29 Januari 2010

Hanya sekadar ini yang saya mampu


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi tempoh saya menghirup udara segar di bumi Malaysia ini. 1 Febuari 2010 merupakan tarikh untuk saya berangkat menuju ke Bumi Anbiyak bagi meneruskan pengajian Ijazah Lanjutan di sana.

Kepada orang-orang taman, pakcik makcik, sahabat-sahabat dan orang-orang Kedah khususnya, hanya sekadar ini sahaja yang saya termampu untuk sumbangkan tenaga Azhari pada kalian. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua di dunia dan di akhirat kelak InsyaAllah

Doakan semoga saya selamat menyambung pengajian di sana kemudian pulang ke tanah air untuk mengisi kemenangan Islam. Banyak lagi tugasan dan tanggungjawab yang perlu saya langsaikan di Perlembahan Nil.

******

3 hari yang lepas, saya sempat mengadakan kelas tafaqquh yang terakhir di Alor Star. Dalam kuliah tersebut teringat saya tentang satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebutkan tentang sifat peribadi muslim apabila berhadapan dengan waktu dan masa.

Hadisnya seperti berikut

من حسن الإسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Maksudnya : Salah satu tanda baiknya Islam pada seseorang itu ialah ianya meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat baginya.

Sepertimana yang disyarahkan oleh Imam Nawawi Rahimahullah, seseorang muslim itu mesti meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat sama ada dalam perbuatannya atau pun percakapannya.

(Selasa, pengajian terakhir di Masjid Maktab Mahmud, Alor Star)

Saya ingin membawa para pembaca khususnya nuqaba' atau naqibat untuk sama-sama kita merenung pesanan nabi Muhammad SAW buat umatnya. Sebagai seseorang yang memimpin usrah dan halaqah tentu sekali kita seolah-olah kekurangan masa untuk bersedia memimpin masyarakat.

Sepuluh langkah lebih ke hadapan perlu di susun supaya kita menjadi golongan yang mampu berkongsi manfaat yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Justeru itu, apabila kita dibentangkan dengan masa dan waktu maka anugerah tersebut perlu dipegang dan dilaksanakan dengan sebaiknya. Apa yang mampu untuk kita berbakti pada masyarakat, buatlah hanya sekadar yang mampu. Semoga ianya menjadi amalan soleh yang berterusan walaupun kita sudah meninggalkan bumi yang fana ini.

Tentu sekali perkara-perkara yang tidak bermanfaat itu adalah perkara-perkara yang diharam oleh Allah SWT seperti berzina, berjudi, merokok, berpasang-pasangan (couple) dan lain-lain.

Ataupun ianya perkara yang diharuskan oleh syarak tetapi tidak bermanfaat untuk dilakukan. Contohnya seperti sembang kosong, melepak, duduk termenung, makan banyak dan sebagainya.

(Isnin, usrah terakhir bersama pimpinan)

Saya yakin sekiranya disenaraikan kerja-kerja yang perlu untuk nuqaba' dan naqibat lakukan, pasti mereka merasakan seolah-olah tidak cukup masa. Kalau boleh tangan yang ada ini biar bertukar menjadi lapan. Masa yang ada sebanyak 24 jam ini bertukar menjadi 34 jam dalam sehari.

Tetapi semua itu adalah angan-angan fantasi yang pasti tidak akan terjadi. Oleh itu seseorang nuqaba' perlu memikirkan cara yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah ini.

Terkenang saya satu kata-kata Al-Imam Hasan Al-Banna yang selalu diucapkan oleh naqib saya iaitu "KEWAJIPAB ITU LEBIH BANYAK DARIPADA MASA YANG ADA".

Oleh itu, gunalah masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk menimba sebanyak-banyak ilmu yang ada kemudian berkongsi dan berbakti pada masyarakat di masa akan datang.

(Darul Sofwah Al-Mukhtarah, rumah sewa Badan Dakwah Maktab Mahmud)

(Darul Ittihad, rumah sewa saya 2004)

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails