03 Mei 2011

Lagi Kes Pecah Rumah Hari Jumaat : Pencuri Diberkas


KAHERAH 30 April - Satu lagi kejadian kes pecah rumah dilaporkan apabila Asrama Rumah Johor Rab'ah dimasuki pencuri ketika mahasiswa keluar menunaikan solat Jumaat.

Menurut saksi, kecurian tersebut dilakukan oleh 2 orang arab warga tempatan yang mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam asrama akibat pintu pagar yang tidak berkunci.

Mangsa yang tidak mahu namanya dikenali memberitahu pihak PMRAM bahawa ketika beliau pulang daripada menunaikan solat Jumaat, mahasiswi menjerit di tingkat atas asrama memberitahu terdapat pencuri yang sedang turun melalui tangga.

Beliau yang berselisih dengan 2 orang pencuri tersebut sempat menahan mereka daripada melarikan diri membawa sejumlah barang-barang berharga milik mahasiswa.

Tambah beliau, ketika bergaduh di tangga asrama, pencuri tersebut sempat lari meninggalkan 4 buah komputer riba yang cuba dicuri. Mangsa yang berada dalam keadaan panik terus memanggil rakannya yang lain untuk menangkap pencuri tersebut.

Salah seorang pencuri tersebut ditangkap ketika cuba melarikan diri meninggalkan rumah mangsa. Manakala seorang lagi pencuri sempat melarikan diri menaiki motosikal.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime untuk tindakan selanjutnya. Mangsa serta beberapa orang AJKT BKPJM diketuai oleh Presiden PMRAM membuat laporan polis di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr.

Menurut Presiden PMRAM, setelah diteliti, anggaran nilai barang yang hilang melebihi LE 10000. Antaranya ialah 9 buah telefon bimbit, sejumlah wang LE 2270, 2 buah mp3, serta sebuah 'external hard disk' komputer.

Tambahnya lagi, ini merupakan kes kedua pecah rumah yang berlaku pada hari ini. Beliau menggesa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi agar peka dengan keselamatan dengan mengikut pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM.

Baca Lagi...

Kes Pecah Rumah : PMRAM Begitu Serius Menangani Masalah Keselamatan


KAHERAH 30 April - Kejadian kes pecah rumah pada hari Jumaat semakin menjadi-jadi apabila sebuah rumah sewa pelajar Selangor dimasuki pencuri ketika orang ramai nyenyak tidur.

Kecurian yang terjadi berdekatan dengan Suq Sayyarat itu berlaku pada jam 3.45 pagi apabila dipercayai terdapat 2 orang arab tempatan yang masuk secara senyap melalui tingkap dapur serta menggeledah rumah mangsa.

Menurut mangsa yang tidak mahu namanya dikenali, beliau terjaga daripada tidur pada jam 4 pagi untuk menunaikan solat subuh. Ketika melalui ruang dapur, beliau mendapati pencuri tersebut keluar dengan segera melalui tingkap dapur.

Beliau yang berada dalam keadaan panik terus memberitahu rakannya untuk menangkap pencuri tersebut. Malangnya pencuri tersebut begitu licik melarikan diri daripada rumah mangsa.

Tambahnya lagi, pencuri tersebut memotong besi tingkap untuk masuk ke dalam rumah mangsa. Mereka yang berada dalam rumah tersebut tidak menyedari lansung kejadian yang berlaku.

Peristiwa tersebut dilaporkan kepada Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Selepas solat Jumaat, mangsa bersama rakannya terus membuat laporan di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr dengan diketuai oleh Presiden PMRAM sendiri.

"Antara barang-barang yang sempat dicuri ialah 2 buah komputer riba, 1 telefon bimbit serta wang berjumlah kira-kira LE 1500." tambah mangsa.

Menurut Presiden PMRAM, hari jumaat adalah hari kebiasaannya berlaku kes pecah rumah terutamanya ketika mahasiswa keluar menunaikan solat jumaat. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu meningkatkan sensitiviti mengenai isu keselamatan agar perkarayang sama tidak berulang.

Baca Lagi...

PMRAM Membidas Tuduhan Mahasiswa Mesir Lemah Bahasa Arab


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) membidas tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pihak mengenai mahasiswa/wi Malaysia yang menuntut pengajian di Mesir khususnya di Universiti Al-Azhar lemah dalam berbahasa Arab.

Baru-baru ini juga kenyataan tersebut dimainkan di peringkat Malaysia apabila Datuk Khalid Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan peperiksaan kelayakan (Imtihan Qabul) akan diadakan di Malaysia bagi mana-mana individu yang mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Tuduhan tersebut telah menimbulkan kontroversi ramai pihak kerana ia melibatkan imej dan kredibiliti Universiti Al-Azhar yang bertaraf dunia dan merupakan pusat ilmu bagi Umat Islam.

Hal ini demikian kerana universiti yang telah melahirkan ribuan ulama terkini seolah-olah gagal dalam menyampaikan ilmu Islam yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Arab.

Tambahan pula, tuduhan tersebut menyatakan bahawa mahasiswa/wi Malaysia yang berada di Mesir 'malas' ekoran pengangkutan yang susah didapati dan pensyarah yang mengajar tidak menggunakan bahasa Arab yang fasih sebaliknya menggunakan bahasa Arab tempatan (lahjah ammiah).

PMRAM memandang tuduhan tersebut adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambarkan suasana sebenar bagi penuntut-penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir. Sedangkan sejak akhir-akhir ini kita melihat kebanyakkan kelas-kelas pengajian sama ada yang dilangsungkan di kuliah mahupun di luar kuliah didominasi oleh penuntut-penuntut Malaysia.

Begitu juga, kelas-kelas tafaqquh yang dianjurkan di peringkat negeri masing-masing makin bertambah. Ini jelas membuktikan budaya cintakan ilmu makin menebal dalam jiwa mahasiswa/wi Malaysia di sini.

Kegagalan penuntut-penuntut Malaysia menghabiskan pengajian mereka di Al-Azhar dalam jangka masa 4 tahun tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka ini lemah bahasa Arab. Sedangkan sistem pengajian dan peperiksaan ini amat berbeza dengan sistem yang digunapakai di negara kita. Justeru adalah tidak adil sekiranya kita melihat perkara tersebut sebagai ukuran utama bagi membuktikan kelemahan mereka dalam bahasa Arab.

PMRAM yang merupakan persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di sini sudah sekian lama mengambil inisiatif membantu pelajar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan juga kecemerlangan akademik.

Pelbagai program yang menjurus ke arah tujuan tersebut telah dilaksanakan saban tahun antaranya ialah :
1) Mengadakan pengajian ilmiah bersama para Ulama'-Ulama' besar Al-Azhar 3) Mengadakan Majlis Pembacaan Hadis Kutub Sittah bersama Ulama’ Al-Azhar 4) Melaksanakan kelas tutorial berpusat dan memantau perjalanan study group di kalangan ahli 5) Mengadakan bengkel cara-cara menjawab soalan kepada mahasiswa baru 6) Mengadakan peperiksaan Pra-Imtihan Qabul sebagai medan latihan untuk menguji dan mengenalpasti tahap pencapaian mahasiswa baru sebelum menduduki Imtihan Qabul yang sebenar. 7) Mengadakan kelas tafaqquh khas bagi pelajar yang gagal dalam Imtihan Qabul. 8) Polisi persatuan yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari berbahasa Arab. 9) Bekerjasama dengan markaz-markaz bahasa di Kaherah dalam melaksanakan kelas pengukuhan bahasa Arab

Justeru, PMRAM amat mengharapkan agar semua pihak mengkaji dan menilai semula fakta mengenai dakwaan yang dilemparkan serta lebih banyak membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk terus belajar di bumi Mesir ini seterusnya dapat mencurahkan bakti kepada negara sekembalinya ke tanah air kelak.

Baca Lagi...

02 Mei 2011

Hiburan Menurut Pandangan Syarak


Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh dunia.

Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:

"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.

Kesimpulan:

Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.

Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.

Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

Sumber : MANHAL PMRAM

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails