31 Mei 2010

PMRAM Menyeru Mahasiswa Islam Berdoa Untuk Konvoi Gaza

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan Rasul.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya berinteraksi dengan alam mengikut landasan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Antara tujuan perlaksanaan syariat Allah SWT ialah memelihara jiwa dan maruah umat Islam.

Melihat kepada isu terkini yang melanda umat islam, PMRAM mengutuk tindakan yang telah dilakukan oleh Rejim Israel terhadap Konvoi Kapal Misi Bantuan Ke Gaza. Selain itu PMRAM juga mengecam Amerika Syarikat yang hanya membiarkan sahaja tindakan zalim tersebut berlaku.

Justeru, PMRAM sentiasa bersama dengan umat Islam seluruh dunia yang inginkan keamanan serta menuntut tindakan susulan yang sesuai terhadap kekejaman yang telah dilakukan oleh Rejim Israel. Kita tidak akan berdiam diri dengan isu ini yang sebenarnya telah mencalarkan maruah umat Islam sejagat.

Oleh itu, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam untuk melakukan solat hajat serta membaca Qunut Nazilah memohon kepada Allah SWT supaya memberi keamanan kepada seluruh aktivis Pro-Palestin yang terlibat dalam melakukan misi tersebut.

Selaku mahasiswa Islam, kesibukan mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan tidak lansung mengurangkan sensitiviti kita terhadap isu dunia yang melanda umat Islam.


Kita memohon kepada Allah SWT agar memberikan kemenangan kepada umat Islam dan Rakyat Palestin serta memberikan kejayaan kepada kita dalam peperiksaan yang sedang ditempuh.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM
Masakin Othman, Kaherah

Baca Lagi...

Konvoi Gaza : PMRAM Mengecam Tindakan Kejam Zionis Israel

Sumber : Berita PMRAM
www.pmram.org

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza.

Serangan Israel yang dilancarkan pagi tadi menyebabkan sehingga kini 16 orang syahid dan 30 lagi cedera. Sehingga kini dilaporkan 9 orang warga Turki dan bakinya adalah dari negara Arab yang terkorban di dalam misi kemanusiaan terbesar ini.

Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla untuk rakyat Gaza ini yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulamak, ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, aktivis, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

Konvoi ini juga diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Selain itu, terdapat lebih daripada 50 buah negara menyertai konvoi terbesar ini. Bahkan, tiada sebarang bentuk persenjataan dibawa oleh sukarelawan konvoi walaupun tujuan untuk mempertahankan diri.

PMRAM mendesak dan menggesa Kerajaan Malaysia, anggota PBB, OIC, pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak bangkit mengutuk tindakan kejam Zionis Israel dan menuntut agar misi kemanusiaan terbesar ini dibenarkan masuk serta dapat menghantar bantuan ke bumi Palestin Gaza.

PMRAM juga menyeru kepada semua ahli PMRAM dan mahasiswa Islam di bumi Mesir agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan aktivis konvoi dan rakyat Palestin.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Baca Lagi...

30 Mei 2010

Krisis Mahasiswa : Pertahankan HAK Dan MARUAH

Sumber : Minda Presiden 2010
www.pmram.org

Demi menggapai cita-cita mengembalikan keunggulan Islam, kita memerlukan penggerak ummah yang punya daya tahan yang kental serta jatidiri yang ampuh. Rasulullah SAW menjadikan sifat berani mempertahankan hak dan maruah sebagai silibus pembelajaran amali akhlak yang perlu dihadami oleh mereka.

Jika diamati krisis mahasiswa yang berlaku, mereka semakin lama dinafikan hak yang sepatutnya wajib dipelihara. Mungkin mereka golongan yang sedang membina masa hadapan dipandang sebagai golongan lemah yang tiada nilai sehingga hak dan maruah mereka kian direntap. Ironinya fenomena pilih kasih dan kasta ini seolah-olah tidak disedari atau pura-pura tidak sedar oleh pihak-pihak berwajib.

Para Ilmuan Zionis telah menetapkan 24 protokol yang menjadi dasar rancangan penguasaan mereka terhadap dunia antara lain menyebutkan;

"Cara memerintah sebaik-baiknya ialah dengan menggunakan kekerasan dan keganasan bukan dengan perbincangan ilmiah. Hak itu terletak kepada kekuatan. Siapa kuat, dialah berhak, kerana dalam hukum alam, kebenaran terletak kepada kekuatan. Sesungguhnya politik tidak sesuai dengan akhlak. Pemerintah yang berpandukan moral bukanlah ahli politik yang bijak. Mereka yang ingin memerintah, mestilah pandai menggunakan tipu helah dan matlamat menghalalkan cara. Minuman keras haruslah digunakan untuk mencapai tujuan itu." (rujuk Protokol-Protokol Mesyuarat Para Pimpinan Ilmuan Zionis)

Di dalam tulisan ini tidak memfokuskan modus operandi perancangan zionis berdasarkan protokol tersebut. Sebaliknya satu persoalan yang timbul adakah mereka yang masih mengaku Islam akan tetapi selesa menindas golongan lemah (baca mahasiswa) telah terpengaruh dengan protokol kejam ini?

Golongan yang lemah (baca mahasiswa) terus diperkosa hak dan maruah mereka serta neraca kebenaran diletakkan pada kekuasaan dan keangkuhan mereka yang berkuasa. Jika bersuara akan dicop sebagai pembangkang dan jika diam terus dipijak kepala. Itulah realiti hukum rimba yang sedang 'mengadili' mahasiswa-mahasiswi kita sekarang. Inilah 'pendidikan percuma' khas buat generasi kepimpinan masa hadapan.

Islam sebagai sebuah agama rahmat sangat memandang berat persoalan hak dan maruah manusia. Perkara inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Sifat berani menegur perlakuan zalim merupakan akhlak berharga yang kian luput di kalangan kita. Sabda Baginda SAW :

"Apabila kamu melihat umatku kecut untuk berkata kepada orang yang zalim : Wahai si zalim! Maka diterima ucapan selamat tinggal daripada mereka". (Riwayat oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)


Realiti kini di Mesir, Mahasiswa Islam semakin dipermainkan hak dan maruah mereka. Pelbagai isu dan masalah yang timbul semestinya menguji keupayaan PMRAM untuk menghadapinya dengan matang. Pelbagai siri-siri penindasan dan fitnah ke atas pendukung-pendukung PMRAM dirancang demi melihat kelahiran aktivis-aktivis Islam didikan PMRAM disekat secara berperingkat.

BAYANGAN PARTI PEMBANGKANG
Tahun 2009 melakarkan sejarah bahawa PMRAM difitnah dengan pengganas antarabangsa sehingga mampu mengganggu gugat kerajaan. Tidak cukup dengan itu, sekali lagi PMRAM dikatakan sebagai bayangan parti politik pembangkang dan dituduh mengadakan persaingan tidak sihat hanya kerana mengadakan majlis penyampaian sanad Sahih Bukhari dengan memakai baju ala-ala konvokesyen.

TIDAK LAYAK MASUK PEPERIKSAAN

Kini tahun 2010, maruah mahasiswa dan mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Al-Azhar dipermainkan lagi ekoran fail mereka yang tidak sampai di 'Idarah Wafidin'. Kesannya mereka terpaksa mengambil peperiksaan tanpa ulangan pada bulan Julai. Masalah ini terus berlarutan sejak 4 tahun yang lalu apabila proses kenaikan nama pelajar qiraat diambil alih oleh pihak tertentu. Perkara yang sama juga menimpa mahasiswa perubatan.

INTERAKSI KURANG MESRA
Selain itu, mahasiswa kini juga berhadapan dengan sikap muamalah beberapa pihak yang kurang mesra. Mengikut laporan yang diterima, beberapa mahasiswa pernah ditengking dan diherdik ketika melakukan urusan. Apa yang menyedihkan, perkara ini berlaku berulang kali oleh pihak yang sama.

Selain itu, sesetengah urusan diamalkan secara 'double standard'. Hal ini jelas terbukti, apabila hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh membuat urusan pengajian. Hak sebagai seorang rakyat Malaysia dinafikan walaupun mereka merupakan warga negara Malaysia. Rentetan peristiwa ini seolah-olah menafikan prinsip dan pembawakan di dalam Gagasan Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang dibawa oleh YAB Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

UGUTAN
Pelbagai bentuk provokasi dirancang demi melihat mahasiswa melatah dan akhirnya mengikut telunjuk beberapa pihak. Beberapa istilah yang digunakan sudah 'mangli' bermain di telinga seperti penarikan zakat, dibuang daripada asrama, dihantar pulang tanpa notis, tindakan disiplin akan diambil, tindakan saman di Malaysia dan pelbagai lagi. Ugutan seperti ini merupakan satu sikap yang tidak selayaknya diberikan kepada seseorang yang bergelar mahasiswa.


PENUTUP
Bagi PMRAM, siri-siri penindasan seperti ini sebenarnya memberikan impak positif yang menyedarkan kembali semangat perjuangan mahasiswa Melayu di Mesir yang sudah sekian lama tertidur. Demi mempertahankan hak mahasiswa, PMRAM berazam mendidik pendukung-pendukungnya dengan seribu satu azimat kekuatan bagi menyalakan obor semangat perjuangan mahasiswa yang bermaruah dan mempunyai jati diri.

Kita adalah mahasiswa yang tidak mudah dipermain-mainkan. Bangkitlah wahai pejuang-pejuang Islam. Marilah kita bersatu di bawah gerakan mahasiswa Islam di bumi Anbiyak ini. Perkara yang hak tetap akan kita pertahankan. Perkara yang batil pasti dimusnahkan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

28 Mei 2010

Amar Makruf Nahi Mungkar : Cabaran PMRAM dan Mahasiswa Islam


Sumber : Minda Presiden PMRAM 2010
www.pmram.org

Apabila disebut berkenaan amar ma'ruf dan nahi mungkar, ia merupakan satu slogan atau ungkapan yang selalu bermain di bibir mahasiswa Islam di Mesir. Ungkapan tidak ini perlu lagi dihurai panjang lebar oleh pimpinan PMRAM Pusat mahupun PMRAM Cawangan. Bahkan jikalau dibahaskan, pasti huraian yang lengkap dengan dalil daripada al-Quran dan hadis serta teknikal perlaksanaannya bakal diperolehi dari hasil perbincangan tersebut.

Statistik mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil yang menuntut ilmu secara bertalaqqi dengan alim ulamak membelah pelbagai kitab fundamental (turath) serta berdiskusi kitab-kitab kotemporari (mua'sarah) semakin meningkat. Namun begitu, realiti mahasiswa Malaysia di bumi Mesir dewasa ini seolah-olah memberi satu petanda bahawa ilmu yang mereka pelajari daripada masyaikh dan para alim ulamak di sini semakin menurun kualitinya.

Peningkatan statistik mahasiswa Malaysia yang bertalaqqi belum mampu menurunkan graf salah laku hisbah di kalangan mahasiswa Malaysia di sini. Malah, barah salah laku hisbah semakin meruncing dari hari ke hari hingga sampai ke tahap yang kritikal. Kemunkaran yang dilakukan tanpa rasa segan silu terhadap masyarakat sekeliling seoalah-olah tiada setitis pun iman di dada mereka serta sirna cahayanya.

Isu 'couple' dan 'dating' semakin panas dan semakin jelas keadaannya. Begitu ramai yang ingin memuaskan nafsu tanpa mengikut laluan dan landasan yang betul. Masalah tidak terkawalnya ikhtilat tidak syarie juga semakin menjadi-jadi. Aktiviti dan program yang dilakukan sebegitu menjadi perkara yang biasa. Buktinya, lihat saja bermacam-macam gambar dan aksi yang kita temui di dalam sesawang 'facebook' serta blog-blog peribadi. Mereka menganggap bahawa perkara tersebut tidak salah dan berdosa di sisi Islam.

Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, SIAPAKAH yang sanggup untuk melaksanakan tugasan tersebut? Di manakah mereka yang selalu bercakap memberikan idea dan cadangan untuk perlaksanaan amar ma'ruf dan nahi mungkar ini? Di manakah golongan yang selalu mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah golongan tarbiyah?

Bagi golongan yang bertafaqquh dan berakademik. Adakah kalian tidak menyedari situasi keadaan mahasiswa Malaysia kini, khususnya di bumi Mesir?. Bukankah tujuan kalian menuntut ilmu agama adalah untuk beramal?. Sudah tentu jawapan yang akan diberikan adalah positif. Sebenarnya bukan itu jawapan yang PMRAM inginkan, akan tetapi jawapan yang PMRAM mahu adalah berbentuk tindakan dan perlaksanaan. Saya yakin bahawa jawapan yang berbentuk tindakan inilah yang menunjukkan bahawa seseorang itu belajar dan bertafaqquh dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w. "Sesungguhnya seberat-berat azab di hari kiamat nanti adalah bagi golongan alim yang tidak bermanfaat ilmunya". Hadis ini riwayat daripada Saidatina Aisyah Radhiallahu Anha.

Sabda nabi di atas menunjukkan bahawa satu ancaman yang keras daripada Islam kepada golongan yang alim dan bijak pandai semata-mata. Ilmu yang dipelajari disimpan di dalam kitab ataupun digunakan hanya untuk berdebat. Padab hakikatnya, tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar bukan hanya terpundak di atas bahu pimpinan semata-mata bahkan ia juga merupakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t kepada golongan ulamak.

Sehingga kini PMRAM mengalami krisis kekurangan tenaga untuk membasmi kemungkaran yang berlaku. Maksiat yang terjadi bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan memaksa PMRAM untuk bertindak lebih serius dalam menangani masalah ini. Sebab itulah di dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali yang 77 baru-baru ini, PMRAM membawa usul untuk melakukan gerak gempur hisbah di setiap PMRAM Cawangan. 'Team work' atau skuad penguatkuasa hisbah perlu dipertingkatkan setaraf dengan meningkatnya statistik masalah hisbah yang berlaku.


Dalam situasi sebegini, PMRAM Pusat dan Cawangan menyediakan platfom untuk bertindak. Kita memerlukan penggabungan daripada seluruh mahasiswa Islam untuk sama-sama mengatasi gejala sosial ini. PMRAM tidak memerlukan golongan yang bercakap pandai dan berteori, tetapi PMRAM memerlukan golongan yang bertindak dengan perbuatan. Biarlah kita menjadi kumpulan yang kurang bercakap tetapi banyak bertindak.

Sekian

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.



Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails