26 September 2010

Sambungan Kitab At-Takrirat As-Sadidah Di Perak


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah SWT, tuhan bagi sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.Justify Full
Islam mengajar umatnya untuk sentiasa menggunakan masa yang dianugerahkan ke arah syariat Allah SWT. Mereka yang tidak merancang matlamat hidup, tidak akan merasai kenikmatan anugerah masa. Golongan yang merancang pula, harus pandai melaksanakan perancangan tersebut mengikut keadaan suasana sekeliling.

Justeru untuk menjadi seorang mahasiswa yang berfikiran matang, atau pun istilahnya mahasiswa minda kelas pertama, maka mereka perlu menguasai kefahaman FIQH AL-AULWIYAT. Matlamat inilah yang disasarkan oleh PMRAM bagi pembawakan sesi pada kali ini bersesuaian dengan tema "KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH".

Bukan ini sebenarnya yang ingin saya sampaikan, tetapi permakluman tentang sambungan pembacaan kitab fiqh di Rumah Perak Wisma A. Sebenarnya saya akan merasa rugi sekiranya 'post' pada kali ini tidak diselitkan dengan secebis fikrah buat pembaca.

Pada malam ini saya akan menyambung pembacaan kitab At-Takrirat Ad-Sadidah karangan Habib Hasan ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Salim Al-Kaff. Perbincangan akan disambung pada perbahasan "Kitab Al-Haid". Kelas tersebut akan bermula selepas solat Maghrib.

Insyallah dengan izin daripada Allah SWT, kelas tafaqquh ini akan berjalan pada setiap hari Ahad dan Rabu selagimana tidak bertembung dengan program yang dilaksanakan oleh persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).


Semoga usaha yang kecil ini akan diganjarkan oleh Allah SWT dengan balasan syurga dan bidadari di akhirat kelak. Sesungguhnya memahami ilmu fiqh itu adalah lebih utama bagi pimpinan berbanding hafalan semata-mata.

SEMOGA BERETEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM,
Masakin Othman, Madinah Nasr,
Kaherah Mesir.

Baca Lagi...

20 September 2010

Hukum Pengerusi Majlis Di Kalangan Wanita

Sumber : Manhal PMRAM

MUQADDIMAH

Sejak kebelakangan ini, kita melihat peranan wanita dalam memberi sumbangan kepada Islam tidak dapat dinafikan lagi. Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat.

Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita. Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.

Persolannya sekarang, jika Islam membenarkan wanita memberi sumbangan kepada Islam, adakah menjadi pengerusi majlis dalam satu majlis yang disertai oleh lelaki dan perempuan dibolehkan?


PERBINCANGAN

Untuk menjawab persoalan ini, kita boleh kaitkan hukum keharusan mempengerusikan majlis bagi seorang wanita kepada beberapa bahagian seperti berikut :

1) Adakah suara perempuan itu aurat?
2) Batas pandangan seorang lelaki kepada wanita.
3) Percampuran lelaki dan wanita dalam satu majlis adakah dibolehkan?
4) Hukum wanita menjadi wakil rakyat.

1)ADAKAH SUARA WANITA AURAT ?

Syeikh `Atiah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa Al-Azhar) ada memberikan beberapa pandangan beliau dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam ”, ada menyebut; suara bagi seorang wanita ini mempunyai pandangan yang pelbagai, ada yang mengatakan sebagai aurat secara mutlak manakala golongan yang lain mengatakan bukan aurat secara mutlak.

Daripada perbezaan pandangan ini, kita dapat satukan kedua-dua pandangan tersebut kepada beberapa garis panduan yang telah di tetapkan oleh para ulamak seperti berikut :

1) Sesungguhnya suara wanita pada zatnya bukanlah aurat, kerana sekiranya ianya aurat dalam semua keadaan, ianya akan memberatkan sesuatu yang sukar (attaklif fihi `usr). Ini kerana wanita sangat berhajat kepada perbualan dan saling berhubung dengan lelaki dalam urusan yang pelbagai seperti urusan muamalah.

2) Dalam syarah Sohih Muslim disebutkan peristiwa Saiyyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar Al-Khatab melawat Umu Aiman selepas kewafatan Nabi SAW. Ditaqlikkan oleh Imam Nawawi bahawa harusnya lelaki menziarahi wanita dan mendengar suaranya. Bahkan wanita dizaman salaf sentiasa meriwayatkan hadis dan mengajar manusia serta memberikan fatwa mengenai urusan agama.(jilid 13,m/s 10)

3) Imam Ghazali dalam kitabnya Ihyak (jilid 2 m/s 248) menyatakan bahawa suara perempuan selain dari nyanyian tidak dikira sebagai aurat. Bahkan wanita pada zaman sahabat sentiasa malakukan muamalah dengan lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa, bertanya dan bermusyawarah.

4) Banyak dikalangan sahabiah Nabi SAW bertanyakan kepada nabi berkenaan hukum agama ketika sahabat-sahabat nabi yang bukan mahram berada disitu dan nabi tidak menegahnya.

5) Imam Al-Qurtubi mengharuskan bercakap dengan perempuan dan berbual dengan mereka sekiranya ada keperluan.


2) BATAS PANDANGAN SEORANG LELAKI KEPADA WANITA

Dinukilkan daripada Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s263) bahawa aurat seorang perempuan di sisi jumhur ulamak adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua tapak tangannya.

Manakala di sisi Imam Abu Hanifah Dan Al-Muzani kedua tapak kaki tidaklah di kira sebagai aurat bagi seorang perempuan. Maka bolehlah bagi seorang wanita menzahirkan selain daripada auratnya, mengikut batas dan keperluan wanita kepada umum.

Tetapi persolannya, adakah harus bagi seorang lelaki memandang wajah wanita ?

Maka ulamak telah sepakat bahawa pandangan pertama terhadap wanita di hukumkan sebagai dharurat dan di maafkan oleh syarak. Manakala pandangan yang kedua, ulamak berselisihan pendapat terhadap hukumnya.


Secara pasti yang ditegah adalah pandangan berserta dengan syahwat dan keghairahan. Di sini jelaslah kepada kita bahawa hukum melihat seorang wanita pada muka dan telapak tangannya adalah di haruskan.

Tetapi disini ada kaedah syarak yang mengatakan bahawasanya sesuatu yang harus dilarang ketika kuatir berlakunya fitnah sama ada ianya berpunca dari lelaki mahupun wanita. Masalah ini sekiranya ada dalil dan bukti yang kukuh kearah berlakunya perkara tersebut.

3) PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN:

Berkenaan permasalahan ini terdapat beberapa pandangan ulamak mengenai percampuran lelaki dan perempuan:

1) Berkata Syeikh `Atiah Saqar dalam kitabnya “Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam” . Percampuran lelaki dan perempuan yang di tegah adalah di dalam keadaan berkhalwat di antara lelaki dan wanita di tempat yang tertutup dan boleh menimbulkan fitnah.

Adapun percampuran di antara lelaki dan perempuan di tempat umum seperti di pasar, tempat pengajian, pengangkutan awam dan sebagainya tidak dikira sebagai percampuran yang diharamkan walaupun disana ada perbuatan haram yang lain seperti melihat aurat, kata-kata yang menggoda dan berlakunya sentuhan.

2) Berkata Imam Yusof Al-Qardawi dalam kitabnya Fatawa Al-Mu`Asarah (jilid 2 m/s284) Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya bukanlah di tegah, bahkkan ianya harus dan dituntut sekiranya pertemuan dan percampuran itu mempunyai niat yang baik seperti menuntut ilmu, beribadah, perbuatan yang dianggap baik disisi syarak dan sebarang aktiviti yang baik yang memerlukan kerjasama di antara dua pihak.

Tetapi petemuan ini mestilah menjaga adab-adab Islam antara kedua pihak seperti pakaian yang di bolehkan syarak, aurat , suara dan pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan penting sahaja .

Kedua-dua pandangan tersebut jelas kepada kita bahawa keharusan percampuran di antara lelaki dan perempuan jika mempunyai hajat dan urusan yang penting sahaja.


4) HUKUM WANITA MENJADI WAKIL RAKYAT DALAM PARLIMEN

Doktor Ali Jum`Ah (Mufti Kerajaan Mesir) ada menyebut di dalam kitabnya “Fatawa `Asriah” bahawa harus bagi seseorang wanita menjadi wakil rakyat selagi mana ianya boleh membahagikan waktu dan tanggungjawabnya dengan baik antara tugas ahli parlimen dan seorang isteri terhadap suami dan anak-anaknya, itupun sekiranya ada dan selagi mana ianya boleh mengelak daripada musafir, tabarruj,dan khalwat yang tidak syar`ie.

Pendapat ini di kuatkan lagi dengan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad SAW meminta pandangan dan nasihat dari isterinya Ummu Salamah dalam peristiwa Sulhu Hudaibiah ketika sahabat-sahabat nabi S.A.W yang kecewa kerana tidak boleh menunaikan umrah pada tahun tersebut. Ini menunjukkan begitu besar peranan wanita dalam memberikan pendapat di situasi tersebut.

Peristiwa yang kedua, bagaimana peranan yang dimainkan oleh Sayyidatina A’isyah ketika pertelingkahan yang berlaku antara Sayyidina Ali Dan Sayyidina Muawwiyah. Dan beliau juga salah seorang yang yang bergiat aktif memeberikan pandangan dan turut serta di dalam peperangan Sifin tersebut.

** Sekiranya wanita boleh terbabit dalam bidang politik dan di haruskan menjadi sebagai ahli parlimen, maka lebih utama hukum keharusan itu diberikan kepada wanita untuk menjadi pengerusi malis. Ini kerana apabila menjadi wakil rakyat, beliau mestilah sentiasa berada di pentas rakyat dalam mengutarakan pandangan, masalah, bantahan dan sebagainya.

Dalam masa yang sama keterlibatan beliau bersama ahli parlimen lelaki dan kebersamaannya bersama rakyat yang dipimpin olehnya juga memerlukan kepada kekerapan beliau untuk berada disituasi tersebut.

Bahkan semasa menjadi calon pun, sudah semestinya beliau melobi dirinya sendiri untuk memenangi di dalam pilihan raya dihadapan rakyat yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Maka, menjadi seorang pengerusi majlis di kalangan perempuan di dalam sesebuah majlis yang disertai oleh lelaki tidaklah menjadi isu yang besar jika di bandingkan dengan ahli parlimen yang lebih besar peranannya.


KESIMPULAN

Hasil perbincangan diatas, kita boleh simpulkan bahawasanya, hukum bagi seseorang wanita menjadi pengerusi majlis dalam majlis yang disertai oleh lelaki dibolehkan berdasarkan hasil perbincangan tadi . Walaubagaimanapun, keharusan ini bukanlah secara mutlak bahkan perlu kepada garis panduannya seperti berikut :

1. Hendaklah perempuan dan lelaki saling menjaga pandangan mereka. Dalam erti kata, tidak melihat aurat dengan pandangan syahwat, tidak memandang lama tanpa tujuan yang baik. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakalah kepada kaum lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kehormatannya”. (Surah an-Nur: Ayat 30 dan 31)

2. Hendaklah mereka sentiasa memakai pakaian yang menutup aurat. Menurut jumhur ulamak maksud aurat wanita di luar solat ialah :

v Menutup seluruh anggota badan kecuali yang zahir iaitu muka dan tapak tangan.
v Pakaian yang tidak jarang dan nipis sehingga menampakkan warna tubuh dan kulit.
v Pakaian yang longgar dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang zahir sahaja. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada. (Surah an-Nur: Ayat 31)

3. Sentiasa menjaga adab sebagai wanita muslimah dalam semua keadaan khasnya ketika berada di dalam majlis.

a. Perkataan

Hendaklah percakapan suaranya baik dan tidak melunakkan suara kepada orang ramai. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada dalam hatinya. (Surah al-Ahzab: Ayat 32)


b. Berjalan dengan sopan dan tidak menarik perhatian.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.
(Surah an-Nur: Ayat 31).


4. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menaikkan syahwat lelaki seperti berlebih-lebihan memakai wangi-wangian, warna pakaian yang menarik perhatian dan sebagainya.

Garis panduan ini diletakkan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan fitnah yang mungkin terjadi apabila wanita berada dihadapan ketika untuk mempengerusikan majlis. Wallahua’lam.

Disediakan oleh FELO MANHAL PMRAM :

1) Mohamad Sarkawi Bin Mohmad Salleh.
2) Rabiatul Adawiyah Syamsudin

Baca Lagi...

19 September 2010

"Sekarang Adalah Waktu Mengembleng Kekuatan" - Presiden PMRAM

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH 18 SEPT - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM sentiasa menjalinkan hubungan baik dan kerjasama antara pegawai-pegawai KBMK, JPMK dan pegawai-pegawai kebajikan anak negeri.

Tambahnya, hubungan tersebut semakin erat dirasakan apabila masing-masing mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Pertemuan antara pegawai-pegawai dengan Badan Pengurus PMRAM membuktikan lagi bahawa jalinan hubungan peribadi semakin kukuh sesama mereka.

Beliau yang ditemui ketika Majlis Haflah Aidilfitri PMRAM (HATI PMRAM 10) berkata, sekarang merupakan waktu untuk kita mengembleng kekuatan antara satu sama lain. Seharusnya PMRAM sentiasa bekerjasama dengan pegawai-pegawai KBMK, JPMK dan pegawai-pegawai kebajikan anak negeri dari sudut kebajikan, peningkatan pendidikan dan kesatuan mahasiswa-mahasiswi di Mesir ini.

Beliau menegaskan bahawa sekarang bukanlah waktu untuk kita mencari kesalahan masing-masing lalu berperang sesama sendiri. Perkara tersebut akan merugikan masa dan harta umat Islam. Padahal golongan zionis sentiasa mahukan perpecahan antara umat Islam agar mudah bagi mereka menyebarkan pemikiran yang sesat.

Suasana Haflah Aidilfitri PMRAM bertambah ceria dengan kehadiran daripada pegawai kedutaan seperti Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar bin Muhamad, En Shamsul Kahar bin Kamarudin.

Turut hadir memeriahkan suasana Pegawai Johor Ust Mohd Hanif bin Hj Naim, Pegawai Wilayah En. Ahmad Yahya bin Hanif dan Pegawai Kedah Sheikh Yusoff bin Ahmad. Kehadiran mereka bersama keluarga masing-masing disambut baik oleh Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.


Baca Lagi...

16 September 2010

Setiap Peringkat Perlu Laksanakan Tugas Dakwah - Khutbah Raya

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH, 14 September - Ketua Badan Ilmiah dan Penyelidikan PMRAM Saudara Mohd Yusof bin Abd Kadir menyatakan bahawa khutbah Hari Raya Aidilfitri PMRAM baru-baru ini cukup bersemangat dan bertenaga. Beliau menyatakan demikian ketika ditemui menghadiri rumah terbuka PMRAM Cawangan Perak pada hari ini.

Khutbah yang mengambil masa selama hampir 30 minit tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime. Kehadiran ratusan mahasiswa dan mahasiswi menampakkan lagi kemeriahan Solat Hari Raya yang dianjurkan oleh PMRAM bertempat di Masjid Musa An-Nusair, Madinah Nasr.

Semua Badan Pengurus dan HEWI PMRAM turut sama-sama menghadiri solat hari raya tersebut kecuali beberapa orang yang menjadi wakil PMRAM bagi solat hari raya di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).

Di dalam khutbah tersebut, semua hadiri dan hadirat diingatkan supaya melaksanakan kerja-kerja Islam mengikut posisi masing-masing. Hal ini kerana suruhan dakwah oleh Allah SWT tidak mengenal individu. Mereka yang mengucap dua kalimah syahadah perlu melaksanakan tugas dakwah. Asalkan ia dilakukan mengikut keadaan dan situasi masing-masing.

"Kalaulah kita selaku mahasiswa kuliah, maka laksanakan kerja Islam bersesuaikan dengan mahasiswa pengajian Islam. Kalaulah kita selaku mahasiswa perubatan maka laksanakan kerja Islam bersesuaian dengan mahasiswa perubatan. Pimpinan dengan posisinya. Ahli pula dengan gaya dan cara tersendiri. Asalkan semuanya buat kerja dakwah". Ujar Presiden PMRAM 2010.


Beliau juga banyak menyentuh berkenaan isu semasa yang berlaku tidak kira sama ada di Mesir mahupun di Malaysia. Keadaan akhlak dan peribadi masyarakat Malaysia yang semakin parah perlu dibendung lebih-lebih lagi tugas tersebut sebenarnya terpundak pada bahu golongan yang mengaji agama.

Beliau juga menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk bersama mengecam tindakan salah satu penyiaran TV di Malaysia yang menimbulkan sensitiviti umat Islam. Katanya lagi, "Kita melihat seolah-olah pihak yang terbabit cuba menyamakan sambutan Hari Raya ini dengan Perayaan Krismas, Hindu dan Buddha. Perkara tersebut tidak sepatutnya kita berdiam diri. Dan kita mesti bangkit untuk menyatakan kebenaran".

Ujar Ketua BPAP Saudara Muhamad Yusof, mahasiswa dan mahasiswi perlu mengambil intipati dan objektif yang ingin disampaikan oleh Presiden PMRAM di dalam khutbahnya. Kebanyakan isi yang disebut adalah berkaikan dengan isu seputar mahasiswa di Mesir.

Kehadiran beliau sebagai tetamu jemputan ke Rumah Terbuka PMRAM Cawangan Perak disambut baik oleh AJKT.

Baca Lagi...

12 September 2010

PMRAM Mengecam Tindakan Bodoh Terry Jones

Sumber : Web PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir mengutuk tindakan seorang Paderi, Terry Jones di sebuah gereja kecil di Ganesville Florida Amerika Syarikat, kerana ingin menganjurkan Hari Membakar Al-Quran Sedunia.

Walaupun hasrat tersebut telah dibatalkan hari ini setelah mendapat tekanan dan tentangan di seluruh dunia, PMRAM terus komited bahawasanya hasrat tersebut telah melanggari etika keagamaan di seluruh dunia.

Tindakan biadab itu cuba dilakukan sempena memperingati peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001 lalu. Paderi itu yang berada di The Dove World Outreach Center meyalahkan agama Islam kerana menjadi punca kepada peristiwa 11 September.

Acara yang mereka panggil sebagai “International Burn a Quran Day” itu bakal menyalakan lagi semangat anti-Islam atau Islamphobia di kalangan masyarakat dunia.

Dr Yusuf Qardhawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia di dalam rangakaian Al-Jazeera menyebut “Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk mempertahankan kesucian Al-Quran dan penghormatannya. Sewajarnya kita tidak boleh mendiamkan diri dari penghinaaan ini.”

PMRAM juga menyifatkan, usaha yang dimainkan oleh mereka ini adalah untuk menyalakan api permusuhan antara agama.

PMRAM juga yakin perbuatan ini bukanlah melambangkan sikap sebenar orang-orang Krsitian diseluruh dunia. Perbuatan ini adalah perancangan jahat zionis untuk melaga-lagakan antara 2 agama ini.

Sikap Paderi dan pertubuhan The Dove World Outreach Center ini adalah agenda provokatif yang mesti dikecam oleh seluruh masyarakat dunia.

PMRAM menyeru kepada seluruh ahli sentiasa cakna dan mengambil berat terhadap isu semasa yang berlaku lebih-lebih lagi isu yang melibatkan maruah agama yang semakin dipandang rendah pada hari ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010


Baca Lagi...

11 September 2010

Perutusan Aidilfitri Presiden PMRAM 2010

Sumber : Web PMRAM

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين .

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa tarbiyah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui tempoh menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah ke atas umat manusia untuk mengembalikan mereka ke fitrah asal kejadian.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah bagi seluruh umat Islam. Bulan tersebut menyaksikan bahawa seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga. Bukan itu sahaja, bahkan kita juga dituntut untuk menjaga seluruh anggota tubuh daripada melakukan pekara-perkara yang dikeji oleh Allah SWT.

Sebab itulah Allah SWT menerangkan intipati kepada suruhan untuk berpuasa adalah bagi melahirkan umat Islam yang bertaqwa. Mereka adalah golongan yang sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan serta suruhan-Nya. Lihatkan firman Allah SWT,

ياأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Islam tidak hanya menyuruh umatnya berpuasa semata-mata, menahan lapar dan dahaga. Akan tetapi di bulan Ramadhan umat Islam dilatih dan ditarbiyah agar seluruh panca inderanya juga turut berpuasa daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Matanya tidak melihat perkara-perkara yang dikeji Allah SWT. Mulutnya tidak melontarkan kata-kata fitnah terhadap orang ramai. Telinganya tidak mendengar melainkan perkara-perkara yang bermanfaat.

Semua perkara tersebut dijadikan Allah SWT demi melahirkan jiwa umat Islam yang bertaqwa. Dan di antara tanda-tanda sifat taqwa itu bertapak di jiwa umat Islam adalah mereka yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada agama Allah SWT. Bukan itu sahaja, malahan mereka juga sentiasa istiqamah melakukan ibadah kepada Allah SWT. Tidak hanya melakukan ibadah di bulan Ramadhan semata-mata.

Memahami konsep ini, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk menjadi sebenar-benar hamba. Kita bukanlah hamba Ramadhan yang hanya bergiat melaksanakan ibadah di bulan tersebut sahaja dan terputus amalan setelah masuknya bulan Syawal. PMRAM juga tidak pernah mengajar mahasiswa-mahasiswi hanya bergiat melaksanakan kerja-kerja Islam di bulan Ramadhan sahaja.

Akan tetapi, PMRAM menyeru seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk terus istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja Islam, bahkan setelah berakhirnya Ramadhan, kerja-kerja Islam yang dilaksanakan adalah lebih baik dan berkualiti berbanding yang sebelumnya. Perkara inilah yang PMRAM istilahkan sebagai “Hamba Rabbani” iaitu hamba yang tidak pernah menjadikan waktu yang khusus untuk beribadah kepada Allah SWT. Seluruh waktunya siang dan malam adalah ibadah kepada Allah SWT.

Sahabat seakidahku sekalian,

Apabila disebut tanggungjawab dakwah, maka ia merupakan tajuk penting yang memerlukan perhatian kita bersama. Manakan tidak, jalan dakwah bukanlah sepertimana jalan-jalan lain yang dihamparkan dengan permaidani merah. Padahal, jalan dakwah tersebut dipenuhi dengan duri dan halangan yang perlu dihadapi oleh aktivis-aktivis Islam.

Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk bersatu padu dalam melaksanakan kerja dakwah. Dengan kesedaran ini, PMRAM kini dan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi mengikut acuan Islam yang sebenar. Slogan keramat ‘KITA PMRAM’ yang sering dilaungkan menjadi bukti bahawa PMRAM begitu komited dalam membawa agenda taakhi antara BKAN dan DPM.

Biarlah besar mana sekalipun rintangan dan halangan yang dihadapi, sekiranya konsep bersatu yang diterapkan oleh PMRAM disahut baik di semua peringkat pasti segala ujian tersebut mudah dihadapi. Imam Hasan Al-Banna menyebutkan di dalam artikelnya “sesungguhnya kekuatan yang paling utama adalah kekuatan kesatuan”. Cuba perhatikan firman Allah SWT yang membicarakan tentang konsep kesatuan ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah.

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar”


Cuba kita beralih pandangan dengan melihat keadaan yang berlaku di negara kita, Malaysia. Pastinya masih segar dalam ingatan kita bagaimana dewasa kini, negara dan ummah terpaksa berdepan dengan bencana sosial yang melibatkan pelbagai kes seperti penagihan dadah, sumbang mahram, zina, rogol kanak–kanak, buang bayi, rompak, samun, culik dan pembunuhan kejam.

Bukan itu sahaja, kini negara dan ummah juga diuji dengan fahaman-fahaman yang semakin menyesatkan pemikiran. Perkara tersebut diterapkan melalui media massa yang dikuasai oleh pihak-pihak tertentu. Lihatlah bagaimana iklan Aidilfitri yang diterbitkan oleh salah satu stesen penyiaran baru-baru ini. Iklan tersebut seolah-olah menyamakan Aidilfitri dengan unsur Santa Claus dalam sambutan Krismas. Selain itu terdapat juga unsur-unsur daripada agama Hindu dan Buddha. Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk mengecam penyiaran iklan tersebut.

Persoalannya, malapetaka apakah yang sedang melanda ummah dan negara kita? Belenggu apakah yang membebankan ummah sehingga berlaku peningkatan kadar jumlah pesakit jiwa dan mental dalam negara kita? Apakah kini, ummah sedang berada dalam kemurkaan Allah SWT lantaran berleluasanya maksiat dan kemungkaran?

Sebab itulah Saidina Umar Al-Khattab RA memesan kepada umat Islam kesan yang bakal berlaku akibat tidak memahami kemungkaran yang sebenar.

إِنَّمَا تَنْقَضُّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً إِذَا نَشَأَ فِى الْإِسْلَامِ مَن لَا يَعْرِفُ الْجَاهِلِيَّةَ

“Sesungguhnya ikatan Islam itu akan terungkai satu persatu; kesan apabila terdapat orang Islam yang tidak mengenal sifat jahiliyah”.

Justeru, dengan kesedaran ini, PMRAM berasa akan tanggungjawab dalam memelihara dan mendidik jiwa yang berada di bawah naungannya agar benar-benar memiliki sifat peribadi seorang Islam. Kita semua perlu melaksanakan tugasan dan amanah berdasarkan ilmu dan kefahaman. Sangat malang apabila kita hanya menjadi perakam-perakam ilmu yang tegar, sementara peribadinya hancur. Ilmu yang dipelajari hanya sekadar di atas kertas sahaja. Tidak direalisasikan dalam kehidupan seharian.

Sahabat seperjuangan sekalian.

Tarbiyah Ramadhan sebenarnya mengajar umat Islam untuk mengingati saudara-mara kita yang berada di bumi umat Islam yang tertindas. Islam tidak pernah mengajar umatnya hanya berfikir tentang diri sendiri tanpa menghiraukan saudara-mara di sekeliling. Justeru, PMRAM mengajar mahasiswa-mahasiswi untuk sama-sama membantu umat Islam yang ditindas seperti di bumi Palestin. Dengan bahasa realitinya, PMRAM telah berjaya menyerahkan sumbangan hampir LE 25 000 kepada penduduk Palestin sejak kenaikan sesi baru pada bulan April yang lepas. Inilah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini melalui slogan “SATU FIKRAH SATU AMAL”.

PMRAM mengharapkan semoga slogan ini terus dijayakan di setiap peringkat demi melihat seluruh mahasiswa-mahasiswi di Perlembahan Nil ini bersatu di bawah wadah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM. Jadikanlah wadah ini sebagai gerakan mahasiswa yang memperjuangkan agenda kebajikan dan ukhuwah di kalangan kita semua.

Salam Aidilfitri 1431H. Siru ‘ala barakatillah……

Sekian. Wassalam

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd. Hazime,
Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

05 September 2010

Hukum Doa Untuk Orang Bukan Islam

Sumber : Web PMRAM

Doa adalah salah satu bentuk ibadat dalam Islam dan ia berperanan sebagai sikap untuk menzahirkan rasa tunduk dan rendah diri kepada Allah S.W.T. dan sebagai perantara untuk memohon pertolongan daripada Allah S.W.T.

Begitu juga doa adalah salah satu senjata orang Islam ketika dalam keadaan susah dan getir seperti dalam peperangan menentang orang kafir atau ketika kita diserang oleh mereka. Selain itu, kita digalakkan untuk mendoakan kebaikan sesama muslim agar kita semua sentiasa berada dalam naungan rahmat Allah S.W.T.

PERSOALAN

Adakah orang Islam dibenarkan untuk mendoakan kepada orang bukan Islam?

JAWAPAN : Dalam menjawab persoalan ini, para ulama’ telah meletakkan beberapa perbahasan seperti berikut :

1. HARAM – Gambaran doa :-
· Doa kepada orang bukan Islam yang telah meninggal dunia.
· Doa supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat seperti syurga, keredhaan Allah dan sebagainya dalam keadaan mereka masih kafir ketika di dunia.

Ini jelas dengan dalil-dalil di bawah :-

Pertama : Al-Quran

Maksud firman Allah :-
Tiadalah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam. ( Surah At-Taubah 113 )

Berdasarkan ayat ini, jelaslah bahawa Allah S.W.T. melarang Nabi dan orang beriman mendoakan kebaikan kepada orang kafir yang telah meninggal dunia. Ini kerana Allah sama sekali Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkan Allah seperti mana firmanNya dalam Surah An-Nisa’ :

Maksud firman Allah :-
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, Maka Sesungguhnya ia Telah tersesat sejauh-jauhnya.(Surah An-Nisa’ ayat 116)

Begitu juga keadaan yang berlaku kepada Nabi Ibrahim, apabila Allah melarangnya daripada mendoakan dan meminta keampunan bagi ayahnya yang telah jelas kafir seperti firman Allah dalam surah At-Taubah:-

Maksud Firman Allah :-
Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapaknya tidak lain hanyalah Karena suatu janji yang Telah diikrarkannya kepada bapaknya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahwa bapaknya itu adalah musuh Allah, Maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat Lembut hatinya lagi Penyantun.( Surah At-Taubah ayat 114)

Kedua : Hadis Nabi

لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ طَالِبٍ الْوَفَاةُ جَاءَهُ أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ وَعَبْدَ اللَّهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدَ عِنْدَهُ الْمُغِيرَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ لِأَبِي طَالِبٍ يَا عَمِّ قُلْ لَا إِلَهَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ فَقَالَ أَبُو إِلَّا اللَّهُ كَلِمَةً بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ الْمُطَّلِبِ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ قَالَ أَبُو طَالِبٍ آخِرَ مَا وَيَعُودَانِ بِتِلْكَ الْمَقَالَةِ حَتَّى الْمُطَّلِبِ وَأَبَى أَنْ يَقُولَ كَلَّمَهُمْ هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَقَالَ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا وَاللَّهِ تَعَالَى فِيهِ مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ أُنْهَ عَنْكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ ما كان للنبي وَالَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ.

Ertinya : Ketika menjelang kematian Abu Thalib, datanglah Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam dan didapati di samping Abu Thalib ada Abu Jahal bin Hisyam dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah. Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda kepada Abu Thalib: “Pamanku, ucapkanlah Laa ilaha illa Allah, suatu kalimat yang aku akan bersaksi di hadapan Allah ta’aala untuk melindungimu”. Maka Abu Jahal dan Abi Ummayyah berkata: “Hai Abu Thalib, apakah engkau tidak suka dengan agama nenek-moyang kita Abdul Muthallib?” Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam terus mengajak Abu Thalib mengucapkan kalimat tauhid. Dan kedua orang itupun terus mengucapkan kalimat mereka. Sehingga akhir ucapan Abu Thalib adalah ucapan mereka bahwa ia tetap mengikuti agama Abdul Muthallib (menyembah berhala/agama kemusyrikan) dan ia enggan mengucapkan Laa ilaha illa Allah. Maka bersabda Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam: “Demi Allah Ta’ala, akan kumintakan ampunan Allah Ta’ala atasmu selagi Allah Ta’ala tidak melarangnya… lalu Allah Ta’ala menurunkan surah At-Taubah ayat 113.”


ما كان للنبي وَالَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi shollallahu ’alaih wa sallam dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah Ta’ala) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.” (QS At-Taubah ayat 113) - (HR Bukhary 5/146)

Hadis di atas jelas menunjukkan Allah S.W.T. melarang Nabi S.A.W. memohon keampunan kepada mereka yang kafir kepadaNya walaupun mereka di kalangan kaum kerabat baginda sendiri.

Ketiga : Para Ulama’
Imam ibnu Hajar Al-Haitami menulis dalam kitabnya Tuhfatul Muhtaj :-

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertinya : Haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya.

2. HARUS - Gambaran doa :-
· Mendoakan supaya mereka diberikan hidayah oleh Allah S.W.T.
· Kecelakaan dan kebinasaan sekiranya mereka jelas menentang Islam (kafir harbi).

Pertama : Hadis Nabi :-
Imam Bukhari telah meletakkan satu bab membicarakan doa kepada orang musyrikin dengan hidayah semoga masuk Islam.

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ حَدَّثَنَا أَبُو الزِّنَادِ أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ قَالَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَدِمَ طُفَيْلُ بْنُ عَمْرٍو الدَّوْسِيُّ وَأَصْحَابُهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ دَوْسًا عَصَتْ وَأَبَتْ فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهَا فَقِيلَ هَلَكَتْ دَوْسٌ قَالَ اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Telah bercerita kepada kami Abu Al Yaman telah mengabarkan kepada kami Syu'aib telah bercerita kepada kami Abu Az Zanad bahwa Abdur Rahman berkata; Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata: Thufail bin 'Amru Ad-Dausiy dan para sahabatnya mendatangi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam seraya berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya suku Daus telah ingkar kepada Allah dan enggan masuk Islam, untuk itu mohonlah kepada Allah agar mereka dibinasakan". Atau dikatakan kepada Beliau; "Suku Daus telah binasa". Maka Beliau berkata: "Ya Allah, tunjukilah suku Daus dan berikanlah petunjuk kepada mereka"(Riwayat Al-Bukhari )

Begitu juga dalam hadis yang sohih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabat Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh.Kemudian Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”.

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini jelas menunjukkan dibolehkan mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada orang kafir.

Dalam kitab sirah Nabawiyyah terdapat kisah masuk Islamnya Umar bin Khattab Radhiyallahu ’anhu. Ternyata sebelum beliau memperoleh hidayah iman dan Islam Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah SWT agar salah seorang dari dua ketua musyrikin kota Makkah memperoleh hidayah. Doanya seperti dalam hadith di bawah ini:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلَامَ ِأَحَبِّ هَذَيْنِ الرَّجُلَيْنِ إِلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ أَوْ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ

Ertinya : Dari Ibnu Umar Radhiyallahu ’anhu bahawasanya Rasulullah SAW telah berdoa: “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan sebab kecintaan dua lelaki kepadaMu, yaitu dengan sebab ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahl) atau dengan sebab ‘Umar bin Khattab.” (Sunan At-Tirmidz )

Penutup

Prof. Dr Saed Ahmad Al-Masir, pensyarah Universiti Al-Azhar pernah menyebutkan :-

وللتوفيق بين الموقفين نقول‏:‏ إن لكل مقام مقالًا، وحيث تكون الأمور هادئة فالدعاء بالهداية أولى،‏ أما في وقت المعركة وأثناء الهجوم أو الدفاع‏،‏ فالدعاء عليهم هو مقتضى الحال‏.

Ertinya: Bagi titik pertemuan diantara dua pendirian ini kami mengatakan : Sesungguhnya setiap kedudukan ada baginya rencana, dan sekira-kira semua keadaan adalah tenang, maka doa agar mendapat hidayah adalah diutamakan. Adapun pada waktu perang dan semasa menyerang atau mempertahankan diri, maka doa keburukkan keatas mereka merupakan kondisi yang sesuai.

Kesimpulannya, doa kepada orang kafir dibolehkan dalam perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepadanya iaitu supaya dia diberikan hidayah oleh Allah S.W.T. Hal ini menunjukkan betapa besarnya rahmat Allah kepada hambanya, di samping meletakkan beberapa panduan dalam pergaulan antara orang Islam dan bukan Islam.


Disediakan oleh,
Mohd Nazirul Mohd Sabri,
Felo MANHAL PMRAM.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails