19 September 2010

"Sekarang Adalah Waktu Mengembleng Kekuatan" - Presiden PMRAM

Sumber : Web PMRAM

KAHERAH 18 SEPT - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM sentiasa menjalinkan hubungan baik dan kerjasama antara pegawai-pegawai KBMK, JPMK dan pegawai-pegawai kebajikan anak negeri.

Tambahnya, hubungan tersebut semakin erat dirasakan apabila masing-masing mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Pertemuan antara pegawai-pegawai dengan Badan Pengurus PMRAM membuktikan lagi bahawa jalinan hubungan peribadi semakin kukuh sesama mereka.

Beliau yang ditemui ketika Majlis Haflah Aidilfitri PMRAM (HATI PMRAM 10) berkata, sekarang merupakan waktu untuk kita mengembleng kekuatan antara satu sama lain. Seharusnya PMRAM sentiasa bekerjasama dengan pegawai-pegawai KBMK, JPMK dan pegawai-pegawai kebajikan anak negeri dari sudut kebajikan, peningkatan pendidikan dan kesatuan mahasiswa-mahasiswi di Mesir ini.

Beliau menegaskan bahawa sekarang bukanlah waktu untuk kita mencari kesalahan masing-masing lalu berperang sesama sendiri. Perkara tersebut akan merugikan masa dan harta umat Islam. Padahal golongan zionis sentiasa mahukan perpecahan antara umat Islam agar mudah bagi mereka menyebarkan pemikiran yang sesat.

Suasana Haflah Aidilfitri PMRAM bertambah ceria dengan kehadiran daripada pegawai kedutaan seperti Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar bin Muhamad, En Shamsul Kahar bin Kamarudin.

Turut hadir memeriahkan suasana Pegawai Johor Ust Mohd Hanif bin Hj Naim, Pegawai Wilayah En. Ahmad Yahya bin Hanif dan Pegawai Kedah Sheikh Yusoff bin Ahmad. Kehadiran mereka bersama keluarga masing-masing disambut baik oleh Badan Pengurus dan HEWI PMRAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails