Sumber : Minda Presiden PMRAM
Assalamualaikum.
Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Hampir 6 bulan penantian kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sudah pun kita sisipkan doa agar Allah SWT memberi keberkatan kepada umat Islam untuk melakukan amalan soleh pada bulan Rejab dan Sya'ban kerana kedua-dua bulan tersebut merupakan tempoh bagi ganjaran pahala dilipatgandakan.
PMRAM merupakan sebuah persatuan yang berorientasikan program dan aktiviti bagi menunjukkan wajah Islam yang sebenar. Justeru PMRAM menekankan konsep dosa dan pahala ketikamana melaksanakan tugasan dan amanah.
Mereka yang sengaja mengabaikan tugasan dan tanggungjawab pasti menerima dosa serta janji buruk suatu hari kelak. Manakala mereka yang bersungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab pasti menerima ganjaran serta anugerah daripada Allah SWT.
PMRAM tidak menjanjikan elaun atau imbuhan buat pendokong yang bekerja melaksanakan program dan aktiviti. Malahan terkadang pendokong PMRAM pula yang perlu berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.
Inilah yang PMRAM istilahkan sebagai TARBIYAH yang mendidik petugas-petugas melaksanakan kerja-kerja Islam. Setiap kerja yang dilaksanakan pasti diganjar dengan pahala di akhirat kelak. Sesungguhnya Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata.
RAMADHAN AL-MUBARAK
Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan pahala yang berganda oleh Allah SWT. Sekiranya kita meneliti sabda Baginda SAW
من قام رمضان إيمانا و احتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
"Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu"
Ramadhan adalah peluang keemasan untuk merebut pahala dan ganjaran yang berganda daripada Allah SWT dengan melaksanakan ibadah kepada-Nya. PMRAM memandang bahawa peluang ini merupakan anugerah buat aktivis-aktivis PMRAM untuk bergerak lebih aktif melaksanakan kerja-kerja Islam.
Manakan tidak, kerja Islam yang dilaksanakan di bulan ini berganda pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain. Menyedari keadaan ini, PMRAM tetap melaksanakan program dan aktiviti di bulan Ramadhan demi membina kesatuan serta pemikiran dikalangan mahasiswa.
MUZAKARAH BERKELOMPOK
Lapar dan dahaga tidak sedikit pun mengganggu aktivis PMRAM (fasilitator) melaksanakan muzakarah berkelompok. Malahan mereka semakin bersemangat untuk melaksanakan medan tarbiyah ini kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah serta kerja Islam.
Bagi aktivis PMRAM muzakarah berkelompok merupakan makanan penguat untuk memberi tenaga melaksanakan kerja-kerja Islam. Padahal realiti kerja Islam itu susah untuk berada dalam keadaan senang dan lenang dihamparkan dengan permaidani yang merah.
MESYUARAT ADALAH IBADAH
Perancangan dan strategi bagi sesuatu aktiviti dirancang dalam permuafakatan mesyuarat. Keputusan hasil perbincangan adalah keputusan yang berkat dan perlu dilaksanakan walaupun terdapat halangan dan cubaan.
Justeru, kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan hanya sekadar bercakap dan berbual tanpa ada perancangan. Maka bagi aktivis PMRAM, lapar dan dahaga tidak menghalang mereka untuk menghadiri dan mengadakan mesyuarat. Malahan mereka lebih bersemangat kerana meyakini bahawa itu adalah ibadah dan kerja Islam.
TAKLIFAN SEBAGAI AJK PELAKSANA PROGRAM
Kalimah Allah SWT serta syariat Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata dan semangat. Tetapi agenda tersebut akan mencapai matlamat serta hadaf dengan terlaksananya tugasan dan kerja-kerja Islam.
Oleh itu, bagi aktivis PMRAM bulan Ramadhan bukan hanya sekadar mentarbiyah diri untuk tadarus membaca al-quran, solat tahajjud serta solat tarawih bahkan mereka juga menganggap taklifan sebagai ajk pelaksana program adalah sebagai tarbiyah kerana itu adalah ibadah dan kerja Islam.
Sebab itulah PMRAM tetap melaksanakan agenda tarbiyah di bulan Ramadhan dengan menyusun beberapa program seperti Kolokium Ilmuan, Madrasah Saidatina Aisyah, Ifthor Jama'ei bersama BKAN, Pengajian bersama Sheikh Rohimuddin, Daurah Kitab Fiqh As-Shiyam dan lain-lain.
PMRAM memandang ibadah dan tarbiyah bukan hanya sekadar diatas tikar sejadah dan di dalam masjid-masjid. Akan tetapi lebih luas daripada itu. Ayuh kita mengejar pakej tarbiyah yang dijanjikan oleh Allah SWT terutamanya di bulan yang mulia ini.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan