09 Mac 2011

Wanita Muslimah


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Malam ini saya akan berkongsi satu pengisian bersama mahasiswa-mahasiswi yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Ketika sibuk membelek komputer mencari isi-isi penting untuk disampaikan, saya terbaca satu artikel yang cukup memberi seribu satu kenangan pada saya.

Seingat saya artikel ini ditulis pada tahun 2008 untuk membantu sahabat saya membuat kajian berkenaan ciri-ciri dan keistimewaan orang-orang mukmin yang terdiri daripada lelaki dan wanita.

Mungkin tindakan yang saya ambil untuk membantu beliau ketika itu menjadi titik permulaan persahabatan sehingga menyebabkan kami menjadi kawan dan sahabat yang cukup akrab sehingga hari ini.

Apa yang saya harapkan semoga ukhuwah yang terbina ini dapat membantu perjuangan Islam dan kita akan menghadapi susah dan senang hingga bertemu Allah SWT kelak.

Saya jadikan artikel ini sebagai tatapan pembaca agar ia bermanfaat dan menambah thaqafah dalam menempuh ranjau Perjuangan Islam.


GOLONGAN WANITA


Wanita mengikut definisi ulamak : Seorang manusia yang sudah baligh secara mutlak iaitu sama ada sudah berkahwin atau pun belum.


AYAT AL-QURAN BERKENAAN GOLONGAN WANITA


1) Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.


2) Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 124

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.

3) Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 189

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا فَلَمَّا تَغَشَّاهَا حَمَلَتْ حَمْلا خَفِيفًا فَمَرَّتْ بِهِ فَلَمَّا أَثْقَلَتْ دَعَوَا اللَّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ آتَيْتَنَا صَالِحًا لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ

Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Tuhan kami) mengurniakan Kami nikmat Yang baik, tentulah Kami menjadi orang-orang Yang bersyukur".


HADIS NABI SAW BERHUBUNG GOLONGAN WANITA

1) Daripada ‘Aisyah RA, sabda nabi SAW
إنما النساء شقائق الرجال

Sesungguhnya wanita adalah sebahagian daripada lelaki. (Riwayat daripada Imam Ahmad, Abu Daud dan Imam Tirmizi)


PERBAHASAN ULAMAK BERKENAAN GOLONGAN WANITA

Terdapar segolongan masyarakat yang mendakwa bahawa golongan perempuan adalah sama dengan golongan lelaki. Apa yang boleh dilakukan oleh lelaki, wanita juga boleh melakukannya. Mereka mnggunakan hadis yang disebutkan di atas tadi sebagai hujah untuk menyokong apa yang meraka dakwakan.

Sesungguhnya hadis tersebut bukanlah menunjukkan bahawa wanita itu adalah sama seperti lelaki pada setiap sesuatu.Bahkan terdapat riwayat lain yang menjelaskan berkenaan dengan maksud hadis tersebut sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Tirmizi. (Nabi SAW ditanya berkenaan dengan mimpi bagi seorang lelaki (iaitu tanda baligh). Lalu Ummu Salamah berkata : Begitu juga bagi perempuan. Adakah wajib keatasnya mandi? Nabi SAW menjawab “Ya, sesungguhnya wanita adalah sebahagian daripada lelaki”).

Kalaulah hendak disokong, banyak lagi dalil lain yang boleh digunakan untuk menguatkan hadis tersebut. Terdapat beberapa ayat al-Quran sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 195

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain


Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ

Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam).

Kita tidak sepatutnya hanya berpegang dengan dalil-dalil yang disebutkan tadi sahaja sementara meninggalkan sabahagian dalil lain yang menjelaskan berkenaan persamaan lelaki dan wanita. Firman Allah SWT lagi dalam surah an-Nisa’ ayat 11, 32 dan 34

لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الأنْثَيَيْنِ

Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.


وَلا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.


الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Sabda Nabi SAW

ليس منا من تشبه بالرجال من النساء , ولا من تشبه بالنساء من الرجال

Bukanlah dikalangan kami bagi golongan wanita yang menyerupai lelaki, begitu juga bagi golongan lelaki yang menyerupai wanita.

Kesemua dalil al-quran serta hadis nabi SAW di atas menunjukkan terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan. Walaupun begitu terdapat juga beberapa kesamaan antara 2 golongan tersebut. Sepertimana yang dibahaskan oleh Sheikh ‘Athiah Saqr, terdapat 3 perkara yanag sama antara lelaki dan wanita

1) Kedua-duanya diciptakan oleh pencipta yang satu iaitu Allah SWT.
2) Kedua-duanya berasal daripada tubuh yang satu iaitu nabi Adam AS
3) Kedua-duanya diberikan oleh Allah SWT peluang yang sama banyak untuk merebut ganjaran pahala yang dijanjikan.

Sepertimana golongan lelaki dilebihkan oleh Allah SWT berbanding wanita, mereka juga dilebihkan oleh Allah SWT berbanding lelaki daripada beberapa sudut. Allah SWT memuliakan golongan wanita yang digelar ibu dengan memerintahkan hambanya untuk berbuat kebajikan kepada mereka.

Bahkan agama Islam menyuruh supaya dilebihkan kebajikan tersebut berbanding seorang ayah. Hal ini kerana agama Islam melihat kepada pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya ketikamana mengandung, melahirkan, menyusu, memelihara serta mendidiknya sehinggalah besar.

Sebab itulah ulamak ada menyebut : sekiranya kita mempunyai harta yang hendak diserahkan kepada salah seorang daripada keduanya, maka dahulukan ibu berbanding ayah. Jikalau bertembung kehendak antara keduanya, maka dahulukan kehendak ibu berbanding ayah. Sesungguhnya berbuat kebajikan kepada seorang ibu itu lebih diutamakan daripada keluar berjihad di jalan Allah SWT.

Sekiranya seseorang yang sedang solat, tiba-tiba ibunya menyeru, maka hendaklah dia menjawab seruan ibunya dan meninggalkan solatnya. Perkara tersebut hanya dibenarkan pada solat sunat sahaja. Kata Imam Haramain, bahkan perkara tersebut wajib dilakukan walaupun pada solat fardhu.

Walaupun ibunya adalah seorang yang kafir atau golongan yang sering melakukan maksiat, syariat tetap mewajibkan untuk melakukan kebajikan kepadanya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 15

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

Agama Islam juga melebihkan hak seorang ibu itu melebihi hak seorang isteri. Terdapat satu riwayat daripada Hakam dan disahihkan oleh Imam az-Zahabi, sabda nabi SAW

أعظم الناس حقا على المرأة زوجها , و أعظم الناس حقا على الرجل أمه

Orang yang paling berhak keatas seorang wanita adalah suaminya dan orang yang paling berhak keatas seorang lelaki adalah ibunya.

Kata Imam al-Bughawi dalam kitab Masabih as-Sunnah, sabda nabi SAW

إن إكرام الزوجة على الأم و الصديق على الأب من علامات الساعة

Sesungguhnya kemulian seorang isteri yang melebihi seorang ibu dan kemulian seorang kawan yang melebihi seorang ayah adalah antara tanda-tanda kiamat.

Akan tetapi ketaatan yang diberikan bukanlah pada perkara yang maksiat atau perkara yang tidak mampu dilakukan tetapi adalah sebaliknya. Ketahuilah bahawa redha Allah SWT itu terletak pada redha kedua ibu dan ayah.

Terdapat juga riwayat daripada Imam Ahmad, an-Nasaie, Ibnu Majah, Hakam, daripada Mu’awiyah bin Jahimah dalam hadis yang panjang, sabda nabi SAW

الجنة تحت أقدام الأمهات

Syurga terletak dibawah telapak kaki ibu.

Kata Imam al-‘Ajluni, hadis ini bermaksud sikap tawaduk serta merendahkan diri terhadap ibu, berkhidmat kepadanya, mentaati perintahnya kecuali kepada apa yang dilarang oleh syarak merupakan penyebab untuk masuk kedalam syurga Allah SWT.

Wallahu A’lam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

Baca Lagi...

06 Mac 2011

Kemurnian Cinta Kesucian Agama


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Sesungguhnya fitrah manusia itu diciptakan oleh Allah SWT secara berpasang-pasangan. Sebab itulah dikalangan manusia terdapat lelaki dan perempuan yang diciptakan demi menguji siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang meraikan fitrah ini ke arah jalan yang diredhoi Allah SWT.

Firman Allah SWT

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menciptakan kejadian diri kamu daripada jiwa yang satu kemudian Dia menciptakan daripada jiwa tersebut akan pasangannya". (Surah An-Nisak : Ayat 1 )

Allah SWT mencipta sistem yang ada di dalam jasad manusia dengan disertakan buku panduan agar sistem yang tercipta ini tidak celaru dan rosak serta ia memberi manfaat kepada orang lain.

Buku panduan yang disertakan oleh Allah SWT itu bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Panduan rujukan yang saya maksudkan tadi adalah agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru, seseorang akan memperoleh kejayaan dalam hidup sekiranya dia menjadikan agama Islam sebagai tatacara kehidupan. Berlainan pula dengan golongan yang menjadikan cara dan gaya 'Barat' sebagai cara hidup. Mereka pasti akan merana dan menyesal dengan tindakan memilih jalan tersebut akibat mengikut dorongan hawa nafsu.


Seorang sahabat besar Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata dan memesan kepada para sahabat yang lain.

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فإن ابتغينا العزة غيره أذلنا الله

"Kita adalah satu kaum, dimana Allah SWT telah mengagungkan kita dengan agama Islam. Maka barangsiapa yang mencari keagungan dan keizzahan selain daripada agama Islam, Allah SWT pasti akan mencela orang-orang tersebut"

Maka jelas di sini bahawa orang-orang yang menghalakan fitrah kejadian dirinya mengikut garis panduan Islam, pasti akan menemui kejayaan serta kecemerlangan di dunia dan akhirat.

CINTA merupakan fitrah kejadian manusia yang tidak boleh dinafikan. Orang yang menolak cinta bermaksud telah menolak fitrah kejadiannya. Sebab itulah Islam mengajar umatnya cara memandu cinta kearah kebenaran.

Dan inilah yang saya maksudkan dengan KEMURNIAN CINTA. Iaitu cinta yang mengikut garis panduan syarak serta jauh daripada berlakunya fitnah dan dosa.

Mungkin suatu hari nanti saya akan hurai berkenaan cinta di dalam Islam kerana cinta yang sejati akan lahir selepas diijab kabulkan. Cinta yang lahir kerana melaksanakan perjuangan Islam.

Hakikat suasana masyarakat Malaysia kini cukup membimbangkan. Terutamanya suasana di
kalangan mahasiswa dan remaja yang membesar tanpa pembinaan peribadi yang mengikut tatacara Islam.

Mereka ingin bercinta dan saling meluahkan perasaan. Tetapi apabila tindakan tersebut tidak mengikut cara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, ia memburukkan keadaan dan masa depan remaja kini.

Sebagai contoh, saya agak terkejut dengan 'trend' remaja kini yang semakin hilang rasa malu walaupun berada dikhalayak ramai. Budaya 'Tak Malu' ini tidak pernah saya temui sepanjang pengajian saya di Mesir.

'Trend' pasangan couple yang mengambil kesempatan berpelukan mesra dalam keretapi Komuter sepanjang perjalanan saya di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini kali pertama saya melihat 'trend' tersebut di hadapan mata saya sendiri. Terdapat 7 pasangan dalam gerabak yang saya naiki melakukan lagak tersebut dengan penuh bangga dan riak.

Cukuplah dengan pengalaman yang saya alami ini membenarkan apa yang saya baca melalui laman web berkenaan tahap sosial remaja yang berlaku di Malaysia.

Suasana inilah yang bakal meruntuhkan masa depan negara Malaysia dan masyarakat Melayu kelak. Melayu yang tidak mengikut tatacara Islam pasti akan menemui kecelakaan dan zaman gelap di masa hadapan.

Bangkitlah wahai mahasiswa-mahasiswi Islam sekalian. Marilah sama-sama kita bekerja bersama gerakan Islam bagi meninggikan kalimah Allah SWT serta meruntuhkan gejala yang bakal menghanyutkan jatidiri dan integriti sabagai seorang pamuda Islam.

Apabila kita meneliti teori peringkat kerja-kerja dakwah yang disusun atur oleh Tokoh Gerakan Islam Dunia iaitu As-Syahid Hasan Al-Banna hasil daripada kajian tentang sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati terdapat 7 peringkat gerak kerja yang perlu kita lakukan sedikit demi sedikit.

1) Pembinaan peribadi Muslim (Fardul Muslim)
2) Pembinaan rumah tangga Muslim (Baitul Muslim)
3) Pembinaan masyarakat Muslim (Mujtamak Muslim)
4) Pembebasan negara daripada jajahan (Tahrirul Watan)
5) Pembinaan negara Islam (Daulah Islamiyah)
6) Pembinaan dunia pemerintah Islam (Khialafah Islamiyah)
7) Islam sebagai panduan seluruh dunia (Ustaziyatul 'Alam)

Islam tidak mengajar umatnya untuk berdakwah secara berseorangan, tetapi perlaksanaan tersebut memerlukan kepada kesatuan fikrah dan keselarasan gerak kerja. Inilah yang disebut sebagai SATU FIKRAH SATU AMAL.

Semoga dengan keikhlasan kita melibatkan diri dengan gerakan Islam akan menjadikan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam yang cemerlang di dunia dan akhirat. Dan inilah yang saya maksudkan dengan KESUCIAN AGAMA.

*******

Dengan berbesar hati saya menjemput rakan-rakan sekalian ke walimah saya yang bakal berlansung pada Hari Ahad, 20 Mac 2011 bersamaan 15 Rabiul Akhir 1432 H di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah Darul Aman.

Semoga dengam kehadikan sahabat-sahabat sekalian akan membawa rahmat dan keberkatan dalam majlis tersebut. InsyAllah.


Doakan semoga saya dan bakal isteri dapat memandu behtera yang bakal terbina ini ke arah Islam dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Doakan semoga Bait Muslim yang terbina ini dapat membantu Perjuangan Islam. Ameen...

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Sungai Petani,
Kedah Darul Aman.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails