06 Oktober 2009

AHLAN WASAHLAN BI ARDIL KINANAH



سم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana telah menganugerahkan kepada kita nikmat iman dan Islam. Kita juga bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberi peluang kepada kita untuk meneruskan pengajian di bumi yang penuh bersejarah Ardul Kinanah. Sesungguhnya bumi yang menyimpan jasad para auliyak ini telah banyak melahirkan para ulamak yang tersohor di serata dunia.

Antara tujuan utama kita datang ke bumi Mesir ini adalah untuk mendalami ilmu agama demi semata-mata untuk merealisasikan ilmu tersebut pada masyarakat di sekeliling. Kata para hukamak "Ilmu yang tidak diamal bagaikan pokok yang tidak berbuah". Ilmu yang termendap dalam dada adalah sia-sia dan tidak berguna. Oleh itu marilah sama-sama kita membuktikan bahawa kita adalah golongan yang terpilih untuk menggantikan para alim ulamak yang berada di Malaysia. Sesungguhnya rakyat Malaysia memerlukan golongan ilmuan untuk berubah kearah Islam yang sejahtera. Seterusnya melaksanakan syariat yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.

Sebagai seorang yang berjiwa mahasiswa dan mahasiswi, unsur yang paling penting untuk diterapkan adalah hubungan dengan masyarakat. Oleh itu untuk menjadikan ilmu yang kita tuntut itu matang, maka medan persatuan adalah tempat terbaik yang perlu dipilih dan disertai. Ada orang yang mempunyai ilmu tetapi ilmu tersebut tidak direalitikan pada masyarakat dan pada jiran di sekeliling. Ada orang yang aktif dan bersemangat untuk merubah masyarakat tetapi dengan bekalan ilmu yang kurang pada diri, akhir sekali hasil yang diperolehi adalah pembentukan masyarakat yang sesat. Kedua-dua golongan ini ditolak dan dicerca oleh syarak.

Oleh itu, marilah sama-sama kita melibatkan diri dengan persatuan di samping kita mempelajari serta bertalaqqi ilmu turath dan ilmu moden di kuliah dan masjid Al-Azhar. Harapan kita adalah moga-moga Allah SWT akan memilih kita menjadi golongan yang faqih sepertimana dalam sabda nabi Muhammad SAW "Barangsiapa yang Allah SWT hendak kebaikan padanya, maka Allah SWT akan memberi kefahaman dan kefaqihan kepadanya". Ambillah peluang yang diberikan oleh Allah SWT ketika berada di perlembahan nil ini untuk mencapai cita-cita kita menjadi ulamak. Bawalah pulang batu permata yang tidak wujud di Malaysia untuk masyarakat. Sekian

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails