29 Jun 2010

Pertimbangan Maslahat Mengukur Kematangan Pimpinan

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Dewasa ini, PMRAM menyedari akan peri pentingnya menyediakan mahasiswa-mahasiswa Islam yang unggul lagi meneruskan kelangsungan Islam apabila pulang ke Malaysia kelak. Mereka yang pulang bukan hanya berbekalkan semangat semata-mata tetapi didasari dengan kefahaman yang mendalam.

Sebab itulah PMRAM begitu menekankan ilmu-ilmu fundamental (turath) serta kotemporari (mu'asrah) kepada mahasiswa Islam agar pendapat dan pandangan yang diberikan oleh mereka selari dengan tuntutan agama dan kehendak semasa.

PMRAM bimbang akan golongan yang mempunyai semangat berkobar-kobar tanpa didasari dengan kefahaman yang mendalam. Golongan seperti ini bakal menerima sifat putus asa (futur) apabila terjun ke medan perjuangan yang sebenar.

PMRAM juga bimbang dengan golongan yang hanya mendalami ilmu semata-mata, berhujah dan berdebat tanpa melaksanakan dengan perbuatan. Golongan seperti inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis-aktivis Islam. Ketahuilah bahawa ISLAM TIDAK AKAN TERTEGAK DENGAN KATA-KATA.

Sebagai seorang mahasiswa Islam, kita harus menyedari bahawa alasan yang banyak akan mengurangkan kualiti gerak kerja terutamanya kerja-kerja Islam. Demikian juga sikap berdolak dalih dengan kebenaran demi memburu kepentingan duniawi bahkan sanggup pula mengampu untuk mencari tempat selesa dalam perjuangan kononnya.

Artikel kali ini saya ingin datangkan pandangan ulamak berkenaan pertembungan antara maslahat dengan dalil al-Quran dan hadis. Terkadang pimpinan mengabaikan kaedah yang disusun oleh ulamak menyebabkan keputusan dan pendapat yang diberikan bercanggah dengan syarak. Kefahaman seperti ini begitu penting bagi membina fikrah pimpinan.

Adakah harus untuk kita beramal dengan maslahat padahal dalil al-quran atau hadis melarang perkara tersebut?. Adakah perintah daripada Allah SWT dan Nabi SAW tidak memberi maslahat yang sebenar? Manakah yang perlu didahulukan. Dalil atau maslahat?

PEMBAHAGIAN DALIL ANTARA QAT'IEYAT DAN ZONNIYAT

Secara umumnya dalil al-quran dan hadis terbahagi kepada 2 kategori :

1) Dalil Qat'ie iaitu dalil yang tidak mempunyai makna kedua padanya. Ulamak bersepakat berkenaan hukumnya dan tidak berlaku perselisihan pendapat. Kebiasaannya dalil ini melibatkan perkara usul dalam agama.

2) Dalil Zonni iaitu dalil yang mempunyai lafaz yang boleh diertikan dengan pelbagai makna. Para ulamak mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Mereka berselisih pandangan berkenaan hukum yang terdapat pada dalil tersebut sama ada ia berkaitan dengan "takhsis" , "taqyid" , "majaz" dan lain-lain.

Sebagaimana dalil al-quran dan hadis, maslahat juga terbahagi kepada 2 kategori :

1) Maslahat yang besifat qat'ie iaitu kebaikan yang pasti akan berlaku.

2) Maslahat yang bersifat zonni iaitu kebaikan yang tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Apabila bertembung antara dalil nas (al-quran dan hadis) dengan maslahat maka perlu dilihat kategori kedua-duanya sama ada besifat qat'ie atau zonni.


PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL DAN MASLAHAT

1) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat zonni, maka perlu diamalkan dalil zonni tersebut. Maslahat di sini tidak akan diiktibar oleh syarak.

2) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat qat'ie, maka perlu diutamakan maslahat tersebut. Ini kerana dalil yang bertembung adalah bersifat zonni dan lafaznya boleh diertikan dengan makna yang pelbagai. Hanya maslahat ini sahaja yang dibenarkan oleh syarak beramal dengannya kerana bertembung dengan dalil yang bersifat zonni.

3) Apabila bertembung antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat zonni, maka sudah tentu perlu diutamakan dalil tersebut. Ini kerana maslahat tadi belum tentu boleh mendatangkan kebaikan jika diamalkan.

4) Pertembungan antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat qat'ie tidak akan berlaku sama sekali melainkan dalam situasi darurat sahaja. Para ulamak menyebutkan kaedah yang digunapakai apabila berlakunya darurat iaitu

الضرورة تبيح المحظورات

"Situasi darurat akan mengharuskan perkara yang haram"


MASALAH FIQH YANG BERKAITAN PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL ZONNI DENGAN MASLAHAT YANG BERSIFAT QAT'IE

Penetapan Harga Barangan Oleh Kerajaan

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang umatnya untuk menetapkan harga barang jualan kerana perkara tersebut akan menimbulkan kezaliman terhadap peniaga. Dalil larangan ini bersifat zonni dan mempunyai maksud yang pelbagai.

Sekiranya kerajaan tidak melakukan penetapan harga, maka peniaga akan mengambil kesempatan memonopoli barangan supaya ia dijual ketika harga melambung. Hal ini menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap pengguna. Dalam situasi begini, kerajaan wajib menetapkan harga walaupun maslahat tersebut bertembung dengan hadis. Lafaz nas tersebut diertikan dengan makna yang sesuai dengan maslahat.

Fatwa Pengagihan Wang Zakat Kepada Yayasan

Ulamak bersepakat mewajibkan seseorang muslim mengeluarkan zakat. Tetapi mereka berselisih pendapat pada kelayakan penerima wang zakat. Berdasarkan dalil dalam Surah At-Taubah ayat 90, hanya terdapat 8 jenis individu sahaja yang layak menerima zakat. Dan dalil ini bersifat zonni.

Pengagihan wang zakat kepada yayasan merupakan suatu maslahat yang bersifat qat'ie. Maka ia dilaksanakan dalam masyarakat manakala dalil dalam surah At-Taubah itu diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.


Hukum Perempuan Bermusafir Tanpa Mahram

Ulamak berselisih pendapat pada hukum perempuan bermusafir tanpa mahram. Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang perkara tersebut. Dan dalil ini bersifat zonni.

Jika diteliti, suasana masyarakat kini menuntut untuk perempuan bermusafir walaupun tanpa mahram dan ia dilihat sebagai maslahat yang bersifat qat'ie. Maka maslahat ini diamalkan dalam masyarakat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulamak seperti aman di sepanjang perjalanan. Dalil yang bersifat zonni diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Rujukan

1) Dhawabit Al-Maslahat karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti

2) Al-Muwazanah baina Al-Masalih karangan Dr. Ahmad 'Aliyuwi


3) Safar Al-Mar'ah penyusun Mas'ud Sobri

4) Politik Islam karangan Dr. Yusof Al-Qaradhawi.

Baca Lagi...

14 Jun 2010

Gerakan Mahasiswa : BERANI Atas Dasar Kefahaman

Sumber : Minda Presiden PMRAM
www.pmram.org

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan bagi sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Keberanian merupakan akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai salah satu sifat orang mukmin. Berani yang dimaksudkan oleh Islam ialah berani menyatakan kebenaran serta berani untuk mencegah kebatilan.

Tetapi malangnya, sesetengah mahasiswa Islam tidak memahami konsep sebenar keberanian yang diajar oleh Islam. Mereka berani menyatakan kebenaran, tetapi tidak berani mencegah kebatilan yang berlaku di sekeliling. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan tarbiyah.

Mereka berani serta lantang untuk berhujah dan berdebat, tetapi tidak berani untuk melakukan dengan perbuatan. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan ilmuan. Inilah antara penyakit yang menimpa kelompok yang mengaku bahawa mereka adalah aktivis Islam.

Melihat kepada realiti syakhsiah mahasiswa Islam yang berlaku, PMRAM berusaha untuk mengembalikan identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, sifat berani yang ada pada mahasiswa Islam bukanlah berani yang kosong tetapi BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN.

Sebagai mahasiswa Islam, kita sepatutnya berani menyatakan kebenaran pada perkara yang hak serta berani mencegah kebatilan pada perkara yang salah. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah terdahulu sebagai kamus panduan untuk membentuk corak kehidupan di masa hadapan.

ZAMAN RASULULLAH SAW
Jika kita mengimbau kembali sejarah di zaman penurunan wahyu, Nabi Muhammad SAW mengumpul kekuatan para sahabat seramai 313 orang untuk menuju ke Medan Badar demi untuk mengambil kembali harta umat Islam yang dirampas oleh kaum musyrikin Mekah ketika berlakunya penghijrahan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Baginda SAW serta para sahabat demi semata-mata menjaga hak umat Islam yang dirampas. Walaupun kekuatan tentera musyrikin seramai 1000 orang, namun perkara tersebut sedikit pun tidak melunturkan keberanian mereka untuk mendapatkan kembali hak umat Islam kerana mereka adalah golongan yang FAHAM.

PEMERINTAHAN KHULAFA' YANG PERTAMA
Dengan sifat berani dan tegas yang ada pada Saidiana Abu Bakar As-Siddiq RA, beliau memerangi golongan yang enggan membayar zakat dengan melaksanakan hukuman bunuh. Walaupun hukuman tersebut ditegur oleh Saidina Umar Al-Khattab RA, tetapi Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA tetap bertegas kerana beliau FAHAM tentang kehendak dan maksud sabda nabi SAW

"Aku disuruh untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT." (Al-Bukhari dan Muslim)

Beliau melontarkan satu persoalan kepada Saidina Umar Al-Khattab RA sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. "Adakah kamu membezakan antara golongan yang murtad dengan mereka yang menafikan hukum pembayaran zakat?."

SELEPAS KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIYAH
Keberanian dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebabkan kefahaman masyarakat tentang gerakan Islam semakin subur. Walaupun diuji dan ditimpa dengan pelbagai mehnah dan rintangan, tetapi beliau tetap istiqamah dalam meneruskan risalah Rasulullah SAW kerana FAHAM yang ada dalam diri beliau.

Kalaulah bukan dengan kefahaman yang jelas, keberanian yang membara di peringkat awal akan terpadam sedikit demi sedikit. Dan saya yakin, kefahaman yang tidak diterapkan dalam keberanian akan membuahkan hasil natijah yang tidak sempurna.

PENGALAMAN DIRI
Sehingga kini banyak kisah dan pengalaman yang saya lalui mengajar untuk sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang tindakan. Berapa ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan yang bersemangat dan berani suatu ketika dahulu, kini menyendiri tidak mahu terlibat dengan gerakan Islam atau gerakan mahasiswa.


Berapa ramai di kalangan abang-abang yang memberi tarbiyah kepada adik-adik, kini bersalahan dengan apa yang mereka ucapkan suatu ketika dahulu. Sifat berani seperti inilah yang PMRAM istilahkan sebagai 'berani kosong'.

Selaku mahasiswa Islam, sifat berani yang kita tonjolkan adalah berdasarkan kefahaman. Bukanlah hanya semangat semata-mata. Semangat kerja yang membara tanpa kefahaman tidak akan membuahkan istiqamah dalam tindakan. Akhirnya berputus asa dengan sifat berani yang ditunjukkan.

Kefahaman yang mendalam tanpa semangat bekerja tidak akan merubah keadaan mahasiswa sekitarnya. Bahkan golongan inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis Islam. Sifat seperti ini akan menyebabkan timbulnya penyakit dalam gerakan mahasiswa.

Justeru sifat berani yang seringkali PMRAM laungkan adalah BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN kerana inilah sebenarnya identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasululllah SAW kepada umatnya. Inilah unsur yang akan melahirkan sifat istiqamah dalam jiwa aktivis Islam.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime

Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

10 Jun 2010

Ciri-ciri Maslahat : Hapuskan Konflik Pemikiran

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Mahasiswa dikenali sebagai seseorang yang akan memimpin negara di masa hadapan. Corak pembentukan negara di masa hadapan bergantung kepada cara berfikir mahasiswa kini.

Sekiranya cara berfikir (turuq tafkir) mahasiswa kini berlandaskan kehendak Islam dan syarak, maka pembawakan negara juga tidak akan tersasar daripada kehendak Islam. Tetapi sekiranya cara berfikir mahasiswa kini mengikut pemikiran musuh-musuh Islam atau cara berfikir mereka bercampur aduk maklumat, maka perkara inilah yang akan menimbulkan masalah pimpinan di masa hadapan.

Menyedari keadaan hakikat yang berlaku, PMRAM berusaha untuk membentuk pemikiran dan cara berfikir mahasiswa yang mengikut landasan syarak. Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010 membuktikan kesedaran dan kesungguhan PMRAM untuk melaksanakan perkara ini. Antara yang ditekankan ialah 'Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda'.

PMRAM tidak mahu konflik pemikiran ini berlaku pada mahasiswa Islam terutamanya mereka yang menuntut ilmu di Bumi Mesir ini. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, maka akan berlaku kepincangan pembawakan negara di masa hadapan dengan ilmu dan fatwa yang menyesatkan.

Islam mengajar umatnya untuk meraikan maslahat (kepentingan) dan menolak mudharat (keburukan). Inilah tujuan perlaksanaan syariat Islam yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan seluruh alam. Mereka yang mengikut petunjuk Islam bermaksud mengikut fitrah kejadian alam ini.

Tetapi mereka yang melanggari atau melampaui syariat Allah SWT sebenarnya telah melawan fitrah kejadian diri sendiri.

Di awal tulisan ini, saya ingin menyebut kaedah yang telah disusun oleh Islam untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak. Terkadang pimpinan mahasiswa atau masyarakat memberi alasan untuk meraikan maslahat padahal perkara tersebut tidak diiktibar syarak.

Perkara ini adalah hasil daripada cara berfikir yang salah dan terpesong daripada kehendak Islam dan syarak. Di sini, saya akan nyatakan secara ringkas bagi perkara yang dibincangkan.

Antara syarat-syarat untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak ialah:-

1) Maslahat tersebut mestilah tidak bertembung dengan dalil nas daripada Al-Quran dan hadis serta ijmak para ulamak.

(Sekiranya maslahat tersebut bertembung dengan dalil nas atau ijmak para ulamak, maka maslahat tersebut hanyalah bersifat keraguan (wahamiyah). Hal ini kerana maslahat yang bersifat hakiki tidak akan bertembung sama sekali dengan nas qat'ie dan ijmak para ulamak.)

2) Maslahat tersebut mestilah bersifat hakiki bukannya bersifat keraguan (wahamiyah).

(Maksud hakiki di sini ialah realistik iaitu maslahat tersebut memang betul-betul berlaku. Berlainan pula dengan maslahat yang bersifat keraguan (wahamiyah). Maksud keraguan di sini ialah retorik iaitu belum pasti lagi sama ada ianya akan berlaku atau tidak.)


3) Maslahat tersebut mestilah berbentuk umum atau kebanyakan manusia. Bukannya berbentuk individu atau hanya sekelompok kecil manusia sahaja.

(Hal ini kerana maslahat yang diraikan tersebut akan menolak mudharat yang akan berlaku pada kebanyakan manusia. Maslahat yang berbentuk individu atau sekelompok kecil manusia adalah tidak diiktibar syarak kerana perkara tersebut akan memberikan kesan mudharat kepada kebanyakan manusia.)

******

ANTARA CONTOH KONFLIK PEMIKIRAN

Fatwa membenarkan pelacuran
Hukum bersekedudukan atau berzina antara pasangan yang masih belum berkahwin adalah haram di dalam Islam. Allah SWT secara jelas menyatakan hukum tersebut di dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Para ulamak juga bersepakat mengatakan hukumnya adalah haram.

Justeru maslahat untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan hidup adalah tidak diiktibar syarak. Bahkan masih terdapat banyak lagi altenatif lain untuk mencari sumber kewangan.


Fatwa meluluskan lesen judi
Hukum berjudi adalah haram di sisi Islam. Bahkan haram tersebut adalah bersifat qat'ie. Semua ulamak bersepakat dengan hukum yang satu berdasarkan ayat Al-Quran serta hadis nabi Muhammad SAW. Bukan hanya Islam sahaja yang melarang, bahkan agama-agama lain pun turut melarang penganutnya berjudi.

Meluluskan lesen judi bermaksud menghalalkan pertaruhan. Justeru maslahat untuk mengetahui bilangan mereka yang bertaruh sempena Perlawanan Bola Sepak Dunia adalah tidak diiktibar syarak.

Jawatan adalah suatu amanah
Islam mengajar umatnya untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hal ini jelas dengan firman Allah SWT serta sabda Nabi Muhammad SAW. Bahkan hukumnya adalah wajib apatah lagi bagi seseorang yang memimpin sesebuah organisasi.

Justeru maslahat untuk meraikan keluarga (bersifat khusus) sehingga merosakkan amanah tanggungjawab terhadap ahli persatuan (bersifat umum) adalah tidak diiktibar syarat. Sepatutnya tugasan amanah diselesaikan sebelum memindahkan tugasan kepada orang yang akan memangku.

Wallahu'alam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.

Rujukan

1) Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Ustaz Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam.

2) Al-Asybah wa An-Nazair karangan Imam As-Sayuti

3) Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh karangan Ustaz Dr. Wahbah Zuhaili

Baca Lagi...

07 Jun 2010

Suara HEWI : Pendirian Turki Wajar Dicontohi

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

Dunia menyaksikan kezaliman dan keangkuhan satu-satunya rejim yang mengganas tanpa belas ehsan. Rejim Zionis Israel yang sejak dulu tidak pernah henti membuat kerosakan di muka bumi, kini membuktikan kezalimannya bukan hanya pada rakyat Palestin.

Kelakuan zalim yang takkan diterima oleh mana-mana kepercayaan dan anutan agama di dunia ini, apatah lagi agama Islam yang sama sekali menolak sebarang unsur perpecahan dan penindasan kepada sesama manusia dan makhluk Allah.

Misi Pelayaran Kemanusiaan yang menghimpunkan pelbagai latar belakang bangsa yang punya hati dan semangat persaudaraan dicabuli dengan sewenang-wenangnya.

Apakah hak bangsa ini untuk menafikan bantuan kemanusiaan yang memang sepatutnya sudah lama diberikan kepada rakyat Palestin yang cukup lama menderita dengan keganasan rejim zionis ini.

Bantuan kemanusiaan yang dirancang untuk diberikan kepada rakyat Palestin dinafikan. Baru-baru ini, Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel hingga menyebabkan 19 terbunuh dan puluhan lagi cedera. Ia adalah salah satu daripada konvoi beberapa buah kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 buah negara.

Misi tersebut kebanyakkannya dari negara Eropah, selebihnya dari Turki, Indonesia, Malaysia dan negara lain. Ini menunjukkan bahawa misi tersebut benar-benar untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terkepung.

Amerika Syarikat dilihat seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada tentera Israel untuk menyerang sebuah misi kemanusiaan ini. Meskipun pentadbiran Amerika Syarikat berpura-pura hendak menyiasat serangan tentera Israel
terhadap konvoi kapal Mavi Marmara, tetapi laporan yang diterima menyatakan bahawa Israel lebih dulu memberitahu pihak perisikan Amerika beberapa ketika sebelum serangan itu dilancarkan.

Ini bermakna, Amerika lebih dulu mengetahui bahawa tentera Israel dalam perjalanan untuk merampas dan menyerang konvoi kapal Flotilla walaupun masih di perairan antarabanga.

Inilah realiti yang sebenarnya, apabila segala tindakan Israel disokong secara senyap oleh Amerika Syarikat yang dikenali sebagai kuasa besar dunia.

Sementara itu, Hamas, negara Arab dan Islam menuntut PBB supaya mengutuk Israel dan mengadakan siasatan terbuka mengenai serangan biadap Israel itu. Namun amat menyedihkan, Washington sedang berlengah-lengah untuk mengarahkan wakilnya di PBB melakukan sedemikian.

Tindakan negara sekutu Israel ini memang telah diduga, mengingat sepanjang sejarahnya, Amerika lebih dari 10 kali menggunakan kuasa vetonya menentang keputusan mengutuk Israel.


KEWIBAWAAN TURKI TESERLAH

Turki sebuah Negara yang dilihat cukup memberikan keperihatinan dan kesediaan dalam membantu rakyat Palestin.

Peristiwa baru-baru ini menyerlahkan kewibawaan negara Turki yang dipimpin oleh Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menterinya, Recip Tayyip Erdogan kerana berjaya mengusahakan misi kemanusiaan yang penuh cabaran ini bersama NGO negara Eropah dan negara lain.

Walaupun bantuan kemanusiaan itu dirampas oleh Israel dan tidak sampai kepada rakyat Gaza, namun usaha mereka ini sangat mulia dan sangat dituntut oleh Islam.
Tindakan mereka berjaya membuka mata dunia, khususnya pemerintah negara Arab dan pemerintah negara umat Islam bahawa masih tetap ada insan yang sangat perihatin membela kemanusiaan di dunia ini.

Tindakan berani Perdana Menteri Turki, Erdogan yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dengan cara menghalau pulang duta Israel yang berada Turki tersebut merupakan suatu serangan balas ke atas Israel ekoran serangan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ke atas kapal LL4G dalam menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Ini membuktikan pendirian yang jelas telah ditunjukkan oleh pemimpin ini.

PERSEDIAAN TURKI UNTUK MENYERANG DAN DISERANG


Turki mempersiapkan diri untuk membalas serangan Israel bagi menyekat bantuan kapal-kapal Turki yang mengibarkan bendera Gaza di perairan antarabangsa. Ia sebagai satu isyarat agar akur kepada undang-undang antarabangsa dan bagi hak-hak kemanusiaan, berikutan keputusan kecaman dari organisasi-organisasi antarabangsa.

Jurucakap Jabatan Luar Negeri Turki, Burak Ozugergin mengatakan Israel jelas melanggar semua undang-undang antarabangsa, undang-undang perang, undang-undang kemanusiaan dan marin, sama seperti serangan rampasan geng lanun laut Somalia.

Ini adalah hakikat yang berlaku, sememangnya Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana undang-undang dunia, bahkan setakat ini, tidak ada undang-undang yang akan dipatuhi oleh zionis ini.

Ozugergin berkata: "Hukum Kemanusiaan melarang menyerang orang awam bahkan pada masa perang. Ini bukan kapal perang. Menurut undang-undang antarabangsa, ini adalah kapal awam, jadi mereka yang bertanggung jawab untuk operasi ketenteraan harus memberikan perhatian kepada orang awam "

Ozugergin lebih banyak mengatakan hal yang dilakukan Israel menyalahi undang-undang antarabangsa.

Beliau menambah: "Tidak ada yang harus mendakwa bahawa ini adalah kebuntuan Muslim-Yahudi. Tidak ada yang harus mendakwa kita sedang Anti-Semit. Orang-orang dari semua agama yang berada di atas kapal ketika serangan itu. Mereka berangkat untuk sesuatu yang mereka percaya, untuk menamatkan ketidakadilan dan menarik perhatian awam dunia. "


Pendirian yang ditunjukkan oleh Turki membuktikan keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Keberanian pimpinan dan warga Turki wajar dicontohi oleh semua negara di dunia ini, terutama negar-negara Islam dan Arab.

Demontrasi yang ditunjukkan oleh warga Turki yang melibatkan lelaki dan perempuan adalah satu tindakan yang menunjukkan kesungguhan warga Turki dari segenap peringkat.

Nasib dan penderitaan rakyat Palestin adalah tanggungjawab semua manusia yang cintakan kedamaian, terutama orang Islam.

Justeru, umat Islam sepatutnya terkehadapan bagi memberi sokongan kepada Palestin, sama ada dalam apa jua bentuk usaha seperti berdoa, solat hajat, bacaan yasin, qunut nazilah, memboikot barangan Israel dan sebagainya.

"KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH"

"KESATUAN UKHUWAH MENIFESTASI TARBIYAH"

Hurriyyah Abdul Mokti,

Naib Pengerusi HEWI II (Unit Dakwah dan Pembangunan Insan),

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010 (PMRAM)

Baca Lagi...

Kemasyhuran Bukan Matlamat Pimpinan

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Saya diminta untuk menghuraikan secara ringkas tentang kalam hikmah Imam Ibnu 'Athoillah As-Sakandari yang ke 11 di dalam kitab beliau Al-Hikam. Kalam tersebut menjadi pegangan prinsip dalam hidup saya. Saya sempat mengadiri kelas beberapa masyaikh yang menghuraikan kalam hikmah tersebut suatu masa dahulu.

Setiap hari Jumaat, Sheikh Yusri Rushdi As-Sayyid Jabr akan membaca kitab tersebut di Masjid Al-Asyraf di Jabal Muqattam. Kitab tersebut akan dibaca selepas pembacaan kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik Rahimahullah dan kitab Khasais Al-Kubra karangan Imam As-Sayuti Rahimahullah.

Kawan-kawan yang berkelapangan, boleh datang ke kelas selepas solat Jumaat di masjid tersebut.

*******

Dalam kitab Al-Hikam, Imam Ibnu 'Athoillah ada menyebutkan kalam hikmah ke 11 yang berbunyi

ادفن وجودك فى أرض الخمول فما نبت مما لم يدفن لا يتم نتائجه

"Tanamlah dirimu ke dalam tanah yang gersang, sesungguhnya apa-apa yang tumbuh daripada sesuatu yang tidak ditanam, maka tidak sempurnalah natijahnya"

Sepertimana yang telah dihuraikan oleh Sheikh Abdul Majid As-Syurnubi, kalam ini mengajar penuntut ilmu untuk berakhlak dengan sifat tawadduk dan ikhlas. Hal ini kerana kedua-dua sifat ini akan menjaga seseorang daripada mencari kemasyhuran dan populariti.

Imam Ibnu 'Athoillah memberi satu analogi yang cukup mudah bagi seseorang menggambarkannya. Beliau menyamakan penuntut ilmu dengan sebiji benih.

Realiti pengalaman bagi seorang petani, untuk mendapatkan hasil tanaman yang subur dan baik, maka petani tersebut perlu memilih biji benih yang berkualiti. Kemudian benih tersebut disemai di tapak yang dijaga rapi.

Ketika ia disemai, tiada sesiapa pun yang mengetahui gred kualiti benih tersebut. Bahkan ia lansung tidak kelihatan di atas tanah. Sehinggalah sampai masa dan waktu yang sesuai, maka benih tersebut bertukar menjadi hasil tanaman.

Struktur akar yang kuat di dalam tanah menyebabkan ia tidak mudah tercabut ditiup angin. Begitu juga dengan sumber mineral yang yang mudah diperolehi melalui ceracak akar yang menyelirat.


Sepertimana benih yang digambarkan, begitulah perjalanan cara hidup penuntut ilmu yang ingin digambarkan oleh Imam Ibnu 'Athoillah. Bagi saya, penuntut ilmu adalah pemimpin bagi masyarakat. Sebab itulah ia sesuai diamati oleh pimpinan.

Jika diteliti dan dikaji sejarah hidup kebanyakan tokoh pimpinan yang hebat, mereka adalah golongan yang tidak dikenali di peringkat permulaan. Kemasyhuran yang tidak dicari menyebabkan keikhlasan dan sikap tawadduk itu bertapak di jiwa mereka.

Ilmu-ilmu asas serta ilmu-ilmu kepimpinan dipelajari daripada guru yang bersifat murabbi. Ilmu tersebut diamalkan serta disampaikan kepada masyarakat sekeliling. sehinggalah suatu hari mereka menjadi pimpinan yang hebat mampu mengubah keadaan suasana masyarakat ke arah Islam.

Tetapi cuba bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya pimpinan yang naik tidak mempunyai ilmu asas yang cukup. Maka golongan ini akan memandu masyarakat ke arah yang menyesatkan. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu 'Athoillah sebagai natijah yang tidak sempurna.

Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi Rahimahullah pernah menyebut di dalam satu kata-katanya

من أحب الظهور فهو عبد الظهور , ومن أحب الخفاء , فهو عبد الخفاء , ومن كان عبد الله , فهو عليه أظهره أو أخفاء

Barangsiapa yang cintakan kemasyhuran, maka dia adalah hamba masyhur. Barangsiapa yang cintakan bersendirian (tidak masyhur), maka dia adalah hamba bersendirian. Dan barangsiapa yang menjadi hamba Allah SWT, maka Dialah yang akan memberi kemasyhuran ataupun tidak masyhur.

*******

REALITI PIMPINAN MAHASISWA

Terkadang seseorang mencari kemasyhuran di peringkat permulaan demi semata-mata untuk menjadi pimpinan di masa hadapan. Fikrah mereka menyatakan bahawa, "Pimpinan yang akan memandu masyarakat adalah mereka yang paling dikenali".

Justeru ilmu-ilmu asas serta ilmu kepimpinan diabaikan. Keikhlasan yang tidak disemai akan menbuahkan sikap ego yang melampau. Ilmu asas yang saya maksudkan ialah ilmu-ilmu fardhu ain yang wajib diketahui oleh setiap individu. Tidak perlu untuk saya hurai panjang tentang perkara tersebut kerana ia mudah bagi pembaca untuk memahami.

Ilmu kepimpinan yang saya maksudkan ialah kaedah untuk membuat sesuatu keputusan apabila berlaku masalah. Mudah untuk saya katakan di sini, kepimpinan wajib mengetahui Fiqh Al-Khamsah kerana ilmu ini akan membina pemikiran (turuq tafkir) bagi kaedah pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan.

Fiqh Al-Khamsah ialah :
1) Fiqh An-Nusus (Dalil)
2) Fiqh Al-Muwazanat (Pertimbangan)
3) Fiqh Al-Aulawiyat (Keutamaan)
4) Fiqh Al-Waqi' (Suasana)
5) Fiqh At-Taghyir (Perubahan)

Pengabaian pimpinan untuk memahami Fiqh Al-Khamsah ini akan menyebabkan kepincangan yang berlaku serta keputusan yang tidak mengikut kehendak agama (maqasid syarak).

Terkadang maslahat yang tidak diiktibar syarak digunapakai bagi membuat suatu keputusan. Terkadang perkara yang tidak sepatutnya diubah (thawabit), tetapi diubah dengan alasan meraikan maslahat. Terkadang perkara yang tidak perlu dibincang, tetapi dibahas panjang akibat tidak memahami Fiqh Al-Khamsah ini.


Justeru, pimpinan PMRAM kini berusaha untuk menghidupkan kembali permata yang sudah kian lama ditinggalkan. Sebab itulah antara pembawakan bagi sesi ini ialah 'Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda'. Fiqh Al-Khamsah yang saya sebutkan di atas merupakan ilmu kotemporari (mu'asarah) iaitu kaedah penyusunan (turuq tafkir) bagi ilmu-ilmu asas yang dipelajari daripada kitab-kitab fundamental (turath).

Semoga Allah SWT merahmati salah satu usaha murni PMRAM ini.

Wallahu 'alam.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Rumah BP PMRAM,
Haiyu Sabiek, Kaherah, Mesir.

Rujukan

1. Syarah Al-Hikam karangan Sheikh Zarrouq.

2. Syarah al-Hikam karangan Sheikh Abdullah As-Syarqawi.

3. Syarah Al-Hikam karangan Sheikh Abdul Majid Al-Syurnubi.

Baca Lagi...

06 Jun 2010

Suara HEWI : Bukti Keprihatinan Siswi

Sumber : Berita PMRAM
www.pmrram.org


Minggu ini dunia dikejutkan dengan serangan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel terhadap kapal induk Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza.

Meskipun begitu, usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang dizalimi ini tidak sedikitpun mengugat para sukarelawan dan aktivis untuk berdepan dengan rejim Israel laknatullah.

Petang semalam waktu Mesir-Palestin, kapal Rachel Corrie juga telah ditahan oleh komando tentera laut penjajah. Berhubung penundaan Rachel Corrie ke pelabuhan Ushdud ini, Ahmad Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pemecah Sekatan di Gaza berkata, Kerajaan Israel melakukan lagi jenayahnya, bukan terhadap Palestin sahaja tetapi ke atas masyarakat antarabangsa”.

Walaupun kezaliman ini telah menaikkan kemarahan umat Islam diseluruh pelusuk dunia, namun masih ada lagi sesetengah negara yang membutakan mata dan memekakkan telinga, malah ada yang enggan memberikan kerjasama dalam melancarkan misi kemanusiaan di Gaza. Terutamanya negara Mesir sendiri.

Sepatutnya mereka berasa malu dengan negara-negara yang lain kerana ia adalah jiran yang paling hampir dan seharusnya paling banyak menghulurkan bantuan ke Gaza.

Ini berikutan bantahan Pihak Berkuasa Mesir terhadap permintaan dari Kesatuan Perubatan Arab Kaherah yang mahu memasukkan bekalan-bekalan ke Gaza melalui sempadan Rafah Mesir.


Ekoran daripada peristiwa ini, kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam sepatutnya tidak senang dengan keadaan yang berlaku kepada saudara-saudara kita di Gaza. Kita harus sedar selagi Islam bertapak di muka bumi ini, selagi itu kaum kufar terus menerus menjajah dan merancang menghancurkan umat Islam.

Sepertimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).

Satu lagi perkara yang perlu kita jadikan sebagai muhasabah bersama, perlaksanaan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bukan hanya ketika umat Islam dilanda musibah sahaja, jika diperhatikan umat manusia pada hari ini amat leka dengan keseronokan dunia.

Apabila Allah datangkan bala atau ujian barulah hendak mendekatkan diri dan memohon doa, sedangkan perkara ini sepatutnya sentiasa dilazimi kerana inilah kekuatan kita dalam meningkatkan keimanan dan membantu saudara kita di sana.

Dalam pada itu, Hal Ehwal Wanita Islam HEWI PMRAM menyeru kepada semua ahli PMRAM diseluruh peringkat untuk kita sama-sama mempertingkatkan dan memperkasakan pemboikotan barangan Israel dan seangkatannya.


Walaupun kempen boikot barangan Yahudi telah lama dijalankan, namun kesedaran kita masih ditahap yang rendah kerana ramai lagi membeli dan menggunakan barangan buatan zionis ini.

KESATUAN UKHUWAH MENIFESTASI TARBIYAH

Noor Akmaizan Yusof
Ketua Unit Penerangan Dan Penerbitan
HEWI PMRAM 2010

Baca Lagi...

04 Jun 2010

Konvoi Gaza : Erdogan Layak Dipuji - Timbalan Presiden

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

KAHERAH, 4 Jun
- Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyifatkan tindakan Erdogan dalam membuat pilihan yang tepat dan berani layak diberikan pujian.

Bahkan menurut beliau, tindakan Erdogan tersebut patut diikuti oleh semua pemimpin negara Islam terutamanya dalam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Tindakan Erdogan yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dengan cara menghalau pulang duta Israel yang berada Turki tersebut merupakan suatu serangan balas ke atas Israel ekoran serangan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ke atas kapal LL4G dalam menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Berhubung dengan isu serangan tersebut, kini seluruh dunia mengecam ke atas Israel kerana telah mencabuli hak kemanusiaan yang dilakukan oleh Turki kepada rakyat Palestin.

Bahkan angka kematian sukarelawan yang mececah 20 orang dan ratusan yang tercedera menggambarkan kekejaman yang telah dilakukan oleh Israel beberapa hari lalu.

" Kita di peringtkat PMRAM yang merupakan persatuan induk mahasiswa Mesir turut mengecam sekerasnya-kerasnya tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim zionis Israel tersebut. PMRAM juga telah meminta seluruh ahli melalui BKAN dan DPM masing-masing melakukan solat hajat dan qunut nazilah khusus bagi keselamatan pihak sukarelawan dan rakyat Palestin. Bahkan kita juga meminta BKAN dan DPM melazimi qunut nazilah pada setiap kali solat fardhu. " ujar Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

Beliau mengulas bahawa keberanian yang telah ditunjukkan oleh Erdogan patut dicontohi oleh semua pemimpin negara Islam.

Malahan dalam situasi sekarang ini, pemimpin negara Islam patut mengambil tindakan yang keras ke atas Israel memandang isu serangan yang dilakukan merupakan pencabulan ke atas hak kemanusiaan yang melibatkan umat Islam.


" Kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis Israel telah pun sampai ke kemuncaknya. Kita semua maklumi bahawa setiap hari rakyat Palestin dihujani dengan peluru dan disekat segala kemudahan semenjak puluhan tahun dahulu. Dan kini bantuan kemanusiaan yang ingin disalurkan oleh seluruh dunia melalui konvoi yang dianjurkan oleh Turki turut diserang dan telah mengorbankan puluhan nyawa. Saya rasa pemimpin negara Islam kena bertegas dan kembali bersatu untuk bangkit mengecam tindakan yang kurang ajar ini." tambah beliau ketika ditemui hari semalam.

Selain itu, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman mengingatkan kepada semua ahli agar tidak putus berdoa dan melakukan qunut nazilah dalam mengecam tindakan kejam rejim zionis Israel.

Beliau juga memesan bahawa jangan disebabkan berada di dalam tempoh peperiksaan, isu kemanusiaan saudara seagama diabaikan. Sepatutnya sebagai penuntut ilmu agama perlu menitik beratkan soal kemanusiaan terutama yang melibatkan umat Islam sejagat.

Baca Lagi...

03 Jun 2010

Realiti Maslahat : Pimpinan Mesti Bijak

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan seklian alam. Selawat dan salam buat jujungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala Nabi dan Rasul.

Dalam kesibukan pimpinan PMRAM menghadapi peperiksaan, mereka tidak pernah culas dalam menjalankan amanah yang dipundakkan ke atas bahu. Bagi perancangan program PMRAM pada bulan Julai akan datang, BP Zuhaili adalah orang pertama yang menyusun strategi perangkaan.

Penyebaran maklumat aktiviti PMRAM, BP Faizuddin adalah orang yang tidak lekang daripada laptop untuk mengemaskini maklumat dan berita.

Risalah siri-siri pembinaan fikrah mahasiswa, BP Adlan adalah orang yang terhadapan dalam melaksanakan tugas tersebut.

Di kesempatan ini, mungkin saya boleh berkongsi dengan pembaca tentang manhaj yang digunakan oleh Universiti Al-Azhar untuk membentuk fikrah ulamak di peringkat Master. Saya bersyukur pada Allah SWT kerana dianugerahkan kesempatan untuk mempelajari manhaj para ulamak.

Pada masa yang sama, saya juga ditaklifkan untuk memegang amanah selaku presiden PMRAM pada sesi ini. Jadi ilmu yang saya pelajari daripada doktor kuliah dan masyaikh, dapat direalitikan dalam masyarakat sekeliling.

*******

KAEDAH ATAU TEORI

Terdapat satu kaedah fiqh yang saya pelajari daripada kitab Al-Asybah wa An-Nazoir karangan Imam As- Sayuti. Begitu juga dengan kitab Al-Qawaid Al-Fiqhiyah yang dikarang oleh Ustaz Doktor Abdul Aziz Muhammad Azzam. Kedua-dua kitab ini adalah manhaj yang digunakan oleh Al-Azhar di peringkat master.

Doktor yang mengajar kami ialah Ustaz Doktor 'Athiah Abdul Maujud. Saya sempat mempelajari kitab Al-Iqnak syarah matan Abi Syujak karangan Imam Khatib As-Syirbini daripada beliau suatu ketika dahulu.

تصـرف الإمـام على الرعيـة منـوط بالمصلحـة

Keputusan yang dibuat oleh pimpinan ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahat

'Pimpinan' yang dimaksudkan di atas adalah termasuk perdana menteri, presiden, wali, imam, hakim, qadhi dan pegawai yang berkuasa untuk melakukan urusan umat Islam sama ada keseluruhan atau sebahagian.

Perkataan 'rakyat' yang dimaksudkan di atas ialah ahli, peserta atau sekumpulan umat islam yang menjadi tanggungjawab pimpinan untuk menguruskan sebahagian hal ehwal mereka.


Justeru, keputusan yang dilakukan oleh pimpinan adalah melihat kepada kebaikan atau maslahat yang menyeluruh kepada rakyat tanggungannya. Keputusan tersebut mestilah adil dan saksama serta menafikan sifat kezaliman yang akan berlaku.

Keputusan tersebut juga meraikan hak sesama muslim, memelihara akhlak, menolak kejahilan dan menyelamatkan masyarakat daripada kerosakan dan kebinasaan.

Maslahat tersebut bukanlah tertumpu pada kelompok kecil yang tertentu ataupun hanya untuk kepentingan peribadi. Jikalau inilah yang berlaku maka Islam mengeji tindakan pimpinan tersebut. Hal ini kerana keputusan yang dibuat tidak berlandaskan syarak dan maqasid agama.

REALITI DAN PERLAKSANAAN

Imam yang fasik
Seseorang pimpinan tidak boleh melantik imam solat jemaah di kalangan orang yang fasik walaupun solat bagi makmum yang bersembangyang di belakangnya adalah sah. Hal ini kerana solat di belakang imam yang fasik adalah makruh. Justeru pimpinan tidak boleh mengajak rakyat untuk melakukan perkara yang makruh.

Pemberian zakat
Seseorang yang menguruskan zakat mestilah berlaku adil ketika pembahagian harta tersebut kepada asnaf sekiranya mereka mempunyai keperluan dan situasi yang sama. Pemberian yang tidak saksama pada keperluan yang sama adalah dilarang dalam islam. Justeru, penarikan zakat daripada sesetengah mahasiswa yang mempunyai keperluan yang sama dengan mahasiswa yang lain adalah dilarang dalam Islam.

Pemberian harta Baitul Mal
Seseorang pimpinan tidak boleh memberikan harta Baitul Mal kepada mereka yang tidak memerlukan sedangkan terdapat golongan yang lebih memerlukan harta tersebut. Keperluan di sini diiktibar sebagai maslahat yang berlaku.

Penetapan etika gerak kerja
Seseorang yang berkuasa mestilah menetapkan etika pengurusan gerak kerja dengan meraikan maslahat kebanyakan individu dan tidak bersifat 'double standard'. Sekiranya etika tersebut mendatangkan kesusahan dan kepayahan maka ia dilarang oleh syarak.

Pernikahan tanpa wali

Wali sultan tidak boleh menikahkan seseorang wanita yang tidak mempunyai wali dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya. Tindakan ini dilarang walaupun wanita tersebut redha. Hal ini kerana "kufu' " adalah perkara yang diambil kira dalam pemilihan calon.

Harta warisan
Sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa waris, maka hartanya akan diberikan kepada Baitul Mal. Masalah yang lain pula, seseorang yang dibunuh dan tidak mempunyai waris, maka sultan tidak berhak memberikan kemaafan (terlepas tanpa bayaran) kepada si pembunuh. Pembunuh tersebut wajib diqisas atau membayar diat. Dan harta diat tersebut diberikan kepada Baitul Mal.

Sekian
Wallahu'alam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,

Kaherah, Mesir.

Baca Lagi...

Konvoi Gaza : Isu Palestin Cakna Bersama

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

KAHERAH, 2 Jun – Kejadian serangan Zionis Israel terhadap kapal induk Mavi Marmara baru-baru ini telah mendapat tumpuan masyarakat dunia. Hampir keseluruhan negara mengutuk kejadian yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun ini.

Beberapa buah negara telah melakukan tindakan demontrasi besar-besaran terhadap isu yang melanda di Gaza termasuk negara Mesir. Kelmarin menyaksikan beberapa buah negeri di Mesir telah mengadakan rapat umum dan demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh aktivis Islam Mesir seperti di Zagazig, Iskandariah, Fayyum, Tanta, Mansurah, Kaherah dan beberapa buah lagi negeri di Mesir.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) melarang sama sekali seluruh ahli-ahlinya dan mahasiswa Malaysia di bumi Mesir ini agar tidak terlibat dengan mana-mana demonstrasi yang diadakan oleh masyarakat tempatan.

“Kita bimbang mudharat yang lebih besar akan berlaku apabila ada di kalangan mahasiswa Malaysia khususnya ahli-ahli PMRAM terlibat dengan demonstrasi jalanan. Saya harap segala tindakan yang dilakukan, biarlah mengikut kepada arahan pimpinan. Sebab itulah PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam untuk solat hajat serta melazimi bacaan Qunut Nazilah.” ujar Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Semalam kebanyakkan PMRAM Cawangan di Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) telah mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah di tempat masing-masing walaupun suasana ketika ini mahasiswa sedang sibuk menghadapi peperiksaan.

Selain itu, kesemua DPM dan BKAN bersama-sama dengan PMRAM menyuarakan dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh Israel Zionis itu.
Dalam pada itu, Lajnah Kebajikan Dan Kemanusiaan PMRAM mengharapkan agar seluruh mahasiswa lebih cakna dengan isu yang melanda umat Islam di Palestin.

“Sebagai mahasiswa Islam, tugas kita bukan sahaja belajar dan menuntut ilmu lebih-lebih lagi sekarang ini kita sedang menempuh peperiksaan. Malah, sebagai seorang muslim, kita kena mengambil tahu hal yang berlaku di sekeliling kita lebih-lebih lagi hal yang melibatkan umat Islam tidak kira dimana jua berada lebih-lebih lagi bila mana melibatkan umat Islam di Palestin” ujar Naib Presiden III, Saudara Mohd Farkhan Md Zain.

PMRAM yang juga merupakan gerakan mahasiswa di bumi Mesir mengajak ahli-ahlinya supaya lebih cakna dengan perkembangan umat Islam di Palestin. Oleh sebab itu, PMRAM menubuhkan satu unit dibawah Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM iaitu Mini Pavilion iaitu satu unit yang ditugaskan untuk memberikan penerangan tentang isu-isu umat Islam di Palestin.

Setakat ini, sebarang berita semasa mengenai Palestin dan isu sekitarnya dimasukkan di dalam laman rasmi Mini Pavilion http://map2street.blogspot.com/

Baca Lagi...

02 Jun 2010

Konvoi Gaza : PMRAM Cawangan Shoubra Sahut Seruan PMRAM Pusat

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

SHOUBRA, 2 Jun - Memandangkan kekejaman rejim Israel terhadap Konvoi Misi Bantuan Ke Gaza semakin menjadi-jadi, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam untuk melakukan solat hajat serta membaca Qunut Nazilah memohon kepada Allah SWT supaya memberi keamanan kepada seluruh aktivis Pro-Palestin yang terlibat dalam melakukan misi tersebut.

Kelmarin menyaksikan ramai umat Islam mendirikan solat hajat khas tentang isu ini. DPM (MAQAZ) Shoubra juga tidak ketinggalan dalam menyahut seruan PMRAM untuk melakukan solat hajat serta membaca Qunut Nazilah. Solat Hajat ini dilakukan selepas solat maghrib bertempat di markaz DPM (MAQAZ) Shoubra yang diimamkan oleh Saudara Jamal Qurtubi bin Sulaiman.

Selepas solat, hadirin dipaparkan dengan tayangan Palestin yang menginsafkan dan membangkitkan semangat juang dan cintakan Palestin.

Huraian dari tayangan tersebut telah diulas oleh Mantan Badan Pengurus PMRAM Saudara Khairul Anuar Mohd Arif semasa tayangan tersebut sedang dijalankan. Majlis berakhir beberapa minit sebelum azan isyak berkumandang. Semua bersurai selepas solat isyak secara berjemaah bersama.

Baca Lagi...

Konvoi Gaza : KPT Menyahut Seruan PMRAM

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

KAHERAH, 31 Mei – Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) sebagai salah satu cawangan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menyahut seruan PMRAM Pusat dengan mengadakan Solat Hajat Perdana dan Qunut Nazilah di Dewan Darul Iman, Rumah Terengganu, Hayyu Asyier.

Solat hajat ini dihadiri sendiri oleh Presiden PMRAM pusat iaitu Saudara Shahrizan bin Mohd Hazimie dan juga beberapa orang Badan Pengurus PMRAM.

Solat hajat ini dianjurkan bagi memohon pertolongan Allah khas buat para peserta konvoi aktivis pro-Palestin yang diserang oleh tentera Israel baru-baru ini. Majlis bermula dengan solat Isyak secara berjemaah seterusnya Solat Hajat dan Qunut Nazilah yang diimami oleh Presiden PMRAM, Saudara Sharizan bin Mohd Hazimie.

Seterusnya para jemaah dihidangkan dengan tazkirah khas yang disampaikan oleh Saudara Abdul Aziz bin Ali, selaku Badan Pengurus PMRAM angkat negeri Terengganu. Antara kalam pentazkirah adalah menyeru kepada semua mahasiswa untuk mengambil cakna tentang perkembangan isu semasa yang berlaku dalam dunia sekarang selaku mahasiswa Islam.

Yang di-Pertua KPT, Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar, berkata ketika ditemuramah selepas majlis tersebut menyeru semua ahli KPT bersiap sedia sepenuh masa untuk menyahut seruan pimpinan PMRAM Pusat, beliau juga mengutuk kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Israel keatas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mengulas isu kelulusan lesen judi di Malaysia, beliau menegaskan ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang umatnya terlibat dengan perkara tersebut. Pihak KPT jelasnya, menggesa pihak Kerajaan mengkaji semula terhadap kelulusan lesen judi baru-baru ini.

Baca Lagi...

Konvoi Gaza : Solat Hajat & Qunut Nazilah Benteng Kita - Presiden PMRAM

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

KAHERAH, 1 Jun – Dunia hari ini sedang menyaksikan kekejaman tentera Zionis Israel. Kekejaman demi kekejaman telah dilakukan oleh pihak Yahudi itu sangat membimbangkan seluruh masyarakat dunia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Namun, pada hari ini kebanyakkan pemimpin-pemimpin besar dunia seolah-olah membisu dan meredhai setiap perbuatan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel itu. Pencabulan hak asasi dan kemanusiaan itu wajar dikutuk oleh seluruh negara-negara Islam bahkan seluruh negara-negara yang cintakan kepada keamanan.

Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime ketika ditemui semalam, menyeru semua pihak agar memainkan peranan masing-masing serta menggesa kuasa besar dunia membuat sebarang tindakan kepada Israel.

“PMRAM juga mengecam Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia yang hanya membiarkan tindakan zalim yang dilakukan”

“Kita sentiasa bersama-sama dengan umat Islam diseluruh dunia yang inginkan keamanan serta menuntut keadilan, kita tidak akan berdiam dengan isu yang melanda umat Islam pada hari ini, kita optimis dengan kebangkitan Islam suatu hari nanti dan tanah suci Palestin pasti akan dibebaskan. Ini adalah janji Allah SWT kepada kita” ujar Presiden PMRAM.

Presiden PMRAM itu juga menyeru seluruh ahli PMRAM dan mahasiswa Islam yang berada dibumi Mesir agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah sebagai benteng utama dalam menghadapi kezaliman.

Semalam menyaksikan beberapa buah BKAN menganjurkan Solat Hajat dan Qunut Nazilah iaitu Selangor, Johor dan juga Terengganu.


Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails