28 Mei 2010

Amar Makruf Nahi Mungkar : Cabaran PMRAM dan Mahasiswa Islam


Sumber : Minda Presiden PMRAM 2010
www.pmram.org

Apabila disebut berkenaan amar ma'ruf dan nahi mungkar, ia merupakan satu slogan atau ungkapan yang selalu bermain di bibir mahasiswa Islam di Mesir. Ungkapan tidak ini perlu lagi dihurai panjang lebar oleh pimpinan PMRAM Pusat mahupun PMRAM Cawangan. Bahkan jikalau dibahaskan, pasti huraian yang lengkap dengan dalil daripada al-Quran dan hadis serta teknikal perlaksanaannya bakal diperolehi dari hasil perbincangan tersebut.

Statistik mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil yang menuntut ilmu secara bertalaqqi dengan alim ulamak membelah pelbagai kitab fundamental (turath) serta berdiskusi kitab-kitab kotemporari (mua'sarah) semakin meningkat. Namun begitu, realiti mahasiswa Malaysia di bumi Mesir dewasa ini seolah-olah memberi satu petanda bahawa ilmu yang mereka pelajari daripada masyaikh dan para alim ulamak di sini semakin menurun kualitinya.

Peningkatan statistik mahasiswa Malaysia yang bertalaqqi belum mampu menurunkan graf salah laku hisbah di kalangan mahasiswa Malaysia di sini. Malah, barah salah laku hisbah semakin meruncing dari hari ke hari hingga sampai ke tahap yang kritikal. Kemunkaran yang dilakukan tanpa rasa segan silu terhadap masyarakat sekeliling seoalah-olah tiada setitis pun iman di dada mereka serta sirna cahayanya.

Isu 'couple' dan 'dating' semakin panas dan semakin jelas keadaannya. Begitu ramai yang ingin memuaskan nafsu tanpa mengikut laluan dan landasan yang betul. Masalah tidak terkawalnya ikhtilat tidak syarie juga semakin menjadi-jadi. Aktiviti dan program yang dilakukan sebegitu menjadi perkara yang biasa. Buktinya, lihat saja bermacam-macam gambar dan aksi yang kita temui di dalam sesawang 'facebook' serta blog-blog peribadi. Mereka menganggap bahawa perkara tersebut tidak salah dan berdosa di sisi Islam.

Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, SIAPAKAH yang sanggup untuk melaksanakan tugasan tersebut? Di manakah mereka yang selalu bercakap memberikan idea dan cadangan untuk perlaksanaan amar ma'ruf dan nahi mungkar ini? Di manakah golongan yang selalu mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah golongan tarbiyah?

Bagi golongan yang bertafaqquh dan berakademik. Adakah kalian tidak menyedari situasi keadaan mahasiswa Malaysia kini, khususnya di bumi Mesir?. Bukankah tujuan kalian menuntut ilmu agama adalah untuk beramal?. Sudah tentu jawapan yang akan diberikan adalah positif. Sebenarnya bukan itu jawapan yang PMRAM inginkan, akan tetapi jawapan yang PMRAM mahu adalah berbentuk tindakan dan perlaksanaan. Saya yakin bahawa jawapan yang berbentuk tindakan inilah yang menunjukkan bahawa seseorang itu belajar dan bertafaqquh dengan niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w. "Sesungguhnya seberat-berat azab di hari kiamat nanti adalah bagi golongan alim yang tidak bermanfaat ilmunya". Hadis ini riwayat daripada Saidatina Aisyah Radhiallahu Anha.

Sabda nabi di atas menunjukkan bahawa satu ancaman yang keras daripada Islam kepada golongan yang alim dan bijak pandai semata-mata. Ilmu yang dipelajari disimpan di dalam kitab ataupun digunakan hanya untuk berdebat. Padab hakikatnya, tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar bukan hanya terpundak di atas bahu pimpinan semata-mata bahkan ia juga merupakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t kepada golongan ulamak.

Sehingga kini PMRAM mengalami krisis kekurangan tenaga untuk membasmi kemungkaran yang berlaku. Maksiat yang terjadi bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan memaksa PMRAM untuk bertindak lebih serius dalam menangani masalah ini. Sebab itulah di dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali yang 77 baru-baru ini, PMRAM membawa usul untuk melakukan gerak gempur hisbah di setiap PMRAM Cawangan. 'Team work' atau skuad penguatkuasa hisbah perlu dipertingkatkan setaraf dengan meningkatnya statistik masalah hisbah yang berlaku.


Dalam situasi sebegini, PMRAM Pusat dan Cawangan menyediakan platfom untuk bertindak. Kita memerlukan penggabungan daripada seluruh mahasiswa Islam untuk sama-sama mengatasi gejala sosial ini. PMRAM tidak memerlukan golongan yang bercakap pandai dan berteori, tetapi PMRAM memerlukan golongan yang bertindak dengan perbuatan. Biarlah kita menjadi kumpulan yang kurang bercakap tetapi banyak bertindak.

Sekian

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails