16 April 2011

Kes Samun Dan Kecurian Makin Meningkat, Pertingkatkan Keselamatan


KAHERAH 14 April - Presiden PMRAM 2010 Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menggesa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi yang berada di Perlembahan Nil ini agar mengikut pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM.

Katanya PMRAM sentiasa memantau keselamatan terhadap mahasiswa-mahasiswi agar mereka dapat meneruskan pengajian di Mesir dengan aman dan selesa.

Tambahnya lagi, hari ini terdapat 2 kes yang melibatkan keselamatan nyawa dan harta benda mahasiswa-mahasiswi Malaysia. Pertama kes samun yang berlaku di kawasan penempatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia Haiyu Asyir.

Katanya lagi, ini merupakan kes samun yang ke 3 berlaku selepas kejadian yang sama juga menimpa seorang mahasiswa Selangor dan seorang lagi daripada Melaka.

Menurutnya, kes ke 2 yang berlaku pada hari ini adalah kecurian motosikal milik salah seorang AJKT Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) Saudara Amir bin Bukhari.

Menurut mangsa, beliau menyedari kehilangan motosikalnya apabila hendak keluar daripada rumah sewa yang terletak di Haiyu Asyir menuju ke Rumah Melaka.

Kejadian tersebut dilaporkan ke Pihak Keselamatan Mesir di Qisim Awwal Madinah Nasr oleh Presiden PMRAM serta mangsa pada jam 5.30 petang. Turut hadir sama Timbalan Presiden PMRAM 2010 Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman.

Menurut Presiden PMRAM, sehingga hari ini hampir 20 kejadian yang melibatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia sejak kepulangan mereka sebulan yang lalu.

Oleh itu katanya, pastikan segala kejadian yang melibatkan isu keselamatan yang berlaku perlu dimaklumkan pada Presiden PMRAM serta YDP BKAN dengan segera agar tindakan mencegah perkara tersebut dapat dilakukan dengan segera.

Baca Lagi...

15 April 2011

Cubaan Samun : Keprihatinan PMRAM, BKASM Dan HEP Selangor Mesir


KAHERAH, 14 April - Satu kejadian cubaan samun berlaku sekali lagi pada warga Malaysia di Mesir. Semalam, seorang pelajar Selangor Mohamed Salman Mohd Azam (15 tahun) cuba disamun oleh beberapa warga tempatan arab Mesir.

Kejadian berlaku pada waktu tengah hari, ketika pelajar terbabit baru pulang dari kelas pengajian secara bersendirian. Dia kemudian dihampiri sebuah kereta dan 2 orang warga tempatan tersebut berpura-pura menyatakan dirinya sebagai perisik polis (mabahis) lalu mengajak pelajar terbabit ke dalam kereta tersebut.

Tiba-tiba, kereta terbabit memecut laju akibat terkejut apabila cermin belakang keretanya dilempar dengan batu oleh individu tidak dikenali. Pelajar tersebut kemudian cuba untuk melarikan diri tetapi ditahan beberapa kali oleh penyamun terbabit dan akhirnya menurunkan pelajar tersebut di Suq Sayyarat.

Saudara Mohd Yazid Ahmad, YDP BKASM sejurus mendapat maklumat tersebut daripada PMRAM terus ke rumah mangsa yang terletak di Walidain, Hayyu ‘Asyir. Turut bersama beliau ialah Pegawai HEP Selangor, En Mohd Faryzan Subkhi, TYDP 1 BKASM, saudara Abdul Hakim Sazali dan TSU 1, saudara Mohd Saifullah Abu Bakar.

Dalam masa yang sama, turut kelihatan di rumah mangsa ialah Presiden PMRAM, saudara Shahrizan Mohd Hazimie, Timb. Presiden saudara Muhammad Zuhaili Saiman dan Naib Presiden 1, saudara Mohd Adlan Mokhtarudin, YDP Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir (BKAWM) saudara Mohd Adly Bohari serta ahli BKASM yang lain.


YDP BKASM, saudara Mohd Yazid mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap individu tempatan yang mengaku sebagai perisik polis agar tidak menjadi mangsa samun.

Dalam pada itu, Presiden PMRAM juga turut mengingatkan agar mahasiswa Malaysia di Mesir supaya sentiasa mengambil cakna tentang keselamatan diri dan supaya dapat berhubung terus kepada Presiden PMRAM, YDP BKAN atau Pegawai Anak Negeri sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Selesai melawat mangsa, Pegawai HEP Selangor diiringi saudara Mohd Yazid serta beberapa AJKT BKASM dan Badan Pengurus PMRAM bersama mangsa terbabit ke pejabat polis di Madinah Nasr untuk membuat laporan pada jam 4 petang.

Terima kasih diucapkan kepada PMRAM dan BKASM serta Pegawai HEP Selangor Mesir, En Mohd Faryzan Subkhi atas keprihatinan mereka dalam isu-isu kebajikan ahli khususnya Selangor di Mesir.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails