03 Mei 2011

Lagi Kes Pecah Rumah Hari Jumaat : Pencuri Diberkas


KAHERAH 30 April - Satu lagi kejadian kes pecah rumah dilaporkan apabila Asrama Rumah Johor Rab'ah dimasuki pencuri ketika mahasiswa keluar menunaikan solat Jumaat.

Menurut saksi, kecurian tersebut dilakukan oleh 2 orang arab warga tempatan yang mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam asrama akibat pintu pagar yang tidak berkunci.

Mangsa yang tidak mahu namanya dikenali memberitahu pihak PMRAM bahawa ketika beliau pulang daripada menunaikan solat Jumaat, mahasiswi menjerit di tingkat atas asrama memberitahu terdapat pencuri yang sedang turun melalui tangga.

Beliau yang berselisih dengan 2 orang pencuri tersebut sempat menahan mereka daripada melarikan diri membawa sejumlah barang-barang berharga milik mahasiswa.

Tambah beliau, ketika bergaduh di tangga asrama, pencuri tersebut sempat lari meninggalkan 4 buah komputer riba yang cuba dicuri. Mangsa yang berada dalam keadaan panik terus memanggil rakannya yang lain untuk menangkap pencuri tersebut.

Salah seorang pencuri tersebut ditangkap ketika cuba melarikan diri meninggalkan rumah mangsa. Manakala seorang lagi pencuri sempat melarikan diri menaiki motosikal.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime untuk tindakan selanjutnya. Mangsa serta beberapa orang AJKT BKPJM diketuai oleh Presiden PMRAM membuat laporan polis di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr.

Menurut Presiden PMRAM, setelah diteliti, anggaran nilai barang yang hilang melebihi LE 10000. Antaranya ialah 9 buah telefon bimbit, sejumlah wang LE 2270, 2 buah mp3, serta sebuah 'external hard disk' komputer.

Tambahnya lagi, ini merupakan kes kedua pecah rumah yang berlaku pada hari ini. Beliau menggesa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi agar peka dengan keselamatan dengan mengikut pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails