31 Disember 2010

PMRAM Kecewa Dengan Isu Yang Menimpa BKAN Melaka

KAHERAH 30 Disember - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime melahirkan rasa kekecewaan teradap isu yang menimpa Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Katanya, isu yang berlaku tersebut merupakan isu kemanusiaan yang perlu diketahui umum dan perlu mendapat perhatian di semua peringkat. Bukan hanya sekadar berlegar dikalangan mahasiswa-mahasiswi Melaka sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa isu seumpama ini pernah terjadi pada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) suatu ketika dahulu. Akan tetapi, sifat kesatuan yang ada pada ahli negeri terbabit menyebabkan persatuan baru yang ditubuhkan oleh pihak pegawai terkubur.

Katanya lagi, memahami sejarah yang pernah menimpa mahasiswa-mahasiswi Mesir, PMRAM mahukan sifat bersatu diterapkan di dalam seluruh jiwa mahasiswa-mahasiswi.

"Apabila sifat bersatu ini wujud di dalam jiwa umat Islam, maka tidak mudah bagi pihak musuh untuk menghancurkan kesatuan serta melaksanakan agenda jahat mereka. Dan inilah peranan PMRAM serta BKAN dan DPM bagi membentuk jatidiri mahasiswa Islam di Mesir" Ujar beliau ketika memberi penjelasan isu di Rumah Kelantan Baru.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa terkilan terhadap ucapan Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Mohd Ali bin Rustam yang melemparkan fitnah terhadap PMRAM ketika sesi ramah mesra di rumah Melaka.

Justeru katanya, fitnah seperti yang dilemparkan oleh Ketua Menteri tersebut merupakan isu lapuk yang pernah PMRAM hadapi suatu ketika dahulu. Apa yang penting adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti kebajikan, pendidikan serta meningkatkan pencapaian akademik di kalangan ahli.

Walaubagaimana pun katanya, PMRAM tetap mengambil sikap bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi memudahkan urusan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di bumi Mesir ini. Dan beliau menegaskan bahawa PMRAM merupakan persatuan yang bersifat profesional dan bukan persatuan yang melaksanakan tindakan dengan cara 'kampung'.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan ahli mampu melahirkan jati diri dan integriti di dalam jiwa umat Islam.

Baca Lagi...

16 Disember 2010

Kenyataan Rasmi : Menjawab Pernyataan Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Serta Cadangan Penyelesaian


Merujuk kepada halaman 6, Harian Metro pada hari Sabtu bertarikh 11 Disember 2010 (link), satu isu telah dipaparkan berkenaan penyelesaian yang dikemukan oleh Datuk Dr. Fadzilah Kamsah kepada seorang wanita yang bekerja sebagai GRO.

Wanita yang sedang sarat mengandung itu mengadu tentang dirinya yang tidak mempunyai sumber pencarian rezeki melainkan dengan melacur. Penyelesaian yang diberikan oleh beliau ialah dengan membenarkan wanita tersebut meneruskan kegiatan melacur untuk menyara kos sara hidup setelah bersalin dalam keadaan dia mestilah merasakan tidak redha terhadap perbuatan yang dilakukan sebelum berada dalam keadaan selesa untuk berpindah kepada pekerjaan yang lain.

Dalam perbincangan ini, pihak MANHAL PMRAM ingin mengetengahkan beberapa tumpuan utama yang akan dibahaskan. Perkara tersebut ialah :

• Bahaya mendekati zina.
• Dharurat menurut pandangan agama.
• Penyelesaian alternatif kepada masalah.


BAHAYA MENDEKATI ZINA

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-32 :

32. dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).


Hadith Nabi S.A.W. melalui Riwayat Imam Bukhari :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى أَخْبَرَنَا إِسْحَاقُ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا الْفُضَيْلُ بْنُ غَزْوَانَ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الْعَبْدُ حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَقْتُلُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ قَالَ عِكْرِمَةُ قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ كَيْفَ يُنْزَعُ الْإِيمَانُ مِنْهُ قَالَ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ ثُمَّ أَخْرَجَهَا فَإِنْ تَابَ عَادَ إِلَيْهِ هَكَذَا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna Telah mengabarkan kepada kami Ishaq bin Yusuf Telah mengabarkan kepada kami Al Fudhail bin Ghazwan dari Ikrimah dari Ibnu Abbas radliallahu 'anhuma mengatakan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah berzina seorang hamba yang berzina ketika ia berzina dalam keadaan beriman, dan tidaklah mencuri ketika ia mencuri dalam keadaan beriman, tidaklah ia meminum khamr ketika meminumnya dan ia dalam keadaan beriman, dan tidaklah dia membunuh sedang dia dalam keadaan beriman." Kata Ikrimah, saya bertanya kepada 'Ibnu 'Abbas; 'bagaimana iman bisa dicabut padanya? ' ia menjawab; 'begini', sambil menjalinkan jari-jemarinya, kemudian ia keluarkan, 'maka jika ia bertaubat, iman itu kembali kepadanya, ' sambil ia menjalin jari jemarinya. (Hadith ke-6311)

Berdasarkan kepada ayat Al-Quran dan hadith nabi S.A.W. di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa zina diharamkan di dalam Islam. Allah S.W.T. mengarahkan kepada umat Islam supaya tidak menghampiri zina, apatah lagi terjebak di dalamnya dengan cara menjauhkan diri daripada unsur-unsur yang membawa kepada maksiat ini. Beberapa perkara disebutkan oleh para ulama’ sebagai punca ke arah berlakunya zina, iaitu :

1. Pandangan mata.
2. Berdua-duan dengan lelaki / wanita bukan mahram.
3. Percampuran antara lelaki dan wanita (pergaulan bebas).
4. Berhias-hias dan memperagakan kecantikan.
5. Memakai wangi-wangian dan melunakkan suara.

Perbuatan yang disebutkan ini merupakan permulaan kepada maksiat yang lebih besar iaitu zina. Hal ini disebabkan Islam mengajar umatnya menjaga lima perkara : agama, akal, diri, keturunan, dan harta. Allah S.W.T turut menyebutkan balasan perbuatan ini dalam ayat 68 dan 69, Surah Al-Furqaan :


68. dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
69. akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, -

Zina merupakan salah satu dosa besar dalam Islam disebabkan balasan dan siksaan pedih yang menimpa mereka yang melakukannya diceritakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Baginda menerangkan kepada kita dalam hadith di atas bahawa mereka yang mencuri, minum arak dan berzina tidak akan melakukannya dalam keadaan dia beriman. Seolah-olah gambaran perkara-perkara ini adalah suatu tembok pemisah antara keimanan dan kekufuran. Na’uzubillah min zalik.

• Balasan penzina : Firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nuur ayat ke-2 :

2. perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman.

Hukuman ini dikenakan kepada mereka yang belum berkahwin manakala bagi mereka yang telah berkahwin akan direjam berdasarkan kepada hadith sahih Nabi S.A.W. yang menceritakan perbuatan rejam baginda kepada Ma’iz dan Al-Ghamidiah. Tetapi bagi mereka yang telah sedar dan ingin bertaubat perlulah segera menjauhi perbuatan ini agar tidak mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah S.W.T jika mereka tetap meneruskannya. Keadaan ini disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ وَأَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ شَيْخٌ زَانٍ وَمَلِكٌ كَذَّابٌ وَعَائِلٌ مُسْتَكْبِرٌ

Maksudnya : Dan telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah telah menceritakan kepada kami Waki' dan Abu Muawiyah dari al-A'masy dari Abu Hazim dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Ada tiga orang yang mana Allah tidak mengajak mereka berbicara pada hari kiamat, dan tidak mensucikan mereka." Abu Mu'awiyah menyebutkan, "Dan tidak melihat kepada mereka. Dan mereka mendapatkan siksa yang pedih: yaitu orang tua yang pezina, pemimpin yang pendusta, dan orang miskin yang sombong." (Hadith ke-156 riwayat Imam Muslim)


DHARURAT MENURUT PANDANGAN SYARAK


Sesetengah golongan pernah cuba mengaitkan keharusan zina dengan dharurat yang menimpa seseorang. Mereka mengatakan dalam keadaan dharurat individu berkenaan dibenarkan melakukan maksiat dengan melihat kepada kaedah umum الضرورات تبيح المحظورات yang bermaksud (Dharurat Itu Mengharuskan Perkara-Perkara Haram). Contohnya seorang lelaki yang kebuluran di dalam hutan dibenarkan untuk memakan khinzir yang berada di hadapannya setelah tidak menemui sebarang makanan dengan syarat bahagian yang dimakan itu hanya sekadar mampu memberikannya tenaga.


Namun, para ulama’ meletakkan garis panduan kepada kita dalam memahami erti dharurat yang sebenarnya :

1. Dharurat ini tidak dapat dibendung dan ditakuti akan membinasakan diri atau anggota badan.

2. Keadaan ini membolehkan perkara haram dilakukan untuk menjaga nyawa individu yang berada dalan keadaan dharurat samada dengan cara memakannya atau menjadikannya ubat.

3. Situasi dharurat tidak mempunyai kaitan dengan maksiat (zina, mencuri dan sebagainya) seperti yang telah disebutkan oleh jumhur ulama’, Ibnu Al-‘Arabi dan sebagainya. (seperti contoh : tidak boleh mengatakan diharuskan berzina / mencuri disebabkan dharurat)

4. Orang yang berada dalam keadaan dharurat tidak mendapati jalan lain untuk menolak kemudharatan yang dihadapinya.

5. Melakukan perkara haram (selepas dharurat) hanya sekadar boleh mengelakkan sesuatu tidak baik berlaku (maksudnya jangan berlebih-lebih).

6. Pasti dalam dirinya bahawa jika dia tidak mengambil sesuatu yang haram untuk menyelamatkan dirinya dia akan kehilangan nyawa atau anggota badan.

7. Pasti bahawa dirinya tidak mengambil bahagian saudaranya yang lain yang juga berada dalam keadaan dharurat.

8. Keburukan jika tidak mengambil perkara yang haram tadi lebih besar daripada keburukan yang bakal menimpa jika dia melakukannya (mengambil yang haram).

Oleh itu, perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana ia berkaitan dengan keharusan yang Allah berikan sebagai ganti dalam menjaga salah satu daripada lima perkara asas anjuran agama yang telah disebutkan sebelum ini. Jika tidak, keharusan ini akan bertukar menjadi haram dan si pembuatnya terus berada dalam keadaan berdosa.


PENYELESAIAN ALTENATIF KEPADA MASALAH

Setelah melihat kepada pandangan agama dan situasi yang berlaku, pihak kami mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian masalah :

1. Optimis terhadap pengampunan dan rahmat Allah S.W.T.

Allah S.W.T sangat belas kasihan kepada hambanya, mengampunkan kesalahan mereka dan menerima taubat. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Imran ayat ke-133 :


133. dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal Yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa;

Sesuatu maksiat yang dilakukan perlu dihapuskan melalui taubat kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha). Antara syarat bagi taubat ini diterima ialah :

1. Menyesal di atas perbuatan dosa yang telah lalu.
2. Menyucikan diri daripada dosa iaitu memohon pengampunan daripada Allah S.W.T.
3. Berazam tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
4. Jika kesalahannya itu melibatkan pengambilan harta orang lain maka ia perlu dipulangkan.

Selain itu, hadith Nabi S.A.W. pernah menceritakan perihal taubat :

Dari Abu Musa Al-Asy’ari -radhiallahu anhu- dari Nabi -alaihishshalatu wassalam- beliau bersabda :

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Maksudnya : “Allah -Azza wa Jalla- akan senantiasa membuka lebar-lebar tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari dan Allah senantiasa akan membuka tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari, dan yang demikian terus berlaku hingga matahari terbit dari barat.” (Hadith riwayat Imam Muslim no. 2760)

Seorang manusia perlulah senitiasa optimis kepada Allah S.W.T. dalam semua perkara kebaikan yang dilakukan. Begitu juga dengan taubat, walau sebesar mana dosa yang dilakukan ingatlah bahawa Allah S.W.T. maha pengampun lagi penerima taubat. Firman Allah S.W.T. dalam Surah At-Tahriim ayat ke-8 :


8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Walaupun hukuman di dunia tidak dijalankan, si pembuat dosa perlulah bertaubat dengan penuh kesungguhan kepada Allah S.W.T. agar diampunkan kesalahan yang telah dilakukan. Insha Allah, Dia sangat pengasih dan menerima taubat hambanya.

2. Mengikut jalan penyelesaian yang tidak bertentangan dengan syara’

Dalam pecahan ini, setiap manusia diajar supaya tidak mengikut suruhan manusia lain yang mengajak ke arah maksiat. Hal ini pernah disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ح و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ صَبَّاحٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ زَكَرِيَّاءَ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya : Telah bercerita kepada kami Musaddad telah bercerita kepada kami Yahya dari 'Ubaidullah berkata telah bercerita kepadaku Nafi' dari Ibnu 'Umar radliallahu 'anhuma dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dan diriwayatkan pula, telah bercerita kepadaku Muhammad bin Shobbah telah bercerita kepada kami Isma'il bin Zakariya' dari 'Ubaidullah dari Nafi' dari Ibnu 'Umar radliallahu 'anhuma dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Mendengar dan taat adalah haq (kewajiban) selama tidak diperintah berbuat maksiat. Apabila diperintah berbuat maksiat maka tidak boleh untuk mendengar dan taat". (Hadith ke-2735 riwayat Imam Bukhari)


Allah S.W.T. sangat luas rahmatNya, iaitu dengan membenarkan perkara haram itu diambil sebagai ganti kepada dharurat yang berlaku. Jika tidak, kebinasaan akan menimpa diri dan anggota individu ini. Namun, satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah konsep memahami pengertian dharurat dan syarat-syaratnya (seperti yang telah dijelaskan sebelum ini), apabila meletakkan bahawa ia tidak mempunyai ikatan dengan maksiat dan tidak ada alternatif lain dalam menyelesaikannya.

Maka jika ia merupakan saranan daripada seseorang dengan di sana masih terdapat jalan lain untuk digunakan (rujuk kepada perbahasan dharurat pada perbincangan sebelumnya), arahan tersebut tidak boleh dipatuhi. Inilah kaedah yang digunakan oleh para ulama’ pada zaman dahulu dan sekarang.

• Persoalan : Kalaulah maksiat tidak dibenarkan untuk diikuti dalam keadaan dharurat, bagaimana pula dengan memakan khinzir dalam keadaan dharurat?Adakah dengan memakannya itu tidak dikira sebagai maksiat?

Jawapan : Perkara tersebut hendaklah dilihat kepada syarat dan ketetapan dharurat pada perbahasan lalu, iaitu jika ia tidak melakukannya maka perkara ini boleh membawa kepada kebinasaan pada diri dan anggota. Dalam masa yang sama, tidak ada cara penyelesaian lain dalam mengatasi masalah ini. Selain itu, keburukan yang diterima setelah melakukan perkara itu (memakan daging khinzir seperti contoh) lebih kecil jika dibandingkan dengan kebinasaan nyawa atau anggota jika dia tidak mengambilnya, maka perkara tersebut dimaafkan.

Berbeza dengan kes ini, kebinasaan yang bakal diterima lebih besar jika ia dilakukan iaitu mendapat balasan di dunia dan akhirat seperti yang telah disebutkan dalam ayat Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Tambahan pula, pada zaman sekarang masih terdapat banyak lapangan yang boleh diisi sebagai ganti kepada mata pencarian hidup, maka keadaan dharurat dalam situasi ini tertolak.

3. Memohon bantuan daripada kenalan atau pihak berwajib

Islam mengajarkan umatnya supaya saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam perkara kebaikan. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Maidah ayat ke-2 :

Maksudnya : …dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

Dalam kes ini, individu berkenaan boleh memohon bantuan kepada kenalan atau pihak berwajib dalam meringankan bebannya. Contohnya, setelah melahirkan anak, dia boleh meminta bantuan kepada mereka yang amanah dan bertanggungjawab untuk menjaga anak tadi apabila berpergian mencari rezeki yang halal bagi menampung kos sara hidup keduanya.

Tetapi, yang paling penting si ibu tetap bertanggungjawab kepada anaknya (maksudnya tidak boleh meninggalkan anaknya bersama dengan penjaga tadi lalu menghilangkan diri). Setelah dirasakan dirinya telah stabil untuk meneruskan kehidupan, anak yang dijaga tadi bolehlah terus diseerahkan ke pangkuannya dan dibesarkan menurut panduan agama Islam.

4. Mencari sumber pencarian yang halal,

dalam hadith Nabi S.A.W. ada menceritakan :

عن أبي عبدالله النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إن الحلال بيّن والحرام بيّن ، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس ، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه ، ومن وقع في الشبهات فقد وقع في الحرام ، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه ، ألا وأن لكل ملك حمى ، ألا وإن حمى الله محارمه ، إلا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، وإذا فسدت فسد الجسد كله ، ألا وهي القلب - رواه البخاري و مسلم

Daripada Abu Abdullah an-Nu’man bin Basyir r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :”Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram(itupun) jelas dan di antara kedua-duanya (terdapat)perkara-perkara yang syubhat, ramai di kalangan manusia tidak mengetahuinya .Sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhat ,(maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya .Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhat , dia akan jatuh kepada perkara yang haram.Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan ,dibimbangi gembalaannya akan meragut makanan di dalam nya .Ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya .Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging , apabila ia baik , maka baiklah seluruh jasadnya .Apabila ia rosak , rosaklah seluruh jasadnya , ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Dewasa ini, kita melihat pelbagai kemahiran dan bidang telah diterajui manusia dalam banyak aspek. Tambahan pula, kebanyakan daripadanya telah dikomersialkan menjadi suatu bentuk perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan. Namun Islam mengajar kepada umatnya supaya bijak memilih bidang dalam mendapatkan sumber pencarian hidup yang diredhai Allah S.W.T.

Berbalik kepada keadaan yang berlaku, pekerjaan GRO bukanlah suatu jalan terbaik dalam mendapatkan sumber rezeki. Sedangkan masih banyak lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan bagi menampung perbelanjaan hariannya. Bahkan jika jalan ini dipilih maka ia telah mengundang kemurkaan dan azab Allah S.W.T. Disebutkan dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ أَنْبَأَنَا شَرِيكٌ عَنْ سِمَاكٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَكَاتِبَهُ قَالَ وَقَالَ مَا ظَهَرَ فِي قَوْمٍ الرِّبَا وَالزِّنَا إِلَّا أَحَلُّوا بِأَنْفُسِهِمْ عِقَابَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya : Telah meneritakan kepada kami Hajjaj telah memberitakan kepada kami Syarik dari Simak dari Abdurrahman bin Abdullah bin Mas'ud dari ayahnya dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Allah melaknat pemakan riba, yang memberi makan, para saksi dan penulisnya." Ia berkata; Beliau juga bersabda: "Tidaklah nampak pada suatu kaum riba dan perzinaan melainkan mereka telah menghalalkan bagi mereka mendapatkan siksa Allah Azza wa Jalla." (Hadith ke-3618 riwayat Imam Ahmad)

Kesimpulan : Tidak dinafikan bahawa nasihat dan bimbingan itu perlu bagi merubah diri seseorang namun biarlah ia diberikan mengikut landasan syara’. Jika perkara ini masih mendatangkan kekaburan dan kesamaran, ia boleh dirujuk kepada mereka yang lebih mengeahui tanpa memberikan penyelesaian mengikut hawa nafsu. Kepada mereka yang pernah mengalami situasi ini bolehlah menyampaikannya kepada pihak berkenaan dalam usaha menegakkan yang maaruf dan mencegah yang munkar.

Akhir kata, pihak MANHAL PMRAM berharap agar permohonan maaf secara terbuka dan penjelasan semula dapat dibuat oleh pihak Dr. Fadzilah Kamsah berhubung pernyataan yang telah dikeluarkan. Semoga kita mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah S.W.T.


Rujukan :

1. Al-Quraan Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Shahih Muslim karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Musnad Imam Ahmad karangan Imam Ahmad ibn Hanbal
5. Wala Taqrabu Az-Zina, karangan Muhammad Abdul Aziz Al-Hallawi.
6. Asbab Halak Al-Umam Wa Sunnatullah fil Qaum Al-Mujrimin Wal Munaharifin, karangan Syeikh Abdullah At-Talidi.
7. Qadhaya Fiqhiah Mu’asirah (Universiti Al-Azhar), karangan pensyarah-pensyarah Bahagian Fiqh Al-Muqaran, Universiti Al-Azhar.
8. Baina As-Sa'il Wal Faqih, karangan Dr. Muhammad Bakr Ismail.


Disediakan oleh,
Muhammad Hanif Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.

Baca Lagi...

Al-Wadi Mengangkat Nama PMRAM Di Peringkat Al-Azhar


KAHERAH, 13 Dis - Dewan Al-Azhar Conference Centre (ACC) hari ini menyaksikan lahirnya bakat-bakat kontemporari yang ada dalam PMRAM iaitu kumpulan nasyid Al-Wadi, sekitar 1300 orang yang memenuhi Dewan ACC sempena sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan oleh WAAG.Justify Full
Di hadapan para masyaikh Al-Azhar, Naib Dekan Al-Azhar, Ahli Majlis Tertinggi WAAG serta para jemputan, Al-Wadi yang diwakili oleh saudara Syed Aisam bin Syed Idris selaku ketua kumpulan bersama saudara Wan Ahmad Hazwan bin Wan Sulaiman, saudara Mohd Isyamfuan bin Rajalai, saudara Ahmad Muzani bin Abdul Rahman, sudara Muhammad Naim Abdul Wahab, saudara Mohd Hafifi bin Hosien serta saudara Muhammad Hafizi bin Ramli begitu yakin mengalunkan nasyid serta mendapat pujian daripada beberapa pihak.

Majlis yang diadakan ini telah dihadiri oleh pelbagai negara seperti Indonesia, Thailand, Bangladesh, Romania dan negara-negara yang lain

Ketika mengulas persembahan daripada kumpulan Al-Wadi saudara Mohd Solehuddin Mohd Safien menyifatkan Al-Wadi telah membuka mata masyarakat Al-Azhar untuk menzahirkan medium hiburan sebagai alternatif untuk berdakwah, dan persembahan Al-Wadi malam itu juga turut sama disaksikan oleh yang berbahagia Duta Malaysia ke Kaherah TYT Prof Dr Fakhruddin beserta delegasi jemputan dari Malaysia.

"Syabas dan tahniah" ucapan yang keluar dari mulut Tuan Yang Terutama Duta diatas persembahan yang telah berjaya dipertontonkan untuk semua hadirin yang hadir pada malam itu

Al-Wadi turut bersama-sama dengan negara lain untuk membuat persembahan. Majlis pada malam itu turut di sajikan dengan alunan burdah daripada wakil sahah yang diwakili mahasiswa pelbagai negara, tidak ketinggalan persembahan pidato dan sajak daripada pelajar-pelajar Amanah Raya Berhad (ARB).

Sambutan Maal Hijrah itu berlangsung selama 3 jam dan selesai pada jam 9.30 malam. Jelas terpapar tanda puas dikalangan ahli kumpulan AL-WADI kerana dapat memberikan yang terbaik pada malam itu sekaligus mengangkat nama dan imej PMRAM dikalangan masyarkat Al-Azhar sebagai Universiti yang terus menaungi pelajar=pelajar Malaysia di Perlembahan Nil ini.

Hubungan yang baik antara WAAG dan PMRAM jelas menunjukkan jalinan yang kukuh di antara 2 institusi yang terbesar ini. Diharapkan kerjasama akan sentiasa utuh dan kekal selamanya.

Baca Lagi...

13 Disember 2010

Suara Al-Wadi Bakal Bergema Di ACC Hari Ini


KAHERAH, 13 Dis - Ketua Badan Kebudayaan Kesenian dan Sukan PMRAM Saudara Solehuddin bin Mohd Safien menyatakan bahawa kumpulan Al-Wadi PMRAM akan membuat persembahan di Dewan Al-Azhar Conference Centre (ACC) hari ini.

Katanya persembahan yang akan dibuat itu bersempena dengan Majlis Sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan oleh World Association For Al-Azhar Graduates (WAAG).

Menurutnya, PMRAM melahirkan rasa syukur dan bangga kerana kumpulan Al-Wadi yang diberi nafas baru pada tahun ini, semakin meningkat prestasi yang ditunjukkan. Ini merupakan bukti bahawa PMRAM begitu serius dalam menyampaikan dakwah melalui medium nasyid dan hiburan.

Sehubungan itu, kumpulan Al-Wadi juga telah dijemput oleh Persatuan Mahasiswa Thailand pada hari Khamis yang lalu untuk membuat persembahan di Nadi Ijtima' Haiyu Sadis bersempena dengan majlis kenaikan pimpinan yang baru bagi persatuan tersebut.

Menurutnya lagi, kumpulan Al-Wadi PMRAM akan mempersembahkan 3 buah nasyid bahasa arab pada majlis malam ini.

Majlis yang dianjurkan oleh WAAG itu akan bermula pada jam 5 petang. Menurut pihak penganjur, majlis pada malam ini akan dihadiri oleh Imam Al-Akbar Sheikh Al-Azhar Dr Ahmad Toyyib dan beliau akan menyampaikan ucapan bersempena Sambutan Maal Hijrah 1432H.

Baca Lagi...

Kumpulan Nasyid Al-Wadi PMRAM Membuat Persembahan "Yaumul Thaqafi" Thailand


KAHERAH, 9 Dis - Sekian lama hubungan baik yang terjalin antara Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan negara luar seperti Indonesia, Thailand dan negara-negara lain memang tidak dinafikan dan hubungan baik berterusan hingga sekarang.

Bertempat di Nadi Ijtimai' Hayyu Sadis, PMRAM yang telah diwakili oleh kumpulan nasyid Al-Wadi telah dijemput untuk membuat persembahan sempena "Yaumul Thaqafi" yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa daripada Thailand. Program yang diadakan ini dibuat serentak dengan kenaikan pimpinan baru persatuan maahsiswa Thailand bagi sesi kali ini.

PMRAM yang diwakili oleh saudara Mohd Solehuddin bin Mohd Safien merangkap Ketua Badan Kebudayaan keseniaan dan Sukan PMRAM diiringi saudara Syed Aisam bin Syed Idris (Ketua Kumpulan Al-Wadi) bersama-sama 7 orang ahli kumpulan Al-Wadi hadir bagi sama-sama memeriahkan program tersebut.

Presiden persatuan mahasiswa Thailand saudara Hasbullah ketika mengulas kedatangan Al-Wadi ke program mereka, beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan berbesar hati dengan kedatangan Al-Wadi. Beliau mengharapkan kerjasama baik antara PMRAM dan persatuan mahasiswa Thailand ini akan sentiasa terjalin.

"Tahniah pada pimpinan baru maahsiswa Thailand dan terima kasih atas jemputan ke program seperti ini",ujar saudara Mohd Solehuddin mohd safien selepas selesai menghadiri program ini.

moga hubungan baik yang telah dibina ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan di antara 2 negara yang berjiran ini sejak sekian lamanya.

Baca Lagi...

07 Disember 2010

Kuasa Mahasiswa Islam Yang Lahir Daripada Intipati Maal Hijrah

Sumber : Minda Presiden PMRAM 2010

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.

Jika kita menyorot kembali sejarah penghijrahan di zaman Rasulullah SAW, pasti kita akan menemui cara dan uslub yang digunakan oleh pemimpin agung ini bagi memulakan kebangkitan umat Islam. Sejarah penghijrahan ini pasti tidak akan berlaku sekiranya perancangan dan strategi hanya sekadarnya sahaja.

Sebab itulah kebangkitan umat Islam sebenarnya memerlukan kepada sifat kesatuan. Dan kesatuan yang dimaksudkan di sini adalah kesatuan dari sudut akidah, pemikiran dan gerak kerja.

Allah SWT sengaja menyusun hari-hari kebesaran sebagai pedoman dan panduan bagi umat Islam untuk menyusun perancangan di masa hadapan. Setiap hari-hari yang disambut tersebut mempunyai intipati yang tersendiri bagi umat Islam menghayatinya.

Intipati bagi Hari Raya yang disambut pada 1 Syawal adalah sifat taqwa yang perlu ada dalam jiwa umat Islam. Setelah menempuh fasa tarbiyah sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam kembali kepada fitrah asal kejadian dengan sifat taqwa yang wujud di dalam diri. Perkara tersebut disebut oleh Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan perkara tersebut terhadap umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu semua menjadi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah : ayat 183)

Intipati bagi Hari Raya Aidiladha pula adalah sifat berkorban yang perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam. Sejarah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim As serta anaknya Nabi Ismail AS sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan suruhan daripada Allah SWT.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga menerapkan sifat berkorban ini selama 13 tahun sepanjang tempoh pembinaan umat Islam di Mekah. Manakan tidak, para sahabat Rasulullah SAW sanggup meninggalkan harta dan kekayaan yang mereka miliki di Mekah demi bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah menuju ke Madinah.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW juga mengajar kaum Ansar agar membantu kaum Muhajirin ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Bukti sifat berkorban yang subur di dalam jiwa kaum Ansar, mereka sanggup menawarkan kepada kaum Muhajirin untuk tinggal bersama-sama, menyumbangkan jiwa dan harta yang ada demi semata-mata ingin melihat kalimah 'Lailaha illallah' tertegak di bumi Madinah.

Maka intipati kepada sambutan Maal Hijrah adalah sifat kesatuan umat Islam. Inilah sifat yang merupakan senjata paling ampuh bagi kebangkitan sesebuah tamadun. Sesungguhnya perpecahan sesama bangsa dan akidah bakal melahirkan jiwa umat Islam yang hilang jatidiri dan integriti.


KUASA MAHASISWA ISLAM

Melihat kepada suasana dan keadaan mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu serius melaksanakan program dan aktiviti bagi melahirkan mahasiswa Islam yang mempunyai prinsip dan pendirian.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah ini, mahasiswa Islam perlu menjadikan intipati bagi hari kebesaran tersebut sebagai pegangan hidup. Sifat kesatuan perlu wujud dikalangan mahasiswa Islam bagi membentuk kuasa mahasiswa yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan.

Sejak kebelakangan ini, mahasiswa Islam seringkali dizalimi sehingga menyebabkan pengajian mereka di bumi Mesir ini terganggu. Isu ugutan penarikan zakat yang semakin digunapakai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan suara mahasiswa semakin lantang menyatakan kebenaran.

Selain itu, isu hak kebajikan yang sepatutnya dirasai oleh mahasiswa Islam terus dipersoalkan. Duit peruntukan yang disalurkan oleh setiap kerajaan negeri atau yayasan Islam kepada Tabung Kecemasan terus menjadi tanda tanya mahasiswa Islam ekoran mereka tidak mendapat hak tersebut daripada pihak yang menguruskan.

Sekali pandang, tindakan beberapa pihak ini seolah-olah cuba mencabar kuasa mahasiswa Islam. Dan perkara inilah yang perlu dinyahkan daripada bumi Mesir dengan tindakan yang profesional daripada mahasiswa.

Oleh itu, jangan sesekali berpecah ketika menghadapi ancaman serta bertindak mengikut arahan daripada pimpinan. Keselarasan pemikiran dan kesepakatan bekerja inilah yang PMRAM istilahkan sebagai Satu Fikrah Satu Amal.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

03 Disember 2010

Pendaftaran Bukan Penghalang Untuk Menjalinkan Hubungan Baik - Presiden PMRAM

MOHANDISEEN, 2 Dis - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM akan tetap terus menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah walaupun PMRAM berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarkatan Mesir.

Katanya, soal pendaftaran sebenarnya tidak menjadi penghalang kepada PMRAM untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana pihak demi memastikan kebajikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir terjaga.

Menurutnya, PMRAM merupakan persatuan mahasiswa yang menitikberatkan pembawakan agenda akademik dan kebajikan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Mahasiswa yang ada pada masa kini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

Justeru, PMRAM mengetuai kunjung hormat seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri ke pejabat kedutaan bagi mengadakan pertemuan bersama TYT Duta Prof Madya Dr. Fakhrudin bin Abd. Mokhti.

"PMRAM melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada TYT Duta kerana sudi untuk meluangkan masa bagi mengadakan pertemuan bersama seluruh YDP di setiap peringkat". Ujar beliau ketika ditemui di Pejabat PMRAM.

Katanya lagi, hubungan baik yang telah dibina sebelum ini mesti diteruskan. Beliau memuji pihak KBMK yang turut menyertai gerai pameran Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM (KEKAL) yang diadakan pada awal bulan Ogos bersempena menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia.

Pertemuan yang diadakan kelmarin sebagai bukti bahawa BKAN juga turut menjalinkan hubungan yang kukuh dengan pihak KBMK.

Baca Lagi...

02 Disember 2010

Persatuan Medium Bina Bakat Kepimpinan - TYT Duta


MOHANDISEEN, 1 Dissember - TYT Duta Prof Madya Dr. Fakhrudin bin Abd. Mokhti menyatakan bahawa persatuan merupakan medium yang terbaik untuk melatih bakat kepimpinan.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika pertemuan bersama Presiden PMRAM Shahrizan bin Mohd Hazime serta seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri.

Pertemuan yang bermula jam 11.30 tengah hari tersebut membincangkan permasalahan yang berlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswi terutamanya mahasiswa yang tinggal di Kaherah.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah di sekitar tahun 70an itu menyeru kepada seluruh pimpinan yang hadir untuk menjadikan persatuan sebagai tempat untuk berhubung dengan masyarakat.

"Orang yang hanya hebat dalam akademik dan pelajaran belum tentu dapat menonjolkan diri dalam masyarakat kerana sifat memimpin masyarakat memerlukan cara dan uslub yang tak dipelajari di kuliah. Cara tersebut akan kita perolehi melalui pengalaman memimpin mahasiswa ketika di peringkat universiti". Ujar beliau ketika pertemuan tersebut.

Perbincangan yang mengambil masa selama hampir 3 jam tersebut membuktikan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah begitu serius dalam menangani permasalahan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia di bimi Mesir ini.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut Bendahari Kehormat PMRAM Saudara Firdauz bin Noh yang mengiringi Presiden PMRAM.

Menurut Presiden PMRAM, ini merupakan kunjung hormat seluruh YDP BKAN ke pejabat kedutaan kali yang kedua setelah kunjung hormat yang diadakan pada 4 Mei bersama Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar bin Mohammad.
"PMRAM mengharapkan hubungan yang baik ini akan dapat diteruskan demi menjayakan agenda akademik dan kebajikan terhadap mahasiswa-mahasiswi di Mesir". Ujar beliau ketika ditemui selepas bersurai di pejabat kedutaan.

Baca Lagi...

Pimpinan PMRAM Pusat Dan BKAN Mengadakan Pertemuan Dengan TYT Duta


MOHANDISEEN, 1 Disember – Pimpinan PMRAM dan BKAN telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) untuk bertemu dengan TYT Duta Prof Madya Dr Fakhruddin Bin Abdul Mokhti di Mohandiseen.

Rombongan yang diketuai sendiri oleh Presiden PMRAM saudara Shahrizan Mohd Hazime turut disertai oleh Bendahari Kehormat saudara Firdauz Noh bersama seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).

Prof Madya Dr Fakhruddin bin Abdul Mukti Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir begitu berbesar hati menerima kunjungan rasmi dari pimpinan.

Pertemuan dimulakan dengan sesi berkenalan sesama pimpinan kemudian diikuti sedikit kalam pembukaan daripada TYT Duta Prof Madya Dr Fakhruddin sendiri. Dalam ucapannya beliau mengingatkan peranan dan tanggungjawab mahasiswa Malaysia di Mesir khususnya pelajar-pelajar Al-Azhar untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan dalam pengajian seupaya kelak dapat memberi sumbangan dalam membangunkan negara. Mahasiswa juga perlu bersedia mengisi kekosongan jawatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik khususnya dikalangan warga Azhari.

Beliau turut mengingatkan kepentingan dan kemestian mahasiswa berpesatuan. “PMRAM dan BKAN merupakan medan yang terbaik bagi mahasiswa-mahasiswi melatih bakat kepimpinan dan menimba pengalaman berpesatuan” ujar beliau. TYT Duta Prof Madya juga turut menyebutkan beberapa tokoh-tokoh tanah air yang lahir daripada mahasiswa lepasan Universiti Al-Azhar.

Majlis diteruskan dengan perbincangan terhadap isu-isu yang berlaku di disekitar mahasiswa antaranya isu kebajikan pelajar, isu pendidikan, pengkuliahan, isu keselamatan, dan salah laku pegawai.

Sebelum mengakhiri pertemuan TYT Duta menyatakan keterbukaan beliau untuk saling berbincang dan bertukar pandangan bagi sebarang isu dan permasalahan. Pihak pimpinan turut melahirkan rasa berbesar hati dengan keterlibatan pihak kedutaan dalam program-program mega anjuran PMRAM sebelum ini. Kesempatan berjumpa dengan TYT Duta juga digunakan untuk sesi bergambar dan beramah mesra sebelum bersurai.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails