11 September 2010

Perutusan Aidilfitri Presiden PMRAM 2010

Sumber : Web PMRAM


الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين .

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa tarbiyah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui tempoh menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah ke atas umat manusia untuk mengembalikan mereka ke fitrah asal kejadian.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah bagi seluruh umat Islam. Bulan tersebut menyaksikan bahawa seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga. Bukan itu sahaja, bahkan kita juga dituntut untuk menjaga seluruh anggota tubuh daripada melakukan pekara-perkara yang dikeji oleh Allah SWT.

Sebab itulah Allah SWT menerangkan intipati kepada suruhan untuk berpuasa adalah bagi melahirkan umat Islam yang bertaqwa. Mereka adalah golongan yang sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan serta suruhan-Nya. Lihatkan firman Allah SWT,

ياأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Islam tidak hanya menyuruh umatnya berpuasa semata-mata, menahan lapar dan dahaga. Akan tetapi di bulan Ramadhan umat Islam dilatih dan ditarbiyah agar seluruh panca inderanya juga turut berpuasa daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Matanya tidak melihat perkara-perkara yang dikeji Allah SWT. Mulutnya tidak melontarkan kata-kata fitnah terhadap orang ramai. Telinganya tidak mendengar melainkan perkara-perkara yang bermanfaat.

Semua perkara tersebut dijadikan Allah SWT demi melahirkan jiwa umat Islam yang bertaqwa. Dan di antara tanda-tanda sifat taqwa itu bertapak di jiwa umat Islam adalah mereka yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada agama Allah SWT. Bukan itu sahaja, malahan mereka juga sentiasa istiqamah melakukan ibadah kepada Allah SWT. Tidak hanya melakukan ibadah di bulan Ramadhan semata-mata.

Memahami konsep ini, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk menjadi sebenar-benar hamba. Kita bukanlah hamba Ramadhan yang hanya bergiat melaksanakan ibadah di bulan tersebut sahaja dan terputus amalan setelah masuknya bulan Syawal. PMRAM juga tidak pernah mengajar mahasiswa-mahasiswi hanya bergiat melaksanakan kerja-kerja Islam di bulan Ramadhan sahaja.

Akan tetapi, PMRAM menyeru seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk terus istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja Islam, bahkan setelah berakhirnya Ramadhan, kerja-kerja Islam yang dilaksanakan adalah lebih baik dan berkualiti berbanding yang sebelumnya. Perkara inilah yang PMRAM istilahkan sebagai “Hamba Rabbani” iaitu hamba yang tidak pernah menjadikan waktu yang khusus untuk beribadah kepada Allah SWT. Seluruh waktunya siang dan malam adalah ibadah kepada Allah SWT.

Sahabat seakidahku sekalian,

Apabila disebut tanggungjawab dakwah, maka ia merupakan tajuk penting yang memerlukan perhatian kita bersama. Manakan tidak, jalan dakwah bukanlah sepertimana jalan-jalan lain yang dihamparkan dengan permaidani merah. Padahal, jalan dakwah tersebut dipenuhi dengan duri dan halangan yang perlu dihadapi oleh aktivis-aktivis Islam.

Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk bersatu padu dalam melaksanakan kerja dakwah. Dengan kesedaran ini, PMRAM kini dan selamanya berusaha membawa arus gelombang mahasiswa-mahasiswi mengikut acuan Islam yang sebenar. Slogan keramat ‘KITA PMRAM’ yang sering dilaungkan menjadi bukti bahawa PMRAM begitu komited dalam membawa agenda taakhi antara BKAN dan DPM.

Biarlah besar mana sekalipun rintangan dan halangan yang dihadapi, sekiranya konsep bersatu yang diterapkan oleh PMRAM disahut baik di semua peringkat pasti segala ujian tersebut mudah dihadapi. Imam Hasan Al-Banna menyebutkan di dalam artikelnya “sesungguhnya kekuatan yang paling utama adalah kekuatan kesatuan”. Cuba perhatikan firman Allah SWT yang membicarakan tentang konsep kesatuan ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah.

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar”


Cuba kita beralih pandangan dengan melihat keadaan yang berlaku di negara kita, Malaysia. Pastinya masih segar dalam ingatan kita bagaimana dewasa kini, negara dan ummah terpaksa berdepan dengan bencana sosial yang melibatkan pelbagai kes seperti penagihan dadah, sumbang mahram, zina, rogol kanak–kanak, buang bayi, rompak, samun, culik dan pembunuhan kejam.

Bukan itu sahaja, kini negara dan ummah juga diuji dengan fahaman-fahaman yang semakin menyesatkan pemikiran. Perkara tersebut diterapkan melalui media massa yang dikuasai oleh pihak-pihak tertentu. Lihatlah bagaimana iklan Aidilfitri yang diterbitkan oleh salah satu stesen penyiaran baru-baru ini. Iklan tersebut seolah-olah menyamakan Aidilfitri dengan unsur Santa Claus dalam sambutan Krismas. Selain itu terdapat juga unsur-unsur daripada agama Hindu dan Buddha. Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi untuk mengecam penyiaran iklan tersebut.

Persoalannya, malapetaka apakah yang sedang melanda ummah dan negara kita? Belenggu apakah yang membebankan ummah sehingga berlaku peningkatan kadar jumlah pesakit jiwa dan mental dalam negara kita? Apakah kini, ummah sedang berada dalam kemurkaan Allah SWT lantaran berleluasanya maksiat dan kemungkaran?

Sebab itulah Saidina Umar Al-Khattab RA memesan kepada umat Islam kesan yang bakal berlaku akibat tidak memahami kemungkaran yang sebenar.

إِنَّمَا تَنْقَضُّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً إِذَا نَشَأَ فِى الْإِسْلَامِ مَن لَا يَعْرِفُ الْجَاهِلِيَّةَ

“Sesungguhnya ikatan Islam itu akan terungkai satu persatu; kesan apabila terdapat orang Islam yang tidak mengenal sifat jahiliyah”.

Justeru, dengan kesedaran ini, PMRAM berasa akan tanggungjawab dalam memelihara dan mendidik jiwa yang berada di bawah naungannya agar benar-benar memiliki sifat peribadi seorang Islam. Kita semua perlu melaksanakan tugasan dan amanah berdasarkan ilmu dan kefahaman. Sangat malang apabila kita hanya menjadi perakam-perakam ilmu yang tegar, sementara peribadinya hancur. Ilmu yang dipelajari hanya sekadar di atas kertas sahaja. Tidak direalisasikan dalam kehidupan seharian.

Sahabat seperjuangan sekalian.

Tarbiyah Ramadhan sebenarnya mengajar umat Islam untuk mengingati saudara-mara kita yang berada di bumi umat Islam yang tertindas. Islam tidak pernah mengajar umatnya hanya berfikir tentang diri sendiri tanpa menghiraukan saudara-mara di sekeliling. Justeru, PMRAM mengajar mahasiswa-mahasiswi untuk sama-sama membantu umat Islam yang ditindas seperti di bumi Palestin. Dengan bahasa realitinya, PMRAM telah berjaya menyerahkan sumbangan hampir LE 25 000 kepada penduduk Palestin sejak kenaikan sesi baru pada bulan April yang lepas. Inilah kekuatan yang ada hasil daripada kesatuan hati yang kita pupuk selama ini melalui slogan “SATU FIKRAH SATU AMAL”.

PMRAM mengharapkan semoga slogan ini terus dijayakan di setiap peringkat demi melihat seluruh mahasiswa-mahasiswi di Perlembahan Nil ini bersatu di bawah wadah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM. Jadikanlah wadah ini sebagai gerakan mahasiswa yang memperjuangkan agenda kebajikan dan ukhuwah di kalangan kita semua.

Salam Aidilfitri 1431H. Siru ‘ala barakatillah……

Sekian. Wassalam

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd. Hazime,
Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails