18 Januari 2011

Hukum Post Mortem (Bedah Siasat Mayat) Dalam Islam


Dr Abdul Aziz Khalifah al-Qassar (1999) dalam Hukm Tasyrlh al-Insan Baina as-Syari’ah wa al-Qamln telah membahagikan tujuan pembedahan ke atas mayat itu kepada tiga jenis iaitu:

i. At-Tasyrih Al-Jina’iy iaitu pembedahan yang dilakukan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab kematian dan mengenalpasti jenis kematian bagi menyingkap sebarang kesamaran terhadap kejadian tertentu sehingga terbukti kebenaran dan tertegak keadilan.

ii. At-Tasyrih Al-Maradhiy iaitu pembedahan yang dilakukan terhadap mayat yang terkena penyakit. Pembedahan tersebut adalah untuk mengetahui secara mendalam kesan penyakit tersebut ke atas si mati, apakah ia merupakan penyakit berjangkit atau bukan. Dengan pembedahan tersebut pihak kerajaan boleh mengambil langkah pencegahan untuk menghalang wabak tersebut daripada merebak sehingga mengancam keselamatan dan keamanan masyarakat.

iii. At-Tasyrih At-Ta’limiy iaitu pembedahan yang dilakukan ke atas mayat-mayat manusia di bilik-bilik mayat fakulti perubatan dengan bimbingan doktor-doktor di universiti. Tujuannya ialah untuk mengetahui secara praktikal dalam bentuk langsung dan ilmiah mengenai anggota-anggota badan dan fungsi-fungsinya yang nyata dan tidak nyata.


Pembedahan bagi tujuan memantau penyakit dan membantu penyelesaian kes-kes jenayah ada dua jenis iaitu:

1. Pembedahan Mayat Atas Sebab Jenayah

Menegakkan keadilan dan menolak kezaliman merupakan dua perkara yang diutamakan dalam syariat Islam. Banyak nash dan dalil-dalil yang menunjukkan demikian. Antaranya firman Allah Ta’ala:

إن الله يأمر بالعدل والإحسان

“Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil dan ihsan.” (Surah an-Nahl: 90)

Firman Allah Ta’ala lagi:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (Surah An-Nisa : 58)

Banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an yang menuntut agar ditegakkan keadilan dalam apa jua perkara khususnya dalam kehakiman. Dalam hal ini, post-mortem adalah salah satu cara yang boleh membantu siasatan khususnya kematian yang disebabkan oleh jenayah. Dengan demikian hasil post-mortem akan membantu mahkamah dalam membuktikan kesalahan penjenayah dan melepaskan orang yang tidak bersalah supaya keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman serta jenayah tidak berleluasa di alam masyarakat.


2. Pembedahan Mayat Atas Sebab Kajian Terhadap Penyakit

Dalam realiti pencapaian kemajuan bidang sains perubatan sekarang ini, banyak penyakit yang dikenalpasti melalui proses post-mortem. Hasil post-mortem mampu mengenal pasti penyakit dan membantu penyelidikan ubat-ubatan yang sesuai bagi mengatasinya. Post-mortem juga berfungsi memberi maklumat lanjut tentang keadaan sebenar suatu penyakit yang dihidap oleh seorang pesakit sehingga membawa kepada kematiannya. Dalam hal penyakit berjangkit pula, pihak berautoriti dapat merangka tindakan-tindakan yang perlu diambil tindakan. Ini bererti post-mortem itu boleh menjadi asas dalam mengambil langkah menyelamatkan nyawa orang ramai, lebih-lebih lagi jika kematian itu dikenalpasti berpunca daripada penyakit yang menular dan boleh merebak dengan cepat seperti penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mana telah mengejutkan penduduk seluruh dunia baru-baru ini.

Begitulah juga dengan penyakit-penyakit seperti aids, denggi dan seumpamanya. Maka mashlahat post-mortem ini ialah sebagai jalan dan langkah berjaga-jaga ke arah pencegahan merebaknya penyakit tersebut.

Kaedah Syara’

Islam menolak perkara-perkara yang membawa kemudharatan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

لا ضرر ولا ضرار

“Tiada mudharat dan tiada kemudharatan.(Hadis riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad)

Dalam kaedah fiqh pula disebutkan (kemudharatan itu dihindarkan). Dalam kaedah lain pula disebut (kemudharatan itu tidak dihindarkan dengan kemudharatan). Sebagai agama yang sangat bersungguh-sungguh menjaga kemashlahatan hidup manusia, maka Islam menolak kemudharatan itu sehingga ada kalanya perkara-perkara yang dilarang itu menjadi harus dilakukan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta ‘ala:

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه إن الله غفور رحيم

“Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) , maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. “ (Surah al-Baqarah: 173)

FirmanNya lagi:

وما جعل عليكم فى الدين من حرج

”Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. “ (Surah ai-Hajj : 78)

Kaedah fiqh pula menyebut الضرورة تبيح المحظورات (darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang). Namun keharusan melakukan yang diharamkan itu tidaklah terbuka seluas luasnya. Ia dibolehkan hanya pada kadar yang dihajati sahaja. Demikianlah juga halnya dengan post-mortem.

Menurut aI-Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam:

أن ما احل لضرورة أو حاجة يقدرها ويزال بزوالها

”Bahawasanya apa yang dihalalkan kerana darurat atau hajat adalah dihadkan mengikut kadarnya dan dihilangkan dengan ketiadaannya. “

Kaedah yang lain pula menyebutkan: “Apabila bertembung dua mashlahat maka diutamakan yang paling kukuh mashlahatnya dan apabila bertembung antara dua keburukan maka keburukan atau kerosakan yang paling ringanlah yang harus dilaksanakan untuk mengelak daripada keburukan yang lebih dahsyat antara keduanya. “

Melakukan post-mortem atau bedah siasat ke atas mayat kerana penyakit itu, kita dapati bahawa ia mengandungi beberapa kemashlahatan umum. Antaranya:

1. Menyelamatkan orang ramai daripada penyakit berjangkit.

2. Meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat melalui pemberian rawatan dan ubatan yang betul

Sementara bedah siasat bagi tujuan jenayah itu berperanan:

1. Menjaga kesahihan hukuman dalam perbicaraan

2. Menolak kezaliman

3. Menjaga dan mengelakkan individu daripada terlibat dengan dendam dan bermusuh-musuhan.

Maka mashlahat-mashlahat ini merupakan mashlahat umum yang perlu diutamakan. Sebahagian ulama Syafi’iyyah, Hanafiyyah, Malikiyyah dan Hanabilah menqiyaskan keharusan melakukan post-mortem terhadap mayat bagi tujuan mengesan jenayah dan mengesan penyakit itu dengan keharusan pembedahan perut mayat untuk mengeluarkan kandungannya kerana menyelamatkan nyawa. Begitu juga dengan membedah perut mayat kerana mengeluarkan harta orang hidup seperti yang disebutkan sebelum ini. Maka post-motem bagi tujuan mashlahat-mashlahat seperti di atas adalah lebih utama. (Hukm Tasyrih al-Insan Baini asy-Syari’ah wa al- Qanun, 1999:37-40)

Etika Membedah Mayat (Wajib tahu buat pelajar Perubatan)

Sekalipun sebahagian ulama mengharuskan bedah siasat mayat, namun keharusan yang diberikan itu bukanlah secara mutlak atau terbuka luas tanpa had atau batasnya, sesuai dengan kehendak syara’ seperti ayat 173 daripada al-Baqarah di atas dan kaedah-kaedah fiqh yang terdahulu dan berikutnya. Kerja-kerja post-matem itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira perkara-perkara yang menjadi tuntutan syara’ Antaranya:

i. Menjaga Had Keperluan (Darurat)

Seperti yang diterangkan di atas, bedah siasat itu diharuskan berdasarkan keperluan (hajat) yang menjadi sebab pembedahan tersebut dilakukan. Namun keperluan yang dimaksudkan di sini adalah keperluan yang benar-benar mendesak (darurat). Darurat itu menjadi ‘illah atau sebab yang mengharuskan post-moyem. Jika tidak ia adalah dilarang kerana dikira melakukan penganiayan terhadap mayat, tidak menghormatinya dan menghodohkan rupa bentuk mayat. Kita percaya bahawa syarat kerana darurat itu adalah syarat yang mesti dikenakan atau diaplikasikan dalam semua tujuan post-motem itu dijalankan iaitu sama ada atas sebab mengenal pasti penyakit atau pun atas faktor jenayah.

Sebagai missal, si mati yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan diracun, atau ada bentuk kecederaan yang dialaminya sangat meragukan. Maka untuk memastikannya dia perlu dibedah. Keperluan untuk mengenal pasti punca kematiannya seperti ini adalah sangat mendesak. Ini bererti post-motem itu bukanlah diharuskan secara samarata ke atas semua mayat kerana kecelakaan di jalan raya umpamanya.

ii. Melaksakan Pembedahan Setakat Yang Diperlukan Sahaja

Keharusan post-motem itu hendaklah diukur berdasarkan kadar keperluan atau darurat sebagaimana disebut di dalam kaedah fiqh: الضرورة تقدر بقدرها (darurat itu diukur berdasarkan kadar keperluannya). Berdasarkan kaedah ini, pembedahan yang dilakukan itu tidak diharuskan melampaui batas atau had rukshah yang telah diberikan, kerana mengambil kira hukum asal pembedahan mayat tanpa sebarang sebab adalah haram. Oleh itu dalam menjalankan pembedahan ke atas mayat adalah menjadi kewajipan untuk hanya membedah mana-mana bahagian mayat yang diyakini boleh membantu pihak yang berkenaan mencapai matlamat daripada bedah siasat yang dijalankan.

iii. Melaksanakan Pembedahan Dengan Lemah Lembut

Secara umum meraka yang melakukan pembedahan ke atas mayat hendaklah menghormati mayat yang dibedah dengan menjalankan pembedahan itu secara yang paling cermat iaitu dengan adab-adab yang tidak merosakkan kehormatan dan kemulian mayat manusia.

Ketika Imam an-Nawawi menbicarakan tentang perkara yang patut dilakukan ke atas mayat sejurus sahaja kematiannya, beliau menekankan bahawa ahli keluarga adalah dituntut supaya memejamkan matanya dan menutup keseluruhan badannya dengan kain, serta menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Ia hendaklah dilakukan oleh ahli keluarga yang paling lemah lembut di kalangan mahramnya. Imam an-Nawawi berkata:

ويتولى ذلك أرفق محارمه

“Dan orang yang menangani perkara itu ialah orang paling berlemah lembut daripada kalangan mahramnya.” (Imam An-Nawawi pada Minhaj \Ath-Thalibin, 2000: 1/322)

Berdasarkan keterangan di atas, maka hendaklah dilakukan pembedahan itu dengan cara yang lemah lembut sesuai dengan tuntutan menghormati mayat seperti mengangkat dan meletakkannya ke tempat bedah dengan lembut dan cermat.

iv. Menjaga Aurat Mayat

Menjaga aurat si mati khususnya jika mayat itu perempuan. Oleh itu orang yang sepatutnya melakukan pembedahan ke atas mayat perempuan ialah doktor bedah perempuan juga. Ini kerana haram memandang aurat mayat perempuan itu oleh lelaki asing. Kita lihat ini sesuai dengan pendapat ulama seperti Imam ar-Rafi’e dan al-Baghawi yang tidak mengharuskan lelaki asing memandikan mayat perempuan asing yang tiada hubungan mahram jika tiada seorang perempuan pun ketika itu ataupun mahramnya, bahkan hendaklah dimandikan mayat itu dengan mencurahkan air ke atas keseluruhan badan mayat perempuan itu yang ditutup dengan kain yang tebal tanpa langsung menggunakan tangan. Menurut Imam an-Nawawi, (pendapat yang ashah) mayat itu tidak dimandikan bahkan ditayammumkan sahaja.

Dalam kitab al-Iqna’ karangan asy-Syarbini al-Khatib bahawa hukum haram menyentuh itu tidak gugur dengan sebab kematian. Dalam makna yang lain walaupun perempuan itu telah menjadi mayat. Bagaimanapun juga, jika tiada langsung dockor bedah perempuan, maka tiadalah halangan untuk dilakukan proses pembedahan itu oleh doktor lelaki atas sebab-sebab darurat.

Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu pasti melihat aurat mayat dengan sengaja sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian bukan aurat. Sedangkan perbuatan memandikan mayat itu adalah wajib. Menurut Imam an-Nawawi, orang yang memandikan mayat itu hendaklah jangan melihat badan si mati melainkan kadar hajat yang bukan terdiri daripada aurat. ( An-Nawawi, Minhaj ath-Thalibin, 2000: 1/351-352)

v. Suasana Tenang

Ketika menjalankan pembedahan itu sewajarnya tidak diganggu dengan bunyi-bunyian yang bising kerana ia dianggap tidak memuliakan mayat. Perkara ini sesuai dengan kenyatan asy-Syeikh Sa’ad bin Muhamad Ba ‘asyin, bahawa makruh meninggikan suara ketika dalam perjalanan mengangkat jenazah (untuk dikebumikan) dan juga dalam keadan memandikan, mengkafankan dan ketika meletakkanya ke dalam kubur. Menurut Ibnu Ziyad pula adalah di sunatkan untuk menyebukan diri dengan berzikir dengan suara perlahan. (Asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyin, 1992-399).

Sekian,

Sumber daripada:
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

20 ulasan:

  1. salam.

    "Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu HENDAKLAH MELIHAT AURAT MAYAT DENGAN SENGAJA sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian bukan aurat."

    maaf. agak keliru dgn ayat ni. mintak ustaz tlg jelaskan. syukran~

    BalasPadam
  2. "Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu PASTI melihat aurat mayat dengan sengaja sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian bukan aurat."

    maaf...tersalah

    BalasPadam
  3. assalam..apakah implikasi bedah siasat???
    dan adakah setuju bedah siasat dilakukan??

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails