28 Oktober 2010

ETP : Ekonomi Tidak Hanya Wang Semata-Mata, Fokus Usaha Membasmi Kemiskinan

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 27 Oktober - Ketua Badan Ekonomi PMRAM, Saudara Al-Hidayat Khalid mengulas berkaitan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang bakal membuka ruang hiburan sosial dan kelab malam yang lebih banyak bagi meningkatkan tarikan terhadap pelancong luar negara adalah suatu perancangan yang tidak tepat.

Dalam memacu masa depan negara ke arah yang lebih maju dan moden, nilai etika akhlak tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi atas alasan kemajuan semata-mata. Bahkan sektor ekonomi amat menekankan mengenai etika sosial dan akhlak dalam membangunkan modal insan serta kemajuan negara.

"Sebab itu kita lihat bagaimana sejarah kaum nabi-nabi terdahulu yang maju dari sudut ekonomi dan pembangunan namun dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan keruntuhan akhlak mereka yang sangat parah," ujar beliau ketika ditemui dalam Program Kutub Sittah Siri II di Nadi Riadhi, Hayyu Sabik.

Mengenai dengan rancangan menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan dengan memperbanyakkan kelab-kelab malam, beliau menyatakan bahawa ia merupakan perancangan yang tidak sepatutnya dilakukan demi meraih keuntungan wang semata-mata.

Bahkan sekiranya perancangan tersebut dilaksanakan ia akan memberikan impak negatif yang sangat besar ke atas masyarakat, dengan keruntuhan akhlak yang semakin parah.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyifatkan bahawa ETP yang sepatutnya ingin dijalankan mestilah melihat kepada bentuk perancangan yang sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan secara serius, selain memperbanyakkan projek-projek pelaburan.

"Kita risau, apabila kita hanya menumpukan satu skop sahaja iaitu hanya menarik pelaburan luar tanpa memperkasakan perancangan dalam membasmi kemiskinan di negara kita maka ia semestinya suatu perkara yang tidak seimbang, bahkan negara tetap tidak menjadi negara yang maju dan moden. Bimbang sekiranya ia tetap berlaku, hanya mereka golongan yang kaya akan bertambah kaya, namun secara tidak langsung akan menindas golongan yang sedia ada miskin dan kurang kemampuan," Jelas beliau lagi apabila merujuk kepada 75% golongan termiskin adalah daripada kalangan keluarga melayu dan peribumi, yang merupakan golongan majoriti di Malaysia.

Sambung beliau lagi bahawa selagimana golongan majoriti yang menjadi golongan termiskin di Malaysia, maka bagaimana perancangan yang dijalankan mampu memaju ekonomi negara dalam menjadikan Malaysia negara yang maju menjelang tahun 2020.

Tambahan beliau lagi, perancangan ekonomi yang dilakukan itu terlalu mengharapkan pelaburan dari sektor swasta semata apabila peratusan yang besar diletakkan iaitu sebanyak 92% daripada jumlah pelaburan yang diperlukan oleh Malaysia iaitu sebanyak 2.2 trilion.

Maka, ia merupakan perancangan kewangan yang rapuh memandangkan selama 12 tahun ini Malaysia begitu bergantung kepada "pump priming" dan pertumbuhan swasta adalah begitu kecil.

Justeru, perancangan ekonomi yang dilakukan dalam membawa Malaysia ke kelompok negara yang maju mestilah memastikan ia tidak hanya fokus wang semata-mata, bahkan etika akhlah dan sosial mesti diambil kira.

Selain itu, pastikan gerak kerja yang dijalankan fokus ke arah membasmi kemiskinan, bagi menjamin bukan hanya sebelah pihak sahaja yang akan merasai kemewahan.

Baca Lagi...

ETP : Laksanakan Sistem Kewangan Islam Secara Menyeluruh Sudah Memadai - PMRAM

Sumber : Web PMRAM

Berikutan pengumuman yang disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Najib Abdul Razak berkenaan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam membawa Malaysia lebih maju ke hadapan menampakkan pihak kerajaan optimis dalam menjadikan Malaysia negara maju pada masa hadapan.

ETP yang dirancang tersebut bakal menghasilkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan sebanyak RM 426 billion serta membuka ruang pekerja yang lebih meluas yang dianggarkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menjelang 2020.

Projek demi projek yang bakal dibangunkan berteraskan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti berpotensi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia antaranya ialah minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, pelancongan pendidikan, penjagaan kesihatan dan bidang-bidang yang lain lagi.

Namun begitu melalui ETP dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pusat hiburan malam dalam memacu pelancongan adalah perkara yang sama sekali tidak dipersetujui. Ini berikutan dasar hub hiburan malam tersebut pasti akan mengundang parah dari sudut gejala sosial yang kini kian parah.

Walaupun hub pusat hiburan malam tersebut dimaklumkan bahawa ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan dalam menarik minat pelancong dengan lebih tinggi, namun ia jelas tidak bertepatan dengan konsep yang dikehendaki oleh Islam dalam memacu kemajuan sesebuah negara.
Berdasarkan kepada kriteria yang diletakkan bagi menjayakan Malaysia sebuah hub hiburan malam ia sangat membahayakan disebabkan terlalu longgar dan langsung tiada etika yang menurut syarak diletakkan.

Sehubungan itu, dirancang beberapa lokasi yang dalam penubuhan zon bagi menambahkan pusat-pusat hiburan malam dan dijangka akan ada sebanyak penambahan 10 kelab malam menjelang 2014 di zon hiburan yang dirancang iaitu di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menampung pengunjung memandangkan kelab-kelab malam yang sedia ada tidak mencukupi.

Merujuk kepada perkara tersebut, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyifatkan tindakan dalam menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan malam dan memperbanyakkan kelab-kelab malam bagi memperluaskan hiburan sosial adalah suatu pentadbiran yang tidak cekap dan salah.

Ia berikutan apa yang dirancang tersebut bercanggah dengan syariat bahkan langsung tidak menepati Sistem Kewangan Islam dalam usaha memperbaik potensi pertumbuhan ekonomi negara. Lebih-lebih lagi perkara tersebut akan lebih memburukkan lagi masalah gejala sosial yang kian parah. Maka, pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang melampau ini bagaikan menyimbah minyak ke api.

PMRAM menegaskan bahawa, walau apa jua bentuk projek kewangan yang dijalankan samada seperti sebelum ini Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta Pelan Hala Tuju Program Tranformasi Ekonomi(ETP) mestilah berasaskan tapak Kewangan Islam yang menyeluruh.
PMRAM melihat bahawa asas bagi Sistem Kewangan Islam yang dijalankan di Malaysia perlu lagi dipertingkatkan secara menyeluruh, tidak hanya semata-mata 'ala-kadar'.

Dalam kondisi perbankan Islam, masih banyak lagi yang ruang yang mesti diterokai dan diperluaskan. Walaupun sudah semakin banyak bank yang menawarkan Sistem Kewangan Islam, namun ia masih tidak memadai ekoran Sistem Kewangan Konvensional masih lagi diguna secara meluas di Malaysia.

Lagi, mengenai kes rasuah yang memalukan apabila Malaysia berada di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah daripada 178 buah negara keseluruhannya, merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Transparency International (TI).

Justeru, sewajarnya dalam membawa ke arah negara yang maju membangun, usaha-usaha yang serius dalam membanteras kes rasuah itu yang mesti diutamakan sebagaimana juga kes-kes lain yang bercanggah dengan syariat seperti riba, judi, perniagaan haram dan sebagainya. Hal ini adalah kerana kes-kes dan permasalahan tadi selagimana tidak dibanteras maka selagi itulah kemelesetan dan krisis ekonomi akan berlaku.

PMRAM yakin bahawa sekiranya Sistem Kewangan Islam dijalankan secara menyeluruh dan serius, negara Malaysia mampu menjadi negara Islam yang maju dan menjadi contoh kepada negara-negara yang lain. Dengan erti kata lain, Malaysia sebuah hub yang mempamerkan keindahan Islam dalam segenap sudut.

Justeru, mengenai isu memperluaskan hiburan yang sangat melampau ini, PMRAM mengambil pendirian bahawa sama sekali tidak bersetuju atas alasan yang telah diterangkan sebelum ini dan PMRAM meminta agar pelaksanakan Sistem Kewangan Islam di Malaysia dilaksanakan secara menyeluruh di setiap bidang dan peringkat.

Bahkan penjelasan mengenai Sistem Kewangan Islam mesti diperhebatkan agar masyarakat majmuk yang umum mendapatkan informasi yang jelas mengenai Sistem Kewangan Islam ini dalam pemudah cara bagi melaksanakan Sistem Kewangan Islam oleh seluruh lapisan masyarakat.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

Baca Lagi...

26 Oktober 2010

Isu Pegawai JPMK : PMRAM Tetap Jalin Kerjasama

Sumber : Web PMRAM

MOHANDESIN 24 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM tetap mengambil pendirian bekerjasama dengan pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).

Katanya, walaupun isu-isu seputar mahasiswa di Mesir melibatkan salahlaku beberapa orang pegawai JPMK, ini tidak bermakna PMRAM memutuskan hubungan rasmi dengan pihak JPMK yang telah lama dibina.

Sehubungan itu, beliau selaku ketua yang memimpin mahasiswa Islam di Mesir tidak mahu kesalahan yang sama berulang di mana salahlaku tersebut akan memburukkan nama baik kerajaan Malaysia.

"Sekiranya salahlaku pegawai ini tidak diubah, maka PMRAM bimbang nama baik kerajaan Malaysia akan menjadi buruk". "Tindakan salahlaku penjawat awam ini seolah-olah tidak menepati 'Gagasan 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia" ujar beliau di hadapan sidang media berdekatan bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Penyerahan memorandum tuntutan mahasiswa-mahasiswi Islam terhadap salahlaku pegawai JPMK kepada Kuasa Usaha Sementara En Shaiful Anuar bin Mohamad itu diketuai oleh Presiden PMRAM sendiri.

Turut hadir sama ketika penyerahan tersebut Naib Presiden II Saudara Mohd Azlan Hj. Alias, Setiausaha Agung Saudara Mohd Taufiq bin Dahlan, Pengerusi DPM Tanta Saudara Sulaiman bin Ismail dan Mantan Pengerusi DPM Tanta Saudara Zulhilmi bin Roslan.

Justeru, tambahnya PMRAM begitu serius menjaga kecemerlangan akademik serta kebajikan mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir.
Oleh itu, hubungan baik dan kerjasama tetap dijalankan kerana peranan JPMK juga adalah untuk menjaga kecemerlangan serta kebajikan mahasiswa.

Beliau menambah, PMRAM sesekali tidak pernah mengajar mahasiswa untuk membenci pihak JPMK akan tetapi sikap dan tingkahlaku yang menyalahi polisi dan etika ini yang perlu diubah.

Sidang media yang diadakan di hadapan Bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah itu berakhir pada jam 1.30 petang.



PMRAM hantar memorandum salah laku Pegawai JPMK

Baca Lagi...

25 Oktober 2010

PMRAM Tetap Teguh Hadapi Ancaman dan Rintangan

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH 24 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime meminta seluruh ahli dan pendokong PMRAM agar tetap teguh serta tidak goyah dengan prinsip dalam menghadapi isu-isu yang melibatkan integriti pihak-pihak berwajib.
Justify Full
Menurutnya, sebagai mahasiswa dan mahasiswi Islam, kita diajar untuk menegur dan mengubah kemungkaran dengan cara profesional. Bukanlah hanya dengan meluahkan perasaan meminta simpati atau pun hanya berkata-kata tanpa ada sebarang tindakan.

"PMRAM mahukan seluruh ahli dan pendokong bertindak dengan cara yang profesional. Buktikan bahawa kita adalah mahasiswa Islam. Sebab itulah Islam menggariskan bahawa berani dan tegas itu termasuk dalam akhlak islamiyah" tegas beliau ketika memberi ucapan amanat emas pada Majlis Penerangan Isu Semasa dan Mahasiswa.

Majlis pencerahan isu seputar mahasiswa itu diadakan di Dewan Tok Kenali, Rumah Kelantan Baru Haiyu Sabiek. Kehadiran pada malam tersebut mencecah hampir 1000 orang sehingga ada di kalangan ahli yang terpaksa berada di luar kawasan rumah akibat kehadiran melimpah.

Katanya, isu hak dan kebajikan yang PMRAM perjuangkan perlu diteruskan walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

Menurutnya, Islam mengajar umatnya untuk mempertahankan hak dan maruah kerana umat Islam punya harga diri. Demikianlah keadaan sebagai seseorang yang bergelar mahasiswa Islam. Maka menuntut hak dan mempertahankan maruah merupakan akhlak yang perlu dikembalikan dalam jiwa umat Islam.

Justeru, beliau menegaskan bahawa sebenarnya mahasiswa Islam marah terhadap sikap dan tindakan yang menyalahi etika dan disiplin sebagai penjawat awam. Dan bukanlah marah kepada batang tubuh orang yang melakukannya.

Beliau juga menggesa kepada seluruh AJKT PMRAM Cawangan serta ahli untuk tetap teguh bersama-sama dengan PMRAM walaupun diuji dengan halangan dan kekangan. Sesungguhnya kekuatan yang paling utama adalah bersatu dan jangan sesekali berpecah.

Baca Lagi...

24 Oktober 2010

Isu Pegawai JPMK : Kenyataan Rasmi Presiden PMRAM

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Sejak kebelakangan ini, banyak isu-isu yang melibatkan penindasan mahasiswa Islam di Mesir berlaku. Bermula daripada isu Kutub Sittah pada tahun 2009 sehinggalah sekarang ini, ia berlaku bagaikan dirancang. Namun PMRAM meminta agar ahli bertenang serta bertindak mengikut arahan pimpinan.

PMRAM dengan ini melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas tindakan pihak-pihak berwajib yang melanggar polisi dan etika sebagai seorang penjawat awam. Bagi PMRAM, tindakan Pengarah JPMK Prof. Madya Dr. Jamil bin Hasyim yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

Di dalam surat tersebut terdapat beberapa kesalahan mengikut format rasmi surat kerajaan. Bahkan beliau juga menafikan peranan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) yang selama ini menjaga keselamatan mahasiswa-mahasiswi Islam di sana. PMRAM menyifatkan kata-kata ini sebagai tuduhan yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa walaupun DPMT mampunyai autoriti untuk menyelesaikan isu-isu yang melibatkan pihak keselamatan Mesir, PMRAM tidak pernah sesekali membelakangi peranan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dalam isu-isu keselamatan mahupun menafikan kewujudannya.

Beralih kepada isu yang berlaku di Mansurah pada 16 Oktober lalu. PMRAM sekali lagi melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap salah seorang pegawai JPMK yang menyalahgunakan kuasa. PMRAM menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Pegawai Atase Akademik En. Khairi bin Jalaluddin juga sebagai tindakan yang tidak profesional.

Sebagai penjawat awam beliau tidak sepatutnya mengambil kesempatan ketika taklimat biasiswa tersebut untuk mengedarkan borang Kelab Umno. Tindakan tersebut seolah-olah mengajak mahasiswa untuk terlibat dengan parti politik.

PMRAM mengambil pendekatan diplomasi dalam menghadapi isu ini dan cuba mengelakkan tindakan provokasi. Walaupun tindakan tidak profesional ini dilakukan oleh beberapa orang pegawai JPMK, PMRAM dengan ini menegaskan bahawa hubungan rasmi tetap akan diteruskan demi menjaga kesatuan dan kebajikan di kalangan mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir.

PMRAM mengharapkan agar pihak JPMK lebih profesional dalam melaksanakan tugasnya demi menjaga nama baik negara Malaysia. PMRAM juga mengharapkan agar semua ahli sentiasa berdoa semoga persatuan induk ini terus mendapat bimbingan daripada Allah SWT dalam setiap tindakan yang dilakukan serta dilindungi daripada halangan dan ancaman.

Akhirnya saya mewakili PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dukungan ahli dalam menghadapi isu-isu yang melibatkan mahasiswa Islam ini.

Sekian.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

Menara Warisan 5 Billion : PMRAM Saran Pertimbangkan Semula


Sumber : Web PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyarankan kepada pihak Kerajaan Malaysia untuk menilai dan mengkaji semula dalam membuat pertimbangan semula berikutan perancangan untuk membina menara 100 tingkat sebagaimana yang diumum pada ucapan Bajet 2011.

Menara yang diberi nama Bangunan Warisan Merdeka tersebut bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia apabila ia dilaksanakan yang dijangka akan siap sepenuhnya menjelang 2020. Isu yang menjadi topik perbualan adalah berkaitan kos yang amat tinggi dibelanja iaitu sebanyak 5 billion.

PMRAM sama sekali tidak menolak akan perancangan dalam menarik tarikan pelancong bagi meluaskan lagi promosi negara Malaysia ke dunia luar di samping untuk mendapatkan pelabur asing dengan kadar yang tinggi. Namun, pertimbangan melaburkan kos 5 billion dengan keperluan asas yang sewajarnya itu yang perlu dinilai semula.

Memandang kepada realiti masyarakat Malaysia yang masih rata-rata kurang kemampuan terutama dari sudut kebajikan dan pendidikan, kos 5 billion lebih bermanfaat untuk disalurkan ke arah tersebut sekaligus meletakkan negara lebih stabil dari sudut kebajikan dan menuju ke arah kemajuan dengan institut pengajian yang semakin berkembang. Hal ini dapat direalisasikan dengan saluran yang tepat berdasarkan kehendak yang mesti didahulukan mengikut tuntutan keadaan.

Justeru, PMRAM menyarankan sekali lagi agar pihak Kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan kos penggunaan 5 billion tersebut dengan mengkaji tuntutan yang selayaknya didahulukan bertepatan dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

Baca Lagi...

PMRAM Memandang Serius Isu Islamic Fashion Festival

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 22 Oktober – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini menyatakan kekesalan terhadap isu panas yang melanda umat Islam sedunia hari ini.

Isu berkenaan Islamic Fashion Festival yang diadakan baru-baru ini mengundang kemarahan umum umat Islam di Malaysia apabila festival itu jelas bercanggah dengan landasan syara’.

PMRAM turut menyokong tindakan bantahan yang dilaksanakan oleh beberapa NGO Islam di Malaysia bagi menyatakan kekesalan isu tersebut dan meminta agar festival seperti itu tidak lagi dilaksanakan pada masa akan datang.

Semalam (21 Oktober, Khamis), MANHAL PMRAM telah pun mengeluarkan kajian yang berkaitan Islamic Fashion Festival yang jelas ia cukup mengundang kemarahan umat Islam apabila ia seakan-akan menghina Nabi Muhammad SAW apabila kalimah Muhamad yang diterbalikkan dan terdapat di pakaian yang dipakai oleh seorang model wanita yang tidak menutupi aurat.

Bahkan festival tersebut turut melanggar landasan syara’ apabila terdapat percampuran lelaki dan wanita tanpa batasan serta terdapat beberapa model yang tidak menutupi aurat.

Naib Presiden I, merangkap Ketua Lajnah Badan Dan Dakwah, Saudara Adlan Mokhtaruddin berkata program-program sebegini amat dikesali kerana ia menyumbang ke arah keruntuhan moral akhlak di kalangan masyarakat yang kian parah sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Bahkan beliau juga menyatakan bahawa sebelum ini konsert yang mengundang penuh kontroversi dan kemarahan umat Islam dengan membawa artis luar negara yang popular dengan simbolik gay juga merupakan tanda kerosakan akhlak yang semakin parah.

Justeru, isu-isu sebegini PMRAM memandang serius terhadap apa yang berlaku dan mengharapkan pihak kerajaan Malaysia serius menangani isu ini dengan baik bagi sama-sama menjaga maruah umat Islam serta memastikan segala program yang boleh mengundang kerosakan akhlak di kalangan masyarakat tidak lagi dijalankan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Mohd Faizuddin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Baca Lagi...

Aktivis PMRAM, Jentera Fasilitator dan Barisan Felo Akan Bersama Di Majlis Penerangan Isu Semasa

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 22 Oktober – Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime meminta agar semua jentera utama PMRAM yang terdiri daripada Aktivis PMRAM, jentera fasilitator khususnya di Kaherah dan barisan Fello MANHAL untuk turun menjayakan Majlis Penerangan Isu-isu Semasa dan Solat Hajat Perdana “Ya Allah, Selamatkan Kutub Sittah” pada 23 Oktober yang akan berlangsung di Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabik.

Majlis tersebut dijadualkan seawal jam 5.30 petang akan dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah kemudian diikuti dengan Solat Hajat Perdana khusus “Ya Allah, Selamatkan Kutub Sittah” bagi sama-sama mendoakan program Kutub Sittah Siri II dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang ganggu pihak luar.

Kemudian majlis akan diteruskan dengan penerangan khas bagi makluman terbaru bagi Kutub Sittah Siri II yang akan disampaikan sendiri oleh Pengarah Kutub Sittah Siri II, Saudara Yusuf A. Kadir sebelum majlis Penerangan Isu-Isu Semasa.

Pengarah Kutub Sittah Siri II, Saudara Yusuf A. Kadir berkata bahawa beliau akan menerangkan makluman semasa berkenaan Kutub Sittah Siri II berkaitan syeikh, masa, tempat dan kesinambungan pembacaan kitab hadis Sahih Bukhari.

Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa akan diterangkan oleh beberapa pihak tertentu dalam menerangkan isu-isu semasa khususnya yang berkaitan mahasiswa yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Bahkan turut diterangkan mengenai isu semasa yang sedang panas di Malaysia iaitu berkaitan Islamic Fashion Festival yang dilangsungkan di Malaysia baru-baru ini.

“Antara integriti mahasiswa Islam ialah cakna berkenaan isu-isu semasa di sekeliling mereka. Justeru, majlis penerangan ini diadakan bagi menerangkan isu-isu yang berlaku agar mahasiswa Islam dapat mengetahui apa hak dan tindakan mereka yang perlu lakukan selaku mahasiswa Islam, “ ujar Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Semua mahasiswa/wi Islam dijemput untuk sama-sama memeriahkan majlis penerangan isu-isu semasa pada 23 OKtober 2010 ini di Rumah Kelantan Baru, Hayyu Sabik seawal jam 5.00 petang.

Baca Lagi...

20 Oktober 2010

Fikrah Yang Jelas Bakal Melahirkan Jatidiri Mahasiswa - Presiden PMRAM

Sumber : Web PMRAM

MANSURAH 18 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM merupakan sebuah gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti dan program berdasarkan garis panduan syarak.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli PMRAM sama ada di Kaherah mahupun di setiap cawangan untuk bersama-sama membantu agenda pembawakan PMRAM pada sesi ini.

Beliau menyatakan bahawa, fikrah yang jelas bakal membentuk jatidiri dan integriti sebagai seorang mahasiswa Islam. Sebab itulah antara fokus pembawakan PMRAM pada sesi ini adalah "Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyah".

Katanya, sikap menjaga hak dan maruah sebagai seorang mahasiswa Islam merupakan identiti akhlak islamiyah yang perlu dikembalikan dalam jiwa umat islam. Mahasiswa Islam bukanlah orang yang mudah dipermainkan dan diperbodohkan.

"Islam mengajar kita untuk menjaga hak dan maruah. Orang yang membiarkan hak dan maruahnya dicabuli adalah orang yang dayus. Mereka ini dikeji oleh syarak. Sebab itulah PMRAM serius membentuk fikrah yang sebenar dalam jiwa mahasiswa Islam". Ujar beliau ketika menyampaikan amanat emas.

Seramai hampir 70 mahasiswa dan mahasiswi yang hadir ketika ramah mesra bersama Badan Pengurus dan HEWI PMRAM di Dewan Zajlatul Abidah, Mansurah.

Justeru, tambahnya PMRAM mempunyai wawasan yang panjang dan jauh. Bukan hanya sekadar di Mesir sahaja bahkan kesinambungan PMRAM di Malaysia adalah Islam.

Ini, katanya kerana agenda pembawakan PMRAM adalah bagi mencari redho Allah SWT.
"Segala aktiviti dan program yang PMRAM anjurkan adalah bagi menampakkan wajah Islam yang sebenar. Justeru, kita akan memahami kehendak syarak dengan kita melibatkan diri pada aktiviti persatuan" tegas beliau dalam ucapan penutup.

Ramah mesra yang diadakan di Mansurah itu berakhir pada jam 3.50 petang.

Baca Lagi...

19 Oktober 2010

Hukum Pengguguran Bayi


Sumber : Manhal PMRAM

Para fuqaha` telah membahaskan mengenai masalah pengguguran bayi ini. Mereka membahagikan perbahasan mengenai penguguruan bayi ini kepada dua peringkat. Peringkat yang pertama janin yang belum ditiupkan roh dan peringkat yang kedua selepas ditiupkan roh.

1) Pengguguran Bayi Sebelum Ditiupkan Roh :

Telah thabit dalam hadis bahawa roh seseorang bayi itu akan ditiupkan selepas 120 hari dalam kandungan. Ini telah disebut oleh nabi Muhammad SAW dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari Dan Imam Muslim, yang bermaksud :

“Sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yang demikian itu (iaitu 40 hari), kemuadian ia menjadi segumpal daging seperti yang demikian itujuga (iaitu 40 hari) ,kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya”.

Ia juga dikuatkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “kemudian air manii tu kami jadikan ia segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkuskan dengan daging, kemudian, kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain, maka, maha suci Allah, pencipta yang paling baik” (Al-Mukminun:14).

Ini menunjukkan bahawa Islam telah pun menyebut mengenai perkembangan janin ini didalam kandungan pada seribu tahun yang lampau sebelum saintis menjumpainya. Roh yang ditiupkan dalam janin ini tidaklah mempunyai perbezaan dengan apa yang telah disebut oleh Al-Quran dan Hadis.

Sesungguhnya janin yang belum ditiupkan rohnya berada dalam satu kehidupan yang disebut oleh ulamak “kehidupan di alam janin” dan jenis kehidupan ini bebeza dengan kehidupan di alam roh yang sudah dianggap sebagai kehidupan manusia biasa kerana telah berjalan hukum hakam ke atas peringkat ini (janin yang ditiup roh).

Maka difahami disini bahawa ada perbezaan hukum antara janin yang belum ditiup rohnya dan yang sudah ditiupkan rohnya.

Maka jumhur ulamak berpendapat bahawa harusnya menggugurkan kandungan yang belum ditiupkan roh iaitu sebelum mencapai 120 hari sekiranya ada keuzuran dan kesulitan yang menghendaki supaya digugurkan kandungan seperti merasa lemah tubuh badan, khuatir akan keselamatan diri sekiranya meneruskan kandungan ataupun wujudnya kesusahan yang ditanggung hasil kandungan tersebut.

Tetapi ulamak meletakkan syarat supaya pengguguran itu tidak mendatangkan risiko dan bahaya kepada ibu kandung. Sekiranya tiada keuzuran mahupun kesulitan, maka makruh hukumnya menggugurkan kandungan tersebut.

2) Pengguguran Bayi Selepas Ditiupkan Roh

Sepakat para ulamak mengatakan haram menggugurkan kandungan selepas ditiupkan roh iaitu ketika janin berusia 120 hari ke atas. Maka bagi siapa yang menggugurkan kandungan pada waktu ini, akan dikenakan kifarat diat ( denda ) kerana dianggap membunuh nyawa tetapi kifarat ini tidak dikenakan secara sempurna kerana menganggap bayi yang dalam kandungan tidak dikira sebagai sempurna kejadiannya .

Kifarat ini juga akan dikenakan kepada sesiapa yang terlibat dalam pengguguran ini samaada yang menggugurkan itu ibu kandungan atau suaminya ataupun orang luar. Maka mereka akan dikenakan kifarat di atas perbuatan mereka sebanyak 420 gram emas tulin mengikut nilai semasa waktu kandungan digugurkan.
PENGECUALIAN

Mengikut hukum yang asal, tidak dibolehkan untuk menggugurkan bayi dalam kandungan, walau bagaimana keadaan sekalipunpun, sekiranya ada dharurat yang memerlukan kepada proses pengguguran seperti terdedahnya ibu kandungan kepada risiko dan bahaya sekiranya ibu kandungan meneruskan kandungan terebut, maka ulamak meletakkan kaedah yang berbunyi ‘mengambil dharurat yang lebih ringan’.

Maka difahami disini bahawa menggugurkan bayi tersebut sebagai dharurat yang lebih kecil berbanding dharurat yang lebih besar iaitu meneruskan kandungan tersebut yang boleh membawa bahaya dan ancaman nyawa kepada ibu kandungan.

KANDUNGAN YANG CACAT

Pada zaman sekarang kita melihat kemajuan yang telah dicapai oleh ahli kedoktoran dan genetic dalam menyelidik sesuatu kajian. Mereka bukan sahaja dapat mengetahui jantina bayi dalam kandungan bahkan dapat mengkaji keadaan bayi tersebut samaada normal ataupun cacat, tahap kecacatan sesorang bayi, tempoh hayat bayi yang cacat dan sebagainya.

Maka, kepakaran yang ada pada ahli perubatan dan genetic ini boleh membantu sedikit sebanyak bagi menyelesaikan permasalahn hukum yang berkaitan dengan bagi yang bayi yang tidak normal ini.

Para ulamak berpendapat sekiranya janin yang berada dalam kandungan itu mempunyai masalah genetic yang boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius apabila dilahirkan, maka diharuskan untuk menggugurkan kandungan tersebut sekiranya janin tersebut belum berusia 120 hari.

Tetapi sekiranya janin tersebut usianya telah melebihi dari 120 hari, iaitu selepas ditiupkan rohnya, maka ulamak meletakkan kaedah pertimbangan antara mudharat yang ada dan mengambil mudharat yang lebih kecil.

Sekiranya kecacatan yang dialami oleh bayi tersebut tidak membawa kepada kematian ataupun kecacatan tersebut boleh dirawati selepas dilahirkan maka disepakati oleh ulama bahawa tidak boleh menggugurkan janin tersebut.

Adapun sekiranya kecacatan tersebut adalah kecacatan yang besar, serta tidak boleh dirawat, dan boleh membawa kepada kematian suatu hari nanti ataupun melambatkan pertumbuhan , sebagai contoh : bayi yang berada dalam kandungan tersebut mengalami kecacatan pada otak, yang menyebabkan tidak boleh berfikir ataupun menyebabkan gila. Maka diharuskan proses pengguguran tersebut.

Keharusan menggugurkan ini diberikan kerana melihat setiap zuriat yang selamat dan normal yang diberikan oleh Allah adalah nikmat, adapun sekiranya tidak normal, maka ianya tidak dikira sebagai nikmat bahkan bala dan bayi yang dilahirkan tersebut tidak pula mampu untuk hidup dalam keadaan cacat. Maka ianya menjadi satu keharusan untuk digugurkan walaupun selepas dari 120 hari.

Tetapi doktor yang merawat pesakit terebut hendaklah bijak dalam menentukan tahap kecacatan yang dibolehkan oleh syarak untuk digugurkan berdasarkan garis panduan yang telah diberikan tadi.

JANIN HASIL DARI JENAYAH ROGOL.

Adapun sekiranya janin yang dikandung oleh ibu tersebut terhasil dari jenayah rogol, maka dibolehkan untuk digugurkan sebelum janin tersebut berusia 120 hari bahkan hendaklah bayi tersebut digugurkan dengan cepat sekiranya pasti bayi tersebut hasil dari jenayah rogol.

Keharusan ini diberikan oleh ulamak dengan menyamakan situasi ini dengan ibu yang mengandung yang menggugurkan kandungan kerana menghidap penyakit lemah anggota badan, maka keharusan gugur ini juga diberikan kerana melihat kepada mangsa rogol yang mengalami trauma dan kesan tersebut membawa kepada mental yang lemah sekiranya kandungan itu tidak digugurkan. Wallahu’alam.


Disediakan oleh :
Mohamad Sarkawi b Mohmad Salleh

Felo Manhal PMRAM


Baca Lagi...

17 Oktober 2010

Fasilitator PMRAM Digesa Memantau Perkembangan Peserta Kejora


KAHERAH 17 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menggesa jentera fasilitator PMRAM untuk memantau perkembangan peserta-peserta Kembara Jejak Realiti 2010 yang diadakan baru-baru ini di Ismailiyah.

Menurutnya, strategi dan perancangan yang tersusun rapi mampu untuk menyatukan hati seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang bakal memulakan pengajian mereka tidak lama lagi.

"PMRAM percaya bahawa seluruh tenaga dan buah fikiran yang kita berikan ketika program Kembara Jejak Realiti 2010 baru-baru ini mampu menyatukan hati dan pemikiran seluruh mahasiswa dan mahasiswi di Bumi Anbiyak ini".

"PMRAM sekali-kali tidak pernah mengajar mahasiswa dan mahasiswi bersikap mementingkan diri sendiri hingga tidak menghiraukan isu mahasiswa yang berlaku di sekeliling" katanya ketika ditemui di pejabat PMRAM.

Tambahnya lagi, antara matlamat yang disasarkan oleh PMRAM dalam program KEJORA 10 ini ialah kecemerlangan akademik bagi mahasiswa dan mahasiswi baru. Ini merupakan fokus utama PMRAM berdasarkan ucapan dasar Presiden PMRAM 2010.

Justeru, seluruh jentera fasilitator PMRAM perlu memantau perkembangan kesatuan hati serta akademik di kalangan peserta. Untuk berjaya, Islam mengajar kita supaya membuang sifat fanatik kenegerian yang mampu memecahbelahkan ahli-ahli PMRAM.

Selain itu beliau juga menyeru kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi untuk bersama-sama dengan PMRAM atas dasar Islam. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa, PMRAM bersifat terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli.

Program KEJORA 10 yang dilaksanakan di Islmailiyah tersebut disertai oleh hampir 800 mahasiswa dan mahasiswi serta melibatkan hampir 80 orang fasilitator PMRAM. Semoga program ini mencapai objektif yang digariskan oleh pihak penganjur.

Baca Lagi...

PMRAM Mengucapkan Tahniah Buat Kepimpinan GAMIS Sesi 2010/2011

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 15 Oktober - Barisan kepimpinan Badan Pengurus dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi HEWI PMRAM mengucapkan tahniah atas lantikan pimpinan baru Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 2010/2011 yang diketuai oleh Saudara Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan juga merupakan mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) pada muktamar yang lepas.

Melihat kepada organisasi GAMIS bagi sesi 2010/2011, PMRAM percaya bahawa, Saudara Syazwan mempunyai kekuatan untuk membawa GAMIS dalam meneruskan kecemerlangan dalam pentadbiran seiring dengan misi dan visi yang telah ditetapkan. Melalui medium pengalaman yang lepas, PMRAM sangat memuji cara pentadbiran GAMIS yang menerapkan unsur Islam secara terus dalam gerak kerja yang dijalankan.

"GAMIS mempunyai kekuatan idea melalui resapan pemikiran Islam yang mantap hasil gerak kerja kolektif melalui penerapan nilai-nilai Islam. Di samping itu, kekuatan daripada gabungan mahasiswa Islam dari setiap TPTA di seluruh negara," ulas Setiausaha Agung PMRAM, Saudara Ahmad Taufiq.

"GAMIS bertindak bijak kerana menganjurkan bantahan terhadap konsert Adam Lambert semata-mata mahu mencelikkan pemikiran mahasiswa dan juga masyarakat tentang kerosakan akhlak masyarakat majoritinya melalui hidangan hiburan yang berlebihan," tambah beliau lagi.

PMRAM sangat mengalu-alukan pihak GAMIS untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan dalam merealisasikan gerakan dakwah melalui gerakan mahasiswa Islam tidak kira di Malaysia mahupun di Mesir. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja GAMIS Pusat sesi 2010/2011.

Baca Lagi...

PMRAM Kesal Konsert Adam Lambert Tetap Juga Diadakan

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 14 Oktober - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mendesak pihak Kerajaan membatalkan konsert Adam Lambert yang dijadual akan berlansung di Stadium Bukit Jalil malam ini.

PMRAM percaya konsert seumpama ini akan menyuburkan lagi gejala sosial yang semakin membarah dalam Malaysia.

Presidennya, Saudara Shahrizan Mohd Hazime berkata, sepatutnya penganjur mengambil kira sensitivi umat Islam yang berada di Malaysia.

PMRAM juga menyokong tindakan mahasiswa Islam yang berada di Malaysia khususnya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang membuat bantahan yang disuarakan melalui memorandum kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) kelmarin.

Artis lelaki Adam Lambert membawa ikon 'gay' di Amerika ternyata bakal membawa kesan yang cukup negatif kepada masyarakat khususnya anak-anak muda di negara Malaysia.

"PMRAM kesal dengan tindakan kerajaan kerana meluluskan permohonan artis itu untuk mengadakan konsert di Malaysia. PMRAM menyatakan kebimbangan terhadap gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat" tambah Presiden PMRAM.

Difahamkan, lebih kurang 20 persatuan mahasiswa di Malaysia akan turun membantah konsert Adam Lambert di Stadium Bukit Jalil malam ini. Antara yang turun, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK), Maaruf Club, Pro Mahasiswa Nasional, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Baca Lagi...

08 Oktober 2010

"World Class Standard" : Matlamat Yang Sama Dengan Pembawakan PMRAM

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 7 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM merupakan sebuah gerakan mahasiswa di Mesir yang mempunyai pembawakan yang selari dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, beliau seringkali menerangkan bahawa antara matlamat utama pembawakan PMRAM pada sesi ini adalah bagi membentuk minda mahasiswa kelas pertama.

Tambahnya lagi, 'World Class Standard' yang disebut oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir ketika majlis ramah mesra bersama mahasiswa-mahasiswi Mesir di Asrama Rumah Melayu Abbasiah adalah sama dengan matlamat pembawakan PMRAM.

Sehingga kini, PMRAM berusaha membentuk pemikiran mahasiswa Islam agar tindakan yang dilakukan selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.

"Sebenarnya PMRAM memahami bahawa mahasiswa kini bakal mengisi kepimpinan negara di masa hadapan. Justeru PMRAM meletakkan matlamat untuk membentuk minda mahasiswa kelas pertama. Matlamat PMRAM ini sama sepertimana yang diucapkan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom". Ujar Presiden PMRAM ketika diminta mengulas lanjut ucapan Dato' Seri.

Beliau menambah, Islam mengajar supaya pimpinan perlu memikirkan kesinambungan pembawakan di masa hadapan. Oleh itu, generasi pelapis perlu dibentuk dan bukannya hanya menunggu.

Justeru PMRAM melaksanakan program dan aktiviti bagi melahirkan mahasiswa yang mampu memimpiin negara di masa hadapan.

Selepas majlis ramah mesra bersama Dato' Seri, beberapa orang Badan Pengurus sempat berbual mesra dengan beliau. Banyak nasihat yang diberikan seperti PMRAM perlu bersifat terbuka serta tidak menjadikan perkara khilafiyah (selisih pendapat) sebagai punca pertelingkahan sesama umat Islam.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime, Naib Presiden 2 Saudara Mohd Azlan bin Hj Alias, Bendahari Kehormat Saudara Firdauz bin Noh dan Ketua BPP Saudara Mohd Faizudin bin Ghazali.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails