18 Januari 2010

Hanya MATI penghalang untuk tidak ke Usrah


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian makhluk di muka bumi. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda serta semua para sahabat baginda yang dikasihi sekalian.

2 hari yang lepas saya dijemput untuk menyampaikan kuliah maghrib di Markaz Langgar, Alor Star. Kebanyakan yang hadir dalam kuliah tersebut adalah di kalangan pelajar sekolah. Dan saya dimaklumkan bahawa mereka adalah nuqaba' dan naqibat di tempat masing-masing.

Mungkin saya boleh kongsi dengan kawan-kawan berkenaan kuliah maghrib yang disampaikan.

Dalam satu hadis nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh seorang sahabat besar nabi iaitu Abu Dzar Al-Ghifari. Nabi memesan kepada beliau mengenai 7 perkara. Hadisnya seperti berikut :

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ أَمَرَنِي بِحُبِّ الْمَسَاكِينِ وَالدُّنُوِّ مِنْهُمْ وَأَمَرَنِي أَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ دُونِي وَلَا أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقِي وَأَمَرَنِي أَنْ أَصِلَ الرَّحِمَ وَإِنْ أَدْبَرَتْ وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَسْأَلَ أَحَدًا شَيْئًا وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَخَافَ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ وَأَمَرَنِي أَنْ أُكْثِرَ مِنْ قَوْلِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ


Maksudnya : Daripada Abu Dzar, beliau telah berkata "Nabi SAW telah memesan kepadaku 7 perkara :-
1) Nabi SAW memesan kepadaku untuk menyintai orang-orang miskin dan mereka yang berpangkat rendah.
2) Dan beliau memesan lagi kepadaku untuk melihat orang yang dibawahku dan tidak melihat orang yang berada di atasku.
3) Dan beliau memesan untuk aku menyambung silaturrahim (berukhuwah) walaupun dia berpaling.
4) Dan beliau memesan kepadaku untuk tidak meminta-minta sedekah
5) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku bercakap benar walaupun pahit.
6) Dan beliau memesan kepadaku supaya aku tidak takut kepada celaan ketika aku berdakwah
7) Dan beliau memesan kepada ku supaya banyakkan berzikir 'la haula wala quwata illa billah'. Yang demikian itu adalah anugerah Allah SWT."



Saya ingin menyentuh salah satu pesanan baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari iaitu pesanan yang kedua.

Inilah konsep atau teori yang diajarkan oleh nabi SAW kepada seluruh umatnya. Mereka yang memahami konsep ini, akan mampu menilai keadaan di sekeliling. Konsep ini perlu diketahui dan diamalkan oleh umat islam terutamanya mereka yang bergelar nuqaba' dan naqibat.

Apabila seseorang dibentangkan atau diberikan dengan habuan dunia, maka nabi memesan untuk sentiasa melihat orang yang dibawah. Maksudnya ialah sentiasa memandang orang yang lebih susah, miskin serta kurang habuan dunia yang dikecapi. Keadaan ini akan menimbulkan rasa qanaah iaitu cukup dengan apa yang ada.

Berlainan pula dengan keadaan apabila kita dibentangkan atau diberikan habuan akhirat. Apa yang saya maksudkan ialah dalam urusan ibadah kepada Allah, maka nabi Muhammad SAW menyarankan kepada umatnya untuk melihat orang yang di atas. Bukan melihat orang yang dibawah. Maksudnya kita sentiasa meniru sikap yang ditunjukkan oleh para alim ulamak.

Mereka setiap hari mambaca al-quran dan berzikir. Kalaulah kita membelek kitab-kitab yang membicarakan waktu dan masa orang yang alim, tentu sekali kita yang bergelar nuqaba' dan naqibat akan merasa cukup rendah dan hina jika dibandingkan dengan mereka.

Tetapi konsep yang diletakkan oleh Nabi ini, dipesongkan oleh sebahagian umat islam. Dalam perkara dan habuan dunia, kita selalu memandang orang yang diatas. sebab itulah perasaan tamak dan tidak pernah cukup itu selalu menyelubungi hidup.

Mahu rumah besar.
Mahu kereta besar.
Mahu gaji besar.
Mahu hidup mewah.

Saya tidak mengatakan bahawa rumah, kereta, gaji dan hidup mewah ini adalah salah di sisi agama Islam, tetapi sekiranya yang demikian itu tidak digunakan untuk Islam maka amatlah rugi kerana perkara tersebut bagaikan longgokan emas di depan mata, hanya tunggu untuk dimasukan sahaja ke dalam karung.

Manakala dalam urusan akhirat, umat islam kini selalu memandang orang yang berada di bawahnya. Bermaksud dia hanya berpada dengan ibadah yang dilakukan.

"aku sembahyang di masjid 3 kali sehari ni kira ok lah"
"aku sedekah seringgit ni cukup rahmat dah ni"
"cukuplah dengan aku membaca al-quran, tak perlu lagi bacaan ma'thurat"

Kehidupan sebagai nuqaba'dan naqibat perlu memegang konsep yang diajarkan oleh baginda SAW kepada Abu Dzar Al-Ghifari. Istiqamah untuk melakukan usrah setiap minggu perlu ada dalam jiwa seorang pejuang.


Saya teringat satu kata-kata yang dilontarkan oleh naqib usrah saya iaitu Ust Mohd. Asri bin Md Daud "Buatlah usrah dan hadiri halaqah selagimana mampu. Hanya mati sahaja penghalang untuk tidak ke usrah"

Kalaulah pimpinan tok guru yang hebat di Malaysia mampu memimpin, mengajar tafaqquh,
melaksanakan usrah, menjalankan mesyuarat pada satu-satu masa, kenapa kita kita tidak boleh sedemikian?

Kalaulah Imam Nawawi rahimahullah mampu menggunakan masa yang ada untuk beribadah kepada Allah, menuntut ilmu dan meluangkan masa untuk bermasyarakat, kenapa kita tidak boleh begitu?

Oleh itu, gunakan masa yang ada ini untuk meningkatkan amalan kepada Allah SWT. Dalam hal tersebut, jadikan para alim ulamak sebagai ikutan dan panduan. Kajilah perjalanan hidup mereka, moga-moga kita tergolong dalam golongan ulamak.

Petang ini saya akan bergegas ke Alor Star pula untuk menyambung kelas tafaqquh selepas solat Maghrib dan mengadakan usrah pada keesokannya. Mungkin inilah bakti-bakti terakhir saya untuk masyarakat di Kedah sebelum pulang menyahut lambaian kawan-kawan di Mesir. Semoga tafaqquh yang saya adakan malam ini boleh untuk sama-sama kita kongsi. Insyallah.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'alam
Shahrizan bin Mohd Hazime
Sungai Petani, Kedah.

4 ulasan:

  1. pandangan ana..hanya org yang merasakan kelazatan usroh sahaja yang boleh berpegang pada prinsip "Hanya mati penghalang untuk tidak ke usroh"

    tp bagaimana pula cara untuk memastikan kawan2 yang disekeliling kita ini merasakan kelazatan usroh seperti yang penulis rasakan..

    BalasPadam
  2. Jadilah Orang yang Mentarbiah dan mahu diTarbiah...Usrah merupakan tangga untuk kita mentarbiah dan ditarbiah..bukan kita hanya menyampaikan tapi kita juga di ajar untuk menerima sesuatu...sesiapa yang mahu menjadi hebat dalam berjuang haruslah menjadikan medan Usrah sebahagian dari wadah perjuangannya dan menjadi titik permulaan yang berterusan untuk berdakwah...ia juga sebagai ubat kepada keperitan dalam berjuang...Salam juang dan cintakan ISLAM...

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum...

    sebenarnya saya pun masih banyak yg perlu dipelajari. masih banyak nasihat yang saya perlukan.

    pandangan saya, sebenarnya uslub dakwah yang kita guna perlu sesuai dengan mad'u yang kita cari. Lihat dulu org di sekeliling tu camna? Muda @ tua, profesional @ nganggur, pemimpin @ ahli? Kemudian sesuaikan uslub pembawakan kita tu padanya supaya dia xboring dgn kita. perkara ni ada disebutkan dalam perbahasan dakwah fardhiah. silakan untuk mengkajinya

    BalasPadam
  4. assalamualaikum

    mohon copy artikel/catatan ni

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails