28 Ogos 2010

HEWI PMRAM Bukti Mahasiswi Mampu

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Islam merupakan agama yang meraikan fitrah kejadian manusia. Hukum hakam yang diperintahkan oleh Allah SWT pun sebenarnya bertepatan dengan kehendak naluri kejadian diri manusia. Sebab itulah terdapat hukum yang dikhususkan kepada lelaki tidak pada perempuan. Begitu juga sebaliknya.

Justeru, Islam menggariskan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh lelaki mahupun wanita untuk penyebaran dakwah dan menegakkan kalimah Allah SWT. Kedua-duanya perlu saling bantu-menbantu serta memahami tugasan masing-masing agar kerja-kerja Islam yang dilaksanakan tidak terkeluar daripada batasan syarak.

Saya terbaca berita di blog HEWI PMRAM. Alhamdulillah timbul rasa bersyukur kepada Allah SWT dengan sikap dan tindakan yang ditunjukkan oleh HEWI PMRAM. Bagi saya ini merupakan satu bukti bahawa mahasiswi Islam di Mesir juga mampu menjalankan peranan selaku wanita dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.


Mahasiswi Islam di Mesir seringkali dilabelkan sebagai 'pemalu tak bertempat' apabila diminta untuk berucap di hadapan khalayak ramai. Manakan tidak, jika dilihat mahasiswi Islam di Malaysia jauh lebih kehadapan dalam membincangkan isu-isu seputar mahasiswa atau isu-isu yang berkaitan dengan negara.

Jangankan pembentangan di hadapan khalayak ramai, berhujah dan berdebat pun mereka mampu kerana mereka dilatih untuk berhadapan dengan masyarakat.

PMRAM mengharapkan semoga peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini kepada mahasiswi Islam di Mesir digunakan sehabis baik yang mungkin. Kelebihan mahasiswi Islam di Mesir berbanding mahasiswi Islam di Malaysia ialah dikelilingi oleh para alim ulamak serta beribu kitab rujukan.

Apa yang paling penting ialah, sikap tidak menolak tawaran untuk belajar membentuk diri menjadi kelompok yang lebih baik dari semasa ke semasa. Pembelajaran tersebut perlulah dibatasi dengan garis panduan syarak agar tidak terkeluar dari landasan.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime,

Pejabat PMRAM,
Justify FullKaherah, Mesir.

Baca Lagi...

24 Ogos 2010

Aktivis PMRAM : Laksanakan Tugas Di Posisi Masing-Masing

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan kepada sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Melaksanakan kerja-kerja Islam marupakan tanggungjawab bagi mereka yang melafazkan dua kalimah syahadah. Islam mengajar umatnya memahami kalimah syahadah bukan hanya sekadar bermain di bibir bahkan meyakini dengan hati yang ikhlas serta membuktikan dengan tindakan dan perbuatan.

Untuk melaksanakan kerja-kerja Islam tersebut, Rasulullah SAW tidak hanya menyuruh umatnya tetapi ditinggalkan cara dan gaya stategi melalui sejarah jatuh bangun Islam bermula di zaman Nabi Adam AS sehingga wafatnya Rasulullah SAW.

Sejarah berharga tersebut perlu dijadikan sebagai kamus pedoman bagi menyusun kerangka strategi perlaksanaan kerja-kerja Islam dalam masyarakat. Justeru dengan kesedaran yang ada, PMRAM menyusun gerak kerja untuk aktivis PMRAM bermain di posisi masing-masing.

Terdapat beberapa peringkat kerja-kerja yang perlu difahami oleh aktivis PMRAM agar tugasan yang dilakukan tidak terkeluar daripada landasan matlamat yang disasarkan. Peringkat tersebut adalah :-

1. At-Ta'rif (pengenalan dan pengajaran)
2. At-Takwin (pembentukan dan penyusunan)

3. At-Tanfiz (perlaksanaan menuju ke arah matlamat)


AT-TA'RIF

Di peringkat permulaan ini, banyak ilmu-ilmu pengetahuan tentang Islam disebarluaskan kepada masyarakat. Sasaran bagi peringkat permulaan ini adalah masyarakat yang umum. Justeru di peringkat ini pelbagai cara bertindak digunakan demi menarik minat pelbagai golongan di setiap peringkat.

Memahami situasi mahasiswa di Mesir, PMRAM tidak terlepas daripada menyusun aktiviti dan program demi menyebarkan ilmu-ilmu Islam serta menonjolkan wajah Islam yang sebenar. Antara agenda yang dilaksanakan ialah Kolokium Ilmuan, muhadharah bersama masyaikh, Madrasah Imam As-Syafie, diskusi kitab dan lain-lain.

Matlamat utama bagi peringkat at-ta'rif ini adalah mengubah keadaan masyarakat daripada kejahilan kepada berilmu.
Akidah serta mentaliti orang awam diubah agar berpegang teguh dengan ajaran dan ilmu Islam.

Aktivis PMRAM yang culas dalam melaksanakan tugasan di peringkat ini bakal melahirkan kelompok masyarakat yang bersemangat memperjuangkan Islam tanpa ilmu dan kefahaman. Situasi ini akan menyebabkan mereka berputus asa (futur) di pertengahan jalan membawa risalah Islam.

PMRAM berusaha membendung virus putus asa (futur) dikalangan petugas-petugas Islam dengan menanam kefahaman yang mendalam dari sudut akidah serta syariat Islam.


AT-TAKWIN

Peringkat yang kedua dalam perlaksanaan kerja-kerja Islam ialah at-takwin atau dikenali dengan pembentukan dan penyusunan. Di tahap ini, kelompok yang melepasi peringkat pertama akan dikumpulkan kemudian diikat dengan ikatan ukhuwah dan pembinaan syakhsiah.

Matlamat utama posisi ini adalah mengubah keadaan individu atau kumpulan daripada berilmu kepada berfikrah dan bersama persatuan. Tugasan yang perlu dimainkan oleh aktivis PMRAM di posisi ini ialah membina pemikiran masyarakat supaya ilmu pengetahuan yang dipelajari itu digunakan pada jalan yang benar. Bentuk pemikiran juga berubah menjadi lebih matang serta mampu menganalisis sesuatu peristiwa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh agama Islam.

Justeru PMRAM menjadikan peringkat yang kedua ini sebagai medium pembentukan fikrah Islam. Ilmu yang dipelajari di peringkat permulaan tadi disusun mengikut manhaj yang telah ditetapkan oleh ilmuan Islam.

Antara medium penbentukan fikrah yang dilaksanakan oleh PMRAM ialah muzakarah berkelompok, mukhayyam (perkhemahan), qiamullail, program mega serta aktiviti-aktiviti PMRAM dikalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Sebab itulah PMRAM mengecam golongan yang menjadikan muzakarah berkelompok sebagai tempat bertalaqqi atau pengajian. Bagi PMRAM, golongan ini sebenarnya tidak memahami peranan yang perlu dimainkan di posisi yang kedua ini.

Aktivis PMRAM yang culas dalam melaksanakan tugasan di peringkat ini bakal melahirkan kelompok yang hanya berfikir tentang diri sendiri. Isu semasa atau kemungkaran yang dilakukan mahasiswa sekeliling tidak diendahkan. Kebajikan yang diajar oleh Islam hanya tinggal teori semata-mata.

Sekiranya virus ini tidak dibendung, masalah pertikaian terhadap aktivis PMRAM akan terus berlaku. Virus ini akan melahirkan golongan yang hanya mampu bercakap lantang tanpa membuktikan dengan tindakan. Padahal Islam itu tidak akan tertegak dengan kata-kata.


AT-TANFIZ

Di peringkat yang terakhir ini, individu atau kumpulan yang telah melalui tahapan dakwah akan memiliki peribadi yang bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Mereka ini bersedia menerima arahan dan melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh pimpinan.

Matlamat utama di peringkat ketiga adalah menjadikan golongan pelaksana ini bersama persatuan mencapai matlamat mencari redho Allah SWT. Kelompok ini akan menjalankan tugas dan amanah demi menonjolkan wajah Islam yang sebenar dalam masyarakat.

Aktivis PMRAM yang berada di posisi ini wajib melakukan amal soleh sebagai bekalan menghadapi ujian yang terbentang di hadapan. Bukan hanya sekadar itu bahkan mereka juga perlu melaksanakan keja-kerja Islam secara berkumpulan. Tugasan yang dilakukan secara 'lone ranger' bakal melahirkan jiwa yang putus asa (futur).

Justeru PMRAM melaksanakan aktiviti seperti mesyuarat, merangka strategi, membuat kajian serta menyusun jadual dan graf pencapaian demi mencapai matlamat yang disasarkan. Aktivis PMRAM yang culas bermain di posisi ini akan menjadikan kesatuan yang dibawa tidak seimbang.

Oleh itu posisi yang ketiga inilah sebenarnya yang akan menentukan pembawakan persatuan kini dan masa hadapan. Tamadun PMRAM akan terbina kukuh dengan pemahaman yang jelas oleh aktivis PMRAM di peringkat ini.

Semoga aktivis PMRAM memahami serta menjalankan tugas di posisi masing-masing demi keseimbangan pembawakan PMRAM pada sesi ini iaitu KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH.


Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

21 Ogos 2010

Ilmuan PMRAM : Selamatkan Ilmu-Ilmu Islam

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalin alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Islam begitu menekankan soal ilmu dan kefahaman dalam kehidupan. Golongan yang mengikut garis panduan Islam pasti akan dimuliakan darjat di sisi Allah SWT. Manakala golongan yang mengambil mudah soal ajaran Islam pasti berada di tingkat bawah sehingga dikategorikan sebagai kelompok yang jahil.

Dalam ilmu fiqh, ulamak as-syafieyah membahagikan perbahasan kepada 4 kategori iaitu:-

1) Perbahasan ibadah
2) Perbahasan muamalah (hubungan interaksi sesama manusia)
3) Perbahasan pernikahan
4) Perbahasan jenayah

Alhamdulillah dengan keberkatan dan anugerah daripada Allah SWT kami akan menghabiskan pembacaan kitab Fath Al-Qarib dalam tempoh terdekat ini. Kitab tersebut mengambil masa hampir 2 tahun untuk dihabiskan pembacaannya secara sedikit demi sedikit. Kitab tersebut dibaca dalam Madrasah Imam As-Syafie setiap hari Sabtu ketika waktu Dhuha.

Untuk makluman pembaca sekalian, satu lagi pengajian baru diadakan di bawah anjuran Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir KPIPM sesi 2010/2011. Kitab yang digunakan ialah " Kitab Al-Buyu' " karangan pelajar-pelajar Habib Zain bin Sumaith di Hadramout Yaman.

Perbahasan fiqh al-muamalah merupakan ilmu yang cukup penting. Tidak ramai di kalangan mahasiswa mahupun mahasiswi yang berminat untuk bergelumang di dalamnya. Hal ini kerana perkara tersebut sebenarnya memerlukan ingatan serta imaginasi yang tinggi ketikamana perbincangan dilakukan.

Sekiranya diteliti ucapan pimpinan Islam Saidina Umar Al-Khattab ketika bersikap tegas terhadap golongan yang ingin berniaga di pasar-pasar Islam

لا يبيح في سوقنا إلا من يفقه و إلا أكل الربا شاء أم أبى

"Tidak harus berjual beli di pasar-pasar kami (Islam) melainkan golongan yang faham dalam agama (mengenai ilmu-ilmu muamalah). Sekiranya ada golongan yang tidak faham, maka pasti akan ada yang terlibat dengan riba sama ada daripada kehendak sendiri atau pun tidak"

Kata-kata Saidina Umar ini melambangkan bertapa peri pentingnya mendalami ilmu muamalah dalam islam. Agak sukar untuk mencari kitab perbahasan fiqh al-muamalah yang membincangkan secara terperinci dan mudah difahami.

Bagi saya kitab ini agak ringkas dan padat dengan isi serta mudah difahami. Pemahaman tentang fiqh as-syafie memang cukup mendalam bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Hadramout Yaman.

Sebelum ini saya membaca kitab At-Takrirat As-Sadidah di tempat yang sama setiap hari Ahad dan Rabu selepas solat maghrib. Sekarang ini masih berada dalam perbahasan darah haid bagi wanita.

Kitab tersebut sempat saya habiskan pembacaan sedikit demi sedikit bersama Al-Fadhil Ustaz Fadhil bin Ismail Al-Yamani suatu ketika dahulu. Saya juga sempat mengambil ijazah sanad daripada beliau ketika majlis khatam yang dibuat pada tahun 2006.

Keadaan sekarang ini sebenarnya menuntut kepada kita untuk menyelamatkan ilmu-ilmu Islam serta menyelamatkan umat manusia dengan Islam. Bukan hanya sekadar berdakwah dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam sahaja. Semoga usaha sekelumit ini akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Bait Muhajirin,
Iskandariah Mesir.

Baca Lagi...

19 Ogos 2010

Nilai Ramadhan Buat Aktivis PMRAM

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Hampir 6 bulan penantian kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sudah pun kita sisipkan doa agar Allah SWT memberi keberkatan kepada umat Islam untuk melakukan amalan soleh pada bulan Rejab dan Sya'ban kerana kedua-dua bulan tersebut merupakan tempoh bagi ganjaran pahala dilipatgandakan.

PMRAM merupakan sebuah persatuan yang berorientasikan program dan aktiviti bagi menunjukkan wajah Islam yang sebenar. Justeru PMRAM menekankan konsep dosa dan pahala ketikamana melaksanakan tugasan dan amanah.

Mereka yang sengaja mengabaikan tugasan dan tanggungjawab pasti menerima dosa serta janji buruk suatu hari kelak. Manakala mereka yang bersungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab pasti menerima ganjaran serta anugerah daripada Allah SWT.

PMRAM tidak menjanjikan elaun atau imbuhan buat pendokong yang bekerja melaksanakan program dan aktiviti. Malahan terkadang pendokong PMRAM pula yang perlu berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Inilah yang PMRAM istilahkan sebagai TARBIYAH yang mendidik petugas-petugas melaksanakan kerja-kerja Islam. Setiap kerja yang dilaksanakan pasti diganjar dengan pahala di akhirat kelak. Sesungguhnya Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.

RAMADHAN AL-MUBARAK

Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan pahala yang berganda oleh Allah SWT. Sekiranya kita meneliti sabda Baginda SAW

من قام رمضان إيمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

"Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu"

Ramadhan adalah peluang keemasan untuk merebut pahala dan ganjaran yang berganda daripada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah kepada-Nya. PMRAM memandang bahawa peluang ini merupakan anugerah buat aktivis-aktivis PMRAM untuk bergerak lebih aktif melaksanakan kerja-kerja Islam.

Manakan tidak, kerja Islam yang dilaksanakan di bulan ini berganda pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain. Menyedari keadaan ini, PMRAM tetap melaksanakan program dan aktiviti di bulan Ramadhan demi membina kesatuan serta pemikiran dikalangan mahasiswa.


MUZAKARAH BERKELOMPOK

Lapar dan dahaga tidak sedikit pun mengganggu aktivis PMRAM (fasilitator) melaksanakan muzakarah berkelompok. Malahan mereka semakin bersemangat untuk melaksanakan medan tarbiyah ini kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah serta kerja Islam.

Bagi aktivis PMRAM muzakarah berkelompok merupakan makanan penguat untuk memberi tenaga melaksanakan kerja-kerja Islam. Padahal realiti kerja Islam itu susah untuk berada dalam keadaan senang dan lenang dihamparkan dengan permaidani yang merah.

MESYUARAT ADALAH IBADAH

Perancangan dan strategi bagi sesuatu aktiviti dirancang dalam permuafakatan mesyuarat. Keputusan hasil perbincangan adalah keputusan yang berkat dan perlu dilaksanakan walaupun terdapat halangan dan cubaan.

Justeru, kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan hanya sekadar bercakap dan berbual tanpa ada perancangan. Maka bagi aktivis PMRAM, lapar dan dahaga tidak menghalang mereka untuk menghadiri dan mengadakan mesyuarat. Malahan mereka lebih bersemangat kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah dan kerja Islam.

TAKLIFAN SEBAGAI AJK PELAKSANA PROGRAM

Kalimah Allah SWT serta syariat Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata dan semangat. Tetapi agenda tersebut akan mencapai matlamat serta hadaf dengan terlaksananya tugasan dan kerja-kerja Islam.

Oleh itu, bagi aktivis PMRAM bulan Ramadhan bukan hanya sekadar mentarbiyah diri untuk tadarus membaca al-quran, solat tahajjud serta solat tarawih bahkan mereka juga menganggap taklifan sebagai ajk pelaksana program adalah sebagai tarbiyah kerana itu adalah ibadah dan kerja Islam.


Sebab itulah PMRAM tetap melaksanakan agenda tarbiyah di bulan Ramadhan dengan menyusun beberapa program seperti Kolokium Ilmuan, Madrasah Saidatina Aisyah, Ifthor Jama'ei bersama BKAN, Pengajian bersama Sheikh Rohimuddin, Daurah Kitab Fiqh As-Shiyam dan lain-lain.

PMRAM memandang ibadah dan tarbiyah bukan hanya sekadar diatas tikar sejadah dan di dalam masjid-masjid. Akan tetapi lebih luas daripada itu. Ayuh kita mengejar pakej tarbiyah yang dijanjikan oleh Allah SWT terutamanya di bulan yang mulia ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,

Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

16 Ogos 2010

Mahasiswi Dan Era Globalisasi


Bismillah ar-Rahman ar-Rahim..

Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM telah pun berlalu. Menyingkap sejarah PMRAM yang berusia 80 tahun, rentetan sejarah pahit manisnya kembali dihayati.Sebagaimana PMRAM, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) juga punya sejarah yang wajar diterokai dan diingati.

Sejak penubuhannya pada tahun 1955 lalu sehingga ke alaf 20 ini, HEWI PMRAM telah pun menjangkau umur 55 tahun. Biarpun jarak perbezaan usianya kurang 25 tahun dari usia PMRAM sekarang, kini HEWI juga mampu berdiri teguh bersama PMRAM ke arah memacu pentadbiran hal ehwal wanita Islam yang menjadi sayap kiri PMRAM dalam menjayakan segenap agenda misi dan visi.

Tanpa sokongan antara satu sama lain,belum tentu PMRAM mahupun HEWI mampu bertahan sehingga ke hari ini. Firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nahl, ayat 97 yang bermaksud :

“ Barangsiapa mengerjakan kebajikan baik lelaki-lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. “

Antara sejarah penting yang perlu diketahui semua ialah revolusi perubahan yang berlaku di dalam HEWI suatu ketika dahulu telah menjana satu perubahan positif dari segi penampilan, syakhsiah dan integriti mahasiswi sehingga arus itu dapat dilihat menonjol baik pada masa kini.

Namun yang demikian,masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa agar mahasiswi acuan Al-Azhar selari dengan era kini malah menepati kaedah syar’ie.

Perkembangan dan peningkatan dapat dilihat dari semasa ke semasa apabila mahasiswi sudah pun mula tampil ke hadapan dalam menepati beberapa keperluan antaranya mengendalikan majlis-majlis, mahir mengendali teknologi audio video, mengetuai program-program selain memberi pengisian di hadapan khalayak umum dan lain-lain lagi.

Walaupun yang demikian bukanlah bermakna mahasiswi sebelum ini tidak berperanan dan ke hadapan akan tetapi peranan yang dimainkan hanya di posisi belakang. Keberanian ini sepatutnya mendapat sokongan daripada semua pihak agar keyakinan mahasiswi terus berganda.

Tidak dinafikan adanya kritikan-kritikan membina didengari malah ianya sentiasa diambil kira dalam pada untuk melihat peranan mahasiswi tidak dibataskan seterusnya digilap dan dibentuk mengikut acuan syariat yang bermanhaj wasotiyah (sederhana). Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :

“ Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan ”

HEWI pada hari ini akan terus meningkatkan prestasi disamping menyahut seruan ke arah proaktif jati diri yang akan terus digemakan di setiap ruang dan peluang yang ada. Kita tidak tegar untuk terus dilabelkan sebagai mahasiswi jumud dan tertutup.

Dakwaan yang mengatakan bahawa mahasiswi Islam tidak boleh maju dan jauh melangkah adalah disebabkan sekatan oleh pihak-pihak tertentu dan langkah sentiasa dikawal dan disekat batas syariat adalah tidak benar sama sekali. Syariat sentiasa meraikan kedudukan wanita malah peranannya amat dipandang tinggi oleh agama.

Kebebasan yang diberikan oleh agama kepada wanita adalah sesuai dan wajar dengan tuntutan keperluan peribadi mahupun selain darinya. Namun yang demikian apa jua peraturan yang digariskan syariat itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan wajib diikuti selaku hamba-Nya yang beriman.

Tahniah saya ucapkan kepada mahasiswi pada hari ini dengan perubahan dan anjakan paradigma yang dilakukan. Ini telah membuktikan bahawa betapa mahasiswi kita bukanlah terlalu jumud seperti yang didakwakan. Biarpun begitu,teruskan memperbaiki setiap kekurangan yang ada agar kita tidak lagi disangkal dan dipandang rendah oleh beberapa pihak. Sama-sama buktikan bahawa mahasiswi Islam juga mampu berdiri sebaris dan ke hadapan dalam membawa panji ummah.

Salam perjuangan,

Nadianabila binti Zainudin,
Ketua Unit Sambutan dan Rehlah,
HEWI PMRAM 2010.

Baca Lagi...

09 Ogos 2010

Jatuh Bangun PMRAM Selaku Gerakan Mahasiswa


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Allah SWT sengaja menyediakan lakaran sejarah jatuh bangun Islam sejak diutuskan nabi Muhammad SAW hingga kini untuk dijadikan kamus pedoman. Walaupun mereka yang membawa agama Islam diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, namun kefahaman yang jelas menjadikan mereka istiqamah dalam membawa risalah Islam.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada usia yang mencecah 80 tahun juga telah mengharungi keadaan yang sama dalam menyatukan suara mahasiswa di bumi Mesir. Semua dugaan dan ujian tersebut ditempuh dengan penuh tabah dan cekal berbekalkan jatidiri yang berada dalam jiwa pimpinan.

Keluaran Warta pada kali ini memaparkan wawancara 4 orang Presiden PMRAM yang masih berada di Mesir ini iaitu

Tahun 2006 - 2007 : Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain

Tahun 2008 : Ustaz Khairul Anuar bin Ismail

Tahun 2009 : Ustaz Abdul Mu'izz bin Muhammad

Tahun 2010 : Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime

Semoga dengan usaha murni ini dapat menjadikan PMRAM sebagai sebuah Gerakan Mahasiswa yang dapat menyatukan semua mahasiswa Islam di Perlembahan Nil ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH



Video Promo Warta daripada PMC

Baca Lagi...

10 Julai 2010

Konsep Taakhi : PMRAM Bertutur Dengan Bahasa Realiti

Sumber : HEWI PMRAM 2010

KAHERAH, 9 Julai - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman menyeru kepada semua BKAN dan DPM agar masing-masing menjayakan konsep taakhi dalam segenap bidang, bukan hanya tertumpu dalam konteks program semata-mata. Beliau yang ditemui di pejabat PMRAM mengingatkan bahawa konsep taakhi yang telah dibina dan dijalinkan di antara BKAN dan DPM dalam 4 zon mempunyai matlamat utama yang tertentu.

Baru-baru ini, selepas pengumuman rasmi pembukaan program yang dilancarkan oleh beliau, satu program taakhi khusus yang dilakukan oleh zon B telah dianjurkan pada 1 Julai di Dewan Rumah Wilayah, Hayyu Sabik. Program tersebut menandakan satu permulaan yang baik dalam memperkasakan lagi konsep taakhi seperti yang dicanang-canangkan oleh PMRAM.

Pada 14 Julai pula, satu program wacana semasa akan dianjurkan oleh PMRAM dengan kerjasama taakhi BKAN zon C iaitu BKAN Johor dan Kedah dalam pendedahan isu semasa mengenai keruntuhan moral mahasiswa kini.

Dan, PMRAM juga akan menganjurkan program bersama Syeikh dalam ceramah Isra' Mikraj dan Bulan Syaaban dengan kerjasama taakhi BKAN zon A iaitu BKAN Terengganu, Perak dan Perlis di Dataran.

Menurut beliau, akan datang konsep taakhi ini diperluaskan lagi bukan hanya dalam konteks program semata-mata. Bahkan dalam konteks kebajikan, thaqafah dan pendidikan terutama konsep taakhi ini mesti dijayakan. Beliau yang merupakan Ketua Lajnah Perancang Dan Panitia PMRAM berkata bahawa setiap BKAN dan DPM tidak dapat tidak mesti menjayakan konsep taakhi ini dengan kerjsama dan pantauan daripada pihak PMRAM.

"Konsep taakhi yang dianjurkan ini ialah untuk sama-sama membina kekuatan "Kita PMRAM" agar kesatuan bersama dapat dibentuk. Di antara matlamat utama dalam konsep taakhi ini ialah dapat berkongsi semua masalah bersama di antara BKAN dan DPM, dan mana-mana BKAN dan DPM yang mempunyai kelebihan dapat menghulurkan bantuan kepada taakhi mereka khasnya" ucap beliau di hadapan beberapa Exco BKAN Johor dan Kedah selepas mengadakan perlawanan persahabatan futsal di antara BP PMRAM, exco BKAN Johor dan exco BKAN Kedah.

Tambah beliau lagi, BKAN dan DPM mesti mengorak langkah bersama dalam mencapai satu-satu kejayaan bersama taakhi meraka, bukannya hanya mementing kejayaan peribadi tanpa menghiraukan kesusahan dan permasalahan yang dihadapi oleh taakhi mereka. Justeru, beliau menyeru agar setiap BKAN dan DPM menjayakan konsep taakhi ini bukan hanya dalam konteks program sahaja, bahkan dalam pelbagai aspek yang dibawa.

Baca Lagi...

09 Julai 2010

Sambungan Pengajian Kitab Fath Al-Qarib


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalin alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Untuk makluman pembaca sekalian, pada 10 Julai 2010 hari Sabtu akan bermulanya Madrasah Imam Syafie di bawah anjuran Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2010. Pengajian tersebut akan bermula pada jam 6.30 pagi di Rumah Terengganu, Haiyu Asyir. Jadual pengajian adalah seperti berikut :

AHAD
: Oleh - Ustaz Khairul Anuar bin Ismail
: Tarbiyatuna Ar-Ruhiyah


ISNIN
: Oleh - Ustaz Mohd. Azrul bin Ismail
: Risalah Al-Mustarsyidin
: Fawaid Makkiyah
: Syarah Matan Al-Baiquniyah


SELASA
: Oleh - Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain
: Hasyiah An-Nafahat


RABU
: Oleh - Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohamad Fadzil
: Nur Al-'Uyun
: Nur Az-Zolam
: Matan As-Sanusi


KHAMIS
: Oleh - Ustaz Abd. Aziz bin Ali
: Fiqh As-Sirah


SABTU
: Oleh - Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime
: Fath Al-Qarib

Saya akan menyambung pembacaan kitab Fath Al-Qarib syarah kepada Matan Abi Syujaq karangan Sheikh Ibnu Qasim Al-Ghazzi pada bab Pembahagian Harta Fai' (Harta yang diperolehi daripada pihak musuh atau orang kafir selain daripada cara peperangan).

Bab ini merupakan bahagian kedua terakhir perbahasan Kitab Al-Jihad. Selepas ini akan masuk perbincangan ulamak pada Kitab Buruan dan Sembelihan (As-Shoidu wa Az-Zabaih). Semoga perbincangan fundimental (turath) ini akan memberi manfaat kepada kita semua.

Baca Lagi...

29 Jun 2010

Pertimbangan Maslahat Mengukur Kematangan Pimpinan

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Dewasa ini, PMRAM menyedari akan peri pentingnya menyediakan mahasiswa-mahasiswa Islam yang unggul lagi meneruskan kelangsungan Islam apabila pulang ke Malaysia kelak. Mereka yang pulang bukan hanya berbekalkan semangat semata-mata tetapi didasari dengan kefahaman yang mendalam.

Sebab itulah PMRAM begitu menekankan ilmu-ilmu fundamental (turath) serta kotemporari (mu'asrah) kepada mahasiswa Islam agar pendapat dan pandangan yang diberikan oleh mereka selari dengan tuntutan agama dan kehendak semasa.

PMRAM bimbang akan golongan yang mempunyai semangat berkobar-kobar tanpa didasari dengan kefahaman yang mendalam. Golongan seperti ini bakal menerima sifat putus asa (futur) apabila terjun ke medan perjuangan yang sebenar.

PMRAM juga bimbang dengan golongan yang hanya mendalami ilmu semata-mata, berhujah dan berdebat tanpa melaksanakan dengan perbuatan. Golongan seperti inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis-aktivis Islam. Ketahuilah bahawa ISLAM TIDAK AKAN TERTEGAK DENGAN KATA-KATA.

Sebagai seorang mahasiswa Islam, kita harus menyedari bahawa alasan yang banyak akan mengurangkan kualiti gerak kerja terutamanya kerja-kerja Islam. Demikian juga sikap berdolak dalih dengan kebenaran demi memburu kepentingan duniawi bahkan sanggup pula mengampu untuk mencari tempat selesa dalam perjuangan kononnya.

Artikel kali ini saya ingin datangkan pandangan ulamak berkenaan pertembungan antara maslahat dengan dalil al-Quran dan hadis. Terkadang pimpinan mengabaikan kaedah yang disusun oleh ulamak menyebabkan keputusan dan pendapat yang diberikan bercanggah dengan syarak. Kefahaman seperti ini begitu penting bagi membina fikrah pimpinan.

Adakah harus untuk kita beramal dengan maslahat padahal dalil al-quran atau hadis melarang perkara tersebut?. Adakah perintah daripada Allah SWT dan Nabi SAW tidak memberi maslahat yang sebenar? Manakah yang perlu didahulukan. Dalil atau maslahat?

PEMBAHAGIAN DALIL ANTARA QAT'IEYAT DAN ZONNIYAT

Secara umumnya dalil al-quran dan hadis terbahagi kepada 2 kategori :

1) Dalil Qat'ie iaitu dalil yang tidak mempunyai makna kedua padanya. Ulamak bersepakat berkenaan hukumnya dan tidak berlaku perselisihan pendapat. Kebiasaannya dalil ini melibatkan perkara usul dalam agama.

2) Dalil Zonni iaitu dalil yang mempunyai lafaz yang boleh diertikan dengan pelbagai makna. Para ulamak mempunyai pandangan yang pelbagai terhadapnya. Mereka berselisih pandangan berkenaan hukum yang terdapat pada dalil tersebut sama ada ia berkaitan dengan "takhsis" , "taqyid" , "majaz" dan lain-lain.

Sebagaimana dalil al-quran dan hadis, maslahat juga terbahagi kepada 2 kategori :

1) Maslahat yang besifat qat'ie iaitu kebaikan yang pasti akan berlaku.

2) Maslahat yang bersifat zonni iaitu kebaikan yang tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Apabila bertembung antara dalil nas (al-quran dan hadis) dengan maslahat maka perlu dilihat kategori kedua-duanya sama ada besifat qat'ie atau zonni.


PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL DAN MASLAHAT

1) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat zonni, maka perlu diamalkan dalil zonni tersebut. Maslahat di sini tidak akan diiktibar oleh syarak.

2) Apabila bertembung antara dalil zonni dengan maslahat yang bersifat qat'ie, maka perlu diutamakan maslahat tersebut. Ini kerana dalil yang bertembung adalah bersifat zonni dan lafaznya boleh diertikan dengan makna yang pelbagai. Hanya maslahat ini sahaja yang dibenarkan oleh syarak beramal dengannya kerana bertembung dengan dalil yang bersifat zonni.

3) Apabila bertembung antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat zonni, maka sudah tentu perlu diutamakan dalil tersebut. Ini kerana maslahat tadi belum tentu boleh mendatangkan kebaikan jika diamalkan.

4) Pertembungan antara dalil qat'ie dengan maslahat yang bersifat qat'ie tidak akan berlaku sama sekali melainkan dalam situasi darurat sahaja. Para ulamak menyebutkan kaedah yang digunapakai apabila berlakunya darurat iaitu

الضرورة تبيح المحظورات

"Situasi darurat akan mengharuskan perkara yang haram"


MASALAH FIQH YANG BERKAITAN PERTEMBUNGAN ANTARA DALIL ZONNI DENGAN MASLAHAT YANG BERSIFAT QAT'IE

Penetapan Harga Barangan Oleh Kerajaan

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang umatnya untuk menetapkan harga barang jualan kerana perkara tersebut akan menimbulkan kezaliman terhadap peniaga. Dalil larangan ini bersifat zonni dan mempunyai maksud yang pelbagai.

Sekiranya kerajaan tidak melakukan penetapan harga, maka peniaga akan mengambil kesempatan memonopoli barangan supaya ia dijual ketika harga melambung. Hal ini menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap pengguna. Dalam situasi begini, kerajaan wajib menetapkan harga walaupun maslahat tersebut bertembung dengan hadis. Lafaz nas tersebut diertikan dengan makna yang sesuai dengan maslahat.

Fatwa Pengagihan Wang Zakat Kepada Yayasan

Ulamak bersepakat mewajibkan seseorang muslim mengeluarkan zakat. Tetapi mereka berselisih pendapat pada kelayakan penerima wang zakat. Berdasarkan dalil dalam Surah At-Taubah ayat 90, hanya terdapat 8 jenis individu sahaja yang layak menerima zakat. Dan dalil ini bersifat zonni.

Pengagihan wang zakat kepada yayasan merupakan suatu maslahat yang bersifat qat'ie. Maka ia dilaksanakan dalam masyarakat manakala dalil dalam surah At-Taubah itu diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.


Hukum Perempuan Bermusafir Tanpa Mahram

Ulamak berselisih pendapat pada hukum perempuan bermusafir tanpa mahram. Berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Islam melarang perkara tersebut. Dan dalil ini bersifat zonni.

Jika diteliti, suasana masyarakat kini menuntut untuk perempuan bermusafir walaupun tanpa mahram dan ia dilihat sebagai maslahat yang bersifat qat'ie. Maka maslahat ini diamalkan dalam masyarakat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulamak seperti aman di sepanjang perjalanan. Dalil yang bersifat zonni diertikan dengan makna yang sesuai dengan keadaan semasa.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Rujukan

1) Dhawabit Al-Maslahat karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti

2) Al-Muwazanah baina Al-Masalih karangan Dr. Ahmad 'Aliyuwi


3) Safar Al-Mar'ah penyusun Mas'ud Sobri

4) Politik Islam karangan Dr. Yusof Al-Qaradhawi.

Baca Lagi...

14 Jun 2010

Gerakan Mahasiswa : BERANI Atas Dasar Kefahaman

Sumber : Minda Presiden PMRAM
www.pmram.org

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan bagi sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Keberanian merupakan akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai salah satu sifat orang mukmin. Berani yang dimaksudkan oleh Islam ialah berani menyatakan kebenaran serta berani untuk mencegah kebatilan.

Tetapi malangnya, sesetengah mahasiswa Islam tidak memahami konsep sebenar keberanian yang diajar oleh Islam. Mereka berani menyatakan kebenaran, tetapi tidak berani mencegah kebatilan yang berlaku di sekeliling. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan tarbiyah.

Mereka berani serta lantang untuk berhujah dan berdebat, tetapi tidak berani untuk melakukan dengan perbuatan. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan ilmuan. Inilah antara penyakit yang menimpa kelompok yang mengaku bahawa mereka adalah aktivis Islam.

Melihat kepada realiti syakhsiah mahasiswa Islam yang berlaku, PMRAM berusaha untuk mengembalikan identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, sifat berani yang ada pada mahasiswa Islam bukanlah berani yang kosong tetapi BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN.

Sebagai mahasiswa Islam, kita sepatutnya berani menyatakan kebenaran pada perkara yang hak serta berani mencegah kebatilan pada perkara yang salah. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah terdahulu sebagai kamus panduan untuk membentuk corak kehidupan di masa hadapan.

ZAMAN RASULULLAH SAW
Jika kita mengimbau kembali sejarah di zaman penurunan wahyu, Nabi Muhammad SAW mengumpul kekuatan para sahabat seramai 313 orang untuk menuju ke Medan Badar demi untuk mengambil kembali harta umat Islam yang dirampas oleh kaum musyrikin Mekah ketika berlakunya penghijrahan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Baginda SAW serta para sahabat demi semata-mata menjaga hak umat Islam yang dirampas. Walaupun kekuatan tentera musyrikin seramai 1000 orang, namun perkara tersebut sedikit pun tidak melunturkan keberanian mereka untuk mendapatkan kembali hak umat Islam kerana mereka adalah golongan yang FAHAM.

PEMERINTAHAN KHULAFA' YANG PERTAMA
Dengan sifat berani dan tegas yang ada pada Saidiana Abu Bakar As-Siddiq RA, beliau memerangi golongan yang enggan membayar zakat dengan melaksanakan hukuman bunuh. Walaupun hukuman tersebut ditegur oleh Saidina Umar Al-Khattab RA, tetapi Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA tetap bertegas kerana beliau FAHAM tentang kehendak dan maksud sabda nabi SAW

"Aku disuruh untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT." (Al-Bukhari dan Muslim)

Beliau melontarkan satu persoalan kepada Saidina Umar Al-Khattab RA sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. "Adakah kamu membezakan antara golongan yang murtad dengan mereka yang menafikan hukum pembayaran zakat?."

SELEPAS KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIYAH
Keberanian dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebabkan kefahaman masyarakat tentang gerakan Islam semakin subur. Walaupun diuji dan ditimpa dengan pelbagai mehnah dan rintangan, tetapi beliau tetap istiqamah dalam meneruskan risalah Rasulullah SAW kerana FAHAM yang ada dalam diri beliau.

Kalaulah bukan dengan kefahaman yang jelas, keberanian yang membara di peringkat awal akan terpadam sedikit demi sedikit. Dan saya yakin, kefahaman yang tidak diterapkan dalam keberanian akan membuahkan hasil natijah yang tidak sempurna.

PENGALAMAN DIRI
Sehingga kini banyak kisah dan pengalaman yang saya lalui mengajar untuk sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang tindakan. Berapa ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan yang bersemangat dan berani suatu ketika dahulu, kini menyendiri tidak mahu terlibat dengan gerakan Islam atau gerakan mahasiswa.


Berapa ramai di kalangan abang-abang yang memberi tarbiyah kepada adik-adik, kini bersalahan dengan apa yang mereka ucapkan suatu ketika dahulu. Sifat berani seperti inilah yang PMRAM istilahkan sebagai 'berani kosong'.

Selaku mahasiswa Islam, sifat berani yang kita tonjolkan adalah berdasarkan kefahaman. Bukanlah hanya semangat semata-mata. Semangat kerja yang membara tanpa kefahaman tidak akan membuahkan istiqamah dalam tindakan. Akhirnya berputus asa dengan sifat berani yang ditunjukkan.

Kefahaman yang mendalam tanpa semangat bekerja tidak akan merubah keadaan mahasiswa sekitarnya. Bahkan golongan inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis Islam. Sifat seperti ini akan menyebabkan timbulnya penyakit dalam gerakan mahasiswa.

Justeru sifat berani yang seringkali PMRAM laungkan adalah BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN kerana inilah sebenarnya identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasululllah SAW kepada umatnya. Inilah unsur yang akan melahirkan sifat istiqamah dalam jiwa aktivis Islam.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime

Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails