Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan seklian alam. Selawat dan salam buat jujungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala Nabi dan Rasul.
Dalam kesibukan pimpinan PMRAM menghadapi peperiksaan, mereka tidak pernah culas dalam menjalankan amanah yang dipundakkan ke atas bahu. Bagi perancangan program PMRAM pada bulan Julai akan datang, BP Zuhaili adalah orang pertama yang menyusun strategi perangkaan.
Penyebaran maklumat aktiviti PMRAM, BP Faizuddin adalah orang yang tidak lekang daripada laptop untuk mengemaskini maklumat dan berita.
Risalah siri-siri pembinaan fikrah mahasiswa, BP Adlan adalah orang yang terhadapan dalam melaksanakan tugas tersebut.
Di kesempatan ini, mungkin saya boleh berkongsi dengan pembaca tentang manhaj yang digunakan oleh Universiti Al-Azhar untuk membentuk fikrah ulamak di peringkat Master. Saya bersyukur pada Allah SWT kerana dianugerahkan kesempatan untuk mempelajari manhaj para ulamak.
Pada masa yang sama, saya juga ditaklifkan untuk memegang amanah selaku presiden PMRAM pada sesi ini. Jadi ilmu yang saya pelajari daripada doktor kuliah dan masyaikh, dapat direalitikan dalam masyarakat sekeliling.
*******
KAEDAH ATAU TEORI
Terdapat satu kaedah fiqh yang saya pelajari daripada kitab Al-Asybah wa An-Nazoir karangan Imam As- Sayuti. Begitu juga dengan kitab Al-Qawaid Al-Fiqhiyah yang dikarang oleh Ustaz Doktor Abdul Aziz Muhammad Azzam. Kedua-dua kitab ini adalah manhaj yang digunakan oleh Al-Azhar di peringkat master.
Doktor yang mengajar kami ialah Ustaz Doktor 'Athiah Abdul Maujud. Saya sempat mempelajari kitab Al-Iqnak syarah matan Abi Syujak karangan Imam Khatib As-Syirbini daripada beliau suatu ketika dahulu.
تصـرف الإمـام على الرعيـة منـوط بالمصلحـة
Keputusan yang dibuat oleh pimpinan ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahat
'Pimpinan' yang dimaksudkan di atas adalah termasuk perdana menteri, presiden, wali, imam, hakim, qadhi dan pegawai yang berkuasa untuk melakukan urusan umat Islam sama ada keseluruhan atau sebahagian.
Perkataan 'rakyat' yang dimaksudkan di atas ialah ahli, peserta atau sekumpulan umat islam yang menjadi tanggungjawab pimpinan untuk menguruskan sebahagian hal ehwal mereka.
Justeru, keputusan yang dilakukan oleh pimpinan adalah melihat kepada kebaikan atau maslahat yang menyeluruh kepada rakyat tanggungannya. Keputusan tersebut mestilah adil dan saksama serta menafikan sifat kezaliman yang akan berlaku.
Keputusan tersebut juga meraikan hak sesama muslim, memelihara akhlak, menolak kejahilan dan menyelamatkan masyarakat daripada kerosakan dan kebinasaan.
Maslahat tersebut bukanlah tertumpu pada kelompok kecil yang tertentu ataupun hanya untuk kepentingan peribadi. Jikalau inilah yang berlaku maka Islam mengeji tindakan pimpinan tersebut. Hal ini kerana keputusan yang dibuat tidak berlandaskan syarak dan maqasid agama.
REALITI DAN PERLAKSANAAN
Imam yang fasik
Seseorang pimpinan tidak boleh melantik imam solat jemaah di kalangan orang yang fasik walaupun solat bagi makmum yang bersembangyang di belakangnya adalah sah. Hal ini kerana solat di belakang imam yang fasik adalah makruh. Justeru pimpinan tidak boleh mengajak rakyat untuk melakukan perkara yang makruh.
Pemberian zakat
Seseorang yang menguruskan zakat mestilah berlaku adil ketika pembahagian harta tersebut kepada asnaf sekiranya mereka mempunyai keperluan dan situasi yang sama. Pemberian yang tidak saksama pada keperluan yang sama adalah dilarang dalam islam. Justeru, penarikan zakat daripada sesetengah mahasiswa yang mempunyai keperluan yang sama dengan mahasiswa yang lain adalah dilarang dalam Islam.
Pemberian harta Baitul Mal
Seseorang pimpinan tidak boleh memberikan harta Baitul Mal kepada mereka yang tidak memerlukan sedangkan terdapat golongan yang lebih memerlukan harta tersebut. Keperluan di sini diiktibar sebagai maslahat yang berlaku.
Penetapan etika gerak kerja
Seseorang yang berkuasa mestilah menetapkan etika pengurusan gerak kerja dengan meraikan maslahat kebanyakan individu dan tidak bersifat 'double standard'. Sekiranya etika tersebut mendatangkan kesusahan dan kepayahan maka ia dilarang oleh syarak.
Pernikahan tanpa wali
Wali sultan tidak boleh menikahkan seseorang wanita yang tidak mempunyai wali dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya. Tindakan ini dilarang walaupun wanita tersebut redha. Hal ini kerana "kufu' " adalah perkara yang diambil kira dalam pemilihan calon.
Harta warisan
Sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa waris, maka hartanya akan diberikan kepada Baitul Mal. Masalah yang lain pula, seseorang yang dibunuh dan tidak mempunyai waris, maka sultan tidak berhak memberikan kemaafan (terlepas tanpa bayaran) kepada si pembunuh. Pembunuh tersebut wajib diqisas atau membayar diat. Dan harta diat tersebut diberikan kepada Baitul Mal.
Sekian
Wallahu'alam
SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK
Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan