15 Jun 2009

PERBAHASAN SUJUD TILAWAH

سم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Sujud merupakan salah satu daripada ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hambanya. Ibadah sujud bermaksud pengabdian diri kepada Allah SWT dengan meletakkan kepala yang dikatakan sebagai suatu yang mulia di tempat yang paling rendah. Iaitu tempat yang menyamai taraf bagi tempat yang dipijak oleh kaki. Hal ini memberi maksud bahawa tidak ada kelebihan yang ada pada manusia melainkan ianya datang daripada Allah SWT. Samada kelebihan dari segi tubuh badan, harta, pangkat, pemikiran dan sebagainya.

Saya diminta untuk menghuraikan secara ringkas berkenaan salah satu ibadah sujud yang terdapat dalam perbahasan kitab-kitab fiqh iaitu sujud tilawah.


SUJUD TILAWAH


Disunatkan sujud tilawah bagi

1. mereka yang membaca al-quran

2. mereka yang terdengar bacaan tersebut (tidak berniat untuk mendengar)

3. mereka yang mendengar bacaan tersebut (berniat untuk mendengar)

Samada mereka yang membaca, terdengar, mendengar tersebut berada dalam keadaan solat atau pun di luar solat.

Hukum tersebut menjadi sunat Muakkad ke atas pendengar apabila mereka yang membaca ayat al-quran tersebut melakukan sujud tilawah.

Terdapat 14 tempat bacaan dalam al-quran yang disunatkan untuk kita melakukan Sujud Tilawah.Iaitu surah An-Najm, Al-Insyiqaq, Al-‘Alaq, Al-‘Araf, Al-Ra’d, An-Nahl, Al-Isra’, Maryam, Al-Furqan, An-Naml, Fussilat dan As-Sajdah, dan 2 tampat dalam surah Al-Hajj.


SYARAT-SYARAT DISUNATKAN SUJUD TILAWAH

Hukum tersebut kekal menjadi sunat apabila terdapat syarat-syarat yang berikut.

1. Bacaan tersebut adalah bacaan yang dibenarkan oleh syarak. Maka bacaan orang yang dalam keadaan berjunub tidak disunat melakukan sujud tilawah.

2. Hendaklah bacaan ayat tersebut adalah sempurna. Tidak membaca sebahagian ayat sahaja.

3. Ayat tersebut hanya dibaca oleh seorang sahaja ketika itu.

4. Ayat tersebut bukan dibaca pada solat Jenazah.

5. Tidak terselang terlalu jauh antara bacaan ayat tersebut dan juga sujud tilawah.

Sekiranya bacaan tersebut tidak memenuhi syarat yang disebutkan maka tidak disunat untuk melakukan sujud tilawah.


PERMASALAHAN SUJUD TILAWAH

Terdapat beberapa masalah yang perlu untuk diberi perhatian dalam masalah Sujud Tilawah ini.

Masalah 1

Adakah disunatkan kita sujud tilawah ketika kita mendengar bacaan ayat sajdah daripada radio atau televisyen?

Jawapan : Sekiranya bacaan tersebut adalah secara siaranlansung, maka disunatkan kepada mereka yang mendengar atau mereka yang terdengar untuk sujud tilawah. Sekiranya bacaan tersebut adalah siaran ulangan atau rakaman program televisyen, maka tidak disunatkan untuk melakukan sujud tilawah.


Masalah 2

Sekirannya makmum tidak melakukan sujud tilawah ketika imam melakukannya, adakah batal solatnya?

Jawapan : Sekiranya perlakuan makmum tersebut adalah dengan tidak sengaja iaitu tidak menyedari bahawa imam itu sujud tilawah, maka solatnya tidak batal. Wajib kepada makmum tersebut mengikut imam ketika menyedari bahawa imam itu melakukan sujud tilawah.


Masalah 3

Apa yang perlu makmum lakukan sekiranya dia tidak mengetahui bahawa imam melakukan sujud tilawah melainkan setelah imam bangun daripada sujud tersebut? Adakah wajib dia melakukan sujud tilawah?

Jawapan : Makmum tidak wajib melakukan sujud tilawah. Hal ini kerana dia mengetahui keadaan tersebut setelah imam bangun daripada sujud tilawah. Wajib kepada makmum tersebut menunggu sehingga imam berdiri semula. Sekiranya makmum tersebut sujud setelah imam bangun, maka batallah solatnya.


Masalah 4

Bagaimana sekiranya imam membaca ayat sajdah dalam keadaan sirriyah? (Contonya dalam solat Zohor dan Asar)

Jawapan : Disunatkan kepada imam untuk melakuan sujud tilawah setelah habis solat. Hal ini kerana perbuatan sujud tilawah dalam solat tersebut (bacaan sirriyah) akan menyebabkan berlaku keraguan kepada makmum yang berada di belakang imam.


Semoga perbahasan ini menjadi satu ilmu tambhan bagi saya dan apa yang saya harapkan bahawa perbahasan ini menjawab persoalan yang ditanya oleh kawan-kawan. Segala yang baik itu daripada Allah SWT, dan segala yang buruk itu daripada kekurangan al-faqir ini. Semoga Allah SWT mengampunkannya.


Wassalam


Rujukan :

1) Kitab Al-Iqna' syarah Matan Abi Syuja' karangan Imam Khatib As-Syirbini

2) Taqrirat As-Sadidah Fi Masail Al- Mufidah karangan Imam Hasan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaff

3) Hasyiah Al-Bujairimi 'ala Al-Iqna' karangan Imam Bujairimi.

Wallahu A’lam
Al-Faqir Ilallah
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Rumah Kedah Haiyu Asyir
Kaherah Mesir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails