04 Februari 2010

Persoalan Solat Qasar


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT yang telah menciptakan langit dan bumi sebagai nikmat bagi sekalian makhlukNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, ikutan sepanjang zaman.

Selaut kesyukuran saya ucapkan kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada saya untuk menyambung kembali pengajian di Universiti Al-Azhar As-Syarif dalam bidang Takhassus Fiqh Am.

Alhamdulillah sepanjang perjalanan selama hampir 10 jam, saya memohon pada Allah SWT agar dianugerahkan kesejahteraan iman dan keberkatan masa kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan agar pulang ke Malaysia kelak dengan membawa permata dan mutiara yang mungkin tidak diperolehi di sana.

Menyambung kembali perbahasan berkenaan hukum musafir dan solat qasar. Jikalau sebelum ini saya menghuraikan secara ringkas syarat-syarat bagi mereka yang hendak melaksanakan solat qasar.

Pada kali ini saya ingin bincang tentang beberapa soalan yang sering ditanya. Saya anggap, ini merupakan masalah-masalah yang kerap kali berlaku di kalangan masyarakat yang umum. Kebanyakan soalan dan jawapan ini saya ambil daripada kitab At-Taqrirat As-Sadidah.

Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua demi untuk melihat agama Islam itu terus subur dalam kehidupan masyarakat sekeliling.

******

JIKA SESEORANG ITU TIDAK PASTI SAMA ADA IMAM MELAKUKAN SOLAT QASAR ATAU SEMPURNA, ADAKAH BOLEH MAKMUM BERNIAT SOLAT QASAR?

Tidak pasti sama ada imam melakukan solat qasar atau tidak itu merupakan perasaan syak. Sekiranya makmuk itu yakin bahawa imam adalah orang yang musafir maka makmum boleh meletakkan taklik niat iaitu niat solat mengikut imam. Sekiranya imam itu melakukan solat qasar maka dia juga melakukan solat qasar. Sekiranya tidak, maka makmum juga begitu.

Cara niatnya adalah seperti berikut :

(Sahaja aku solat fardu Zohor secara qasar sekiranya imam ini melakukan qasar atau secara sempurna sekiranya imam ini melakukan solat sempurna kerana Allah Taala)

Tetapi sekiranya makmum syak sama ada imam itu orang yang musafir atau tidak maka tidak harus baginya meletakkan taklik niat. Taklik niat di sini bermaksud menggantungkan niat mengikut niat imam.

******

SAYA PERNAH TERDENGAR TENTANG SESEORANG YANG BOLEH MENG'QASAR'KAN SOLAT SEHINGGA 18 HARI? BAGAIMANA PULA CARANYA?

Mengikut pendapat Imam Syafie Rahimahullah terdapat 2 keadaan niat yang menyebabkan seseorang itu terputus musafir (tidak boleh qasar solat).

1. Niat di tengah perjalanan untuk kembali ke ke tempat asal.
(Perlu diingatkan bahawa jarak antara niat untuk kembali dan tempat asal tersebut adalah kurang daripada 2 marhalah. Sekiranya melebihi 2 marhalah maka masih boleh untuk meng'qasar'kan solat.)

2. Niat untuk bermukim di destinasi selama 4 hari tidak termasuk hari pertama dan hari keluar (balik).

Jadi jika seseorang itu niat untuk bermukim selama 18 hari, maka dia tidak boleh melakukan solat qasar.


Berkenaan dengan masalah yang ditanya, memang terdapat keadaan yang membenarkan seseorang itu melakukan solat qasar selama 18 hari. Jika seseorang itu niat untuk bermukim selama kurang daripada 4 hari untuk melangsaikan hajat dan keperluan, tiba-tiba terpaksa untuk dilanjutkan tempoh tersebut. Maka dalam masalah ini, dibenarkan seseorang melakukan solat qasar selama 18 hari.

(Perlu diingatkan bahawa maksud "selama 18 hari" ialah seseorang itu niat untuk bermukim kurang 4 hari kemudian bertambah sehari demi sehari sehinggalah jumlah kesemuanya 18 hari.)

******

SAYA TERTINGGAL SOLAT ZOHOR SEBELUM SAYA BERMUSAFIR. ADAKAH SAYA BOLEH MENGGANTIKAN SOLAT TERSEBUT DALAM KEADAAN QASAR KETIKA SAYA BERMUSAFIR?

Dalam satu kaedah yang disebutkan oleh para ulamak "Apabila bertemu antara musafir dan bermukim, maka dahulukan bermukim"

Mengikut kaedah tersebut, solat qada yang ditinggalkan ketika bermukim tidak boleh diqasarkan ketika bermusafir. Begitu juga hukumnya solat qada yang ditingglkan ketika bermusafir tidak boleh diqasarkan ketika bermukim.

Tetapi solat qada yang ditinggalkan ketika bermusafir boleh diqasarkan ketika bermusafir.

(Perlu diingatkan bahawa jika seseorang syak sama ada solat yang ditinggalkannya itu ketika bermukim atau musafir, maka tidak boleh sama sekali solat tersebut diqasarkan)

******

JARAK ANTARA SUNGAI PETANI DAN ALOR STAR IALAH 70 KM. TETAPI SEKIRANYA SAYA MENGIKUT JALAN LAMA JARAKNYA MENCECAH 90 KM. JIKA SAYA KE ALOR STAR MENGIKUT JALAN LAMA, ADAKAH BOLEH SAYA MELAKUKAN SOLAT QASAR?

Sepertimana yang telah dibahaskan sebelum ini, mengikut pendapat Imam Syafie, jarak yang membenarkan seseorang melakukan solat qasar ialah melebihi 2 marhalah atau 82 km.

Oleh itu, jika seseorang mengikut jalan yang jauh tersebut dengan tujuan yang baik seperti jalan yang jauh lebih selesa daripada jalan yang dekat atau jalan yang jauh lebih selamat daripada jalan yang dekat, maka solat qasar harus dilakukan.


Tetapi sekiranya seseorang itu tiada tujuan mengikut jalan yang jauh padahal jalan yang dekat tidak ada masalah, maka tidak harus solat qasar dilakukan.

Sekiranya dia melalui jalan yang jauh dengan niat yang tidak baik seperti mengelak daripada ditahan polis, maka keadaan ini juga tidak harus solat qasar dilakukan.

******

Semoga dengan perbincangan yang ringkas ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Saya mengharapkan teguran yang membina sekiranya terdapat kesalahan dalam perbincangan ini.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd. Hazime.
Rumah sewa BP PMRAM,
Kaherah, Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails