30 Jun 2011

Pembinaan Semangat Gerak Kerja Berjemaah


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Mahasiswa Islam yang dibentuk oleh proses tarbiyah susunan manhaj PMRAM menjadikan seseorang tersebut matang dalam bertindak dan mengeluarkan kenyataan. Mereka yang terkesan dengan pentarbiyahan ini sesekali tidak akan mencari musuh bahkan sentiasa mencari mad'u untuk ditarbiyah dengan cara Islam.

Pembentukan individu muslim semata-mata tidak cukup untuk meneruskan survival dakwah yang diwariskan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada umatnya. Akan tetapi sesebuah gerakan dakwah perlu menerapkan satu lagi konsep yang cukup penting iaitu Pembentukan Semangat Gerak Kerja Berjemaah.

Melihat kepada sejarah mulia Nabi Muhammad SAW, kita akan menemui kebijaksanaan baginda merangka strategi bagi menyatukan hati umat Islam serta melaksanakan tugas dakwah secara berjemaah.

Ketika zaman perutusan Rasulullah SAW, Islam datang bagi memperbetulkan akidah serta syariat umat ketika itu. Puak Yahudi yang sering menimbulkan pertelagahan antara Kaum 'Aus dan Khazraj menjadi hairan apabila formula yang digunapakai oleh Rasulullah SAW mampu menyatukan hati-hati 2 kaum tersebut.

Di dalam merangka strategi peperangan Khandak, Rasulullah SAW melaksanakan perbincangan bersama para sahabat bagi mendapat keputusan terbaik menghadapi serangan pihak musuh iaitu kaum musyrikin.

Dalam membawa agenda dakwah, PMRAM juga tidak terlepas bagi melaksanakan konsep pembentukan semangat gerak kerja berjemaah. Fikrah yang dibawa oleh PMRAM tidak akan mencapai maksud melainkan ianya didokongi oleh para fasilitator PMRAM.

Sebab itulah PMRAM begitu serius melaksanakan program, melaungkan slogan keramat, menyusun manhaj pengkaderan serta menyatukan fikrah mahasiswa-mahasiswi BKAN dan DPM.

Di dalam Al-Quran Allah SWT menyebut ciri-ciri yang perlu diterapkan oleh sesebuah gerakan kepada umat Islam agar mereka bukan hanya memiliki peribadi muslim bahkan mempunyai fikrah dakwah melalui sesebuah gerakan. Atau dengan bahasa mudahnya, gerak kerja secara berorganisasi.


وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"Dan berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah SWT, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah SWT kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah SWT menjinakkan antara hati kamu, lalu kamu menjadi orang-orang yang bersaudara kerana nikmat Allah SWT, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah telah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk."

1.Berpegang teguh dengan agama Allah SWT ( اعتصام بحبل الله )

Segala undang-undang, etika, gerak kerja yang dilaksanakan mestilah berpandukan kepada Al-Quran, Sunnah serta Ijmak para ulamak. Bagi merealisasikan perkara ini, PMRAM menggubal dasar pembawakan berpandukan kepada kehendak Islam. Tuntutan semasa menjadi keutamaan dalam menyusun manhaj pentarbiyahan. Prinsip asas yang wajib adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang membawa agenda Islam.

2. Tidak berpecah-belah ( عدم التفرق )

Prinsip yang dipegang oleh PMRAM ketika melaksanakan program adalah bersatu. Sifat bantu membantu perlu wujud dikalangan mahasiswa Islam bahkan PMRAM menerapkan sifat ini di dalam pembawakan BKAN dan DPM.

Kewujudan unsur-unsur perpecahan di tengah-tengah mahasiswa-mahasiswi menjadikan PMRAM bertindak menghapuskan jahiliyah tersebut. PMRAM sesekali tidak pernah mengajar ahli menubuhkan persatuan yang baru akibat tidak berpuas hati dengan pembawakan persatuan lama.

3. Penyatuan hati ( تأليف القلوب )

Slogan keramat 'Satu Fikrah Satu Amal' yang dilaungkan oleh PMRAM disambut baik oleh BKAN mahupun DPM. Masalah yang dihadapi oleh BKAN atau DPM dihadapi bersama-sama. Baru-baru ini, salah satu usul yang dipersetujui dalam Muktamar PMRAM 2011 adalah membantu survival Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Isu zakat yang terjadi di kalangan mahasiswa-mahasiswi Terengganu dihadapi bersama dengan BKAN dan DPM yang lain. Dengan fikrah penyatuan hati yang diterapkan oleh PMRAM selama ini, mahasiswa-mahasiswi yang disekat zakat bertahan untuk mendapatkan semula hak mereka.

4. Persaudaraan Islam ( الأخوة الإسلامية )

Walaupun berbeza negeri, fakulti mahupun bidang pengajian, PMRAM begitu serius menerapkan sifat ukhuwah di dalam melaksanakan program dan aktiviti. PMRAM menolak program mega yang menyebabkan pertelingkahan dikalangan mahasiswa.

Biarpun program berbentuk sederhana yang dilaksanakan, tetapi hasilnya adalah ukhuwah islamiyah yang wujud dikalangan mahasiswa Islam. Pergaduhan dan hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian dan kemunduran sesebuah gerakan.

Semoga dengan prinsip yang diajarkan oleh Islam ini mampu kita amalkan dalam arena dakwah mahasiswa. Bukan mudah untuk menjalankan konsep ini melainkan ianya didokongi oleh fasilitator PMRAM yang faham dan semanngat.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Penasihat

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Baca Lagi...

24 Jun 2011

ASB/ASN Haram – Jabatan Mufti Negeri Selangor


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jamadil Awal 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan seumpamanya adalah tidak halal. Hal ini kerana ia masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:

1. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

2. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

(Sumber)

Baca Lagi...

18 Jun 2011

Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM Terhadap Karikatur Utusan ‘Kekeliruan Kes Rogol’


Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65)
لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ 66)

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya.

Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

وَإِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ الصَّادِقِينَ (27) فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِنْ كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ (28)

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan:

1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:

1) Mohamad Hanif Bin Haron.
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad.
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails