Memaparkan catatan dengan label Fikrah Ulamak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrah Ulamak. Papar semua catatan

03 Februari 2011

Dr. Yusuf Al-Qardhawi Tegas Menyeru Rakyat Mesir Bangkit


Daha – Infopalestina: Ulama besar Al-Allamah Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang juga ketua Seketriat Ulama Islam Sedunia menggesa rakyat Mesir dari setiap peringkat menuju ke Medan Tahrir untuk bergabung dan bersatu demi mendesak Presiden Mesir Husni Mubarak mundur daripada takhta kerajaan.

Dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh televisyen Aljazeera Qatar kemarin (2 Feb) Qaradhawi menegaskan, "Saya sentiasa mengikuti dan memantau isu yang berlaku di Mesir dan berasa bangga, kerana mereka adalah pemuda yang memiliki jiwa yang bebas serta keimanan dan moral yang tinggi. Sejak dahulu lagi mereka tidak pernah melakukan kezaliman. Mereka keluar mempertikai serta mengecam dan memprotes kezaliman yang dilakukan kerajaan di Mesir selama bertahun-tahun."

Menurutnya, "Namun kami menilai hari demi hari bahawa terdapat kelompok pengacau yang menyerang penunjuk perasaan. Mereka seringkali menakut-nakutkan warga tempatan serta tidak bertanggungjawab terhadap keamanan di bumi Mesir."

"Haram bagi kamu wahai Husni Mubarak membunuh rakyat. Jika kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat, maka sepatutnya kamu menjaga kesejahteraan dan bukan membunuh mereka. Haram bagi kamu membiarkan rakyat dizalimi penjahat." Tegas Qaradhawi yang menyerukan pimpinan di Mesir menjaga rakyatnya.

Kepada penunjuk perasaan di Medan Tahrir, Qaradhawi menegaskan ucapannya dalam pidato, "Tetaplah kalian di medan tersebut, kerana sekarang kalian memilih sama ada hidup mulia atau mati syahid". Beliau juga menyerukan kepada para khatib dan imam agar membela para pemuda-pemuda Mesir yang menentang kezaliman Mubarak di Mesir.

Baca Lagi...

19 November 2010

Muqaddimah Qawaid Fiqhiyah Selepas Khatam Fath Al-Qarib


Assalamualaikum

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Bersyukur kehadrat Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat ISTIQAMAH dalam mempelajari ilmu agama serta berusaha untuk mengamalkannya. Sesungguhnya Islam mengajar umatnya agar berterusan melakukan kerja-kerja Islam walaupun sedikit.

Sebab itulah para hukamak pernah menyebutkan bahawa sifat istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah. Sikap para wali Allah SWT tidak pernah meminta supaya mereka mendapat karamah daripada Tuhannya. Akan tetapi mereka bermohon agar diberikan anugerah kelazatan serta kenikmatan beribadah kepada Allah SWT.

Jesteru Allah SWT menyatakan di dalam al-quran 3 anugerah yang yang akan diberikan kepada hamba-hambaNya yang ISTIQAMAH beriman kepadaNya.

1) Sifat berani
Mereka yang istiqamah akan mempunyai keyakinan diri dan motivasi yang tinggi. Oleh itu segala ujian yang menimpa bakal dilalui dengan jiwa yang besar.

2) Sifat tenang
Golongan yang istiqamah mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa semua yang terjadi adalah taqdir daripada Allah SWT. Oleh itu mereka tidak akan cepat berputus asa, mengeluh, mahupun mengangkat diri berlebih-lebihan.

3) Optimis
Golongan ini mempunyai matlamat yang jelas di hadapan. Oleh itu segala tindakan yang dilakukan adalah mengikut kepada garis panduan syarak serta perancangan yang terperinci,

Alhamdulillah sehingga ke hari ini, kami dianugerahkan oleh Allah SWT kesempatan untuk mengkhatamkan pembacaan kitab Fath Al-Qarib iaitu kitab fiqh syarahan kepada Matan Abi Syujak.

Saya memulakan pembacaan kitab tersebut pada bulan Ogos 2008 di dalam Madrasah Imam As-Syafie anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2008. Berkat istiqamah yang dianugerahkan Allah, kami mengkhatamkan kitab tersebut pada 14 November 2010.

Bagi meneruskan agenda fikrah ilmuan ini, insyallah kami akan menyambung perbincangan dalam Madrasah Imam As-Syafie dengan kitab yang baru iaitu Ad-Durar Al-Bahiyah fi idhah Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Muqaddimah pembacaan akan dimulakan pada 20 November 2010. Selepas ini saya akan ceritakan sebab pemilihan kitab tersebut selepas tingkatan pembacaan kitab fiqh.

Semoga perkongsian yang sederhana ini akan diredhoi oleh Allah SWT serta mendapat rahmat dan kasih sayangNya.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Pejabat PMRAM, Masakin Osman,
Kaherah, Mesir.

Baca Lagi...

26 September 2010

Sambungan Kitab At-Takrirat As-Sadidah Di Perak


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah SWT, tuhan bagi sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.Justify Full
Islam mengajar umatnya untuk sentiasa menggunakan masa yang dianugerahkan ke arah syariat Allah SWT. Mereka yang tidak merancang matlamat hidup, tidak akan merasai kenikmatan anugerah masa. Golongan yang merancang pula, harus pandai melaksanakan perancangan tersebut mengikut keadaan suasana sekeliling.

Justeru untuk menjadi seorang mahasiswa yang berfikiran matang, atau pun istilahnya mahasiswa minda kelas pertama, maka mereka perlu menguasai kefahaman FIQH AL-AULWIYAT. Matlamat inilah yang disasarkan oleh PMRAM bagi pembawakan sesi pada kali ini bersesuaian dengan tema "KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH".

Bukan ini sebenarnya yang ingin saya sampaikan, tetapi permakluman tentang sambungan pembacaan kitab fiqh di Rumah Perak Wisma A. Sebenarnya saya akan merasa rugi sekiranya 'post' pada kali ini tidak diselitkan dengan secebis fikrah buat pembaca.

Pada malam ini saya akan menyambung pembacaan kitab At-Takrirat Ad-Sadidah karangan Habib Hasan ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Salim Al-Kaff. Perbincangan akan disambung pada perbahasan "Kitab Al-Haid". Kelas tersebut akan bermula selepas solat Maghrib.

Insyallah dengan izin daripada Allah SWT, kelas tafaqquh ini akan berjalan pada setiap hari Ahad dan Rabu selagimana tidak bertembung dengan program yang dilaksanakan oleh persatuan Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).


Semoga usaha yang kecil ini akan diganjarkan oleh Allah SWT dengan balasan syurga dan bidadari di akhirat kelak. Sesungguhnya memahami ilmu fiqh itu adalah lebih utama bagi pimpinan berbanding hafalan semata-mata.

SEMOGA BERETEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM,
Masakin Othman, Madinah Nasr,
Kaherah Mesir.

Baca Lagi...

21 Ogos 2010

Ilmuan PMRAM : Selamatkan Ilmu-Ilmu Islam

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalin alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Islam begitu menekankan soal ilmu dan kefahaman dalam kehidupan. Golongan yang mengikut garis panduan Islam pasti akan dimuliakan darjat di sisi Allah SWT. Manakala golongan yang mengambil mudah soal ajaran Islam pasti berada di tingkat bawah sehingga dikategorikan sebagai kelompok yang jahil.

Dalam ilmu fiqh, ulamak as-syafieyah membahagikan perbahasan kepada 4 kategori iaitu:-

1) Perbahasan ibadah
2) Perbahasan muamalah (hubungan interaksi sesama manusia)
3) Perbahasan pernikahan
4) Perbahasan jenayah

Alhamdulillah dengan keberkatan dan anugerah daripada Allah SWT kami akan menghabiskan pembacaan kitab Fath Al-Qarib dalam tempoh terdekat ini. Kitab tersebut mengambil masa hampir 2 tahun untuk dihabiskan pembacaannya secara sedikit demi sedikit. Kitab tersebut dibaca dalam Madrasah Imam As-Syafie setiap hari Sabtu ketika waktu Dhuha.

Untuk makluman pembaca sekalian, satu lagi pengajian baru diadakan di bawah anjuran Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir KPIPM sesi 2010/2011. Kitab yang digunakan ialah " Kitab Al-Buyu' " karangan pelajar-pelajar Habib Zain bin Sumaith di Hadramout Yaman.

Perbahasan fiqh al-muamalah merupakan ilmu yang cukup penting. Tidak ramai di kalangan mahasiswa mahupun mahasiswi yang berminat untuk bergelumang di dalamnya. Hal ini kerana perkara tersebut sebenarnya memerlukan ingatan serta imaginasi yang tinggi ketikamana perbincangan dilakukan.

Sekiranya diteliti ucapan pimpinan Islam Saidina Umar Al-Khattab ketika bersikap tegas terhadap golongan yang ingin berniaga di pasar-pasar Islam

لا يبيح في سوقنا إلا من يفقه و إلا أكل الربا شاء أم أبى

"Tidak harus berjual beli di pasar-pasar kami (Islam) melainkan golongan yang faham dalam agama (mengenai ilmu-ilmu muamalah). Sekiranya ada golongan yang tidak faham, maka pasti akan ada yang terlibat dengan riba sama ada daripada kehendak sendiri atau pun tidak"

Kata-kata Saidina Umar ini melambangkan bertapa peri pentingnya mendalami ilmu muamalah dalam islam. Agak sukar untuk mencari kitab perbahasan fiqh al-muamalah yang membincangkan secara terperinci dan mudah difahami.

Bagi saya kitab ini agak ringkas dan padat dengan isi serta mudah difahami. Pemahaman tentang fiqh as-syafie memang cukup mendalam bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Hadramout Yaman.

Sebelum ini saya membaca kitab At-Takrirat As-Sadidah di tempat yang sama setiap hari Ahad dan Rabu selepas solat maghrib. Sekarang ini masih berada dalam perbahasan darah haid bagi wanita.

Kitab tersebut sempat saya habiskan pembacaan sedikit demi sedikit bersama Al-Fadhil Ustaz Fadhil bin Ismail Al-Yamani suatu ketika dahulu. Saya juga sempat mengambil ijazah sanad daripada beliau ketika majlis khatam yang dibuat pada tahun 2006.

Keadaan sekarang ini sebenarnya menuntut kepada kita untuk menyelamatkan ilmu-ilmu Islam serta menyelamatkan umat manusia dengan Islam. Bukan hanya sekadar berdakwah dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam sahaja. Semoga usaha sekelumit ini akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Bait Muhajirin,
Iskandariah Mesir.

Baca Lagi...

19 Ogos 2010

Nilai Ramadhan Buat Aktivis PMRAM

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Hampir 6 bulan penantian kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sudah pun kita sisipkan doa agar Allah SWT memberi keberkatan kepada umat Islam untuk melakukan amalan soleh pada bulan Rejab dan Sya'ban kerana kedua-dua bulan tersebut merupakan tempoh bagi ganjaran pahala dilipatgandakan.

PMRAM merupakan sebuah persatuan yang berorientasikan program dan aktiviti bagi menunjukkan wajah Islam yang sebenar. Justeru PMRAM menekankan konsep dosa dan pahala ketikamana melaksanakan tugasan dan amanah.

Mereka yang sengaja mengabaikan tugasan dan tanggungjawab pasti menerima dosa serta janji buruk suatu hari kelak. Manakala mereka yang bersungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab pasti menerima ganjaran serta anugerah daripada Allah SWT.

PMRAM tidak menjanjikan elaun atau imbuhan buat pendokong yang bekerja melaksanakan program dan aktiviti. Malahan terkadang pendokong PMRAM pula yang perlu berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Inilah yang PMRAM istilahkan sebagai TARBIYAH yang mendidik petugas-petugas melaksanakan kerja-kerja Islam. Setiap kerja yang dilaksanakan pasti diganjar dengan pahala di akhirat kelak. Sesungguhnya Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.

RAMADHAN AL-MUBARAK

Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan pahala yang berganda oleh Allah SWT. Sekiranya kita meneliti sabda Baginda SAW

من قام رمضان إيمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

"Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu"

Ramadhan adalah peluang keemasan untuk merebut pahala dan ganjaran yang berganda daripada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah kepada-Nya. PMRAM memandang bahawa peluang ini merupakan anugerah buat aktivis-aktivis PMRAM untuk bergerak lebih aktif melaksanakan kerja-kerja Islam.

Manakan tidak, kerja Islam yang dilaksanakan di bulan ini berganda pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain. Menyedari keadaan ini, PMRAM tetap melaksanakan program dan aktiviti di bulan Ramadhan demi membina kesatuan serta pemikiran dikalangan mahasiswa.


MUZAKARAH BERKELOMPOK

Lapar dan dahaga tidak sedikit pun mengganggu aktivis PMRAM (fasilitator) melaksanakan muzakarah berkelompok. Malahan mereka semakin bersemangat untuk melaksanakan medan tarbiyah ini kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah serta kerja Islam.

Bagi aktivis PMRAM muzakarah berkelompok merupakan makanan penguat untuk memberi tenaga melaksanakan kerja-kerja Islam. Padahal realiti kerja Islam itu susah untuk berada dalam keadaan senang dan lenang dihamparkan dengan permaidani yang merah.

MESYUARAT ADALAH IBADAH

Perancangan dan strategi bagi sesuatu aktiviti dirancang dalam permuafakatan mesyuarat. Keputusan hasil perbincangan adalah keputusan yang berkat dan perlu dilaksanakan walaupun terdapat halangan dan cubaan.

Justeru, kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan hanya sekadar bercakap dan berbual tanpa ada perancangan. Maka bagi aktivis PMRAM, lapar dan dahaga tidak menghalang mereka untuk menghadiri dan mengadakan mesyuarat. Malahan mereka lebih bersemangat kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah dan kerja Islam.

TAKLIFAN SEBAGAI AJK PELAKSANA PROGRAM

Kalimah Allah SWT serta syariat Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata dan semangat. Tetapi agenda tersebut akan mencapai matlamat serta hadaf dengan terlaksananya tugasan dan kerja-kerja Islam.

Oleh itu, bagi aktivis PMRAM bulan Ramadhan bukan hanya sekadar mentarbiyah diri untuk tadarus membaca al-quran, solat tahajjud serta solat tarawih bahkan mereka juga menganggap taklifan sebagai ajk pelaksana program adalah sebagai tarbiyah kerana itu adalah ibadah dan kerja Islam.


Sebab itulah PMRAM tetap melaksanakan agenda tarbiyah di bulan Ramadhan dengan menyusun beberapa program seperti Kolokium Ilmuan, Madrasah Saidatina Aisyah, Ifthor Jama'ei bersama BKAN, Pengajian bersama Sheikh Rohimuddin, Daurah Kitab Fiqh As-Shiyam dan lain-lain.

PMRAM memandang ibadah dan tarbiyah bukan hanya sekadar diatas tikar sejadah dan di dalam masjid-masjid. Akan tetapi lebih luas daripada itu. Ayuh kita mengejar pakej tarbiyah yang dijanjikan oleh Allah SWT terutamanya di bulan yang mulia ini.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,

Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

09 Julai 2010

Sambungan Pengajian Kitab Fath Al-Qarib


Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalin alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Untuk makluman pembaca sekalian, pada 10 Julai 2010 hari Sabtu akan bermulanya Madrasah Imam Syafie di bawah anjuran Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2010. Pengajian tersebut akan bermula pada jam 6.30 pagi di Rumah Terengganu, Haiyu Asyir. Jadual pengajian adalah seperti berikut :

AHAD
: Oleh - Ustaz Khairul Anuar bin Ismail
: Tarbiyatuna Ar-Ruhiyah


ISNIN
: Oleh - Ustaz Mohd. Azrul bin Ismail
: Risalah Al-Mustarsyidin
: Fawaid Makkiyah
: Syarah Matan Al-Baiquniyah


SELASA
: Oleh - Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain
: Hasyiah An-Nafahat


RABU
: Oleh - Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohamad Fadzil
: Nur Al-'Uyun
: Nur Az-Zolam
: Matan As-Sanusi


KHAMIS
: Oleh - Ustaz Abd. Aziz bin Ali
: Fiqh As-Sirah


SABTU
: Oleh - Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime
: Fath Al-Qarib

Saya akan menyambung pembacaan kitab Fath Al-Qarib syarah kepada Matan Abi Syujaq karangan Sheikh Ibnu Qasim Al-Ghazzi pada bab Pembahagian Harta Fai' (Harta yang diperolehi daripada pihak musuh atau orang kafir selain daripada cara peperangan).

Bab ini merupakan bahagian kedua terakhir perbahasan Kitab Al-Jihad. Selepas ini akan masuk perbincangan ulamak pada Kitab Buruan dan Sembelihan (As-Shoidu wa Az-Zabaih). Semoga perbincangan fundimental (turath) ini akan memberi manfaat kepada kita semua.

Baca Lagi...

10 Jun 2010

Ciri-ciri Maslahat : Hapuskan Konflik Pemikiran

Assalamualaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Mahasiswa dikenali sebagai seseorang yang akan memimpin negara di masa hadapan. Corak pembentukan negara di masa hadapan bergantung kepada cara berfikir mahasiswa kini.

Sekiranya cara berfikir (turuq tafkir) mahasiswa kini berlandaskan kehendak Islam dan syarak, maka pembawakan negara juga tidak akan tersasar daripada kehendak Islam. Tetapi sekiranya cara berfikir mahasiswa kini mengikut pemikiran musuh-musuh Islam atau cara berfikir mereka bercampur aduk maklumat, maka perkara inilah yang akan menimbulkan masalah pimpinan di masa hadapan.

Menyedari keadaan hakikat yang berlaku, PMRAM berusaha untuk membentuk pemikiran dan cara berfikir mahasiswa yang mengikut landasan syarak. Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010 membuktikan kesedaran dan kesungguhan PMRAM untuk melaksanakan perkara ini. Antara yang ditekankan ialah 'Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda'.

PMRAM tidak mahu konflik pemikiran ini berlaku pada mahasiswa Islam terutamanya mereka yang menuntut ilmu di Bumi Mesir ini. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, maka akan berlaku kepincangan pembawakan negara di masa hadapan dengan ilmu dan fatwa yang menyesatkan.

Islam mengajar umatnya untuk meraikan maslahat (kepentingan) dan menolak mudharat (keburukan). Inilah tujuan perlaksanaan syariat Islam yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan seluruh alam. Mereka yang mengikut petunjuk Islam bermaksud mengikut fitrah kejadian alam ini.

Tetapi mereka yang melanggari atau melampaui syariat Allah SWT sebenarnya telah melawan fitrah kejadian diri sendiri.

Di awal tulisan ini, saya ingin menyebut kaedah yang telah disusun oleh Islam untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak. Terkadang pimpinan mahasiswa atau masyarakat memberi alasan untuk meraikan maslahat padahal perkara tersebut tidak diiktibar syarak.

Perkara ini adalah hasil daripada cara berfikir yang salah dan terpesong daripada kehendak Islam dan syarak. Di sini, saya akan nyatakan secara ringkas bagi perkara yang dibincangkan.

Antara syarat-syarat untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak ialah:-

1) Maslahat tersebut mestilah tidak bertembung dengan dalil nas daripada Al-Quran dan hadis serta ijmak para ulamak.

(Sekiranya maslahat tersebut bertembung dengan dalil nas atau ijmak para ulamak, maka maslahat tersebut hanyalah bersifat keraguan (wahamiyah). Hal ini kerana maslahat yang bersifat hakiki tidak akan bertembung sama sekali dengan nas qat'ie dan ijmak para ulamak.)

2) Maslahat tersebut mestilah bersifat hakiki bukannya bersifat keraguan (wahamiyah).

(Maksud hakiki di sini ialah realistik iaitu maslahat tersebut memang betul-betul berlaku. Berlainan pula dengan maslahat yang bersifat keraguan (wahamiyah). Maksud keraguan di sini ialah retorik iaitu belum pasti lagi sama ada ianya akan berlaku atau tidak.)


3) Maslahat tersebut mestilah berbentuk umum atau kebanyakan manusia. Bukannya berbentuk individu atau hanya sekelompok kecil manusia sahaja.

(Hal ini kerana maslahat yang diraikan tersebut akan menolak mudharat yang akan berlaku pada kebanyakan manusia. Maslahat yang berbentuk individu atau sekelompok kecil manusia adalah tidak diiktibar syarak kerana perkara tersebut akan memberikan kesan mudharat kepada kebanyakan manusia.)

******

ANTARA CONTOH KONFLIK PEMIKIRAN

Fatwa membenarkan pelacuran
Hukum bersekedudukan atau berzina antara pasangan yang masih belum berkahwin adalah haram di dalam Islam. Allah SWT secara jelas menyatakan hukum tersebut di dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Para ulamak juga bersepakat mengatakan hukumnya adalah haram.

Justeru maslahat untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan hidup adalah tidak diiktibar syarak. Bahkan masih terdapat banyak lagi altenatif lain untuk mencari sumber kewangan.


Fatwa meluluskan lesen judi
Hukum berjudi adalah haram di sisi Islam. Bahkan haram tersebut adalah bersifat qat'ie. Semua ulamak bersepakat dengan hukum yang satu berdasarkan ayat Al-Quran serta hadis nabi Muhammad SAW. Bukan hanya Islam sahaja yang melarang, bahkan agama-agama lain pun turut melarang penganutnya berjudi.

Meluluskan lesen judi bermaksud menghalalkan pertaruhan. Justeru maslahat untuk mengetahui bilangan mereka yang bertaruh sempena Perlawanan Bola Sepak Dunia adalah tidak diiktibar syarak.

Jawatan adalah suatu amanah
Islam mengajar umatnya untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hal ini jelas dengan firman Allah SWT serta sabda Nabi Muhammad SAW. Bahkan hukumnya adalah wajib apatah lagi bagi seseorang yang memimpin sesebuah organisasi.

Justeru maslahat untuk meraikan keluarga (bersifat khusus) sehingga merosakkan amanah tanggungjawab terhadap ahli persatuan (bersifat umum) adalah tidak diiktibar syarat. Sepatutnya tugasan amanah diselesaikan sebelum memindahkan tugasan kepada orang yang akan memangku.

Wallahu'alam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.

Rujukan

1) Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Ustaz Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam.

2) Al-Asybah wa An-Nazair karangan Imam As-Sayuti

3) Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh karangan Ustaz Dr. Wahbah Zuhaili

Baca Lagi...

25 Januari 2010

Perlaksanaan TA'RIF, TAKWIN dan TANFIZ dalam dakwah


Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan kepada sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Dalam usaha kita untuk melaksanakan gerak kerja dakwah, terdapat beberapa peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua pejuang Allah SWT. Dakwah yang dilakukan tanpa ada strategi dan perancangan akan menghasilkn natijah yang kurang memuaskan.

Sebab itulah sekiranya kita merujuk kepada 'arkanul jamaah' iaitu rukun-rukun jemaah, para ulamak menyenaraikan 4 perkara perlu ada iaitu

1. Al-Qiyadah Ar-Rabbaniyah (Pemimpin yang bersifar rabbani)
2. Al-Jundiyah At-To'ah (Pengikut yang setia)
3. An-Nizom (Penyusunan)
4. Al-Khutuwat (Strategi)

Saya akan nyatakan beberapa peringkat asas yang perlu ada dalam perlaksanaan dakwah dan tarbiyah dalam masyarakat. Antara peringkat-peringkat asas tersebut adalah

1. Takrif (Pengenalan dan pengajaran)
2. Takwin (Pembentukan dan penyusunan)
3. Tanfiz (Perlaksanaan ke arah matlamat)

TAKRIF
Di peringkat permulaan ini, banyak ilmu-ilmu pengetahuan tentang islam disebarkan kepada masyarakat. Di peringkat ini, mereka yang menerima atau mad'u adalah dikalangan masyarakat yang umum. Pelbagai peringkat masyarakat akan datang untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman tentang agama Islam.

Matlamat atau tujuan di peringkat ini ialah mengubah keadaan masyarakat daripada kejahilan kepada pengetahuan. Oleh itu, seseorang pendakwah perlu menggunakan pelbagai uslub yang ada demi semata-mata untuk menarik minat para pendengar.

Ucapan yang dikeluarkan penuh berisi dan berfaedah. Gaya pertuturan menarik minat pendengar untuk hadir buat kali yang seterusnya. Manisnya muka juga menenangkan hati hadirin yang mendengar ucapan tersebut.

Ini merupakan peringkat asas dalam gerakan dakwah. Mereka yang culas dalam melaksanakan peringkat takrif ini akan menyebabkan mad'u yang diseru tadi bersemangat untuk memperjuangkan Islam tetapi kurang ilmu dan kefahaman.

Inilah virus yang seringkali menyerang nuqaba' atau pendakwah. Ilmu pengetahuan yang kurang akan menyebabkan nuqaba' tersebut futur atau berputus asa di tengah-tengah jalan. Ataupun mereka memperjuangkan agama Islam secara luaran tetapi pada hakikatnya mereka menyesatkan orang lain.

Antara bentuk-bentuk perlaksaannya ialah pengajaran, membaca kitab-kitab, berkongsi ilmu dan kefahaman, tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah yang disampaikan.

Oleh itu matlamat dan perlaksanaan dakwah di peringkat ini perlu diteliti dan dijalankan dengan penuh sempurna. Untuk membentuk pendokong-pendokong dakwah yang istiqamah, masa yang panjang diperlukan. Tidak perlu tergesa-gesa sehingga menyebabkan perkara asas dalam perjuangan ditinggalkan.

TAKWIN
Peringkat yang kedua dalam perlaksaan gerak kerja dakwah ini ialah takwin ataupun pembentukan. Takwin yang saya maksudkan di sini ialah, golongan-golongan yang melepasi peringkat pertama akan dikumpulkan lalu mereka ini diikat dengan ikatan ukhuwah dan perjuangan.

(gambar bersama-sama dengan Sheikh Husni Tamrin di Mekah, tahun 2007)

Matlamat di peringkat yang kedua ini ialah mengubah keadaan individu atau kumpulan daripada pengetahuan kepada fikrah. Di tahap ini, pendakwah perlu membina pemikiran mad'u supaya ilmu pengetahuan yang ada dalam dirinya itu digunakan pada jalan yang benar. Bentuk pemikiran juga berubah menjadi lebih matang serta mampu menganalisis sesuatu peristiwa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh agama Islam.

Di peringkat ini, nuqaba' atau pendakwah akan mengahadapi pelbagai masalah untuk istiqamah. Hal ini terjadi kerana di peringkat takwin, pelbagai ragam mad'u akan kita temui. Oleh itu bagi nuqaba' dan pendakwah yang faham, mereka akan menggunakan pelbagai uslub untuk menarik minat mad'u untuk terus istaqamah dalam gerak kerja dakwah. Mereka juga memahami bahawa perjuangan islam itu tidak dihamparkan dengan kemewahan dan kesenangan.

Sebab itulah sekiranya kita menyemak kembali 'arkanul dakwah' iaitu rukun-rukun dakwah, terdapat 4 perkara penting iaitu

1. Da'ie (Pendakwah)
2. Mad'u (Orang yang didakwah)
3. Manhaj Ad-Dakwah (Pengisian)
4. Uslub Ad-Dakwah (Teknik dakwah)

Selain itu, matlamat lain yang diletakkan di peringkat ini ialah mengubah minda dan fikrah individu tersebut kepada harakah atau pergerakan. Maka di tahap inilah mad'u yang dibentuk tadi akan bersemangat untuk melaksanakan dakwah kepada masyarakat di sekeliling. Manhaj yang disampaikan berdasarkan ilmu pengetahuan yang dipelajari daripada para alim ulamak.

Antara bentuk-bentuk perlaksaan di peringkat yang kedua ini ialah usrah, halaqah, tamrin, mukhayyam (perkhemahan), qiamullail, khatam al-quran dan berzikir kepada Allah SWT.

Saya mendatangkan contoh di zaman nabi SAW. Para sahabat disusun untuk menyebarkan Islam di tempat yang lain yakni luar daripada kota Mekah. Mus'ab bin Umair Radhiyallahu Anhu dihantar ke Yathrib atau pun sekarang dikenali dengan Kota Madinah untuk mendidik masyarakat di sana sekaligus menjadi murabbi di tempat tersebut.

Selain itu, Ja'far bin Abi Thalib Radhiyallahu Anhu dihantar ke Habsyah untuk menyebarkan agama Islam di sana seterusnya menjadi murabbi atau pembimbing di tempat tersebut.

Oleh itu, penyusunan yang teliti dan terancang perlu dilakukan di peringkat ini demi mencapai matlamat dan tujuan dakwah.

TANFIZ
Di peringkat yang terakhir ini, individu atau kumpulan yang telah melalui tahapan dakwah akan memiliki peribadi yang bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Mereka ini bersedia menerima arahan dan melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh pimpinan.

Selain itu, peribadi di peringkat ini selalu melaksanakan amal saleh dan beribadah kepada Allah. Mereka melaksanakannya dengan penuh istiqamah. Al-quran menjadi panduan hidup dan sentiasa mengulanginya. Solat tahajjud tidak ditinggalkan kerana ia merupakan sumber kekuatan kepada perjuangan Islam.

Namun pada peringkat tanfiz ini, individu atau kumpulan tidak hanya beramal saleh semata-mata. Tetapi mereka akan bersama-sama melaksanakan kerja-kerja islam di dalam jemaah dan inilah yang disebut sebagai amal jamaie.

Matlamat atau tujuan perlaksanaan peringkat ini ialah mengubah daripada harakah kepada tujuan asal dakwah iaitu mencapai redho Allah SWT. Di peringkat inilah akan terlaksana kandungan al-quran di dalam masyarakat sekeliling.

Antara bentuk perlaksanaannya ialah mesyuarat, melaksanakan program, menyusun strategi dan merangka jadual dan pencapaian. Ketika inilah kita akan melihat seolah-olah al-quran itu berjalan di dalam masyakakat.

Akhir sekali, saya mengharapkan perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada sekalian nuqaba' atau pimpinan mahasiswa. Ini merupakan manhaj atau strategi yang saya pelajari daripada usrah yang saya ikuti. Semoga ianya akan menjadikan kita lebih beramal untuk agama Islam.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

23 Januari 2010

Hebatnya Pemuda


Assalamualaikum..

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan yang menjadikan alam ini sebagai ujian bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat kekasih hati, junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Golongan pemuda dan pemudi merupakan tonggak kepada sesuatu perubahan. Sama ada keadaan masyarakat akan berubah ke arah yang lebih baik atau berubah ke arah kejahilan.

Hal ini kerana golongan pemuda mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada mereka yang berumur. Kehebatan yang Allah SWT beri ini, sekiranya diarahkan ke sudut yang betul, maka satu perubahan besar akan terjadi.

Tetapi sekiranya kehebatan ini disalurkan ke arah keburukan, maka perubahan masyarakat ke arah kejahilan akan terjadi.

2 hari yang lepas, saya diminta untuk menyampaikan ceramah di hadapan pemuda-pemudi yang bersemangat untuk membawa perjuangan Islam. Slot tersebut merupakan salah satu daripada pengisian program yang dianjurkan oleh Pergerakan Pelajar Islam Kedah (PPIK).

Melihat kepada para hadirin yang datang di dalam majlis tersebut, saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana masih ramai pemuda-pemudi di Kedah ini yang bersemangat untuk membawa perjuangan Islam. Saya berdoa semoga pengisian seumpama ini akan dapat diteruskan dengan kehadiran pemuda-pemudi yang lebih menggalakkan.

Pada hakikatnya, pemuda dianugerahkan pelbagai kelebihan dan kehebatan oleh Allah SWT. Saya datangkan contoh kelebihan tersebut.

SEMANGAT YANG TINGGI DAN DARAH YANG BERGELORA
Antaranya ialah pemuda dan pemudi mempunyai semangat yang tinggi. Lihat saja pemuda yang menunggang motosikal. Mereka menunggang dengan lagak yang membahayakan. Lebih mudah saya nyatakan di sini sama ada "wikang" atau "wili".

Selain itu, lihatlah bagaimana sikap pemuda apabila membantah atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara. Mereka menjerit kuat-kuat. Bergaduh menjadi perkara yang biasa. Sehinggakan ada yang sanggup membakar rumah ibadah agama lain demi semata-mata untuk menunjuk perasaan.

Saya datangkan contoh di zaman Nabi Ibrahim Alaihis Salam. Allah SWT merekodkan di dalam al-quran tentang dialog antara Nabi Ibrahim AS dan kaumnya.

Apabila Nabi Ibrahim berkata kepada ayah dan kaumnya "Patung berhala apakah yang kamu semua sembah ini?".

Dialog tersebut menunjukkan bahawa dengan semangat yang ada pada golongan pemuda, mereka berani untuk melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar.

PANDANGAN IDEA YANG BERNAS
Golongan pemuda sering dikaitkan dengan pembangunan masyarakat di masa hadapan. Hal ini kerana mereka selalu memberikan pandangan idea yang bernas serta relevan dengan keadaan suasana sekeliling.

Lihat saja kebanjiran blog-blog mahasiswa. Apabila timbul sesuati isu, maka mereka inilah yang sering memberikan pandangan masing-masing. Ada yang berpandangan positif dan ada pula yang berpandangan negatif. Malahan ada juga yang berada di atas pagar, tidak mampu untuk menilai isu yang berlaku.

TUBUH BADAN YANG SIHAT DAN KUAT
Golongan yang diberikan anugerah ini, mampu melakukan 10 kerja dalam satu-satu masa malahan lebih daripada itu. Saya datangkan contoh seseorang pemuda yang sudah bernikah. Dalam masa yang sama, dia masih lagi menuntut ilmu di Mesir. Selain itu, kebajikan kepada masyarakat juga tidak ditinggalkan. Kuliah pengajian tetap dia jalankan.

Maka ini adalah kelebihan yang ada pada pemuda tetapi tidak diberikan kepada golongan yang sudah berumur.


Sebab itulah kelebihan yang ada ini ini perlu dididik supaya ianya menuju ke arah perjuangan Islam. Bekalan-bekalan untuk menjadi pejuang Allah perlu disebatikan dalam jiwa golongan pemuda.

Apa bekalan yang dimaksudkan?

Ya...itulah bekalan yang dikenal sebagai TARBIYAH RUHIYYAH. Golongan pejuang Islam memerlukan kepada Solat Tahajjud kerana ianya merupakan sumber kekuatan.

Pejuang Allah memerlukan Al-Quran sebagai panduan untuk berjalan melalui liku-liku hidup di dunia. Zikir harian juga tidak boleh ditinggalkan kerana ianya merupakan nadi untuk bergerak dalam perjuangan Islam.

Selain itu, TUNJUK AJAR HIKMAH juga diperlukan oleh golongan pemuda. Pengalaman inilah yang banyak diperolehi daripada orang-orang terdahulu. Pengalaman ini juga banyak dipelajari daripada sirah Nabi Muhammad SAW.

Saya juga menyarankan supaya golongan pejuang Allah ini mengambil pengalaman hikmah daripada usrah yang diikuti. Tentu naqib yang membawa usrah tersebut lebih berpengalaman dalam dunia dakwah.

Semangat semata-mata tidak mampu untuk membuahkan hasil yang sempurna. ILMU DAN KEFAHAMAN perlu diterapkan dalam pemikiran golongan pemuda. Biar fikrah mereka jelas. Matlamat pembawakan mereka nampak di hadapan. Jalan yang mereka tempuh merupakan jalan yang benar. Bukan jalan yang mengaburi penglihatan.

Sekiranya bekalan ini disalurkan ke dalam jiwa para pemuda, sudah tentu sikap menunggang motor dengan laju tersebut akan berubah menjadi menunggang motor untuk melaksanakan usrah.

Semangat untuk membakar rumah ibadah kristian akan berubah menjadi tindakan yang lebih profesional dan bertimbang rasa. Pandangan idea untuk mengadakan konsert akan berubah menjadi pandangan idea untuk mengadakan ceramah forum di malam kemerdekaan.

Akhir sekali ciri-ciri mukmin yang sejati akan semakin jelas berada pada masyarakat. Serta sikap untuk memperjuangkan agama Islam itu akan tersebar luas ke seluruh peringkat masyarakat.

Ciri-ciri inilah yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-quran Surah Al-Maidah ayat 54.

"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang keluar daripada agamanya (Islam) maka Allah SWT akan menggantikan dengan suatu kaum dimana Allah SWT mencintai mereka dan mekera juga mencintai Allah SWT, mereka bersikap lembut sesama muslim, mereka bersikap keras dan tegas terhadap golongan kafir, mereka berjihad di jalan Allah SWT, dan mereka tidak takut dengan celaan orang kafir. Yang demikian itu merupakan kelebihan yang Allah berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah SWT mempunyai kelebihan yang maha agung"

Ciri-ciri inilah yang akan timbul sekiranya golongan pemuda tadi ditarbiyah dan dicanai dengan memahami erti perjuangan Islam.


SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime.
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

10 Januari 2010

Matlamat asalku ke Mesir



Assalamualaikum

Sehala puji bagi Allah yang maha Agung. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, rasul yang membawa umatnya menuju ke jalan yang diredhoi Allah.

Tanggal 20 Oktober 2009. Marupakan satu tarikh yang tidak dapat saya lupakan. Pada tika itu terdapat 2 kenangan yang akan saya kenang sampai bila-bila. Mungkin ini merupakan hadiah daripada Allah SWT untuk hambanya yang faqir ini bersempena hari kelahiran pada 17 Oktober yang lalu.

Pada tarikh tersebutlah hamba yang faqir ini sempat bersalaman dengan Al-Alim Al-Allamah Sheikhuna 'Ali Jumuah, Mufti Mesir. Dah lama saya nantikan saat ini. Akhirnya Allah kurniakan anugerah barakah ini sebelum saya pulang ke Malaysia. Alhamdulillah.

Bagi saya sebenarnya matlamat asal yang saya letakkan ketika mula menjejak kaki ke Bumi Anbiyak ini masih belum tercapai walaupun 4 tahun saya berusaha ke arah tersebut. Sebab itulah gerak hati ini terus memujuk untuk menyambung pengajian di bumi yang barakah ini. Masih banyak lagi yang belum saya terokai.

Matlamat apa yang sampai 4 tahun masih belum tercapai? Betul ke diri ini yakin untuk mencapai matlamat itu??

Ya.....Matlamat untuk menjadi seorang ulamak. Itulah tujuan asal saya datang ke bumi Mesir ini. Pernah di tahun 2004 saya mendapat tawaran untuk ke Matrikulasi Pahang bagi menjadi seorang Akauntan. Tetapi tawaran itu ditolak demi untuk menjadi ulamak.

Pada tahun yang sama juga saya ditawarkan untuk ke Universiti Islam Antarabangsa bagi menjadi seorang Pakar Motivasi. Itu juga saya tolak demi untuk mewarisi ilmu para alim ulamak. Di tahun 2005 sekali lagi saya ditawarkan untuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia bagi menjadi seorang guru kementerian. Itu juga saya tolak demi untuk mempelajari ilmu daripada dada ulamak.

Tawaran yang seterusnya saya terima dengan hati yang terbuka untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, Universiti Al-Azhar As-Syarif. Universiti yang tertua di dunia. Inilah tempat yang banyak melahirkan para alim ulamak untuk mengubah masyarakat ke arah ke arah islam yang sejahtera.

Kini saya telahpun ditabalkan sebagai graduan Universiti Al-Azhar As-Syarif. Tarikh 17 November 2009 merupakan tarikh penting buat saya kerana pada saat itu saya akan menjalani temuduga MA di Universiti Al-Azhar. Peluang sebegini tidak mudah-mudah untuk saya lepaskan. Manakan mungkin, pengorbanan untuk tidak pulang ke Malaysia selama 4 tahun saya letakkan demi mendapat peluang untuk mempelajari manhaj MA Universiti Al-Azhar As-Syarif. Persiapan dibuat demi untuk mencapai matlamat yang dicanangkan.



7 Disember 2009, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut. Saya memilih untuk mengambil bidang Fiqh Am.

Saya tahu bahawa MA di Universiti Al-Azhar merupakan antara MA tersusah di dunia. Ramai mahasiswa Malaysia yang gagal untuk menghabiskan MA di tempat tersebut.

Bagi saya, matlamat asal saya ke bumi Mesir adalah di tempat yang pertama. Walaupun berkemungkinan sijil tidak saya perolehi daripada pihak universiti, saya akan berusaha memperoleh manhaj yang diletakkan oleh para masyaikh sehingga mampu melahirkan ulamak yang tersohor di serata dunia.

Oleh itu awal-awal lagi saya letakkan di dalam hati sebelum saya jejak kaki ke Bumi Anbiyak pada 2 Febuari 2010 akan datang...

TUJUAN ASALKU ADALAH MENJADI ULAMAK


SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails