10 Januari 2010

Sebab itulah ramai yang tidak memilih Jalan Dakwah


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah yang maha agung. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Setelah 4 tahun saya meninggalkan bumi Malaysia tanpa pulang walaupun bercuti, banyak suasana dan keadaan di sini yang berubah. Kalau nak disenaraikan memang tak habis.

Kenangan yang dulu kembali mengimbau apabila saya mula jejak kaki di Sofwah (sebuah rumah sewa Badan Dakwah Maktab Mahmud). Di situlah saya ditarbiyah oleh abang-abang. Di situlah saya mula kenal apa itu gerakan islam. Di situlah saya mengetahui erti pengorbanan dan perjuangan Islam.

Ketika menunggu urusan untuk menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar pada tahun 2005, saya dan beberapa rakan yang lain menjalankan usrah sebagai bakti yang terakhir di Malaysia. Pada waktu itu, saya memegang 2 usrah. Satu di Maktab Mahmud Yan dan satu lagi di Maktab mahmud Pendang. Memang betul-betul menguji ketahanan apabila dalam seminggu terpaksa membahagikan masa antara kerja di kantin sekolah (cari duit untuk mengaji), mengajar bahasa arab, menjadi warden, dan menjalankan usrah.

Ujian yang paling tinggi adalah ISTIQAMAH dengan apa yang saya dan kawan-kawan lakukan.


Alhamdulillah.....usaha yang dilakukan tidak sia-sia. Setelah 4 tahun saya menuntut di bumi Mesir, kepulangan saya disambut ceria oleh anak usrah yang dahulu. Bagi saya kini mereka pula yang menggantikan gerak kerja yang saya dan kawan-kawan lakukan suatu ketika dahulu. Malah mereka ini makin hebat daripada apa yang saya sangkakan.

Program tarbiyah disusun demi melihat masyarakat di sekeliling menikmati Islam yang sejahtera. Bagi saya, merekalah pimpinan di masa hadapan.

Kadang-kadang saya tersenyum sendiri apabila melihat telatah adik-adik ini. Rupa-rupanya memang benar apa yang selalu tokoh gerakan islam ucapkan.

"Gerak kerja yang kita lakukan sekarang, bukanlah berhasil dalam tempoh yang pendek. Mungkin memakan masa 5 hingga 10 tahun nanti. Sebab itulah tidak ramai yang memilih jalan dakwah dan gerakan islam. Kerana berkemungkinan mereka sendiri tidak dapat mengecapi hasil yang disemai ketika ini"

Kini saya sendiri yang merasai nikmat sambungan tarbiyah yang disusun oleh adik-adik di sini. Tetapi keberadaan saya bersama dengan adik-adik di sini hanyalah sebentar. Kerana saya telah niatkan di hati, kepulangan ini adalah sebagai cuti untuk mengambil kembali semangat ibu dan ayah di kampung.



Tidak lama lagi saya akan kembali berjuang di Mesir. Matlamat saya untuk menjadi ulamak masih belum tercapai. Banyak lagi yang belum saya warisi daripada para masyaikh di sana. Masih banyak lagi kitab-kitab yang yang belum saya bedah dan teliti. Masih bertimbun lagi barakah-barakah hikmah yang belum saya perolehi daripada bumi barakah tersebut.

Walaupun saya tidak dapat membantu perkembangan tarbiyah di negeri Kedah ini dalam tempoh masa yang terdekat, saya tetap berdoa semoga Islam semakin sejahtera di negeri saya ini.

Doakan naqib kalian ini semoga dapat mengisi kemenangan suatu hari nanti. SEMOGA KITA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK



Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Alor Setar, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails