14 Ogos 2011

Intipati Badar : Mempertahankan Hak Yang Dizalimi


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi dan rasul.

Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT akan keampunan bagi hamba-hambanya yang berusaha memohon maghfirah Allah SWT. Sebab itulah intipati daripada bulan tarbiyah ini merupakan sifat TAQWA yang sebati dalam jatidiri umat Islam.

Mengimbau kembali sejarah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW ketikamana selepas berlakunya peristiwa hijrah. Umat Islam ketika itu terus diberi ugutan oleh kaum musyrikin Mekah sehingga segala harta benda, binatang ternakan, ladang dan rumah yang dimiliki oleh kaum Muhajirin dirampas dan dijual di Kota Damsyik, Syam. (Syria)

Abu Sufiyan yang merupakan pemimpin di Mekah ketika itu mengetuai satu kabilah besar membawa barang-barang umat Islam yang dirampas untuk dijual kepada pedagang-pedagang yang lain. Mereka mengharapkan dengan ugutan yang diberikan, umat Islam tidak lagi menyebarkan kalimah "Lailaha illallah, Muhammadur rasulullah".

Umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW di Madinah seolah-olah ingin memberontak menentang siri-siri kezaliman dan ugutan yang diberikan oleh kaum musyrikin Mekah. Akan tetapi, dengan sifat "as-sam'u wa at-tho'ah" (dengar dan patuh arahan) mereka mematuhi arahan Baginda SAW agar bersabar serta menanti wahyu daripada Allah SWT.

Akhirnya turun wahyu dalam surah Al-Baqarah ayat 190-193 yang memerintah agar umat Islam berperang mempertahankan hak mereka yang dizalimi. Maka inilah merupakan faktor utama tercetusnya PEPERANGAN BADAR pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah.

REALITI MAHASISWA ISLAM KINI

Melihat kepada isu-isu yang berlaku terutamanya di Mesir, mahasiswa Islam diberi pelbagai ugutan agar mereka tidak berani menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Seolah-olah terdapat beberapa pihak yang tidak senang dengan perkembangan fikrah Islam dikalangan mahasiswa-mahasiswi.

Isu pembuangan pengajian seorang mahasiswa Islam daripada universiti hanya kerana menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Hal ini merupakan satu kepuasan bagi beberapa pihak yang cuba untuk memecahbelahkan kesatuan yang ada di bumi Mesir ini.

Isu ugutan penarikan zakat merupakan tindakan lapok yang masih digunapakai oleh pihak yang terbabit. Beberapa nama mahasiswa-mahasiswi disenaraihitamkan daripada memperoleh zakat daripada negeri masing-masing.

Mahasiswa yang diberi ugutan pembuangan daripada asrama juga kerana hanya menyampaikan fikrah Islam yang sebenar pada masyarakat. Hasilnya mereka mengharapkan agar tindak-tanduk mahasiswa Islam di mesir perlu mengikut arahan mereka sama ada dengan kehendak atau tidak.

MEMPERTAHANKAN HAK ADALAH AKHLAK ISLAMIYAH

Bersesuaian dengan peristiwa Badar Kubra yang berlaku di bulan Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, intipati yang boleh diterapkan dalam jatidiri mahasiswa Islam ialah mempertahankan hak yang dizalimi.

Masih terdapat sebahagian mahasiswa yang menganggap bahawa sifat mempertahankan hak ini perlu dinyahkan kerana pergaduhan merupakan suatu yang merugikan. Islam mengatakan Ya, memang pergaduhan membawa kerugian.

Akan tetapi sifat mempertahankan hak bukanlah suatu pergaduhan, tetapi ia membuktikan bahawa Islam itu berdaulat. Islam begitu serius menjaga hak umatnya serta menentang kezaliman. Kemungkaran merupakan perkara yang wajib dicegah. Sebab itulah tercetusnya peperangan Badar demi mempertahankan hak umat Islam yang dizalimi.

BANGKITLAH wahai pemuda Islam, SEDARLAH wahai mahasiswa Islam. Jangan biarkan rancangan "pecah perintah mahasiswa Islam" berlaku di bumi Mesir ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Penasihat
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails