19 November 2010

Muqaddimah Qawaid Fiqhiyah Selepas Khatam Fath Al-Qarib


Assalamualaikum

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Bersyukur kehadrat Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat ISTIQAMAH dalam mempelajari ilmu agama serta berusaha untuk mengamalkannya. Sesungguhnya Islam mengajar umatnya agar berterusan melakukan kerja-kerja Islam walaupun sedikit.

Sebab itulah para hukamak pernah menyebutkan bahawa sifat istiqamah itu lebih baik daripada seribu karamah. Sikap para wali Allah SWT tidak pernah meminta supaya mereka mendapat karamah daripada Tuhannya. Akan tetapi mereka bermohon agar diberikan anugerah kelazatan serta kenikmatan beribadah kepada Allah SWT.

Jesteru Allah SWT menyatakan di dalam al-quran 3 anugerah yang yang akan diberikan kepada hamba-hambaNya yang ISTIQAMAH beriman kepadaNya.

1) Sifat berani
Mereka yang istiqamah akan mempunyai keyakinan diri dan motivasi yang tinggi. Oleh itu segala ujian yang menimpa bakal dilalui dengan jiwa yang besar.

2) Sifat tenang
Golongan yang istiqamah mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa semua yang terjadi adalah taqdir daripada Allah SWT. Oleh itu mereka tidak akan cepat berputus asa, mengeluh, mahupun mengangkat diri berlebih-lebihan.

3) Optimis
Golongan ini mempunyai matlamat yang jelas di hadapan. Oleh itu segala tindakan yang dilakukan adalah mengikut kepada garis panduan syarak serta perancangan yang terperinci,

Alhamdulillah sehingga ke hari ini, kami dianugerahkan oleh Allah SWT kesempatan untuk mengkhatamkan pembacaan kitab Fath Al-Qarib iaitu kitab fiqh syarahan kepada Matan Abi Syujak.

Saya memulakan pembacaan kitab tersebut pada bulan Ogos 2008 di dalam Madrasah Imam As-Syafie anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2008. Berkat istiqamah yang dianugerahkan Allah, kami mengkhatamkan kitab tersebut pada 14 November 2010.

Bagi meneruskan agenda fikrah ilmuan ini, insyallah kami akan menyambung perbincangan dalam Madrasah Imam As-Syafie dengan kitab yang baru iaitu Ad-Durar Al-Bahiyah fi idhah Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Muqaddimah pembacaan akan dimulakan pada 20 November 2010. Selepas ini saya akan ceritakan sebab pemilihan kitab tersebut selepas tingkatan pembacaan kitab fiqh.

Semoga perkongsian yang sederhana ini akan diredhoi oleh Allah SWT serta mendapat rahmat dan kasih sayangNya.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Pejabat PMRAM, Masakin Osman,
Kaherah, Mesir.

Baca Lagi...

18 November 2010

Sifat Tadhiyah Akan Lahir Daripada Agenda Tarbiyah


KAHERAH 17 November - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa sifat 'tadhiyah' (pengorbanan) akan lahir daripada agenda tarbiyah (pendidikan).

Katanya, sifat 'tadhiyah' tidak akan wujud dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi khususnya dan jiwa umat Islam umumnya sekiranya kita culas dalam melaksanakan agenda tarbiyah.
Justify Full
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa tunjang utama agenda tarbiyah adalah muzakarah berkelompok. Maka demi mencapai matlamat sifat berkorban yang hidup dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam, muzakarah berkelompok wajib dilaksanakan.

"Kita wajib melazimi muzakarah berkelompok kerana ia adalah agenda tarbiyah yang dilaksanakan di peringkat PMRAM Pusat mahupun Cawangan. Mereka yang culas pasti akan terkeluar daripada senarai umt terbaik pilihan Allah SWT". ujar beliau ketika ditemui selepas merasmikan Adha '10 di Rubah Kelantan baru.

Manurutnya, tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Perayaan Awal Muharram bagi memperingati penghijrahan nabi dan para sahabat baginda.

Beliau menjelaskan, intipati kepada sambutan awal Muharram adalah kesatuan umat Islam. Dan kesatuan ini tidak akan wujud selagimana sifat berkorban tidak wujud dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam.

Menurutnya, antara bukti permulaan kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW ialah sifat berkorban yang nabi terapkan pada jiwa kaum Ansar. Manakan tidak, kaum Ansar sanggup harta kekayaan dan anak bini demi menolong kaum Muhajirin yang hadir daripada kota Mekah.

Maka sebelum menyambut perayaan awal Muharram, sifat berkorban perlu dihayati oleh seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam.

Justeru katanya, setiap peringkat perlu memainkan peranan masing-masing demi menjayakan muzakarah berkelompok.

Baca Lagi...

Intipati Aidil Adha Adalah Sifat Berkorban

KAHERAH 17 November - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyatakan bahawa intipati kepada Hari Raya Aidil Adha adalah sifat berkorban.

Katanya, berkorban yang Islam mahu bukanlah hanya sekadar menyembelih unta, lembu ataupun kambing. Akan tetapi korban yang Islam mahu ialah mengorbankan jiwa, harta dan waktu untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau yang juga selaku perasmi program Adha '10 di Rumah Kelantan Baru tidak mahu mahasiswa-mahasiswi Islam hanya melaungkan "korban, korban, korban". Tetapi buktikan sifat berkorban itu dengan tindakan.

Tambahnya, sifat berkorban yang dimaksudkan bukanlah hanya sekadar sumbangan yang diberikan. Akan tetapi seseorang yang ingin berkorban sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah.

"Mahasiswa-mahasiswi Islam pada hari ini perlu ada sifat berkorban untuk Islam. Bukan hanya sekadar sumbangan. PMRAM yakin bahawa integriti dan jati diri mahasiswa yang semakin lenyap adalah kesan daripada sifat berkorban yang hilang daripada jiwa umat Islam". Tegas beliau ketika merasmikan program tersebut.

Turut hadir sama Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan bin Md Zain yang juga merupakan Badan Pengurus angkat negeri Kelantan Darul Naim.

Beliau menambah, kejatuhan pemerintahan Islam pada tahun 1924 adalah kesan sifat berkorban yang hilang dalam diri umat Islam ketika itu.

Justeru katanya, PMRAM serius melaksanakan Muzakarah Berkelompok demi mengembalikan sifat berkorban dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam.

Beliau mengambil contoh peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang sanggup mengenepikan perasaan peribadi iaitu naluri seorang ayah yang sayangkan anaknya apabila bertembung dengan perintah Allah SWT.

Program yang diadakan tersebut diserikan dengan persembahan nasyid, burdah dan lakonan daripada anak-anak Kelantan.

Baca Lagi...

16 November 2010

Perutusan Hari Raya Aidil Adha Presiden PMRAM 2010


الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين
.

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi.

Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam.

Memahami sejarah jatuh bangun Islam, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis Islam.

Sahabat-sahabat seakidahku sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah.

Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, PMRAM melaksanakan muzakarah berkelompok bagi membentuk pemikiran mahasiswa yang dikehendaki oleh Islam. PMRAM begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah (pendidikan). Muzakarah berkelompok yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, mahasiswa yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh Unit Hisbah PMRAM menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.

Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung di Malaysia bakal menayangkan sebuah filem yang bertemakan hubungan sejenis. Filem yang bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya songsang dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda pendidikan. PMRAM begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan akademik sebagai hadiah buat ummah. Kegagalan yang menimpa sebahagian mahasiswa-mahasiswi baru pada imtihan qabul baru-baru ini, bukanlah bermakna kita menyerah kalah. Tetapi jadikanlah kegagalan tersebut sebagai peluang untuk memahami kelemahan diri yang perlu diperbaiki.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam. MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN. Selamat Hari Raya Eidil Adha 1431 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Baca Lagi...

"PMRAM Tidak Memerlukan Pimpinan Yang Tidak Sanggup Ditarbiyah" - Presiden PMRAM


KAHERAH 3 Nov - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM memerlukan pemimpin yang mahu mentarbiyah masyarakat dan mereka sedia ditarbiyah.

Sehubungan itu, beliau selaku pengisi slot 'Fiqh Al-Aulawiyat Buat Pimpinan Mahasiswa/i' dalam Justify FullKonvensyen PMRAM 2010 tidak mahu pimimpin PMRAM Cawangan hanya ingin mentarbiyah masyarakat manakala diri mereka tidak sanggup ditarbiyah.

Katanya, pimpinan yang tidak sanggup diri mereka ditarbiyah bakal menghasilkan masyarakat yang pincang dan natijah yang tidak sempurna.

Justeru tambahnya, PMRAM begitu serius mengubah sikap dan mentaliti pimpinan di semua peringkat sebelum mengubah sistem pengurusan ke arah lebih baik. Beliau menyebutkan kaedah tersebut berdasarkan sirah perjalanan dakwah Baginda Rasulullah SAW di Mekad dan Madinah.

"Nabi Muhammad SAW mengubah minda dan sikap masyarakat jahiliyah selama 13 tahun di Mekah kemudian barulah baginda mengubah sistem melalui syariat Allah SWT. PMRAM mengambil kaedah ini sebagai panduan keutamaan dalam melaksanakan sesebuah agenda". Ujar beliau ketika pembentangan slot Fiqh Al-Aulawiyat.

Ini, katanya kerana PMRAM mensasarkan 3 matlamat utama dalam Konvensyen PMRAM kali ini iaitu SIKAP, SEDAR dan SISTEM.
Beliau menjelaskan, kalaulah sikap dan mentaliti pimpinan tidak berubah maka percayalah bahawa sehebat mana pun sistem yang dicipta pasti tidak akan terlaksana.

Beliau menambah, pimpinan PMRAM Pusat mahupun Cawangan hendaklah sentiasa ditarbiyah bagi meneruskan perjuangan Islam bagi meruntuhkan jahiliyah, Oleh itu, setiap pimpinan perlu mengikuti muzakarah berkelompok serta manhaj yang telah ditetapkan.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan pimpinan bakal mengembalikan jati diri dan integriti dalam jiwa umat Islam.

Baca Lagi...
Related Posts with Thumbnails