16 November 2010

Perutusan Hari Raya Aidil Adha Presiden PMRAM 2010


الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين
.

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi.

Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam.

Memahami sejarah jatuh bangun Islam, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis Islam.

Sahabat-sahabat seakidahku sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah.

Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, PMRAM melaksanakan muzakarah berkelompok bagi membentuk pemikiran mahasiswa yang dikehendaki oleh Islam. PMRAM begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah (pendidikan). Muzakarah berkelompok yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, mahasiswa yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh Unit Hisbah PMRAM menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.

Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung di Malaysia bakal menayangkan sebuah filem yang bertemakan hubungan sejenis. Filem yang bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya songsang dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda pendidikan. PMRAM begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan akademik sebagai hadiah buat ummah. Kegagalan yang menimpa sebahagian mahasiswa-mahasiswi baru pada imtihan qabul baru-baru ini, bukanlah bermakna kita menyerah kalah. Tetapi jadikanlah kegagalan tersebut sebagai peluang untuk memahami kelemahan diri yang perlu diperbaiki.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam. MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN. Selamat Hari Raya Eidil Adha 1431 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails