24 Ogos 2011

Intipati Merdeka : Bebas Daripara Perancangan Pecah Perintah Mahasiswa Islam


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Apabila mengimbau kembali peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW, kita akan mendapati siri-siri perancangan kaum musyrikin Mekah menghancurkan Islam demi melihat kalimah 'Lailaha illah Muhammadur rasulullah' tidak tersebar di muka bumi.

Antara peristiwa besar yang menjadi bukti ketinggian kalimah syahadah tersebut adalah peristiwa Pembukaan Kota Mekah. Sejarah ini berlaku dalam bulan Ramadhan, sesuai dengan sambutan kemerdekaan serta Ramadhan kita pada kali ini.

Sejarah Pembukaan Kota Mekah pada tahun ke 8 Hijrah menjadi bukti bahawa Islam mendidik jiwa umatnya untuk cintakan tanah air. Kaum Muhajirin yang berhijrah daripada Mekah ke Madinah dididik agar cintakan tanah tumpah darah dengan cara membebaskan tanah tersebut daripada belenggu penyembahan berhala, kezaliman, syirik serta jauh daripada hidayah Allah SWT.

Mereka mahukan sistem pemerintahan di Mekah mengikut undang-undang serta tatacara yang Islam gariskan sebagaimana sistem Daulah Islamiyah yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Inilah sebenarnya intipati kemerdekaan yang perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam.

UJIAN SEBELUM KEBEBASAN

Aqidah serta keimanan yang mendalam para sahabat bagi menghadapi siri-siri perancangan pecah perintah kaum musyrikin Mekah ketika itu menjadi bukti sejarah Pembukaan Kota Mekah berlaku selepas 21 tahun turunnya wahyu pertama kepada baginda Rasulullah SAW.

1) Tanah Mekah menjadi saksi terhadap seksaan yang diberikan oleh Umayah bin Khalaf kepada hambanya iaitu Bilal bin Rabah akibat memeluk Islam. Bilal diseksa di tengah padang pasir serta dipaksa keluar daripada Islam.

2) 'Amar serta kedua bondanyanya Sumaiyah dan Yasir tidak pernah mengalah dengan perancangan serta seksaan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Mekah. Kecekalan hati kedua orang tuanya mempertahankan aqidah tuhan yang satu dibayar oleh Allah SWT dengan ganjaran syahid.

3) Sebelum berlaku peristiwa hijrah, Nabi SAW menyuruh umat Islam di Mekah agar berpindah ke suatu tempat yang diperintah oleh seorang raja yang adil iaitu Raja Najasyi. Di situ umat Islam bebas melakukan ibadah kepada Allah SWT bahkan mendapat perlindungan daripada raja tersebut.

Apabila kaum musyrikin Mekah mengetahui perpindahan tersebut, mereka menghantar utusan untuk bertemu raja tersebut bagi menghasut serta menggagalkan perancangan umat Islam. Beberapa umat Islam yang diketuai oleh Ja'far bin Abi Thalib dituduh sebagai pemberontak negara serta pemecahbelah kabilah-kabilah di Mekah. Dengan pertolongan Allah SWT, perancangan mereka berakhir dengan kegagalan.

4) Ketika Nabi SAW menuju ke negara Thaif bagi mendapatkan bantuan, beliah disambut dengan batu-batu yang dilempar oleh penduduk di situ hasil perancangan kaum musyrikin Mekah bagi menggagalkan dakwah Rasulullah SAW.

5) Peperangan Ahzab yang dirancang oleh Abu Sufyan bagi memerangi Islam disokong baik oleh setuku-setuku kaum musyrikin Mekah ketika itu. Tentera musyrikin dikumpulkan oleh Abu Sufyan seramai 10000 orang bagi menentang tentera Islam ketika itu hanyalah seramai 3000 orang sahaja.

Semua peristiwa-peristiwa yang berlaku tersebut merupakan perancangan pecah perintah yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang tidak senang dengan dakwah baginda Rasulullah SAW.

REALITI PECAH PERINTAH MAHASISWA ISLAM


Melihat kepada isu-isu yang berlaku terhadap mahasiswa Islam terutamanya di Mesir, perancangan 'Pecah Perintah Mahasiswa Islam' semakin dirancang rapi. Kesatuan yang telah lama dibina oleh PMRAM diganggu agar fikrah Islam tersebut dibuang daripada jiwa mahasiswa.

Perancangan-perancangan bagi melibatkan mahasiswa dalam politik yang kotor merupakan tindakan yang perlu dikecam dan ditentang oleh seluruh mahasiswa Islam. Tambahan pula perancangan tersebut dilakukan oleh pegawai kerajaan yang lalai dengan tugas asal sebagai penjawat awam.

Ugutan melucutkan status mahasiswa daripada universiti merupakan tindakan bodoh yang hanya akan terkesan kepada mereka yang terlibat dengan politik kotor. Kematangan fikrah mahasiswa Islam mampu membaca tindakan dan perancangan politik kotor pegawai yang terbabit.

Tambahan pula pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh individu yang tidak dikenali di facebook membuktikan perancangan yang amat dangkal. Hentikanlah siri-siri pembodohan mahasiswa Islam.


Sebab itulah intipati yang boleh diambil daripada peristiwa besar Pembukaan Kota Mekah adalah BEBAS DARIPADA PERANCANGAN PECAH PERINTAH MAHASISWA ISLAM. Inilah erti sebenar kemerdekaan yang perlu diterap dalam jiwa umat Islam agar tidak mudah diperintah oleh kezaliman serta kebatilan.

Marilah kita bersatu bersama gerakan mahasiswa PMRAM atas nama Islam. Pelbagai perkumpulan yang saling menunjukkan keegoan masing-masing tidak akan memberi manfaat bahkan melambatkan kemenangan Islam yang dinanti-nantikan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Penasihat
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Baca Lagi...

22 Ogos 2011

Iftor Mahabbah Bersama Mantan Presiden PMRAM


KAHERAH, 16 Ogos – Iftor Mahabbah sekali lagi menjadi tentatif AJKT dan AJK HEWI KPIPM. Dan kali ini singgah di rumah mutazawwijin iaitu, saudara Shahrizan bin Mohd Hazime dan pasangan, saudari Hurriyyah binti Abdul Mokti.

Rumah terletak di Hayyu Thamin itu bertukar meriah dengan kehadiran AJKT dan AJK HEWI sebelum waktu berbuka puasa.

Kedua-dua pasangan tersebut kebetulan baru pulang dari menunaikan umrah dan sempat berkongsi pengalaman bersama dengan AJKT yang hadir. Kesempatan untuk beramah mesra bersama ahli keluarga sementara menunggu azan Maghrib berkumandang.

Sejurus selesai berbuka puasa, beberapa maklumat terbaru turut disampaikan berkaitan dengan program-program KPIPM yang terdekat.

KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian pihak tuan rumah menerima kunjungan AJKT bersempena Iftor Mahabbah di bulan Ramadhan ini.

Semoga segala amalan kita di dalam bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah S.W.T dan menjadi bukti untuk kita mendapat rahmat Tuhan yang Maha Esa.

Sumber : Web KPIPM

Baca Lagi...

14 Ogos 2011

Intipati Badar : Mempertahankan Hak Yang Dizalimi


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.

Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT akan keampunan bagi hamba-hambanya yang berusaha memohon maghfirah Allah SWT. Sebab itulah intipati daripada bulan tarbiyah ini merupakan sifat TAQWA yang sebati dalam jatidiri umat Islam.

Mengimbau kembali sejarah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW ketikamana selepas berlakunya peristiwa hijrah. Umat Islam ketika itu terus diberi ugutan oleh kaum musyrikin Mekah sehingga segala harta benda, binatang ternakan, ladang dan rumah yang dimiliki oleh kaum Muhajirin dirampas dan dijual di Kota Damsyik, Syam. (Syria)

Abu Sufiyan yang merupakan pemimpin di Mekah ketika itu mengetuai satu kabilah besar membawa barang-barang umat Islam yang dirampas untuk dijual kepada pedagang-pedagang yang lain. Mereka mengharapkan dengan ugutan yang diberikan, umat Islam tidak lagi menyebarkan kalimah "Lailaha illallah, Muhammadur rasulullah".

Umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW di Madinah seolah-olah ingin memberontak menentang siri-siri kezaliman dan ugutan yang diberikan oleh kaum musyrikin Mekah. Akan tetapi, dengan sifat "as-sam'u wa at-tho'ah" (dengar dan patuh arahan) mereka mematuhi arahan Baginda SAW agar bersabar serta menanti wahyu daripada Allah SWT.

Akhirnya turun wahyu dalam surah Al-Baqarah ayat 190-193 yang memerintah agar umat Islam berperang mempertahankan hak mereka yang dizalimi. Maka inilah merupakan faktor utama tercetusnya PEPERANGAN BADAR pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah.

REALITI MAHASISWA ISLAM KINI

Melihat kepada isu-isu yang berlaku terutamanya di Mesir, mahasiswa Islam diberi pelbagai ugutan agar mereka tidak berani menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Seolah-olah terdapat beberapa pihak yang tidak senang dengan perkembangan fikrah Islam dikalangan mahasiswa-mahasiswi.

Isu pembuangan pengajian seorang mahasiswa Islam daripada universiti hanya kerana menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Hal ini merupakan satu kepuasan bagi beberapa pihak yang cuba untuk memecahbelahkan kesatuan yang ada di bumi Mesir ini.

Isu ugutan penarikan zakat merupakan tindakan lapok yang masih digunapakai oleh pihak yang terbabit. Beberapa nama mahasiswa-mahasiswi disenaraihitamkan daripada memperoleh zakat daripada negeri masing-masing.

Mahasiswa yang diberi ugutan pembuangan daripada asrama juga kerana hanya menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Hasilnya mereka mengharapkan agar tindak-tanduk mahasiswa Islam di mesir perlu mengikut arahan mereka sama ada dengan kehendak atau tidak.

MEMPERTAHANKAN HAK ADALAH AKHLAK ISLAMIYAH

Bersesuaian dengan peristiwa Badar Kubra yang berlaku di bulan Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, intipati yang boleh diterapkan dalam jatidiri mahasiswa Islam ialah mempertahankan hak yang dizalimi.

Masih terdapat sebahagian mahasiswa yang menganggap bahawa sifat mempertahankan hak ini perlu dinyahkan kerana pergaduhan merupakan suatu yang merugikan. Islam mengatakan Ya, memang pergaduhan membawa kerugian.

Akan tetapi sifat mempertahankan hak bukanlah suatu pergaduhan, tetapi ia membuktikan bahawa Islam itu berdaulat. Islam begitu serius menjaga hak umatnya serta menentang kezaliman. Kemungkaran merupakan perkara yang wajib dicegah. Sebab itulah tercetusnya peperangan Badar demi mempertahankan hak umat Islam yang dizalimi.

BANGKITLAH wahai pemuda Islam, SEDARLAH wahai mahasiswa Islam. Jangan biarkan rancangan "pecah perintah mahasiswa Islam" berlaku di bumi Mesir ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Penasihat
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails