Memaparkan catatan dengan label Fikrah Pimpinan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrah Pimpinan. Papar semua catatan

03 Mei 2011

Lagi Kes Pecah Rumah Hari Jumaat : Pencuri Diberkas


KAHERAH 30 April - Satu lagi kejadian kes pecah rumah dilaporkan apabila Asrama Rumah Johor Rab'ah dimasuki pencuri ketika mahasiswa keluar menunaikan solat Jumaat.

Menurut saksi, kecurian tersebut dilakukan oleh 2 orang arab warga tempatan yang mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam asrama akibat pintu pagar yang tidak berkunci.

Mangsa yang tidak mahu namanya dikenali memberitahu pihak PMRAM bahawa ketika beliau pulang daripada menunaikan solat Jumaat, mahasiswi menjerit di tingkat atas asrama memberitahu terdapat pencuri yang sedang turun melalui tangga.

Beliau yang berselisih dengan 2 orang pencuri tersebut sempat menahan mereka daripada melarikan diri membawa sejumlah barang-barang berharga milik mahasiswa.

Tambah beliau, ketika bergaduh di tangga asrama, pencuri tersebut sempat lari meninggalkan 4 buah komputer riba yang cuba dicuri. Mangsa yang berada dalam keadaan panik terus memanggil rakannya yang lain untuk menangkap pencuri tersebut.

Salah seorang pencuri tersebut ditangkap ketika cuba melarikan diri meninggalkan rumah mangsa. Manakala seorang lagi pencuri sempat melarikan diri menaiki motosikal.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime untuk tindakan selanjutnya. Mangsa serta beberapa orang AJKT BKPJM diketuai oleh Presiden PMRAM membuat laporan polis di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr.

Menurut Presiden PMRAM, setelah diteliti, anggaran nilai barang yang hilang melebihi LE 10000. Antaranya ialah 9 buah telefon bimbit, sejumlah wang LE 2270, 2 buah mp3, serta sebuah 'external hard disk' komputer.

Tambahnya lagi, ini merupakan kes kedua pecah rumah yang berlaku pada hari ini. Beliau menggesa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi agar peka dengan keselamatan dengan mengikut pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM.

Baca Lagi...

Kes Pecah Rumah : PMRAM Begitu Serius Menangani Masalah Keselamatan


KAHERAH 30 April - Kejadian kes pecah rumah pada hari Jumaat semakin menjadi-jadi apabila sebuah rumah sewa pelajar Selangor dimasuki pencuri ketika orang ramai nyenyak tidur.

Kecurian yang terjadi berdekatan dengan Suq Sayyarat itu berlaku pada jam 3.45 pagi apabila dipercayai terdapat 2 orang arab tempatan yang masuk secara senyap melalui tingkap dapur serta menggeledah rumah mangsa.

Menurut mangsa yang tidak mahu namanya dikenali, beliau terjaga daripada tidur pada jam 4 pagi untuk menunaikan solat subuh. Ketika melalui ruang dapur, beliau mendapati pencuri tersebut keluar dengan segera melalui tingkap dapur.

Beliau yang berada dalam keadaan panik terus memberitahu rakannya untuk menangkap pencuri tersebut. Malangnya pencuri tersebut begitu licik melarikan diri daripada rumah mangsa.

Tambahnya lagi, pencuri tersebut memotong besi tingkap untuk masuk ke dalam rumah mangsa. Mereka yang berada dalam rumah tersebut tidak menyedari lansung kejadian yang berlaku.

Peristiwa tersebut dilaporkan kepada Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Selepas solat Jumaat, mangsa bersama rakannya terus membuat laporan di balai polis Qisim Awwal Madinah Nasr dengan diketuai oleh Presiden PMRAM sendiri.

"Antara barang-barang yang sempat dicuri ialah 2 buah komputer riba, 1 telefon bimbit serta wang berjumlah kira-kira LE 1500." tambah mangsa.

Menurut Presiden PMRAM, hari jumaat adalah hari kebiasaannya berlaku kes pecah rumah terutamanya ketika mahasiswa keluar menunaikan solat jumaat. Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi perlu meningkatkan sensitiviti mengenai isu keselamatan agar perkarayang sama tidak berulang.

Baca Lagi...

16 April 2011

Kes Samun Dan Kecurian Makin Meningkat, Pertingkatkan Keselamatan


KAHERAH 14 April - Presiden PMRAM 2010 Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menggesa kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi yang berada di Perlembahan Nil ini agar mengikut pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh PMRAM.

Katanya PMRAM sentiasa memantau keselamatan terhadap mahasiswa-mahasiswi agar mereka dapat meneruskan pengajian di Mesir dengan aman dan selesa.

Tambahnya lagi, hari ini terdapat 2 kes yang melibatkan keselamatan nyawa dan harta benda mahasiswa-mahasiswi Malaysia. Pertama kes samun yang berlaku di kawasan penempatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia Haiyu Asyir.

Katanya lagi, ini merupakan kes samun yang ke 3 berlaku selepas kejadian yang sama juga menimpa seorang mahasiswa Selangor dan seorang lagi daripada Melaka.

Menurutnya, kes ke 2 yang berlaku pada hari ini adalah kecurian motosikal milik salah seorang AJKT Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) Saudara Amir bin Bukhari.

Menurut mangsa, beliau menyedari kehilangan motosikalnya apabila hendak keluar daripada rumah sewa yang terletak di Haiyu Asyir menuju ke Rumah Melaka.

Kejadian tersebut dilaporkan ke Pihak Keselamatan Mesir di Qisim Awwal Madinah Nasr oleh Presiden PMRAM serta mangsa pada jam 5.30 petang. Turut hadir sama Timbalan Presiden PMRAM 2010 Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman.

Menurut Presiden PMRAM, sehingga hari ini hampir 20 kejadian yang melibatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia sejak kepulangan mereka sebulan yang lalu.

Oleh itu katanya, pastikan segala kejadian yang melibatkan isu keselamatan yang berlaku perlu dimaklumkan pada Presiden PMRAM serta YDP BKAN dengan segera agar tindakan mencegah perkara tersebut dapat dilakukan dengan segera.

Baca Lagi...

15 April 2011

Cubaan Samun : Keprihatinan PMRAM, BKASM Dan HEP Selangor Mesir


KAHERAH, 14 April - Satu kejadian cubaan samun berlaku sekali lagi pada warga Malaysia di Mesir. Semalam, seorang pelajar Selangor Mohamed Salman Mohd Azam (15 tahun) cuba disamun oleh beberapa warga tempatan arab Mesir.

Kejadian berlaku pada waktu tengah hari, ketika pelajar terbabit baru pulang dari kelas pengajian secara bersendirian. Dia kemudian dihampiri sebuah kereta dan 2 orang warga tempatan tersebut berpura-pura menyatakan dirinya sebagai perisik polis (mabahis) lalu mengajak pelajar terbabit ke dalam kereta tersebut.

Tiba-tiba, kereta terbabit memecut laju akibat terkejut apabila cermin belakang keretanya dilempar dengan batu oleh individu tidak dikenali. Pelajar tersebut kemudian cuba untuk melarikan diri tetapi ditahan beberapa kali oleh penyamun terbabit dan akhirnya menurunkan pelajar tersebut di Suq Sayyarat.

Saudara Mohd Yazid Ahmad, YDP BKASM sejurus mendapat maklumat tersebut daripada PMRAM terus ke rumah mangsa yang terletak di Walidain, Hayyu ‘Asyir. Turut bersama beliau ialah Pegawai HEP Selangor, En Mohd Faryzan Subkhi, TYDP 1 BKASM, saudara Abdul Hakim Sazali dan TSU 1, saudara Mohd Saifullah Abu Bakar.

Dalam masa yang sama, turut kelihatan di rumah mangsa ialah Presiden PMRAM, saudara Shahrizan Mohd Hazimie, Timb. Presiden saudara Muhammad Zuhaili Saiman dan Naib Presiden 1, saudara Mohd Adlan Mokhtarudin, YDP Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir (BKAWM) saudara Mohd Adly Bohari serta ahli BKASM yang lain.


YDP BKASM, saudara Mohd Yazid mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap individu tempatan yang mengaku sebagai perisik polis agar tidak menjadi mangsa samun.

Dalam pada itu, Presiden PMRAM juga turut mengingatkan agar mahasiswa Malaysia di Mesir supaya sentiasa mengambil cakna tentang keselamatan diri dan supaya dapat berhubung terus kepada Presiden PMRAM, YDP BKAN atau Pegawai Anak Negeri sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Selesai melawat mangsa, Pegawai HEP Selangor diiringi saudara Mohd Yazid serta beberapa AJKT BKASM dan Badan Pengurus PMRAM bersama mangsa terbabit ke pejabat polis di Madinah Nasr untuk membuat laporan pada jam 4 petang.

Terima kasih diucapkan kepada PMRAM dan BKASM serta Pegawai HEP Selangor Mesir, En Mohd Faryzan Subkhi atas keprihatinan mereka dalam isu-isu kebajikan ahli khususnya Selangor di Mesir.

Baca Lagi...

04 Februari 2011

"Balik Ke Rumah Selepas Solat Jumaat" - Pihak Keselamatan Mesir


KAHERAH 4 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa seluruh mahasiswa-mahasiswi perlu pulang segera ke rumah masing-masing selepas solat Jumaat pada hari ini.

Tambahnya, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut setelah dihubungi oleh Pihak Keselamatan Mesir yang memesan agar seluruh pelajar Malaysia tidak terlibat dengan aktiviti rusuhan yang berlaku di kediaman masing-masing.
Justify Full
Katanya, PMRAM sentiasa menghubungi Pihak Keselamatan Mesir untuk menerima arahan terkini demi menjada keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir.

Menurutnya, Pihak Keselamatan Mesir mengeluarkan arahan perintah berkurung kepada seluruh masyarakat di Mesir bermula pada jam 5 petang sehingga jam 7 pagi pada hari yang berikutnya.

Katanya lagi, pihak tentera dan polis yang mengawal keselamatan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar arahan tersebut. Hal ini demi menjaga keselamatan masyarakat Mesir yang lain.

Sehubungan itu, Presiden PMRAM memberitahu bahawa arahan yang dikeluarkan oleh PMRAM bukanlah lakonan yang boleh dimain-mainkan atau dipertikai kerana arahan tersebut merupakan arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Mesir.

Baca Lagi...

03 Februari 2011

36 Orang Terkandas Mendapat Bekalan Makanan Ringan


KAHERAH, 3 Feb - PMRAM hari ini terus menabur bakti kebajikan dalam membantu mahasiswa Mesir. Kemelut yang melanda kestabilan politik Mesir sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa urusan tergendala sementara waktu.

Seramai 36 orang mahasiswa Malaysia hari ini dicatatkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk pulang ke destinasi terntentu.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) diketuai Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan, Saudara Mohd Farkhan B Md Zain menyampaikan bekalan makanan ringan kepada mahasiswa Malaysia yang terkandas.

Turut serta dalam misi kebajikan ini Naib Presiden I Saudara Mohd Adlan B Mokhtaruddin dan Naib Presiden II Saudara Mohamad Azlan B Alias di Terminal 3 sebentar tadi. Tinjauan pihak PMRAM mendapati keadaan lapangan terbang sesak dipenuhi dengan penumpang.

Keadaan stabil dan terkawal dengan kawalan pihak keselamatan Mesir dan pengurusan lapangan terbang. Saudara Mohamad Azlan ketika ditemui menyebut bahawa keadaan jalan raya seperti biasa dan kenderaan mula memenuhi jalan untuk meneruskan aktiviti harian.

Baca Lagi...

Mahasiswa Malaysia Digesa Mengikut Arahan Perintah Berkurung

KAHERAH 3 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menggesa seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir agar mengikut arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak PMRAM.

Tambahnya, pekeliling keselamatan tersebut adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan Mesir dan ketenteraan. Sehingga kini, PMRAM sentiasa mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa.

Beliau yang ditemui di pejabat PMRAM berkata, keadaan rusuhan besar-besaran di Mesir memaksa agar seluruh mahasiswa mengikut arahan perintah berkurung pada waktu malam.

"PMRAM sentiasa menghubungi Pihak Keselamatan Mesir bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan arahan perintah berkurung. Arahan ini akan dimaklumkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia dari semasa ke semasa" tegas beliau.

Katanya lagi, walaupun begitu masih lagi terdapat segelintir mahasiswa-mahasiswi yang enggan mengikut pekeliling tersebut menyebabkan mereka dikenakan tindakan oleh pihak ketenteraan.

Baca Lagi...

Krisis Politik Mesir : PMRAM Ucap Terima Kasih Kepada ILMAM


KAHERAH 3 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime mengucapkan jutaan terima kasih terhadap Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) kerana begitu mengambil berat terhadap keadaan dan situasi mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir.

Katanya, pertubuhan tersebut akan menganjurkan solat hajat perdana dan dialog "Selamatkan Mahasiswa Mesir" pada hari Jumaat nanti. Program tersebut akan dilaksanakan selepas solat Maghrib di masjid negeri, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Menurutnya, PMRAM juga bersyukur dengan rakyat Malaysia yang berdoa melakukan solat hajat bagi memastikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan jauh daripada bencana yang menimpa.

Sehingga kini katanya lagi, PMRAM sentiasa memantau kedudukan mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir bagi memastikan mereka berada dalam yang selamat.

"Rusuhan besar-besaran yang berlaku di sini menyebabkan penjenayah mengambil kesempatan untuk mencuri dan merompak barangan di kedai-kedai dan supermarket. PMRAM begitu bimbang sekiranya keadaan ini menular dan akan menyebabkan mahasiswa-mahasiswi Malaysia hidup dalam keadaan yang tidak aman." ujar beliau dalam satu kenyataannya pada hari ini.

Walaubagaimana pun sehingga kini, seluruh mahasiswa-mahasiswi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan yang selamat. Ibu bapa di Malaysia disarankan agar bertenang dan sentiasa doakan kesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir.

Baca Lagi...

02 Februari 2011

Krisis Politik Mesir : PMRAM Terus Bergerak


KAHERAH, 2 Feb - Dalam menghadapi krisis politik berkaitan demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Mesir, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) tetap menjalankan gerak kerja secara kolektif untuk menghadapi apa jua masalah-masalah yang berlaku sepanjang tempoh rusuhan yang telah bermula sejak 28 Januari lepas.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak PMRAM untuk memastikan keadaan mahasiswa-mahasiswi di Mesir terkawal. Segala maklumat dapat disalurkan kepada mereka secara berkesan melalui pimpinan-pimpinan PMRAM Cawangan.

Secara asasnya, gerak kerja di peringkat PMRAM sendiri telah bermula sejak 28hb lagi dan berterusan sehingga ke hari ini.

Pertamanya, PMRAM telah menjadikan pejabat PMRAM sebagai pusat pengumpulan maklumat untuk berbincang dan mengumpul segala laporan yang diterima daripada pelbagai sumber.

Seterusnya, PMRAM sentiasa menyalurkan maklumat yang terkini dan semasa berkaitan keselamatan ahli di Mesir melalui pimpinan-pimpinan PMRAM cawangan.

PMRAM juga sentiasa bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dalam usaha memaksimakan pemusatan maklumat dan arahan. Selain itu PMRAM turut mendapatkan maklumat dari Pihak Keselamatan Mesir.

Segala gerak kerja yang dilakukan ini menandakan bahawa PMRAM optimis untuk membantu seluruh ahli dan memastikan setiap maklumat dapat disebarkan dengan tepat.

Baca Lagi...

Pejabat PMRAM Pusat Tempat Salur Maklumat Kepada YDP BKAN Dan Pengerusi DPM


KAHERAH, 2 Feb - PMRAM mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah darurat yang melanda negara Mesir. PMRAM sepanjang kemelut ini bertindak sebagai pusat maklumat hasil dari kerjasama makluman dari Pihak Keselamatan Mesir, Polis, Tentera dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Maklumat yang diterima akan disaring dan disalurkan melalui seluruh PMRAM Cawangan seterusnya akan disalurkan kepada seluruh ahli.

Melalui saluran dan teknikal ini, maklumat dan makluman dapat disalurkan kepada seluruh ahli yang berada di cawangan masing-masing melalui YDP BKAN dan Pengerusi DPM memandangkan talian telefon secara lansung sahaja yang mampu dilakukan.

Sehingga kini, pemusatan makumat ini masih berjalan dalam menyalurkan maklumat-maklumat terkini kepada seluruh ahli agar penyelarasan maklumat mengenai situasi mahasiswa Malaysia di Mesir ini diselaraskan.

Sebarang maklumat dan informasi, boleh terus kepada Saudara Shahrizan Mohd Hazime, Presiden PMRAM 2010 (+20113771841 - shbanjari_01@yahoo.com) atau Saudara Mohd Farkhan Md Zain, Naib Presiden III (+20142900215 - ibnqamari@yahoo.com.my)

Baca Lagi...

21 Januari 2011

Tahniah Kepada Duta Besar Malaysia Ke Mesir

KAHERAH 20 Januari - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime dalam satu kenyataanya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Duta Besar Malaysia Ke Mesir Dato' Dr. Fakhrudin bin Abdul Mukti di atas penerimaan anugerah darjah dan bintang kebesaran pada hari Ahad lalu.

Katanya, majlis penerimaan anugerah tersebut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-83 Justify Fullkeputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultad Badlishah.

Menurutnya lagi, seramai hampir 90 orang penerima anugerah yang hadir dalam majlis tersebut termasuklah Duta Besar Malaysia Ke Mesir. Di dalam majlis tersebut, beliau menerima anugerah Datuk Setia DiRaja Kedah (DSDK).

PMRAM juga turut berbangga dengan penganugerahan tersebut kerana beliau merupakan salah seorang daripada bekas mahasiswa yang pernah menuntut di Universiti Al-Azhar suatu ketika dahulu.

Selain itu katanya lagi, beliau merupakan salah seorang yang bergiat aktif dengan persatuan disamping mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Beliau pernah memegang jawatan Yang DiPertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) suatu ketika dahulu.

"Sebagai mahasiswa-maasiswi Islam yang menuntut ilmu di Timur Tengah, kita juga sebenarnya berpeluang untuk menjadi sepertimana Dato' Duta sekarang ini. Asalkan kita semua bersungguh-sungguh menuntut ilmu serta bergiat aktif dengan persatuan mahasiswa".

"Ketika pertemuan seluruh YDP BKAN bersama Dato' Duta pada 1 Disember yang lalu, beliau pernah memesan agar menjadikan persatuan sebagai medium untuk melatih kepimpinan" ujar presiden ketika ditemui di pejabat PMRAM.

Baca Lagi...

06 Januari 2011

Taktik Licik Pencuri Menyamar Sebagai 'Mabahis'


KAHERAH, 6 Januari - Salah satu taktik licik yang digunapakai oleh warga Arab tempatan untuk menceroboh masuk ke rumah sewa mahasiswa-mahasiswi Malaysia adalah dengan menyamar sebagai wakil Pihak Keselamatan Mesir.

Taktik ini sering kali digunakan dalam beberapa kecurian termasuklah kejadian yang berlaku pada hari ini.

Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyatakan bahawa, beliau menerima laporan kecurian tersebut daripada Yang DiPertua BKASM Saudara Mohd Yazid bin Ahmad pada jam 9.30 pagi. Kecurian tersebut berlaku di salah sebuah rumah yang didiami oleh mahasiswa Selangor yang terletak berdekatan dengan Masjid Walidain.

Menurut mangsa yang enggan dikenali, kejadian yang berlaku pada jam 8.30 pagi itu bermula apabila terdapat 4 orang warga tempatan yang tidak dikenali mendakwa mereka sebagai wakil Pihak Keselamatan Mesir.

Tambah mangsa lagi, mereka masuk ke dalam rumah tersebut dengan alasan untuk memeriksa barang-barang kelengkapan serta dokumen pengenalan diri mangsa dan rakan-rakan. Kejadian tersebut berlaku kira-kira 20 minit.

Setelah selesai, mangsa bersama rakan yang lain mendapati 6 telefon bimbit, 'broadband' serta wang berjumlah LE 300 lesap dari tempat asal. Jumlah nilai anggaran yang hilang adalah melebihi LE 2600.

Setelah kejadian tersebut, mangsa ditemani oleh Presiden PMRAM serta YDP BKASM bergegas ke Qisim Syurthoh Qismul Awwal Madinah Nasr untuk membuat laporan polis.

Tegas Presiden PMRAM, sekiranya mahasiswa-mahasiswi Malaysia mendapati warga tempatan mendakwa sebagai wakil Pihak Keselamatan Mesir, pastikan mereka menunjukkan kad kuasa terlebih dahulu.

Katanya lagi, segala pemeriksaan rumah sewa mahasiswa oleh Pihak Keselamatan Mesir perlu dimaklumkan kepada Presiden PMRAM. Pastikan kejadian seperti ini tidak lagi berulang dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh PMRAM.

Baca Lagi...

05 Januari 2011

"Jangan Terlibat Dengan Rusuhan" - Pihak Keselamatan Mesir

(gambar selepas kejadian ledakan bom di Iskandariah)

KAHERAH 5 Jan - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd. Hazime meminta kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir untuk tidak terlibat dengan sebarang rusuhan yang diadakan di Mesir.

Beliau menegaskan perkara tersebut ekoran kejadian ledakan bom yang berlaku di hadapan gereja di Sidi Birsh, Iskandariah Mesir baru-baru ini.

Katanya, Pihak Keselamatan Mesir menghubungi beliau dan meminta seluruh mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk tidak melibatkan diri sekiranya berlaku rusuhan oleh warga tempatan.

"Ketika berhubung dengan Pihak Keselamatan Mesir, saya diminta untuk memberi sebarang laporan kejadian yang melibatkan keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia. Oleh itu, sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, terus maklumkan perkara tersebut pada presiden" ujar beliau dalam satu kenyataannya pada hari ini.

Selain itu tambahnya lagi, Pihak Keselamatan Mesir juga menyuruh agar mahasiswa-mahasiswi Malaysia lebih berati-hati ketika keluar daripada rumah dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti paspot, kad matrik universiti atau kad ahli PMRAM.

Beliau menegaskan, sikap culas segelintir mahasiswa-mahasiswi Malaysia untuk membawa dokumen tersebut akan menyusahkan beberapa pihak sekiranya berlaku penangkapan oleh Pihak Keselamatan Mesir.

Menurutnya, kejadian yang mengorbankan 21 nyawa tersebut merupakan suatu yang menyedihkan. PMRAM mengharapkan agar insiden yang berlaku ini bukanlah suatu perancangan yang bertujuan untuk memperlagakan antara 2 agama.

Tambahnya, sesungguhnya Islam mengajar umatnya untuk bersikap toleransi dan saling hormat mengormati antara satu sama lain. Sikap inilah yang PMRAM terapkan dalam setiap pembawakan aktiviti dan program yang dilaksanakan.

Baca Lagi...

01 Januari 2011

PMRAM Sokong Pendirian BKKIMM


KAHERAH 1 Januari - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyokong pendirian Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang tetap menyatakan kebenaran dan hak kepada beberapa pihak berwajib.

Katanya, isu ini terjadi apabila terdapat pihak yang ingin menubuhkan persatuan mahasiswa yang baru dan mengenepikan BKKIMM yang telah lama berjasa terhadap seluruh mahasiswa-mahasiswi Melaka.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Presiden PMRAM memberitahu bahawa beliau yakin, pendirian BKKIMM itu dibuat kerana kebenaran dalam isu yang menimpa BKAN Melaka ini sebenarnya berpihak kepada mahasiswa-mahasiswi Melaka.

"Saya sebenarnya yakin dengan tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswi Melaka yang bangun mempertahankan hak dan maruah mereka di hadapan pihak berwajib. Sikap seperti inilah yang dipuji oleh Islam dan tindakan mereka patut disokong oleh seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir" Ujar beliau ketika diminta mengulas isu yang menimpa BKAN Melaka baru-baru ini.

Pendirian yang diambil oleh BKKIMM ini juga ekoran dinafikan hak pejabat persatuan di rumah Melaka yang baru. Padahal persatuan inilah yang bertungkus lumus sejak tahun 2008 dahulu memohon kepada kerajaan bagi memperolehi rumah Melaka yang dirasmikan baru-baru ini.

Menurutnya, lebih menyedihkan lagi apabila persatuan mahasiswa ini dinafikan kewujudannya tanpa sebarang alasan dan bukti yang kukuh. Isu ini pasti tidak masuk akal bagi mereka yang berfikir secara rasional.

Tambahnya lagi, PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh BKAN dan DPM yang melakukan solat hajat untuk memohon kekuatan bagi BKKIMM menghadapi isu ini lebih-lebih lagi di musim peperiksaan sekarang.

Bagaimanapun menurut beliau lagi, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam yang berada di BKAN dan DPM bagi menyediakan kekuatan untuk membantu BKKIMM menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa sejarah kejayaan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) bagi mendepani tindakan isu pengharaman pasti akan berulang sekiranya seluruh mahasiswa-mahasiswi bersatu membantu BKKIMM.

Baca Lagi...

31 Disember 2010

PMRAM Kecewa Dengan Isu Yang Menimpa BKAN Melaka

KAHERAH 30 Disember - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime melahirkan rasa kekecewaan teradap isu yang menimpa Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Katanya, isu yang berlaku tersebut merupakan isu kemanusiaan yang perlu diketahui umum dan perlu mendapat perhatian di semua peringkat. Bukan hanya sekadar berlegar dikalangan mahasiswa-mahasiswi Melaka sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa isu seumpama ini pernah terjadi pada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) suatu ketika dahulu. Akan tetapi, sifat kesatuan yang ada pada ahli negeri terbabit menyebabkan persatuan baru yang ditubuhkan oleh pihak pegawai terkubur.

Katanya lagi, memahami sejarah yang pernah menimpa mahasiswa-mahasiswi Mesir, PMRAM mahukan sifat bersatu diterapkan di dalam seluruh jiwa mahasiswa-mahasiswi.

"Apabila sifat bersatu ini wujud di dalam jiwa umat Islam, maka tidak mudah bagi pihak musuh untuk menghancurkan kesatuan serta melaksanakan agenda jahat mereka. Dan inilah peranan PMRAM serta BKAN dan DPM bagi membentuk jatidiri mahasiswa Islam di Mesir" Ujar beliau ketika memberi penjelasan isu di Rumah Kelantan Baru.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa terkilan terhadap ucapan Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Mohd Ali bin Rustam yang melemparkan fitnah terhadap PMRAM ketika sesi ramah mesra di rumah Melaka.

Justeru katanya, fitnah seperti yang dilemparkan oleh Ketua Menteri tersebut merupakan isu lapuk yang pernah PMRAM hadapi suatu ketika dahulu. Apa yang penting adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti kebajikan, pendidikan serta meningkatkan pencapaian akademik di kalangan ahli.

Walaubagaimana pun katanya, PMRAM tetap mengambil sikap bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi memudahkan urusan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di bumi Mesir ini. Dan beliau menegaskan bahawa PMRAM merupakan persatuan yang bersifat profesional dan bukan persatuan yang melaksanakan tindakan dengan cara 'kampung'.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan ahli mampu melahirkan jati diri dan integriti di dalam jiwa umat Islam.

Baca Lagi...

13 Disember 2010

Suara Al-Wadi Bakal Bergema Di ACC Hari Ini


KAHERAH, 13 Dis - Ketua Badan Kebudayaan Kesenian dan Sukan PMRAM Saudara Solehuddin bin Mohd Safien menyatakan bahawa kumpulan Al-Wadi PMRAM akan membuat persembahan di Dewan Al-Azhar Conference Centre (ACC) hari ini.

Katanya persembahan yang akan dibuat itu bersempena dengan Majlis Sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan oleh World Association For Al-Azhar Graduates (WAAG).

Menurutnya, PMRAM melahirkan rasa syukur dan bangga kerana kumpulan Al-Wadi yang diberi nafas baru pada tahun ini, semakin meningkat prestasi yang ditunjukkan. Ini merupakan bukti bahawa PMRAM begitu serius dalam menyampaikan dakwah melalui medium nasyid dan hiburan.

Sehubungan itu, kumpulan Al-Wadi juga telah dijemput oleh Persatuan Mahasiswa Thailand pada hari Khamis yang lalu untuk membuat persembahan di Nadi Ijtima' Haiyu Sadis bersempena dengan majlis kenaikan pimpinan yang baru bagi persatuan tersebut.

Menurutnya lagi, kumpulan Al-Wadi PMRAM akan mempersembahkan 3 buah nasyid bahasa arab pada majlis malam ini.

Majlis yang dianjurkan oleh WAAG itu akan bermula pada jam 5 petang. Menurut pihak penganjur, majlis pada malam ini akan dihadiri oleh Imam Al-Akbar Sheikh Al-Azhar Dr Ahmad Toyyib dan beliau akan menyampaikan ucapan bersempena Sambutan Maal Hijrah 1432H.

Baca Lagi...

Kumpulan Nasyid Al-Wadi PMRAM Membuat Persembahan "Yaumul Thaqafi" Thailand


KAHERAH, 9 Dis - Sekian lama hubungan baik yang terjalin antara Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dengan negara luar seperti Indonesia, Thailand dan negara-negara lain memang tidak dinafikan dan hubungan baik berterusan hingga sekarang.

Bertempat di Nadi Ijtimai' Hayyu Sadis, PMRAM yang telah diwakili oleh kumpulan nasyid Al-Wadi telah dijemput untuk membuat persembahan sempena "Yaumul Thaqafi" yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa daripada Thailand. Program yang diadakan ini dibuat serentak dengan kenaikan pimpinan baru persatuan maahsiswa Thailand bagi sesi kali ini.

PMRAM yang diwakili oleh saudara Mohd Solehuddin bin Mohd Safien merangkap Ketua Badan Kebudayaan keseniaan dan Sukan PMRAM diiringi saudara Syed Aisam bin Syed Idris (Ketua Kumpulan Al-Wadi) bersama-sama 7 orang ahli kumpulan Al-Wadi hadir bagi sama-sama memeriahkan program tersebut.

Presiden persatuan mahasiswa Thailand saudara Hasbullah ketika mengulas kedatangan Al-Wadi ke program mereka, beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan berbesar hati dengan kedatangan Al-Wadi. Beliau mengharapkan kerjasama baik antara PMRAM dan persatuan mahasiswa Thailand ini akan sentiasa terjalin.

"Tahniah pada pimpinan baru maahsiswa Thailand dan terima kasih atas jemputan ke program seperti ini",ujar saudara Mohd Solehuddin mohd safien selepas selesai menghadiri program ini.

moga hubungan baik yang telah dibina ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan di antara 2 negara yang berjiran ini sejak sekian lamanya.

Baca Lagi...

03 Disember 2010

Pendaftaran Bukan Penghalang Untuk Menjalinkan Hubungan Baik - Presiden PMRAM

MOHANDISEEN, 2 Dis - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM akan tetap terus menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah walaupun PMRAM berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarkatan Mesir.

Katanya, soal pendaftaran sebenarnya tidak menjadi penghalang kepada PMRAM untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana pihak demi memastikan kebajikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir terjaga.

Menurutnya, PMRAM merupakan persatuan mahasiswa yang menitikberatkan pembawakan agenda akademik dan kebajikan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Mahasiswa yang ada pada masa kini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.

Justeru, PMRAM mengetuai kunjung hormat seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri ke pejabat kedutaan bagi mengadakan pertemuan bersama TYT Duta Prof Madya Dr. Fakhrudin bin Abd. Mokhti.

"PMRAM melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada TYT Duta kerana sudi untuk meluangkan masa bagi mengadakan pertemuan bersama seluruh YDP di setiap peringkat". Ujar beliau ketika ditemui di Pejabat PMRAM.

Katanya lagi, hubungan baik yang telah dibina sebelum ini mesti diteruskan. Beliau memuji pihak KBMK yang turut menyertai gerai pameran Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM (KEKAL) yang diadakan pada awal bulan Ogos bersempena menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia.

Pertemuan yang diadakan kelmarin sebagai bukti bahawa BKAN juga turut menjalinkan hubungan yang kukuh dengan pihak KBMK.

Baca Lagi...

02 Disember 2010

Persatuan Medium Bina Bakat Kepimpinan - TYT Duta


MOHANDISEEN, 1 Dissember - TYT Duta Prof Madya Dr. Fakhrudin bin Abd. Mokhti menyatakan bahawa persatuan merupakan medium yang terbaik untuk melatih bakat kepimpinan.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika pertemuan bersama Presiden PMRAM Shahrizan bin Mohd Hazime serta seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri.

Pertemuan yang bermula jam 11.30 tengah hari tersebut membincangkan permasalahan yang berlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswi terutamanya mahasiswa yang tinggal di Kaherah.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah di sekitar tahun 70an itu menyeru kepada seluruh pimpinan yang hadir untuk menjadikan persatuan sebagai tempat untuk berhubung dengan masyarakat.

"Orang yang hanya hebat dalam akademik dan pelajaran belum tentu dapat menonjolkan diri dalam masyarakat kerana sifat memimpin masyarakat memerlukan cara dan uslub yang tak dipelajari di kuliah. Cara tersebut akan kita perolehi melalui pengalaman memimpin mahasiswa ketika di peringkat universiti". Ujar beliau ketika pertemuan tersebut.

Perbincangan yang mengambil masa selama hampir 3 jam tersebut membuktikan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah begitu serius dalam menangani permasalahan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia di bimi Mesir ini.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut Bendahari Kehormat PMRAM Saudara Firdauz bin Noh yang mengiringi Presiden PMRAM.

Menurut Presiden PMRAM, ini merupakan kunjung hormat seluruh YDP BKAN ke pejabat kedutaan kali yang kedua setelah kunjung hormat yang diadakan pada 4 Mei bersama Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar bin Mohammad.
"PMRAM mengharapkan hubungan yang baik ini akan dapat diteruskan demi menjayakan agenda akademik dan kebajikan terhadap mahasiswa-mahasiswi di Mesir". Ujar beliau ketika ditemui selepas bersurai di pejabat kedutaan.

Baca Lagi...

Pimpinan PMRAM Pusat Dan BKAN Mengadakan Pertemuan Dengan TYT Duta


MOHANDISEEN, 1 Disember – Pimpinan PMRAM dan BKAN telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) untuk bertemu dengan TYT Duta Prof Madya Dr Fakhruddin Bin Abdul Mokhti di Mohandiseen.

Rombongan yang diketuai sendiri oleh Presiden PMRAM saudara Shahrizan Mohd Hazime turut disertai oleh Bendahari Kehormat saudara Firdauz Noh bersama seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).

Prof Madya Dr Fakhruddin bin Abdul Mukti Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir begitu berbesar hati menerima kunjungan rasmi dari pimpinan.

Pertemuan dimulakan dengan sesi berkenalan sesama pimpinan kemudian diikuti sedikit kalam pembukaan daripada TYT Duta Prof Madya Dr Fakhruddin sendiri. Dalam ucapannya beliau mengingatkan peranan dan tanggungjawab mahasiswa Malaysia di Mesir khususnya pelajar-pelajar Al-Azhar untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan dalam pengajian seupaya kelak dapat memberi sumbangan dalam membangunkan negara. Mahasiswa juga perlu bersedia mengisi kekosongan jawatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik khususnya dikalangan warga Azhari.

Beliau turut mengingatkan kepentingan dan kemestian mahasiswa berpesatuan. “PMRAM dan BKAN merupakan medan yang terbaik bagi mahasiswa-mahasiswi melatih bakat kepimpinan dan menimba pengalaman berpesatuan” ujar beliau. TYT Duta Prof Madya juga turut menyebutkan beberapa tokoh-tokoh tanah air yang lahir daripada mahasiswa lepasan Universiti Al-Azhar.

Majlis diteruskan dengan perbincangan terhadap isu-isu yang berlaku di disekitar mahasiswa antaranya isu kebajikan pelajar, isu pendidikan, pengkuliahan, isu keselamatan, dan salah laku pegawai.

Sebelum mengakhiri pertemuan TYT Duta menyatakan keterbukaan beliau untuk saling berbincang dan bertukar pandangan bagi sebarang isu dan permasalahan. Pihak pimpinan turut melahirkan rasa berbesar hati dengan keterlibatan pihak kedutaan dalam program-program mega anjuran PMRAM sebelum ini. Kesempatan berjumpa dengan TYT Duta juga digunakan untuk sesi bergambar dan beramah mesra sebelum bersurai.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails