19 Januari 2010

Pimpinan mahu EGO? Silakan...


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat kekasih hati, Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Saya mengambil kesempatan pada kali ini untuk membincangkan masalah ego yang ada pada pimpinan. Samada sikap tersebut merupakan anjakan paradigma bagi golongan ini atau pun ia merupakan pemusnah hidup masyarakat.

Dalam usrah yang saya bawa sementara masih di Malaysia ini, kami membincangkan tentang sikap ego yang ada pada pimpinan.

Pada hakikatnya sikap ego memang ada dalam setiap diri manusia sama ada kaum adam mahupun hawa. Tambahan pula bagi mereka yang bergelar pimpinan dan lelaki.

Pantang kalau ditegur oleh kaum hawa.
Pantang sekali diminta berubah sikap oleh adik-adik yang masih muda.
Pantang sekiranya didahului oleh AJK atau orang bawahannya.

Setiap sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan sikap ego. Kalaulah sikap ini dipandu oleh ilmu tasawuf, maka hasilnya ia akan memberikan impak maksima pada seseorang. Lebih-lebih lagi pimpinan.

Tetapi kalaulah sikap ini dipandu oleh nafsu, maka tunggulah saat kebinasaan wahai pimpinan sekalian.

Saya datangkan contoh, bagaimanakah sikap ego ini akan memberikan anjakan paradigma yang baik buat pimpinan.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu lebih yakin dengan ucapannya di hadapan orang ramai. Ucapan yang ilmiah dan berisi akan menarik minat pendengar untuk memberi perhatian yang sepenuhnya.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu tidak akan kalah dengan orang bawahannya. Apa yang saya maksudkan di sini ialah seseorang itu akan melangkah 10 kali lebih jauh berbanding dengan orang yang berada di sekeliling. Langkah tersebut disusun rapi demi memastikan strategi yang dirancang akan berjalan dengan lancar.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu bersifat dengan lebih matang. Bukan hanya sekadar sikapnya yang matang, bahkan kematangan tersebut jelas pada ucapannya, pemikiran fikrahnya, tindakan yang dilakukan dan pandangan idea yang dilontarkan.


Ego yang saya maksudkan di atas ialah ego yang dipandu oleh ilmu tasawuf yang dipelajari daripada sikap para alim ulamak. Ego tersebut bukanlah ego lakonan di hadapan masyarakat.

Tetapi sekiranya ego yang dicanai dengan angkara nafsu, tunggulah bahawa kebinasaan akan muncul tidak lama lagi.

Ego yang berjalan tanpa diiringi ilmu tasawuf, akan dikelilingi oleh segala sifat mazmumah yang dikeji. Sifat riya', 'ujub, sum'ah dan takabbur akan menyelinap masuk. Akhir sekali ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Saya ingin datangkan kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-'Araf ayat 11-18. Inilah surah yang saya bawakan untuk anak buah usrah. Semoga kisah ini akan memberi keinsafan buat al-faqir dan juga pimpinan-pimpinan yang lain.

Allah berfirman
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu wahai nabi Adam AS. Oleh itu Kami perintahkan kepada para malaikat dan iblis, sujudlah (tanda hormat) kepada ciptaan Kami ini.

Malaikat
Baiklah, kami akan ikut perintah-Mu wahai Allah.

Iblis
Kami tidak akan sujud (tanda hormat) kepada ciptaan-Mu ini.

Allah berfirman
Sebenarnya apa yang menghalang kamu wahai iblis untuk ikut perintah Kami?

Iblis
Kenapa kami perlu sujud pada cintaan-Mu ini padahal, kami lebih baik dan mulia jika dibandingkan dengan manusia. Kami diciptakan daripada api padahal dia ini diciptakan daripada tanah. Bukankah api itu lebih mulia daripada tanah?

Allah berfirman
Baiklah, kalau begitu keluarlah kamu wahai iblis daripada syurga Kami ini. Kamu tergolong dalam golongan orang yang sesat.

Iblis
Kami mohon kepada-Mu ya Allah sebelum kami keluar daripada syurga ini. Kami mohon supaya kami tidak dimatikan hinggalah hari kiamat.

Allah berfirman
Baiklah, Kami perkenankan.

Iblis
Disebabkan kami dihukum sesat, maka kami akan pastikan anak cucu Adam AS tidak akan mengikuti jalan-Mu yang benar.

Allah berfirman
Kami akan masukkan kamu dan orang-orang yang mengikut kamu ke dalam api neraka Jahannam kelak.

Ini merupakan sikap ego tidak berilmu yang ditunjukkan oleh Iblis Laknatullah. Tidak lama selepas sikap tersebut ditunjukkan, datanglah laknat Allah SWT kepada mereka.

Kadang-kadang sikap ego ini ditunjukkan oleh orang-orang yang lebih tua. Cukup susah untuk mereka menerima pandangan dan nasihat daripada golongan muda atau pun yang bergelar adik. Tambahan pula kalau orang yang lebih muda tadi memberi arahan kepadanya. Hal seperti inilah yang sering berlaku dalam perjuangan Islam iaitu Virus Ego.

Sikap pimpinan yang selalu menidakkan pandangan ahli dan AJK juga perlu dinilai semula. Sikap menerima pandangan semua orang kemudian mengkaji buah fikiran tersebut merupakan sikap yang dianjurkan oleh agama Islam. Nabi SAW juga mengambil pandangan sahabatnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Golongan lelaki yang selalu meremehkan pandangan dan buah fikiran wanita juga perlu dihindarkan. Berkemungkinan idea yang dilontarkan oleh kaum hawa tadi lebih teratur dan tersusun berbanding kaum lelaki.


Sebab itulah kalau dilihat dalam satu kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang hukamak ketika beliau menjelaskan tentang perbezaan antara maksiat nafsu dan maksiat takabbur.

"Maksiat yang dilakukan oleh sebab nafsu mempunyai harapan untuk diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah maksiat yang berpunca daripada nafsu. Manakala maksiat yang dilakukan oleh sebab takabbur dan ego, tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Iblis Laknatullah adalah maksiat yang berpunca daripada sifat takabbur dan ego".

Kita memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan kita golongan pimpinan yang mampu memandu masyarakat ke arah memperjuangkan Islam berdasarkan semangat, ilmu dan kefahaman dalam diri. Dan kita juga memohon semoga Allah SWT menjadikan kita tergolong dalam golongan yang diganjarkan syurga di hari akhirat kelak. Amin.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Darul Sofwah Al-Mukhtarah
Alor Star, Kedah.

Baca Lagi...

18 Januari 2010

Hanya MATI penghalang untuk tidak ke Usrah


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian makhluk di muka bumi. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta semua para sahabat baginda yang dikasihi sekalian.

2 hari yang lepas saya dijemput untuk menyampaikan kuliah maghrib di Markaz Langgar, Alor Star. Kebanyakan yang hadir dalam kuliah tersebut adalah di kalangan pelajar sekolah. Dan saya dimaklumkan bahawa mereka adalah nuqaba' dan naqibat di tempat masing-masing.

Mungkin saya boleh kongsi dengan kawan-kawan berkenaan kuliah maghrib yang disampaikan.

Dalam satu hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh seorang sahabat besar nabi iaitu Abu Dzar Al-Ghifari. Nabi memesan kepada beliau mengenai 7 perkara. Hadisnya seperti berikut :

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ أَمَرَنِي بِحُبِّ الْمَسَاكِينِ وَالدُّنُوِّ مِنْهُمْ وَأَمَرَنِي أَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ دُونِي وَلَا أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقِي وَأَمَرَنِي أَنْ أَصِلَ الرَّحِمَ وَإِنْ أَدْبَرَتْ وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَسْأَلَ أَحَدًا شَيْئًا وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَخَافَ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ وَأَمَرَنِي أَنْ أُكْثِرَ مِنْ قَوْلِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ


Maksudnya : Daripada Abu Dzar, beliau telah berkata "Nabi SAW telah memesan kepadaku 7 perkara :-
1) Nabi SAW memesan kepadaku untuk menyintai orang-orang miskin dan mereka yang berpangkat rendah.
2) Dan beliau memesan lagi kepadaku untuk melihat orang yang dibawahku dan tidak melihat orang yang berada di atasku.
3) Dan beliau memesan untuk aku menyambung silaturrahim (berukhuwah) walaupun dia berpaling.
4) Dan beliau memesan kepadaku untuk tidak meminta-minta sedekah
5) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku bercakap benar walaupun pahit.
6) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku tidak takut kepada celaan ketika aku berdakwah
7) Dan beliau memesan kepada ku supaya banyakkan berzikir 'la haula wala quwata illa billah'. Yang demikian itu adalah anugerah Allah SWT."



Saya ingin menyentuh salah satu pesanan baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari iaitu pesanan yang kedua.

Inilah konsep atau teori yang diajarkan oleh nabi SAW kepada seluruh umatnya. Mereka yang memahami konsep ini, akan mampu menilai keadaan di sekeliling. Konsep ini perlu diketahui dan diamalkan oleh umat islam terutamanya mereka yang bergelar nuqaba' dan naqibat.

Apabila seseorang dibentangkan atau diberikan dengan habuan dunia, maka nabi memesan untuk sentiasa melihat orang yang dibawah. Maksudnya ialah sentiasa memandang orang yang lebih susah, miskin serta kurang habuan dunia yang dikecapi. Keadaan ini akan menimbulkan rasa qanaah iaitu cukup dengan apa yang ada.

Berlainan pula dengan keadaan apabila kita dibentangkan atau diberikan habuan akhirat. Apa yang saya maksudkan ialah dalam urusan ibadah kepada Allah, maka nabi Muhammad SAW menyarankan kepada umatnya untuk melihat orang yang di atas. Bukan melihat orang yang dibawah. Maksudnya kita sentiasa meniru sikap yang ditunjukkan oleh para alim ulamak.

Mereka setiap hari mambaca al-quran dan berzikir. Kalaulah kita membelek kitab-kitab yang membicarakan waktu dan masa orang yang alim, tentu sekali kita yang bergelar nuqaba' dan naqibat akan merasa cukup rendah dan hina jika dibandingkan dengan mereka.

Tetapi konsep yang diletakkan oleh Nabi ini, dipesongkan oleh sebahagian umat islam. Dalam perkara dan habuan dunia, kita selalu memandang orang yang diatas. sebab itulah perasaan tamak dan tidak pernah cukup itu selalu menyelubungi hidup.

Mahu rumah besar.
Mahu kereta besar.
Mahu gaji besar.
Mahu hidup mewah.

Saya tidak mengatakan bahawa rumah, kereta, gaji dan hidup mewah ini adalah salah di sisi agama Islam, tetapi sekiranya yang demikian itu tidak digunakan untuk Islam maka amatlah rugi kerana perkara tersebut bagaikan longgokan emas di depan mata, hanya tunggu untuk dimasukan sahaja ke dalam karung.

Manakala dalam urusan akhirat, umat islam kini selalu memandang orang yang berada di bawahnya. Bermaksud dia hanya berpada dengan ibadah yang dilakukan.

"aku sembahyang di masjid 3 kali sehari ni kira ok lah"
"aku sedekah seringgit ni cukup rahmat dah ni"
"cukuplah dengan aku membaca al-quran, tak perlu lagi bacaan ma'thurat"

Kehidupan sebagai nuqaba'dan naqibat perlu memegang konsep yang diajarkan oleh baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari. Istiqamah untuk melakukan usrah setiap minggu perlu ada dalam jiwa seorang pejuang.


Saya teringat satu kata-kata yang dilontarkan oleh naqib usrah saya iaitu Ust Mohd. Asri bin Md Daud "Buatlah usrah dan hadiri halaqah selagimana mampu. Hanya mati sahaja penghalang untuk tidak ke usrah"

Kalaulah pimpinan tok guru yang hebat di Malaysia mampu memimpin, mengajar tafaqquh,
melaksanakan usrah, menjalankan mesyuarat pada satu-satu masa, kenapa kita kita tidak boleh sedemikian?

Kalaulah Imam Nawawi rahimahullah mampu menggunakan masa yang ada untuk beribadah kepada Allah, menuntut ilmu dan meluangkan masa untuk bermasyarakat, kenapa kita tidak boleh begitu?

Oleh itu, gunakan masa yang ada ini untuk meningkatkan amalan kepada Allah SWT. Dalam hal tersebut, jadikan para alim ulamak sebagai ikutan dan panduan. Kajilah perjalanan hidup mereka, moga-moga kita tergolong dalam golongan ulamak.

Petang ini saya akan bergegas ke Alor Star pula untuk menyambung kelas tafaqquh selepas solat Maghrib dan mengadakan usrah pada keesokannya. Mungkin inilah bakti-bakti terakhir saya untuk masyarakat di Kedah sebelum pulang menyahut lambaian kawan-kawan di Mesir. Semoga tafaqquh yang saya adakan malam ini boleh untuk sama-sama kita kongsi. Insyallah.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

16 Januari 2010

Hukum membaca Al-Quran di atas kubur


Assalamualaikum..

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan Rabb bagi sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Saya terbaca satu perbahasan yang cukup menarik untuk dikongsi bersama. Saya temuinya dalam kitab karangan Al-Alim Al-Allamah Sheikhuna Al-Fadhilah Dr. 'Ali Jumuah. Beliau merupakan mufti di Negara Mesir.

Mungkin terjemahan yang saya buat ini boleh untuk sama-sama kita kongsi. Ini merupakan fatwa yang dikeluarkan oleh Sheikhuna.

Soalan: Apakah Hukum Membaca Al-Quran Untuk Si Mati Di Atas Kubur? Adakah Sampai Pahala Bacaan Tersebut Kepada Si Mati?

Jawapan:

Para ulama' telah bersepakat (berijma' atau berpendapat) mengatakan bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah tidak haram, bahkan tidak berdosa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama' Hanafiah, Syafi'iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas R.A ( hadis marfu' ):

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: "Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan"

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa :

"Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah".

Adapun ulama' Malikiyyah berpendapat bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah makruh. Akan tetapi, Syeikh Dardir memberikan komentar beliau di dalam masalah ini :

"Ulama' mutaakh'khirin berpendapat bahawa harus membaca Al-Quran dan berzikir serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati bahkan si pembaca juga akan mendapat/beroleh pahala tersebut, Insya Allah".

Perselisihan pendapat pada masalah ini adalah terlalu lemah (dhoif). Pendapat yg mengatakan hukumnya adalah sunat adalah pendapat yg kuat. Sesungguhnya sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini adalah masalah ijma'. Antara ulama' yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi Al-Hanbali. Beliau mengatakan bahawa :

"Apa-apa kebaikan yang dilakukan dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati yang muslim (beragama Islam), maka itu adalah perkara yg bermanfaat. Berkata sebahagian ulama', apabila dibacakan Al-Quran di sisi si mati atau menghadiahkan pahalanya kepada si mati maka beroleh pahala, maka pembacanya juga akan mendapat/beroleh pahala dan seolah-olah si mati juga membacanya, maka diharapkan si mati akan beroleh rahmat. Sesungguhnya, apa yg kami sebutkan itu tadi adalah disepakati/dipersetujui (ijma') oleh para ulama'. Mereka ( para ulama' yg bersepakat ) bersama-sama berkumpul membacakan Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati tanpa ada yg membantah di kalangan mereka (tanpa saling membantah antara satu sama lain).


Sesungguhnya, Syeikh Al-Uthmani telah memberikan komentar berikut di dalam masalah ini :

"Para ulama' bersepakat mengatakan bahawa istighfar, doa, sedekah, haji, pembebasan hamba adalah bermanfaat bagi si mati dan pahala kebaikan tersebut sampai kepadanya. Hukum membaca Al-Quran di atas kubur adalah sunat".

Dalil bagi sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati adalah diqiyaskan dgn hukum sampainya pahala "haji ganti/haji badal" kepada si mati kerana haji terkandung di dalamnya solat. Surah Al-Fatihah dan surah-surah yg lain dibaca di dalam solat.

Apa-apa yg sampai ke semuanya, pasti akan sampai satu juzu' (sebahagian) daripadanya. Maka pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dengan izin Allah sekiranya si pembaca memohon supaya Allah memberikan pahala kepada si mati sepertimana diberikan pahala kepadanya (si pembaca).


Berdasarkan kepada apa yang diterangkan, sesungguhnya ulama' telah bersepakat bahawa membaca Al-Quran untuk si mati adalah harus manakala sebahagian ulama' berpendapat bahawa menghadiahkan pahala kepada si mati juga hukumnya adalah harus.

Para ulama' Syafi'iyah berpendapat bahawa pahala tersebut akan sampai kepada si mati dengan diiringi bacaan doa :


اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان

Maksudnya: "Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan Al-Quran aku ini kepada si fulan"


Sesungguhnya ianya bukanlah hanya semata-mata dengan amalan tersebut sahaja bahkan boleh juga dilakukan pada amalan-amalan yang lain.

Perselisihan yg berlaku adalah sangat sedikit dan sepatutnya ia tidak berlaku pada masalah ini.



SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK


Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Markaz Langgar,
Alor Star, Kedah.

Rujukan

1. Al-Mughni karangan Ibnu Qudamah

2. Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmizi karangan Al-Mubarakfuri

3. Syarah Kabir karangan Al-Alamah Dardir

4. Rahmatul Ummah Fi Al-Ikhtilaf Al-Aimmah karangan Sheikh Uthmani

5. Kamus Bahasa Arab

6. Fatwa Al-Alim Al-Allamah Sheikh Dr. Ali Jumuah

Baca Lagi...

14 Januari 2010

Antara CEMERLANG atau kecundang


Assalamualaikum....

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Sepanjang cuti di Malaysia, saya mengambil peluang ini untuk mengkaji beberapa perkara.

Salah satu daripada perkara tersebut adalah berkenaan dengan kejayaan mahasiswa Al-Azhar pada peringkat Ijazah Lanjutan (MA). Saya lakukan kajian tersebut kerana dalam tempoh 2 minggu lagi saya akan kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Lanjutan (MA) di Universiti Al-Azhar.

Sebenarnya apa yang memberi semangat yang gitu kepada abang-abang yang saya kenal untuk menyambung pengajian d sana? Saya pun hairan?

- Ustaz Hairul Nizam Mat Husain (Ijazah Lanjutan Takhassus Usul Fiqh)
- Ustaz Akli (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Am)
- Ustaz Mohd Zahran Mohd Syariff (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Am)
- Ustaz Hasan Basri (Ijazah Lanjutan Takhassus Fiqh Muqaran)
- Ustaz Juzaili Johan (Ijazah Lanjutan Takhassus Hadis)
- Ustaz Ahmad Yusoff (Ijazah Lanjutan Takhassus Tafsir)

Dan ramai lagi nama abang-abang yang mungkin tak sempat untuk saya tulis di sini. Sebenernya mereka pun tahu bahawa MA di Al-Azhar adalah antara MA yang terpayah di dunia. Maksud saya cukup susah untuk lulus mendapat syahadah MA daripada universiti tersebut. Walaupun pada hakikatnya pihak universiti telah pun menurunkan level muqarrar pada pengajian. Tetapi mereka tetap juga ingin menyambung pelajaran di situ.

Rasanya sekarang saya dah jumpa, apa sebenarnya TEORI UNTUK LULUS MA AL-AZHAR.

Saya dah ada teori tersebut. Tetapi saya tak pasti samada teori ini memang betul-betul berkesan atau pun perlu dikaji semua perlaksanaannya??

Jadi teori tersebut tak boleh lagi untuk saya nyatakan di sini. Kalaulah kajian saya ini berkesan iaitu mampu memberikan kejayaan pada mahasiswa ijazah lanjutan Al-Azhar, maka saya akan war-warkan teori tersebut.

Apa yang paling penting untuk perlaksanaan teori ini adalah ISTIQAMAH. InsyaAllah saya akan laksanakan teori ini apabila saya menjejakkan kaki di Bumi Anbiyak nanti.

Kini ramai kawan-kawan saya yang dah pun masuk bekerja di Malaysia. Ada antara mereka yang dah pun berkhidmat dalam masyarakat. Ada yang dah berbini dan anak. Ada yang merancang strategi untuk menjadi kaya-kaya, mudah untuk memberi sumbangan pada perjuangan Islam.

Saya ceritakan satu persatu kawan-kawan saya pada mak. Tetapi mudah je mak patahkan idea yang saya ceritakan padanya...

"Tak apa lah, kawan-kawan kamu tu kumpul duit dan anak. Kamu tu biar kumpul ilmu dulu. Kalau kumpul harta, ia akan habis. Tapi kalau kumpul ilmu ni, sampai bila-bila pun tak habis"
Tambahan : 'kamu' adalah rekaan nama samaran saya dalam keluarga.




SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK


Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

Baca Lagi...

13 Januari 2010

Nuqaba' bermaklumat atau berilmu


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Jikalau dipehatikan kepada 2 jenis air iaitu air yang mengalir atau bergoncang dan air yang tidak bergerak atau tenang, kita akan mendapati bahawa air yang mengalir tadi itu tidak akan mengalami bau yang busuk yang cepat setelah beberapa minggu walaupun terdapat hidupan di dalamnya.

Tetapi air yang tenang pula akan mengalami bau yang agak busuk setelah dibiarkan beberapa ketika dengan hidupan di dalamnya.

Wah....ajaibnya, apa sebenarnya yang berlaku.

Hal ini terjadi kerana geseran molukel-molukel air akan menjadikan air tersebut lambat kotor dan berbau busuk.

Sebab itulah sekiranya kita memerhati keadaan di sekeliling, air yang bertakung akan mengalami bau yang busuk. Tasik yang terbiar lama akan menjadi kotor. Baju yang direndam lama di dalam air juga akan mengeluarkan bau yang.....fuhh..memeningkan.

Bagi mereka yang memelihara ikan, air di dalam akuarium akan dialirkan. Tasik buatan di taman-taman juga akan dialirkan air tersebut supaya ianya bergelora dan bergerak-gerak. Selain itu, keadaan ini juga akan mengeluarkan bunyi yang menenangkan fikiran seperti bunyi air terjun dan bunyi sungai. Hal ini kerana teori yang saya sebutkan tadi tu.

Bukan ini yang saya nak bahaskan, tetapi inilah yang ingin saya jadikan sebagai analogi bagi kehidupan sebagai nuqaba' dan sebagai mahasiswa/wi.

Kehidupan sebagai nuqaba' atau mahasiswa/wi memang cukup-cukup mencabar. Ilmu yang kita pelajari perlu direalitikan dalam kehidupan seharian. Sebab itulah para alim ulamak menyebutkan bahawa "Tuntutan ilmu itu adalah untuk beramal".

Sebagai seorang nuqaba' yang memimpin halaqah dan usrah, kita bukanlah orang yang dikatakan 'bermaklumat'. Maksud saya ialah mereka yang hanya pandai berkata-kata, lantang berpidato, hebat dalam menyusun maklumat dan pantas dalam memberi pendapat dan idea.

Tetapi nuqaba' yang diharapkan ialah mereka yang 'berilmu'. Maksudnya ialah mereka yang mempunyai akhlak dan budi pekerti seperti para alim ulamak. Para masyaikh mengamalkan ilmu yang mereka pelajari bahkan istiqamah dengan apa yang mereka ucapkan.

Hal inilah yang akan menjadikan mereka ini dirahmati dan disayangi oleh Allah SWT.


Kenapa nuqaba' atau mahasiswa/wi dianalogikan dgn molukel air?

Ya...saya analogikan begitu kerana seseorang yang inginkan ilmunya menjadi matang dan berhasil buat dirinya, maka dia perlu beramal dengan apa yang dipelajari. Ilmu yang dibumikan dalam kehidupan adalah ilmu yang bermanfaat.

Ada sesetengan individu yang hanya mengaji dan mengumpul ilmu semata-mata. Pada masa yang sama keadaan masyarakat di sekeliling dihiraukan. Tak ambil kisah. Lantaklah apa yang jadi pun. Asalkan aku boleh fikir tentang diri sendiri.

Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada golongan seperti ini diabaikan. Kebajikan jiran-jiran di sebelah tak dikisah. Isu-isu semasa yang berlaku tak dihiraukan.

Percayalah bahawa golongan seperti ini adalah sepertimana air yang tenang tadi. Kalaulah mereka berterusan dengan sikap sebegini, ilmu yang mereka pelajari itu akan menjadi busuk dan tidak berguna. Sikap menunggu ilmu yang dikumpul sehingga banyak, kemudian baru nak beramal adalah bukan sikap para alim ulamak.

Kalaulah nuqaba' bersikap sedemikian, tunggulah bahawa anak usrahnya tidak akan kemana. Sia-sia dan buang masa golongan ini mengadaka halaqah dan usrah.

Oleh itu, untuk menghasilkan natijah yang sempurna, sikap para alim ulamak perlu diterapkan di dalam jiwa.

Amanah dan jawatan yang diberi, perlu dilaksanakan kerana itu adalah tuntutan ilmu yang dipelajari. Isu-isu semasa yang berputar di dalam masyarakat perlu diketahui. Kebajikan jiran-jiran di sebelah perlu diambil kisah.


Selain itu pengajian dan kuliah yang diadakan juga perlu dihadiri supaya amalan yang kita lakukan seharian itu tidak salah dan terpesong. Semoga kita bersikap sepertimana sikap para alim ulamak.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Darul Sofwah Al-Mukhtarah
Alor Star, Kedah.

Baca Lagi...

11 Januari 2010

Kalian akan GAGAL kalau terus berlakon sibuk


Buat pimpinan mahasiswa sekalian

Assalamualaikum...

Segala pujian dan kebesaran bagi Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, ikutan teladan sepanjang zaman.

Tugasan sebagai seorang pimpinan mahasiswa/wi memang cukup berat untuk dipikul. Selain daripada memikirkan kebajikan kawan-kawan yang lain, kita juga perlu untuk memikirkan kebajikan dan matlamat diri sendiri.

Kadang-kadang sesetengah kita memberikan alasan masa yang tidak cukup untuk memenuhi kehendak akademik dan persatuan. Itu belum masuk tentang masa bertalaqqi lagi.

Apabila kegagalan timbul, mulalah keadaan di sekeliling dipersalahkan. Antara alasan yang seringkali diberikan oleh mahasiswa seperti ini adalah..

"Doktor kuliah ni syadid la"
"Aku dah jawab betul tapi sebab apa masih lagi tidak lulus,ni mesti salah kira"
"Ini kes persatuan lah ni. Sampaikan aku tak sempat nak baca buku"

Wahai pimpinan sekalian, teruskan dengan ucapan kalian menyalahkan keadaan di sekeliling. Teruskan dengan lakonan hebat tersebut.


Ketahuilah bahawa lakonan kalian yang selalu nampak sibuk itu sebenarnya akan menempah kegagalan.
Lakonan kalian tidak sempat menghafal dan mengulang Al-Quran akan mengundang kerugian.
Lakonan kalian tidak sempat study kitab-kitab kuliah akan menghancurkan masa depan.
Lakonan kalian tidak ada masa untuk bertalaqqi dengan masyaikh di bumi Mesir akan menjadikan kalian orang yang paling tidak berguna apabila turun dalam masyarakat kelak.

Kalian bangga dengan lakonan hebat tersebut??

Sebenarnya orang yang selalu memberi alasan adalah orang yang tidak akan berjaya di masa hadapan. Orang yang gagal adalah orang yang tidak mampu menguasai motivasi diri serta keadaan di sekeliling. Mungkin satu prinsip yang boleh untuk sama-sama kita kongsi.

"Kalau kita dibentangkan dengan masalah, cuba fikir cara untuk menyelesaikannya. Bukan memikirkan cara untuk lari daripadanya"



Bagi saya, sebenarnya pimpinan mahasiswa mempunyai motivasi untuk berjaya lebih tinggi berbanding orang yang biasa. Sebab pimpinan sentiasa dibentangkan dengan masalah. Pimpinan juga selalu dilatih untuk membahagikan masa serta merancang target matlamat sesuatu gerak kerja yang dilakukan.

Tetapi apa yang menghairankan saya ialah, kenapa masih ada segelintir pimpinan yang tetap menyalahkan keadaan di sekeliling apabila ditaqdirkan gagal dalam imtihan. Ubahlah sikap ini demi melihat kita semua adalah pimpinan yang berjaya di masa hadapan.

Oleh itu wahai pimpinan sekalin, janganlah berlakon sibuk tak ada masa untuk menjadikan diri anda sebagai orang yang berjaya. Banyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW kerana perkara tersebut akan menguatkan hafalan seseorang.

Selamat menghadapi imtihan buat pimpinan PMRAM, BKAN dan DPM.


SEMOGA KITA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK


Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Perani, Kedah.

Baca Lagi...

10 Januari 2010

Matlamat asalku ke Mesir



Assalamualaikum

Sehala puji bagi Allah yang maha Agung. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, rasul yang membawa umatnya menuju ke jalan yang diredhoi Allah.

Tanggal 20 Oktober 2009. Marupakan satu tarikh yang tidak dapat saya lupakan. Pada tika itu terdapat 2 kenangan yang akan saya kenang sampai bila-bila. Mungkin ini merupakan hadiah daripada Allah SWT untuk hambanya yang faqir ini bersempena hari kelahiran pada 17 Oktober yang lalu.

Pada tarikh tersebutlah hamba yang faqir ini sempat bersalaman dengan Al-Alim Al-Allamah Sheikhuna 'Ali Jumuah, Mufti Mesir. Dah lama saya nantikan saat ini. Akhirnya Allah kurniakan anugerah barakah ini sebelum saya pulang ke Malaysia. Alhamdulillah.

Bagi saya sebenarnya matlamat asal yang saya letakkan ketika mula menjejak kaki ke Bumi Anbiyak ini masih belum tercapai walaupun 4 tahun saya berusaha ke arah tersebut. Sebab itulah gerak hati ini terus memujuk untuk menyambung pengajian di bumi yang barakah ini. Masih banyak lagi yang belum saya terokai.

Matlamat apa yang sampai 4 tahun masih belum tercapai? Betul ke diri ini yakin untuk mencapai matlamat itu??

Ya.....Matlamat untuk menjadi seorang ulamak. Itulah tujuan asal saya datang ke bumi Mesir ini. Pernah di tahun 2004 saya mendapat tawaran untuk ke Matrikulasi Pahang bagi menjadi seorang Akauntan. Tetapi tawaran itu ditolak demi untuk menjadi ulamak.

Pada tahun yang sama juga saya ditawarkan untuk ke Universiti Islam Antarabangsa bagi menjadi seorang Pakar Motivasi. Itu juga saya tolak demi untuk mewarisi ilmu para alim ulamak. Di tahun 2005 sekali lagi saya ditawarkan untuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia bagi menjadi seorang guru kementerian. Itu juga saya tolak demi untuk mempelajari ilmu daripada dada ulamak.

Tawaran yang seterusnya saya terima dengan hati yang terbuka untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, Universiti Al-Azhar As-Syarif. Universiti yang tertua di dunia. Inilah tempat yang banyak melahirkan para alim ulamak untuk mengubah masyarakat ke arah ke arah islam yang sejahtera.

Kini saya telahpun ditabalkan sebagai graduan Universiti Al-Azhar As-Syarif. Tarikh 17 November 2009 merupakan tarikh penting buat saya kerana pada saat itu saya akan menjalani temuduga MA di Universiti Al-Azhar. Peluang sebegini tidak mudah-mudah untuk saya lepaskan. Manakan mungkin, pengorbanan untuk tidak pulang ke Malaysia selama 4 tahun saya letakkan demi mendapat peluang untuk mempelajari manhaj MA Universiti Al-Azhar As-Syarif. Persiapan dibuat demi untuk mencapai matlamat yang dicanangkan.



7 Disember 2009, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut. Saya memilih untuk mengambil bidang Fiqh Am.

Saya tahu bahawa MA di Universiti Al-Azhar merupakan antara MA tersusah di dunia. Ramai mahasiswa Malaysia yang gagal untuk menghabiskan MA di tempat tersebut.

Bagi saya, matlamat asal saya ke bumi Mesir adalah di tempat yang pertama. Walaupun berkemungkinan sijil tidak saya perolehi daripada pihak universiti, saya akan berusaha memperoleh manhaj yang diletakkan oleh para masyaikh sehingga mampu melahirkan ulamak yang tersohor di serata dunia.

Oleh itu awal-awal lagi saya letakkan di dalam hati sebelum saya jejak kaki ke Bumi Anbiyak pada 2 Febuari 2010 akan datang...

TUJUAN ASALKU ADALAH MENJADI ULAMAK


SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah

Baca Lagi...

Sebab itulah ramai yang tidak memilih Jalan Dakwah


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah yang maha agung. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Setelah 4 tahun saya meninggalkan bumi Malaysia tanpa pulang walaupun bercuti, banyak suasana dan keadaan di sini yang berubah. Kalau nak disenaraikan memang tak habis.

Kenangan yang dulu kembali mengimbau apabila saya mula jejak kaki di Sofwah (sebuah rumah sewa Badan Dakwah Maktab Mahmud). Di situlah saya ditarbiyah oleh abang-abang. Di situlah saya mula kenal apa itu gerakan islam. Di situlah saya mengetahui erti pengorbanan dan perjuangan Islam.

Ketika menunggu urusan untuk menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar pada tahun 2005, saya dan beberapa rakan yang lain menjalankan usrah sebagai bakti yang terakhir di Malaysia. Pada waktu itu, saya memegang 2 usrah. Satu di Maktab Mahmud Yan dan satu lagi di Maktab mahmud Pendang. Memang betul-betul menguji ketahanan apabila dalam seminggu terpaksa membahagikan masa antara kerja di kantin sekolah (cari duit untuk mengaji), mengajar bahasa arab, menjadi warden, dan menjalankan usrah.

Ujian yang paling tinggi adalah ISTIQAMAH dengan apa yang saya dan kawan-kawan lakukan.


Alhamdulillah.....usaha yang dilakukan tidak sia-sia. Setelah 4 tahun saya menuntut di bumi Mesir, kepulangan saya disambut ceria oleh anak usrah yang dahulu. Bagi saya kini mereka pula yang menggantikan gerak kerja yang saya dan kawan-kawan lakukan suatu ketika dahulu. Malah mereka ini makin hebat daripada apa yang saya sangkakan.

Program tarbiyah disusun demi melihat masyarakat di sekeliling menikmati Islam yang sejahtera. Bagi saya, merekalah pimpinan di masa hadapan.

Kadang-kadang saya tersenyum sendiri apabila melihat telatah adik-adik ini. Rupa-rupanya memang benar apa yang selalu tokoh gerakan islam ucapkan.

"Gerak kerja yang kita lakukan sekarang, bukanlah berhasil dalam tempoh yang pendek. Mungkin memakan masa 5 hingga 10 tahun nanti. Sebab itulah tidak ramai yang memilih jalan dakwah dan gerakan islam. Kerana berkemungkinan mereka sendiri tidak dapat mengecapi hasil yang disemai ketika ini"

Kini saya sendiri yang merasai nikmat sambungan tarbiyah yang disusun oleh adik-adik di sini. Tetapi keberadaan saya bersama dengan adik-adik di sini hanyalah sebentar. Kerana saya telah niatkan di hati, kepulangan ini adalah sebagai cuti untuk mengambil kembali semangat ibu dan ayah di kampung.



Tidak lama lagi saya akan kembali berjuang di Mesir. Matlamat saya untuk menjadi ulamak masih belum tercapai. Banyak lagi yang belum saya warisi daripada para masyaikh di sana. Masih banyak lagi kitab-kitab yang yang belum saya bedah dan teliti. Masih bertimbun lagi barakah-barakah hikmah yang belum saya perolehi daripada bumi barakah tersebut.

Walaupun saya tidak dapat membantu perkembangan tarbiyah di negeri Kedah ini dalam tempoh masa yang terdekat, saya tetap berdoa semoga Islam semakin sejahtera di negeri saya ini.

Doakan naqib kalian ini semoga dapat mengisi kemenangan suatu hari nanti. SEMOGA KITA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK



Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Alor Setar, Kedah.

Baca Lagi...

08 Januari 2010

Teori Kematangan Ilmu


Assalamualaikum..

Segala puji bagi Allah yang maha Agung. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mungkin satu teori yang saya pelajari di Mesir boleh untuk sama-sama kita kongsi demi untuk melihat masyarakat terus maju menuju Islam yang Sejahtera.

Bagi saya teori ini memang cukup membantu bagi seseorang yang bergelar mahasiswa atau mahasiswi Al-Azhar yang pulang bercuti atau menabur bakti di tanah air. Memang tidak dinafikan, kata-kata abang dan kakak di Mesir memang benar. dan sekarang saya sendiri yang melalui pengalaman tersebut.

Sewaktu saya menjejak kaki di Malaysia setelah 4 tahun menghidu bau Perlembahan Nil tanpa pulang lansung ke sini, saya bersama-sama dengan keluarga dalam tempoh seminggu sahaja. Bermaksud seminggu yang pertama bersama dengan ibu dan ayah.

Masuk minggu yang kedua, deringan talifon bimbit mula berbunyi. Waktu itu jadual saya sudah mula untuk disusun. Seperti yang kita sedia maklum, tugasan amanah sebagai mahasiswa Al-Azhar ini memang sangat-sangat diperlukan masyarakat. Bagi saya mungkin inilah medah sebenar yang selalu dikatakan oleh orang-orang lama.

Alhamduillah, segala pelawaan orang-orang taman, kawan-kawan, pakcik-pakcik saya terima dengan hati yang terbuka dan dalam keadaan bersedia. Macam-macam perkara yang disuruh, asalkan jangan menolak selagi terdaya.

- Mengajar Bahasa Arab
- Menjadi imam surau
- Memberi kuliah Subuh dan Maghrib
- Membaca Khutbah
- Ceramah
- Tazkirah
- Menjalankan usrah
- Membuat tamrin

Segala yang diminta oleh masyarakat dapat saya lakukan dengan seadanya. Dah tu, apa teori yang dimaksudkan ????



PERSATUAN......!!

Ya, persatuan memang banyak membantu menyemai kemahiran yang ada dalam diri kita. Bagi saya sebenarnya terdapat 3 unsur yang perlu untuk kita selaku pimpinan mahasiswa/wi menyeimbangkannya. Kalau kurang salah satu, mungkin perkembangan ini akan terbantut. Percayalah.

Imam Abu hanifah membahagikan hidupnya kepada 3 bahagian.
1/3 adalah hubungan dengan ALLAH SWT.
1/3 lagi adalah hubungan dengan ILMU
1/3 lagi adalah hubungan dengan MASYARAKAT

Jadi 3 unsur inilah yang menjadikan ilmu yang dipelajari oleh tokoh tersebut menjadi matang sehinggakan dalam bidang muamalat, kita menggunakan pendapat beliau. Dan banyak lagi ilmu-ilmu tokoh ini yang menjadi pegangan masyarakat kini. Ketekunan beliau membahagikan masa dalam kehidupan serta memdalami ilmu perlu diteladani sehingga beliau digelar sebagai Mujtahid Mutlak.

Dalam konsep mahasiswa/wi persatuan adalah medan bagi 1/3 yang ketiga. Iaitu menjalinkan hubungan kita dengan masyarakat. Dalam persatuan kita diminta berceramah, berkhutbah, menghasilkan kertas kerja, menyelesaikan masalah, menyusun strategi perlaksanaan misi dan visi, bersedia berhadapan dengan masysrakat dan lain-lain.

Bagi saya, perkara-perkara inilah yang memberi kematangan kepada ilmu pelajaran yang kita pelajari. Talaqqi tidak menghalang berpesatuan. Mengaji kitab-kitab kuning tidak mengganggu berpesatuan. Menguruskan kehidupan seharian tidak menghalang berpesatuan. Malah persatuan lah yang akan mengajar kita untuk membahagikan masa yang hanya diberi 24 jam sahaja.

Oleh itu, walaupun kita tidak berpesatuan, jangan beri alasan bahawa kita tidak mampu untuk berhadapan dengan masyarakat. Bermasyarakat itu semestinya, cuma apakah medium yang mempercepatkan kematangan tersebut.

Wallahu'alam

Shahrizan bin Mohd Hazime
Sungai Petani,
Kedah.

Baca Lagi...

07 Januari 2010

Selaju HONDA CITY



Assalamualaikum...
Setelah lama kajian saya berkenaan dengan blog yang ditulis oleh kawan-kawan dan sahabat-sahabat, saya terfikir apakah titik penting yang mesti diterapkan ke dalam blog untuk menjadikan medan dakwah ini berhasil dan tidak dianggap membunag masa.

Kita selalu mengatakan bahawa internet dan blog adalah medium untuk menyampaikan dakwah. Tapi sejauh manakah landasan tersebut menuju kepada matlamat yang diungkapkan. Ada antara kita yang menulis diari peribadi, ada yang menulis matlamat hidupnya, ada yang menulis kajian ilmiah untuk dikongsi bersama dan ada yang menulis pendapat dan fikrah untuk disampaikan pada masyarakat.

Antara jenis-jenis bentuk penulisan ini, yang manakah dapat memberi input yang berguna dan anjakan paradikma yang berkesan pada masyarakat.


Saya berfikir dan terus berfikir. Bagi saya setelah mengamati tulisan kawan-kawan, sebenarnya medium yang tersedia ini akan memberi impak yang maksimum dalam masyarakat apabila ia dijadikan sebagai tempat untuk menyampaikan fikrah. Bukan diari diri, bukan tempat untuk meluahkan perasaan, bukan landasan untuk menyebarkan fitnah dan caci maki.

Oleh itu, mungkin sekarang saya mula belajar untuk menyapaikan fikrah melalui medium yang luas ini. Walaupun saya terkebelakang dalam mendapat natijah yang dikaji ini, tapi saya bersyukur kerana saya akan tujukan matlamat penulisan saya ini kearah penyebaran fikrah yang saya pelajari.

Memang jauh matlamat yang saya letakkan pada blog saya ini. Mungkin memakan masa 2 hingga 3 tahun untuk mencapat matlamat sebenarnya. Tetapi itulah ujian dan cabaran yang mesti ditempuhi. Dan saya akan menempuhi cabaran tersebut selaju "HONDA CITY"

SEMOGA KITA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani Kedah.


Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails