04 Februari 2011

Ikuti Perjalanan Proses Pemindahan Mahasiswa Mesir Melalui Web Dan FB


KAHERAH 4 Feb - Ketua Badan Penerbitan dan Penerangan PMRAM Saudara Mohd Faizudin bin Ghazali memberitahu bahawa PMRAM sentiasa mengemaskini maklumat berkenaan proses pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah.

Tambahnya, PMRAM menjadikan pejabat pentadbiran yang terletak di Nasr City sebagai tempat pemusatan segala maklumat yang diterima daripada seluruh cawangan.

Katanya, segala maklumat yang diterima akan dimaklumkan dalam laman web rasmi ini serta facebook rasmi PMRAM Pusat dari semasa ke semasa.

"Hingga hari ini, PMRAM sentiasa memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak Kedutaan Malaysia dengan menghubungi Bilik Gerakan Proses Evakuasi bagi mendapatkan maklumat terkini tentang proses pemindahan pelajar" ujar beliau katika ditemui di pejabat pentadbiran PMRAM.

Menurutnya, selain menghubungi pihak Kedutaan Malaysia, Presiden PMRAM juga sentiasa mendapatkan maklumat berkenaan tahap keselamatan melalui Pihak Keselamatan Mesir.

Katanya lagi, keluarga di Malaysia boleh mengikuti perkembangan proses pemindahan pelajar Mesir ke Jeddah melalui 2 laman rasmi PMRAM ini. Segala pertanyaan boleh dihantar ke emel rasmi PMRAM iaitu pmram30@yahoo.com.

Baca Lagi...

"Balik Ke Rumah Selepas Solat Jumaat" - Pihak Keselamatan Mesir


KAHERAH 4 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa seluruh mahasiswa-mahasiswi perlu pulang segera ke rumah masing-masing selepas solat Jumaat pada hari ini.

Tambahnya, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut setelah dihubungi oleh Pihak Keselamatan Mesir yang memesan agar seluruh pelajar Malaysia tidak terlibat dengan aktiviti rusuhan yang berlaku di kediaman masing-masing.
Justify Full
Katanya, PMRAM sentiasa menghubungi Pihak Keselamatan Mesir untuk menerima arahan terkini demi menjada keselamatan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir.

Menurutnya, Pihak Keselamatan Mesir mengeluarkan arahan perintah berkurung kepada seluruh masyarakat di Mesir bermula pada jam 5 petang sehingga jam 7 pagi pada hari yang berikutnya.

Katanya lagi, pihak tentera dan polis yang mengawal keselamatan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar arahan tersebut. Hal ini demi menjaga keselamatan masyarakat Mesir yang lain.

Sehubungan itu, Presiden PMRAM memberitahu bahawa arahan yang dikeluarkan oleh PMRAM bukanlah lakonan yang boleh dimain-mainkan atau dipertikai kerana arahan tersebut merupakan arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Mesir.

Baca Lagi...

03 Februari 2011

Dr. Yusuf Al-Qardhawi Tegas Menyeru Rakyat Mesir Bangkit


Daha – Infopalestina: Ulama besar Al-Allamah Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang juga ketua Seketriat Ulama Islam Sedunia menggesa rakyat Mesir dari setiap peringkat menuju ke Medan Tahrir untuk bergabung dan bersatu demi mendesak Presiden Mesir Husni Mubarak mundur daripada takhta kerajaan.

Dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh televisyen Aljazeera Qatar kemarin (2 Feb) Qaradhawi menegaskan, "Saya sentiasa mengikuti dan memantau isu yang berlaku di Mesir dan berasa bangga, kerana mereka adalah pemuda yang memiliki jiwa yang bebas serta keimanan dan moral yang tinggi. Sejak dahulu lagi mereka tidak pernah melakukan kezaliman. Mereka keluar mempertikai serta mengecam dan memprotes kezaliman yang dilakukan kerajaan di Mesir selama bertahun-tahun."

Menurutnya, "Namun kami menilai hari demi hari bahawa terdapat kelompok pengacau yang menyerang penunjuk perasaan. Mereka seringkali menakut-nakutkan warga tempatan serta tidak bertanggungjawab terhadap keamanan di bumi Mesir."

"Haram bagi kamu wahai Husni Mubarak membunuh rakyat. Jika kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat, maka sepatutnya kamu menjaga kesejahteraan dan bukan membunuh mereka. Haram bagi kamu membiarkan rakyat dizalimi penjahat." Tegas Qaradhawi yang menyerukan pimpinan di Mesir menjaga rakyatnya.

Kepada penunjuk perasaan di Medan Tahrir, Qaradhawi menegaskan ucapannya dalam pidato, "Tetaplah kalian di medan tersebut, kerana sekarang kalian memilih sama ada hidup mulia atau mati syahid". Beliau juga menyerukan kepada para khatib dan imam agar membela para pemuda-pemuda Mesir yang menentang kezaliman Mubarak di Mesir.

Baca Lagi...

36 Orang Terkandas Mendapat Bekalan Makanan Ringan


KAHERAH, 3 Feb - PMRAM hari ini terus menabur bakti kebajikan dalam membantu mahasiswa Mesir. Kemelut yang melanda kestabilan politik Mesir sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa urusan tergendala sementara waktu.

Seramai 36 orang mahasiswa Malaysia hari ini dicatatkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk pulang ke destinasi terntentu.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) diketuai Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan, Saudara Mohd Farkhan B Md Zain menyampaikan bekalan makanan ringan kepada mahasiswa Malaysia yang terkandas.

Turut serta dalam misi kebajikan ini Naib Presiden I Saudara Mohd Adlan B Mokhtaruddin dan Naib Presiden II Saudara Mohamad Azlan B Alias di Terminal 3 sebentar tadi. Tinjauan pihak PMRAM mendapati keadaan lapangan terbang sesak dipenuhi dengan penumpang.

Keadaan stabil dan terkawal dengan kawalan pihak keselamatan Mesir dan pengurusan lapangan terbang. Saudara Mohamad Azlan ketika ditemui menyebut bahawa keadaan jalan raya seperti biasa dan kenderaan mula memenuhi jalan untuk meneruskan aktiviti harian.

Baca Lagi...

Mahasiswa Malaysia Digesa Mengikut Arahan Perintah Berkurung

KAHERAH 3 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menggesa seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir agar mengikut arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak PMRAM.

Tambahnya, pekeliling keselamatan tersebut adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan Mesir dan ketenteraan. Sehingga kini, PMRAM sentiasa mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa.

Beliau yang ditemui di pejabat PMRAM berkata, keadaan rusuhan besar-besaran di Mesir memaksa agar seluruh mahasiswa mengikut arahan perintah berkurung pada waktu malam.

"PMRAM sentiasa menghubungi Pihak Keselamatan Mesir bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan arahan perintah berkurung. Arahan ini akan dimaklumkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia dari semasa ke semasa" tegas beliau.

Katanya lagi, walaupun begitu masih lagi terdapat segelintir mahasiswa-mahasiswi yang enggan mengikut pekeliling tersebut menyebabkan mereka dikenakan tindakan oleh pihak ketenteraan.

Baca Lagi...

Krisis Politik Mesir : PMRAM Ucap Terima Kasih Kepada ILMAM


KAHERAH 3 Feb - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime mengucapkan jutaan terima kasih terhadap Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) kerana begitu mengambil berat terhadap keadaan dan situasi mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir.

Katanya, pertubuhan tersebut akan menganjurkan solat hajat perdana dan dialog "Selamatkan Mahasiswa Mesir" pada hari Jumaat nanti. Program tersebut akan dilaksanakan selepas solat Maghrib di masjid negeri, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Menurutnya, PMRAM juga bersyukur dengan rakyat Malaysia yang berdoa melakukan solat hajat bagi memastikan mahasiswa-mahasiswi di Mesir sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan jauh daripada bencana yang menimpa.

Sehingga kini katanya lagi, PMRAM sentiasa memantau kedudukan mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir bagi memastikan mereka berada dalam yang selamat.

"Rusuhan besar-besaran yang berlaku di sini menyebabkan penjenayah mengambil kesempatan untuk mencuri dan merompak barangan di kedai-kedai dan supermarket. PMRAM begitu bimbang sekiranya keadaan ini menular dan akan menyebabkan mahasiswa-mahasiswi Malaysia hidup dalam keadaan yang tidak aman." ujar beliau dalam satu kenyataannya pada hari ini.

Walaubagaimana pun sehingga kini, seluruh mahasiswa-mahasiswi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan yang selamat. Ibu bapa di Malaysia disarankan agar bertenang dan sentiasa doakan kesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir.

Baca Lagi...

02 Februari 2011

Krisis Politik Mesir : PMRAM Terus Bergerak


KAHERAH, 2 Feb - Dalam menghadapi krisis politik berkaitan demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Mesir, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) tetap menjalankan gerak kerja secara kolektif untuk menghadapi apa jua masalah-masalah yang berlaku sepanjang tempoh rusuhan yang telah bermula sejak 28 Januari lepas.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak PMRAM untuk memastikan keadaan mahasiswa-mahasiswi di Mesir terkawal. Segala maklumat dapat disalurkan kepada mereka secara berkesan melalui pimpinan-pimpinan PMRAM Cawangan.

Secara asasnya, gerak kerja di peringkat PMRAM sendiri telah bermula sejak 28hb lagi dan berterusan sehingga ke hari ini.

Pertamanya, PMRAM telah menjadikan pejabat PMRAM sebagai pusat pengumpulan maklumat untuk berbincang dan mengumpul segala laporan yang diterima daripada pelbagai sumber.

Seterusnya, PMRAM sentiasa menyalurkan maklumat yang terkini dan semasa berkaitan keselamatan ahli di Mesir melalui pimpinan-pimpinan PMRAM cawangan.

PMRAM juga sentiasa bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dalam usaha memaksimakan pemusatan maklumat dan arahan. Selain itu PMRAM turut mendapatkan maklumat dari Pihak Keselamatan Mesir.

Segala gerak kerja yang dilakukan ini menandakan bahawa PMRAM optimis untuk membantu seluruh ahli dan memastikan setiap maklumat dapat disebarkan dengan tepat.

Baca Lagi...

Pejabat PMRAM Pusat Tempat Salur Maklumat Kepada YDP BKAN Dan Pengerusi DPM


KAHERAH, 2 Feb - PMRAM mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah darurat yang melanda negara Mesir. PMRAM sepanjang kemelut ini bertindak sebagai pusat maklumat hasil dari kerjasama makluman dari Pihak Keselamatan Mesir, Polis, Tentera dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Maklumat yang diterima akan disaring dan disalurkan melalui seluruh PMRAM Cawangan seterusnya akan disalurkan kepada seluruh ahli.

Melalui saluran dan teknikal ini, maklumat dan makluman dapat disalurkan kepada seluruh ahli yang berada di cawangan masing-masing melalui YDP BKAN dan Pengerusi DPM memandangkan talian telefon secara lansung sahaja yang mampu dilakukan.

Sehingga kini, pemusatan makumat ini masih berjalan dalam menyalurkan maklumat-maklumat terkini kepada seluruh ahli agar penyelarasan maklumat mengenai situasi mahasiswa Malaysia di Mesir ini diselaraskan.

Sebarang maklumat dan informasi, boleh terus kepada Saudara Shahrizan Mohd Hazime, Presiden PMRAM 2010 (+20113771841 - shbanjari_01@yahoo.com) atau Saudara Mohd Farkhan Md Zain, Naib Presiden III (+20142900215 - ibnqamari@yahoo.com.my)

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails