada pada bukan anggota tayammum iaitu kepala dan kaki hingga ke buku lali.
2. Balutan tersebut melebihi bahagian yang terluka dan tidak diperlukan
3, Anggota tersebut dibalut sama ada sebelum atau selepas mangsa berwuduk, maka solatnya juga perlu diulang (qada) setelah sembuh.

(Walaupun hukum ke atas mangsa sedemikian, namun Imam Nawawi Rahimahullah memilih pendapat jumhur ulamak yang mengatakan bahawa mangsa tidak perlu mengulangi (qada) solatnya. Pendapat ini disebut di dalam kitab beliau iaitu Majmuk syarah Muhazzab)

*******


Sekiranya balutan berada pada lain daripada anggota wuduk seperti perut, bahu, leher, paha dan lain-lain, maka tidak perlu untuk mangsa bertayammum. Hanya perlu berwuduk seperti biasa sahaja.

Saya mengharapkan perbahasan ini boleh untuk dikongsi bersama. Sekiranya terdapat kesalahan dan kekurangan saya mengharapkan nasihat dan tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat sekalian.

Apa yang penting ialah, seseorang itu perlulah bersemangat untuk beramal dengan ilmu yang dipelajarinya. Tidak mudah-mudah untuk berpindah kepada mazhab yang lain walaupun hukumnya adalah harus bagi mereka yang mempelajarinya.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Rujukan

1. At-Taqrirat As-Sadidah karangan Habib Hasan bin Ahmad Al-Kaff

2. Matan Zubad karangan Sheikh Ibnu Ruslan

3. Fath Al-Qarib Al-Mujib syarah matan Abi Syuja' karangan Sheikh Ibnu Qasim Al-Ghazzi

4. Majmuk syarah Muhazzah karangan Imam Nawawi Rahimahullah.

Baca Lagi...

25 Januari 2010

Perlaksanaan TA'RIF, TAKWIN dan TANFIZ dalam dakwah


Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan kepada sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Dalam usaha kita untuk melaksanakan gerak kerja dakwah, terdapat beberapa peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua pejuang Allah SWT. Dakwah yang dilakukan tanpa ada strategi dan perancangan akan menghasilkn natijah yang kurang memuaskan.

Sebab itulah sekiranya kita merujuk kepada 'arkanul jamaah' iaitu rukun-rukun jemaah, para ulamak menyenaraikan 4 perkara perlu ada iaitu

1. Al-Qiyadah Ar-Rabbaniyah (Pemimpin yang bersifar rabbani)
2. Al-Jundiyah At-To'ah (Pengikut yang setia)
3. An-Nizom (Penyusunan)
4. Al-Khutuwat (Strategi)

Saya akan nyatakan beberapa peringkat asas yang perlu ada dalam perlaksanaan dakwah dan tarbiyah dalam masyarakat. Antara peringkat-peringkat asas tersebut adalah

1. Takrif (Pengenalan dan pengajaran)
2. Takwin (Pembentukan dan penyusunan)
3. Tanfiz (Perlaksanaan ke arah matlamat)

TAKRIF
Di peringkat permulaan ini, banyak ilmu-ilmu pengetahuan tentang islam disebarkan kepada masyarakat. Di peringkat ini, mereka yang menerima atau mad'u adalah dikalangan masyarakat yang umum. Pelbagai peringkat masyarakat akan datang untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman tentang agama Islam.

Matlamat atau tujuan di peringkat ini ialah mengubah keadaan masyarakat daripada kejahilan kepada pengetahuan. Oleh itu, seseorang pendakwah perlu menggunakan pelbagai uslub yang ada demi semata-mata untuk menarik minat para pendengar.

Ucapan yang dikeluarkan penuh berisi dan berfaedah. Gaya pertuturan menarik minat pendengar untuk hadir buat kali yang seterusnya. Manisnya muka juga menenangkan hati hadirin yang mendengar ucapan tersebut.

Ini merupakan peringkat asas dalam gerakan dakwah. Mereka yang culas dalam melaksanakan peringkat takrif ini akan menyebabkan mad'u yang diseru tadi bersemangat untuk memperjuangkan Islam tetapi kurang ilmu dan kefahaman.

Inilah virus yang seringkali menyerang nuqaba' atau pendakwah. Ilmu pengetahuan yang kurang akan menyebabkan nuqaba' tersebut futur atau berputus asa di tengah-tengah jalan. Ataupun mereka memperjuangkan agama Islam secara luaran tetapi pada hakikatnya mereka menyesatkan orang lain.

Antara bentuk-bentuk perlaksaannya ialah pengajaran, membaca kitab-kitab, berkongsi ilmu dan kefahaman, tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah yang disampaikan.

Oleh itu matlamat dan perlaksanaan dakwah di peringkat ini perlu diteliti dan dijalankan dengan penuh sempurna. Untuk membentuk pendokong-pendokong dakwah yang istiqamah, masa yang panjang diperlukan. Tidak perlu tergesa-gesa sehingga menyebabkan perkara asas dalam perjuangan ditinggalkan.

TAKWIN
Peringkat yang kedua dalam perlaksaan gerak kerja dakwah ini ialah takwin ataupun pembentukan. Takwin yang saya maksudkan di sini ialah, golongan-golongan yang melepasi peringkat pertama akan dikumpulkan lalu mereka ini diikat dengan ikatan ukhuwah dan perjuangan.

(gambar bersama-sama dengan Sheikh Husni Tamrin di Mekah, tahun 2007)

Matlamat di peringkat yang kedua ini ialah mengubah keadaan individu atau kumpulan daripada pengetahuan kepada fikrah. Di tahap ini, pendakwah perlu membina pemikiran mad'u supaya ilmu pengetahuan yang ada dalam dirinya itu digunakan pada jalan yang benar. Bentuk pemikiran juga berubah menjadi lebih matang serta mampu menganalisis sesuatu peristiwa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh agama Islam.

Di peringkat ini, nuqaba' atau pendakwah akan mengahadapi pelbagai masalah untuk istiqamah. Hal ini terjadi kerana di peringkat takwin, pelbagai ragam mad'u akan kita temui. Oleh itu bagi nuqaba' dan pendakwah yang faham, mereka akan menggunakan pelbagai uslub untuk menarik minat mad'u untuk terus istaqamah dalam gerak kerja dakwah. Mereka juga memahami bahawa perjuangan islam itu tidak dihamparkan dengan kemewahan dan kesenangan.

Sebab itulah sekiranya kita menyemak kembali 'arkanul dakwah' iaitu rukun-rukun dakwah, terdapat 4 perkara penting iaitu

1. Da'ie (Pendakwah)
2. Mad'u (Orang yang didakwah)
3. Manhaj Ad-Dakwah (Pengisian)
4. Uslub Ad-Dakwah (Teknik dakwah)

Selain itu, matlamat lain yang diletakkan di peringkat ini ialah mengubah minda dan fikrah individu tersebut kepada harakah atau pergerakan. Maka di tahap inilah mad'u yang dibentuk tadi akan bersemangat untuk melaksanakan dakwah kepada masyarakat di sekeliling. Manhaj yang disampaikan berdasarkan ilmu pengetahuan yang dipelajari daripada para alim ulamak.

Antara bentuk-bentuk perlaksaan di peringkat yang kedua ini ialah usrah, halaqah, tamrin, mukhayyam (perkhemahan), qiamullail, khatam al-quran dan berzikir kepada Allah SWT.

Saya mendatangkan contoh di zaman nabi SAW. Para sahabat disusun untuk menyebarkan Islam di tempat yang lain yakni luar daripada kota Mekah. Mus'ab bin Umair Radhiyallahu Anhu dihantar ke Yathrib atau pun sekarang dikenali dengan Kota Madinah untuk mendidik masyarakat di sana sekaligus menjadi murabbi di tempat tersebut.

Selain itu, Ja'far bin Abi Thalib Radhiyallahu Anhu dihantar ke Habsyah untuk menyebarkan agama Islam di sana seterusnya menjadi murabbi atau pembimbing di tempat tersebut.

Oleh itu, penyusunan yang teliti dan terancang perlu dilakukan di peringkat ini demi mencapai matlamat dan tujuan dakwah.

TANFIZ
Di peringkat yang terakhir ini, individu atau kumpulan yang telah melalui tahapan dakwah akan memiliki peribadi yang bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Mereka ini bersedia menerima arahan dan melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh pimpinan.

Selain itu, peribadi di peringkat ini selalu melaksanakan amal saleh dan beribadah kepada Allah. Mereka melaksanakannya dengan penuh istiqamah. Al-quran menjadi panduan hidup dan sentiasa mengulanginya. Solat tahajjud tidak ditinggalkan kerana ia merupakan sumber kekuatan kepada perjuangan Islam.

Namun pada peringkat tanfiz ini, individu atau kumpulan tidak hanya beramal saleh semata-mata. Tetapi mereka akan bersama-sama melaksanakan kerja-kerja islam di dalam jemaah dan inilah yang disebut sebagai amal jamaie.

Matlamat atau tujuan perlaksanaan peringkat ini ialah mengubah daripada harakah kepada tujuan asal dakwah iaitu mencapai redho Allah SWT. Di peringkat inilah akan terlaksana kandungan al-quran di dalam masyarakat sekeliling.

Antara bentuk perlaksanaannya ialah mesyuarat, melaksanakan program, menyusun strategi dan merangka jadual dan pencapaian. Ketika inilah kita akan melihat seolah-olah al-quran itu berjalan di dalam masyakakat.

Akhir sekali, saya mengharapkan perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada sekalian nuqaba' atau pimpinan mahasiswa. Ini merupakan manhaj atau strategi yang saya pelajari daripada usrah yang saya ikuti. Semoga ianya akan menjadikan kita lebih beramal untuk agama Islam.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

23 Januari 2010

Hebatnya Pemuda


Assalamualaikum..

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan yang menjadikan alam ini sebagai ujian bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat kekasih hati, junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Golongan pemuda dan pemudi merupakan tonggak kepada sesuatu perubahan. Sama ada keadaan masyarakat akan berubah ke arah yang lebih baik atau berubah ke arah kejahilan.

Hal ini kerana golongan pemuda mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada mereka yang berumur. Kehebatan yang Allah SWT beri ini, sekiranya diarahkan ke sudut yang betul, maka satu perubahan besar akan terjadi.

Tetapi sekiranya kehebatan ini disalurkan ke arah keburukan, maka perubahan masyarakat ke arah kejahilan akan terjadi.

2 hari yang lepas, saya diminta untuk menyampaikan ceramah di hadapan pemuda-pemudi yang bersemangat untuk membawa perjuangan Islam. Slot tersebut merupakan salah satu daripada pengisian program yang dianjurkan oleh Pergerakan Pelajar Islam Kedah (PPIK).

Melihat kepada para hadirin yang datang di dalam majlis tersebut, saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih ramai pemuda-pemudi di Kedah ini yang bersemangat untuk membawa perjuangan Islam. Saya berdoa semoga pengisian seumpama ini akan dapat diteruskan dengan kehadiran pemuda-pemudi yang lebih menggalakkan.

Pada hakikatnya, pemuda dianugerahkan pelbagai kelebihan dan kehebatan oleh Allah SWT. Saya datangkan contoh kelebihan tersebut.

SEMANGAT YANG TINGGI DAN DARAH YANG BERGELORA
Antaranya ialah pemuda dan pemudi mempunyai semangat yang tinggi. Lihat saja pemuda yang menunggang motosikal. Mereka menunggang dengan lagak yang membahayakan. Lebih mudah saya nyatakan di sini sama ada "wikang" atau "wili".

Selain itu, lihatlah bagaimana sikap pemuda apabila membantah atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara. Mereka menjerit kuat-kuat. Bergaduh menjadi perkara yang biasa. Sehinggakan ada yang sanggup membakar rumah ibadah agama lain demi semata-mata untuk menunjuk perasaan.

Saya datangkan contoh di zaman Nabi Ibrahim Alaihis Salam. Allah SWT merekodkan di dalam al-quran tentang dialog antara Nabi Ibrahim AS dan kaumnya.

Apabila Nabi Ibrahim berkata kepada ayah dan kaumnya "Patung berhala apakah yang kamu semua sembah ini?".

Dialog tersebut menunjukkan bahawa dengan semangat yang ada pada golongan pemuda, mereka berani untuk melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar.

PANDANGAN IDEA YANG BERNAS
Golongan pemuda sering dikaitkan dengan pembangunan masyarakat di masa hadapan. Hal ini kerana mereka selalu memberikan pandangan idea yang bernas serta relevan dengan keadaan suasana sekeliling.

Lihat saja kebanjiran blog-blog mahasiswa. Apabila timbul sesuati isu, maka mereka inilah yang sering memberikan pandangan masing-masing. Ada yang berpandangan positif dan ada pula yang berpandangan negatif. Malahan ada juga yang berada di atas pagar, tidak mampu untuk menilai isu yang berlaku.

TUBUH BADAN YANG SIHAT DAN KUAT
Golongan yang diberikan anugerah ini, mampu melakukan 10 kerja dalam satu-satu masa malahan lebih daripada itu. Saya datangkan contoh seseorang pemuda yang sudah bernikah. Dalam masa yang sama, dia masih lagi menuntut ilmu di Mesir. Selain itu, kebajikan kepada masyarakat juga tidak ditinggalkan. Kuliah pengajian tetap dia jalankan.

Maka ini adalah kelebihan yang ada pada pemuda tetapi tidak diberikan kepada golongan yang sudah berumur.


Sebab itulah kelebihan yang ada ini ini perlu dididik supaya ianya menuju ke arah perjuangan Islam. Bekalan-bekalan untuk menjadi pejuang Allah perlu disebatikan dalam jiwa golongan pemuda.

Apa bekalan yang dimaksudkan?

Ya...itulah bekalan yang dikenal sebagai TARBIYAH RUHIYYAH. Golongan pejuang Islam memerlukan kepada Solat Tahajjud kerana ianya merupakan sumber kekuatan.

Pejuang Allah memerlukan Al-Quran sebagai panduan untuk berjalan melalui liku-liku hidup di dunia. Zikir harian juga tidak boleh ditinggalkan kerana ianya merupakan nadi untuk bergerak dalam perjuangan Islam.

Selain itu, TUNJUK AJAR HIKMAH juga diperlukan oleh golongan pemuda. Pengalaman inilah yang banyak diperolehi daripada orang-orang terdahulu. Pengalaman ini juga banyak dipelajari daripada sirah Nabi Muhammad SAW.

Saya juga menyarankan supaya golongan pejuang Allah ini mengambil pengalaman hikmah daripada usrah yang diikuti. Tentu naqib yang membawa usrah tersebut lebih berpengalaman dalam dunia dakwah.

Semangat semata-mata tidak mampu untuk membuahkan hasil yang sempurna. ILMU DAN KEFAHAMAN perlu diterapkan dalam pemikiran golongan pemuda. Biar fikrah mereka jelas. Matlamat pembawakan mereka nampak di hadapan. Jalan yang mereka tempuh merupakan jalan yang benar. Bukan jalan yang mengaburi penglihatan.

Sekiranya bekalan ini disalurkan ke dalam jiwa para pemuda, sudah tentu sikap menunggang motor dengan laju tersebut akan berubah menjadi menunggang motor untuk melaksanakan usrah.

Semangat untuk membakar rumah ibadah kristian akan berubah menjadi tindakan yang lebih profesional dan bertimbang rasa. Pandangan idea untuk mengadakan konsert akan berubah menjadi pandangan idea untuk mengadakan ceramah forum di malam kemerdekaan.

Akhir sekali ciri-ciri mukmin yang sejati akan semakin jelas berada pada masyarakat. Serta sikap untuk memperjuangkan agama Islam itu akan tersebar luas ke seluruh peringkat masyarakat.

Ciri-ciri inilah yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-quran Surah Al-Maidah ayat 54.

"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang keluar daripada agamanya (Islam) maka Allah SWT akan menggantikan dengan suatu kaum dimana Allah SWT mencintai mereka dan mekera juga mencintai Allah SWT, mereka bersikap lembut sesama muslim, mereka bersikap keras dan tegas terhadap golongan kafir, mereka berjihad di jalan Allah SWT, dan mereka tidak takut dengan celaan orang kafir. Yang demikian itu merupakan kelebihan yang Allah berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah SWT mempunyai kelebihan yang maha agung"

Ciri-ciri inilah yang akan timbul sekiranya golongan pemuda tadi ditarbiyah dan dicanai dengan memahami erti perjuangan Islam.


SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime.
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

19 Januari 2010

Pimpinan mahu EGO? Silakan...


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat kekasih hati, Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Saya mengambil kesempatan pada kali ini untuk membincangkan masalah ego yang ada pada pimpinan. Samada sikap tersebut merupakan anjakan paradigma bagi golongan ini atau pun ia merupakan pemusnah hidup masyarakat.

Dalam usrah yang saya bawa sementara masih di Malaysia ini, kami membincangkan tentang sikap ego yang ada pada pimpinan.

Pada hakikatnya sikap ego memang ada dalam setiap diri manusia sama ada kaum adam mahupun hawa. Tambahan pula bagi mereka yang bergelar pimpinan dan lelaki.

Pantang kalau ditegur oleh kaum hawa.
Pantang sekali diminta berubah sikap oleh adik-adik yang masih muda.
Pantang sekiranya didahului oleh AJK atau orang bawahannya.

Setiap sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan sikap ego. Kalaulah sikap ini dipandu oleh ilmu tasawuf, maka hasilnya ia akan memberikan impak maksima pada seseorang. Lebih-lebih lagi pimpinan.

Tetapi kalaulah sikap ini dipandu oleh nafsu, maka tunggulah saat kebinasaan wahai pimpinan sekalian.

Saya datangkan contoh, bagaimanakah sikap ego ini akan memberikan anjakan paradigma yang baik buat pimpinan.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu lebih yakin dengan ucapannya di hadapan orang ramai. Ucapan yang ilmiah dan berisi akan menarik minat pendengar untuk memberi perhatian yang sepenuhnya.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu tidak akan kalah dengan orang bawahannya. Apa yang saya maksudkan di sini ialah seseorang itu akan melangkah 10 kali lebih jauh berbanding dengan orang yang berada di sekeliling. Langkah tersebut disusun rapi demi memastikan strategi yang dirancang akan berjalan dengan lancar.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu bersifat dengan lebih matang. Bukan hanya sekadar sikapnya yang matang, bahkan kematangan tersebut jelas pada ucapannya, pemikiran fikrahnya, tindakan yang dilakukan dan pandangan idea yang dilontarkan.


Ego yang saya maksudkan di atas ialah ego yang dipandu oleh ilmu tasawuf yang dipelajari daripada sikap para alim ulamak. Ego tersebut bukanlah ego lakonan di hadapan masyarakat.

Tetapi sekiranya ego yang dicanai dengan angkara nafsu, tunggulah bahawa kebinasaan akan muncul tidak lama lagi.

Ego yang berjalan tanpa diiringi ilmu tasawuf, akan dikelilingi oleh segala sifat mazmumah yang dikeji. Sifat riya', 'ujub, sum'ah dan takabbur akan menyelinap masuk. Akhir sekali ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Saya ingin datangkan kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-'Araf ayat 11-18. Inilah surah yang saya bawakan untuk anak buah usrah. Semoga kisah ini akan memberi keinsafan buat al-faqir dan juga pimpinan-pimpinan yang lain.

Allah berfirman
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu wahai nabi Adam AS. Oleh itu Kami perintahkan kepada para malaikat dan iblis, sujudlah (tanda hormat) kepada ciptaan Kami ini.

Malaikat
Baiklah, kami akan ikut perintah-Mu wahai Allah.

Iblis
Kami tidak akan sujud (tanda hormat) kepada ciptaan-Mu ini.

Allah berfirman
Sebenarnya apa yang menghalang kamu wahai iblis untuk ikut perintah Kami?

Iblis
Kenapa kami perlu sujud pada cintaan-Mu ini padahal, kami lebih baik dan mulia jika dibandingkan dengan manusia. Kami diciptakan daripada api padahal dia ini diciptakan daripada tanah. Bukankah api itu lebih mulia daripada tanah?

Allah berfirman
Baiklah, kalau begitu keluarlah kamu wahai iblis daripada syurga Kami ini. Kamu tergolong dalam golongan orang yang sesat.

Iblis
Kami mohon kepada-Mu ya Allah sebelum kami keluar daripada syurga ini. Kami mohon supaya kami tidak dimatikan hinggalah hari kiamat.

Allah berfirman
Baiklah, Kami perkenankan.

Iblis
Disebabkan kami dihukum sesat, maka kami akan pastikan anak cucu Adam AS tidak akan mengikuti jalan-Mu yang benar.

Allah berfirman
Kami akan masukkan kamu dan orang-orang yang mengikut kamu ke dalam api neraka Jahannam kelak.

Ini merupakan sikap ego tidak berilmu yang ditunjukkan oleh Iblis Laknatullah. Tidak lama selepas sikap tersebut ditunjukkan, datanglah laknat Allah SWT kepada mereka.

Kadang-kadang sikap ego ini ditunjukkan oleh orang-orang yang lebih tua. Cukup susah untuk mereka menerima pandangan dan nasihat daripada golongan muda atau pun yang bergelar adik. Tambahan pula kalau orang yang lebih muda tadi memberi arahan kepadanya. Hal seperti inilah yang sering berlaku dalam perjuangan Islam iaitu Virus Ego.

Sikap pimpinan yang selalu menidakkan pandangan ahli dan AJK juga perlu dinilai semula. Sikap menerima pandangan semua orang kemudian mengkaji buah fikiran tersebut merupakan sikap yang dianjurkan oleh agama Islam. Nabi SAW juga mengambil pandangan sahabatnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Golongan lelaki yang selalu meremehkan pandangan dan buah fikiran wanita juga perlu dihindarkan. Berkemungkinan idea yang dilontarkan oleh kaum hawa tadi lebih teratur dan tersusun berbanding kaum lelaki.


Sebab itulah kalau dilihat dalam satu kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang hukamak ketika beliau menjelaskan tentang perbezaan antara maksiat nafsu dan maksiat takabbur.

"Maksiat yang dilakukan oleh sebab nafsu mempunyai harapan untuk diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah maksiat yang berpunca daripada nafsu. Manakala maksiat yang dilakukan oleh sebab takabbur dan ego, tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Iblis Laknatullah adalah maksiat yang berpunca daripada sifat takabbur dan ego".

Kita memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan kita golongan pimpinan yang mampu memandu masyarakat ke arah memperjuangkan Islam berdasarkan semangat, ilmu dan kefahaman dalam diri. Dan kita juga memohon semoga Allah SWT menjadikan kita tergolong dalam golongan yang diganjarkan syurga di hari akhirat kelak. Amin.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Darul Sofwah Al-Mukhtarah
Alor Star, Kedah.

Baca Lagi...

18 Januari 2010

Hanya MATI penghalang untuk tidak ke Usrah


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian makhluk di muka bumi. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta semua para sahabat baginda yang dikasihi sekalian.

2 hari yang lepas saya dijemput untuk menyampaikan kuliah maghrib di Markaz Langgar, Alor Star. Kebanyakan yang hadir dalam kuliah tersebut adalah di kalangan pelajar sekolah. Dan saya dimaklumkan bahawa mereka adalah nuqaba' dan naqibat di tempat masing-masing.

Mungkin saya boleh kongsi dengan kawan-kawan berkenaan kuliah maghrib yang disampaikan.

Dalam satu hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh seorang sahabat besar nabi iaitu Abu Dzar Al-Ghifari. Nabi memesan kepada beliau mengenai 7 perkara. Hadisnya seperti berikut :

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ أَمَرَنِي بِحُبِّ الْمَسَاكِينِ وَالدُّنُوِّ مِنْهُمْ وَأَمَرَنِي أَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ دُونِي وَلَا أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقِي وَأَمَرَنِي أَنْ أَصِلَ الرَّحِمَ وَإِنْ أَدْبَرَتْ وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَسْأَلَ أَحَدًا شَيْئًا وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَخَافَ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ وَأَمَرَنِي أَنْ أُكْثِرَ مِنْ قَوْلِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ


Maksudnya : Daripada Abu Dzar, beliau telah berkata "Nabi SAW telah memesan kepadaku 7 perkara :-
1) Nabi SAW memesan kepadaku untuk menyintai orang-orang miskin dan mereka yang berpangkat rendah.
2) Dan beliau memesan lagi kepadaku untuk melihat orang yang dibawahku dan tidak melihat orang yang berada di atasku.
3) Dan beliau memesan untuk aku menyambung silaturrahim (berukhuwah) walaupun dia berpaling.
4) Dan beliau memesan kepadaku untuk tidak meminta-minta sedekah
5) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku bercakap benar walaupun pahit.
6) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku tidak takut kepada celaan ketika aku berdakwah
7) Dan beliau memesan kepada ku supaya banyakkan berzikir 'la haula wala quwata illa billah'. Yang demikian itu adalah anugerah Allah SWT."



Saya ingin menyentuh salah satu pesanan baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari iaitu pesanan yang kedua.

Inilah konsep atau teori yang diajarkan oleh nabi SAW kepada seluruh umatnya. Mereka yang memahami konsep ini, akan mampu menilai keadaan di sekeliling. Konsep ini perlu diketahui dan diamalkan oleh umat islam terutamanya mereka yang bergelar nuqaba' dan naqibat.

Apabila seseorang dibentangkan atau diberikan dengan habuan dunia, maka nabi memesan untuk sentiasa melihat orang yang dibawah. Maksudnya ialah sentiasa memandang orang yang lebih susah, miskin serta kurang habuan dunia yang dikecapi. Keadaan ini akan menimbulkan rasa qanaah iaitu cukup dengan apa yang ada.

Berlainan pula dengan keadaan apabila kita dibentangkan atau diberikan habuan akhirat. Apa yang saya maksudkan ialah dalam urusan ibadah kepada Allah, maka nabi Muhammad SAW menyarankan kepada umatnya untuk melihat orang yang di atas. Bukan melihat orang yang dibawah. Maksudnya kita sentiasa meniru sikap yang ditunjukkan oleh para alim ulamak.

Mereka setiap hari mambaca al-quran dan berzikir. Kalaulah kita membelek kitab-kitab yang membicarakan waktu dan masa orang yang alim, tentu sekali kita yang bergelar nuqaba' dan naqibat akan merasa cukup rendah dan hina jika dibandingkan dengan mereka.

Tetapi konsep yang diletakkan oleh Nabi ini, dipesongkan oleh sebahagian umat islam. Dalam perkara dan habuan dunia, kita selalu memandang orang yang diatas. sebab itulah perasaan tamak dan tidak pernah cukup itu selalu menyelubungi hidup.

Mahu rumah besar.
Mahu kereta besar.
Mahu gaji besar.
Mahu hidup mewah.

Saya tidak mengatakan bahawa rumah, kereta, gaji dan hidup mewah ini adalah salah di sisi agama Islam, tetapi sekiranya yang demikian itu tidak digunakan untuk Islam maka amatlah rugi kerana perkara tersebut bagaikan longgokan emas di depan mata, hanya tunggu untuk dimasukan sahaja ke dalam karung.

Manakala dalam urusan akhirat, umat islam kini selalu memandang orang yang berada di bawahnya. Bermaksud dia hanya berpada dengan ibadah yang dilakukan.

"aku sembahyang di masjid 3 kali sehari ni kira ok lah"
"aku sedekah seringgit ni cukup rahmat dah ni"
"cukuplah dengan aku membaca al-quran, tak perlu lagi bacaan ma'thurat"

Kehidupan sebagai nuqaba'dan naqibat perlu memegang konsep yang diajarkan oleh baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari. Istiqamah untuk melakukan usrah setiap minggu perlu ada dalam jiwa seorang pejuang.


Saya teringat satu kata-kata yang dilontarkan oleh naqib usrah saya iaitu Ust Mohd. Asri bin Md Daud "Buatlah usrah dan hadiri halaqah selagimana mampu. Hanya mati sahaja penghalang untuk tidak ke usrah"

Kalaulah pimpinan tok guru yang hebat di Malaysia mampu memimpin, mengajar tafaqquh,
melaksanakan usrah, menjalankan mesyuarat pada satu-satu masa, kenapa kita kita tidak boleh sedemikian?

Kalaulah Imam Nawawi rahimahullah mampu menggunakan masa yang ada untuk beribadah kepada Allah, menuntut ilmu dan meluangkan masa untuk bermasyarakat, kenapa kita tidak boleh begitu?

Oleh itu, gunakan masa yang ada ini untuk meningkatkan amalan kepada Allah SWT. Dalam hal tersebut, jadikan para alim ulamak sebagai ikutan dan panduan. Kajilah perjalanan hidup mereka, moga-moga kita tergolong dalam golongan ulamak.

Petang ini saya akan bergegas ke Alor Star pula untuk menyambung kelas tafaqquh selepas solat Maghrib dan mengadakan usrah pada keesokannya. Mungkin inilah bakti-bakti terakhir saya untuk masyarakat di Kedah sebelum pulang menyahut lambaian kawan-kawan di Mesir. Semoga tafaqquh yang saya adakan malam ini boleh untuk sama-sama kita kongsi. Insyallah.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

16 Januari 2010

Hukum membaca Al-Quran di atas kubur


Assalamualaikum..

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan Rabb bagi sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Saya terbaca satu perbahasan yang cukup menarik untuk dikongsi bersama. Saya temuinya dalam kitab karangan Al-Alim Al-Allamah Sheikhuna Al-Fadhilah Dr. 'Ali Jumuah. Beliau merupakan mufti di Negara Mesir.

Mungkin terjemahan yang saya buat ini boleh untuk sama-sama kita kongsi. Ini merupakan fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikhuna.

Soalan: Apakah Hukum Membaca Al-Quran Untuk Si Mati Di Atas Kubur? Adakah Sampai Pahala Bacaan Tersebut Kepada Si Mati?

Jawapan:

Para ulama' telah bersepakat (berijma' atau berpendapat) mengatakan bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah tidak haram, bahkan tidak berdosa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama' Hanafiah, Syafi'iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas R.A ( hadis marfu' ):

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: "Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan"

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa :

"Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah".

Adapun ulama' Malikiyyah berpendapat bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah makruh. Akan tetapi, Syeikh Dardir memberikan komentar beliau di dalam masalah ini :

"Ulama' mutaakh'khirin berpendapat bahawa harus membaca Al-Quran dan berzikir serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati bahkan si pembaca juga akan mendapat/beroleh pahala tersebut, Insya Allah".

Perselisihan pendapat pada masalah ini adalah terlalu lemah (dhoif). Pendapat yg mengatakan hukumnya adalah sunat adalah pendapat yg kuat. Sesungguhnya sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini adalah masalah ijma'. Antara ulama' yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi Al-Hanbali. Beliau mengatakan bahawa :

"Apa-apa kebaikan yang dilakukan dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati yang muslim (beragama Islam), maka itu adalah perkara yg bermanfaat. Berkata sebahagian ulama', apabila dibacakan Al-Quran di sisi si mati atau menghadiahkan pahalanya kepada si mati maka beroleh pahala, maka pembacanya juga akan mendapat/beroleh pahala dan seolah-olah si mati juga membacanya, maka diharapkan si mati akan beroleh rahmat. Sesungguhnya, apa yg kami sebutkan itu tadi adalah disepakati/dipersetujui (ijma') oleh para ulama'. Mereka ( para ulama' yg bersepakat ) bersama-sama berkumpul membacakan Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati tanpa ada yg membantah di kalangan mereka (tanpa saling membantah antara satu sama lain).


Sesungguhnya, Syeikh Al-Uthmani telah memberikan komentar berikut di dalam masalah ini :

"Para ulama' bersepakat mengatakan bahawa istighfar, doa, sedekah, haji, pembebasan hamba adalah bermanfaat bagi si mati dan pahala kebaikan tersebut sampai kepadanya. Hukum membaca Al-Quran di atas kubur adalah sunat".

Dalil bagi sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati adalah diqiyaskan dgn hukum sampainya pahala "haji ganti/haji badal" kepada si mati kerana haji terkandung di dalamnya solat. Surah Al-Fatihah dan surah-surah yg lain dibaca di dalam solat.

Apa-apa yg sampai ke semuanya, pasti akan sampai satu juzu' (sebahagian) daripadanya. Maka pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dengan izin Allah sekiranya si pembaca memohon supaya Allah memberikan pahala kepada si mati sepertimana diberikan pahala kepadanya (si pembaca).


Berdasarkan kepada apa yang diterangkan, sesungguhnya ulama' telah bersepakat bahawa membaca Al-Quran untuk si mati adalah harus manakala sebahagian ulama' berpendapat bahawa menghadiahkan pahala kepada si mati juga hukumnya adalah harus.

Para ulama' Syafi'iyah berpendapat bahawa pahala tersebut akan sampai kepada si mati dengan diiringi bacaan doa :


اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان

Maksudnya: "Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan Al-Quran aku ini kepada si fulan"


Sesungguhnya ianya bukanlah hanya semata-mata dengan amalan tersebut sahaja bahkan boleh juga dilakukan pada amalan-amalan yang lain.

Perselisihan yg berlaku adalah sangat sedikit dan sepatutnya ia tidak berlaku pada masalah ini.



SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK


Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Markaz Langgar,
Alor Star, Kedah.

Rujukan

1. Al-Mughni karangan Ibnu Qudamah

2. Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmizi karangan Al-Mubarakfuri

3. Syarah Kabir karangan Al-Alamah Dardir

4. Rahmatul Ummah Fi Al-Ikhtilaf Al-Aimmah karangan Sheikh Uthmani

5. Kamus Bahasa Arab

6. Fatwa Al-Alim Al-Allamah Sheikh Dr. Ali Jumuah

Baca Lagi...

14 Januari 2010

Antara CEMERLANG atau kecundang


Assalamualaikum....

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Sepanjang cuti di Malaysia, saya mengambil peluang ini untuk mengkaji beberapa perkara.

Salah satu daripada perkara tersebut adalah berkenaan dengan kejayaan mahasiswa Al-Azhar pada peringkat Ijazah Lanjutan (MA). Saya lakukan kajian tersebut kerana dalam tempoh 2 minggu lagi saya akan kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Lanjutan (MA) di Universiti Al-Azhar.

Sebenarnya apa yang memberi semangat yang gitu kepada abang-abang yang saya kenal untuk menyambung pengajian d sana? Saya pun hairan?

- Ustaz Hairul Nizam Mat Husain (Ijazah Lanjutan Takhassus Usul Fiqh)
- Ustaz Akli (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Am)
- Ustaz Mohd Zahran Mohd Syariff (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Am)
- Ustaz Hasan Basri (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Muqaran)
- Ustaz Juzaili Johan (Ijazah Lanjutan Takhassus Hadis)
- Ustaz Ahmad Yusoff (Ijazah Lanjutan Takhassus Tafsir)

Dan ramai lagi nama abang-abang yang mungkin tak sempat untuk saya tulis di sini. Sebenernya mereka pun tahu bahawa MA di Al-Azhar adalah antara MA yang terpayah di dunia. Maksud saya cukup susah untuk lulus mendapat syahadah MA daripada universiti tersebut. Walaupun pada hakikatnya pihak universiti telah pun menurunkan level muqarrar pada pengajian. Tetapi mereka tetap juga ingin menyambung pelajaran di situ.

Rasanya sekarang saya dah jumpa, apa sebenarnya TEORI UNTUK LULUS MA AL-AZHAR.

Saya dah ada teori tersebut. Tetapi saya tak pasti samada teori ini memang betul-betul berkesan atau pun perlu dikaji semua perlaksanaannya??

Jadi teori tersebut tak boleh lagi untuk saya nyatakan di sini. Kalaulah kajian saya ini berkesan iaitu mampu memberikan kejayaan pada mahasiswa ijazah lanjutan Al-Azhar, maka saya akan war-warkan teori tersebut.

Apa yang paling penting untuk perlaksanaan teori ini adalah ISTIQAMAH. InsyaAllah saya akan laksanakan teori ini apabila saya menjejakkan kaki di Bumi Anbiyak nanti.

Kini ramai kawan-kawan saya yang dah pun masuk bekerja di Malaysia. Ada antara mereka yang dah pun berkhidmat dalam masyarakat. Ada yang dah berbini dan anak. Ada yang merancang strategi untuk menjadi kaya-kaya, mudah untuk memberi sumbangan pada perjuangan Islam.

Saya ceritakan satu persatu kawan-kawan saya pada mak. Tetapi mudah je mak patahkan idea yang saya ceritakan padanya...

"Tak apa lah, kawan-kawan kamu tu kumpul duit dan anak. Kamu tu biar kumpul ilmu dulu. Kalau kumpul harta, ia akan habis. Tapi kalau kumpul ilmu ni, sampai bila-bila pun tak habis"
Tambahan : 'kamu' adalah rekaan nama samaran saya dalam keluarga.




SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK


Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

13 Januari 2010

Nuqaba' bermaklumat atau berilmu


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Jikalau dipehatikan kepada 2 jenis air iaitu air yang mengalir atau bergoncang dan air yang tidak bergerak atau tenang, kita akan mendapati bahawa air yang mengalir tadi itu tidak akan mengalami bau yang busuk yang cepat setelah beberapa minggu walaupun terdapat hidupan di dalamnya.

Tetapi air yang tenang pula akan mengalami bau yang agak busuk setelah dibiarkan beberapa ketika dengan hidupan di dalamnya.

Wah....ajaibnya, apa sebenarnya yang berlaku.

Hal ini terjadi kerana geseran molukel-molukel air akan menjadikan air tersebut lambat kotor dan berbau busuk.

Sebab itulah sekiranya kita memerhati keadaan di sekeliling, air yang bertakung akan mengalami bau yang busuk. Tasik yang terbiar lama akan menjadi kotor. Baju yang direndam lama di dalam air juga akan mengeluarkan bau yang.....fuhh..memeningkan.

Bagi mereka yang memelihara ikan, air di dalam akuarium akan dialirkan. Tasik buatan di taman-taman juga akan dialirkan air tersebut supaya ianya bergelora dan bergerak-gerak. Selain itu, keadaan ini juga akan mengeluarkan bunyi yang menenangkan fikiran seperti bunyi air terjun dan bunyi sungai. Hal ini kerana teori yang saya sebutkan tadi tu.

Bukan ini yang saya nak bahaskan, tetapi inilah yang ingin saya jadikan sebagai analogi bagi kehidupan sebagai nuqaba' dan sebagai mahasiswa/wi.

Kehidupan sebagai nuqaba' atau mahasiswa/wi memang cukup-cukup mencabar. Ilmu yang kita pelajari perlu direalitikan dalam kehidupan seharian. Sebab itulah para alim ulamak menyebutkan bahawa "Tuntutan ilmu itu adalah untuk beramal".

Sebagai seorang nuqaba' yang memimpin halaqah dan usrah, kita bukanlah orang yang dikatakan 'bermaklumat'. Maksud saya ialah mereka yang hanya pandai berkata-kata, lantang berpidato, hebat dalam menyusun maklumat dan pantas dalam memberi pendapat dan idea.

Tetapi nuqaba' yang diharapkan ialah mereka yang 'berilmu'. Maksudnya ialah mereka yang mempunyai akhlak dan budi pekerti seperti para alim ulamak. Para masyaikh mengamalkan ilmu yang mereka pelajari bahkan istiqamah dengan apa yang mereka ucapkan.

Hal inilah yang akan menjadikan mereka ini dirahmati dan disayangi oleh Allah SWT.


Kenapa nuqaba' atau mahasiswa/wi dianalogikan dgn molukel air?

Ya...saya analogikan begitu kerana seseorang yang inginkan ilmunya menjadi matang dan berhasil buat dirinya, maka dia perlu beramal dengan apa yang dipelajari. Ilmu yang dibumikan dalam kehidupan adalah ilmu yang bermanfaat.

Ada sesetengan individu yang hanya mengaji dan mengumpul ilmu semata-mata. Pada masa yang sama keadaan masyarakat di sekeliling dihiraukan. Tak ambil kisah. Lantaklah apa yang jadi pun. Asalkan aku boleh fikir tentang diri sendiri.

Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada golongan seperti ini diabaikan. Kebajikan jiran-jiran di sebelah tak dikisah. Isu-isu semasa yang berlaku tak dihiraukan.

Percayalah bahawa golongan seperti ini adalah sepertimana air yang tenang tadi. Kalaulah mereka berterusan dengan sikap sebegini, ilmu yang mereka pelajari itu akan menjadi busuk dan tidak berguna. Sikap menunggu ilmu yang dikumpul sehingga banyak, kemudian baru nak beramal adalah bukan sikap para alim ulamak.

Kalaulah nuqaba' bersikap sedemikian, tunggulah bahawa anak usrahnya tidak akan kemana. Sia-sia dan buang masa golongan ini mengadaka halaqah dan usrah.

Oleh itu, untuk menghasilkan natijah yang sempurna, sikap para alim ulamak perlu diterapkan di dalam jiwa.

Amanah dan jawatan yang diberi, perlu dilaksanakan kerana itu adalah tuntutan ilmu yang dipelajari. Isu-isu semasa yang berputar di dalam masyarakat perlu diketahui. Kebajikan jiran-jiran di sebelah perlu diambil kisah.


Selain itu pengajian dan kuliah yang diadakan juga perlu dihadiri supaya amalan yang kita lakukan seharian itu tidak salah dan terpesong. Semoga kita bersikap sepertimana sikap para alim ulamak.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Darul Sofwah Al-Mukhtarah
Alor Star, Kedah.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails