18 November 2010

Intipati Aidil Adha Adalah Sifat Berkorban

KAHERAH 17 November - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyatakan bahawa intipati kepada Hari Raya Aidil Adha adalah sifat berkorban.


Katanya, berkorban yang Islam mahu bukanlah hanya sekadar menyembelih unta, lembu ataupun kambing. Akan tetapi korban yang Islam mahu ialah mengorbankan jiwa, harta dan waktu untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau yang juga selaku perasmi program Adha '10 di Rumah Kelantan Baru tidak mahu mahasiswa-mahasiswi Islam hanya melaungkan "korban, korban, korban". Tetapi buktikan sifat berkorban itu dengan tindakan.

Tambahnya, sifat berkorban yang dimaksudkan bukanlah hanya sekadar sumbangan yang diberikan. Akan tetapi seseorang yang ingin berkorban sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah.

"Mahasiswa-mahasiswi Islam pada hari ini perlu ada sifat berkorban untuk Islam. Bukan hanya sekadar sumbangan. PMRAM yakin bahawa integriti dan jati diri mahasiswa yang semakin lenyap adalah kesan daripada sifat berkorban yang hilang daripada jiwa umat Islam". Tegas beliau ketika merasmikan program tersebut.

Turut hadir sama Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan bin Md Zain yang juga merupakan Badan Pengurus angkat negeri Kelantan Darul Naim.

Beliau menambah, kejatuhan pemerintahan Islam pada tahun 1924 adalah kesan sifat berkorban yang hilang dalam diri umat Islam ketika itu.

Justeru katanya, PMRAM serius melaksanakan Muzakarah Berkelompok demi mengembalikan sifat berkorban dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam.

Beliau mengambil contoh peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang sanggup mengenepikan perasaan peribadi iaitu naluri seorang ayah yang sayangkan anaknya apabila bertembung dengan perintah Allah SWT.

Program yang diadakan tersebut diserikan dengan persembahan nasyid, burdah dan lakonan daripada anak-anak Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails