21 Ogos 2010

Ilmuan PMRAM : Selamatkan Ilmu-Ilmu Islam

Assalamualaikum


Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalin alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Islam begitu menekankan soal ilmu dan kefahaman dalam kehidupan. Golongan yang mengikut garis panduan Islam pasti akan dimuliakan darjat di sisi Allah SWT. Manakala golongan yang mengambil mudah soal ajaran Islam pasti berada di tingkat bawah sehingga dikategorikan sebagai kelompok yang jahil.

Dalam ilmu fiqh, ulamak as-syafieyah membahagikan perbahasan kepada 4 kategori iaitu:-

1) Perbahasan ibadah
2) Perbahasan muamalah (hubungan interaksi sesama manusia)
3) Perbahasan pernikahan
4) Perbahasan jenayah

Alhamdulillah dengan keberkatan dan anugerah daripada Allah SWT kami akan menghabiskan pembacaan kitab Fath Al-Qarib dalam tempoh terdekat ini. Kitab tersebut mengambil masa hampir 2 tahun untuk dihabiskan pembacaannya secara sedikit demi sedikit. Kitab tersebut dibaca dalam Madrasah Imam As-Syafie setiap hari Sabtu ketika waktu Dhuha.

Untuk makluman pembaca sekalian, satu lagi pengajian baru diadakan di bawah anjuran Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir KPIPM sesi 2010/2011. Kitab yang digunakan ialah " Kitab Al-Buyu' " karangan pelajar-pelajar Habib Zain bin Sumaith di Hadramout Yaman.

Perbahasan fiqh al-muamalah merupakan ilmu yang cukup penting. Tidak ramai di kalangan mahasiswa mahupun mahasiswi yang berminat untuk bergelumang di dalamnya. Hal ini kerana perkara tersebut sebenarnya memerlukan ingatan serta imaginasi yang tinggi ketikamana perbincangan dilakukan.

Sekiranya diteliti ucapan pimpinan Islam Saidina Umar Al-Khattab ketika bersikap tegas terhadap golongan yang ingin berniaga di pasar-pasar Islam

لا يبيح في سوقنا إلا من يفقه و إلا أكل الربا شاء أم أبى

"Tidak harus berjual beli di pasar-pasar kami (Islam) melainkan golongan yang faham dalam agama (mengenai ilmu-ilmu muamalah). Sekiranya ada golongan yang tidak faham, maka pasti akan ada yang terlibat dengan riba sama ada daripada kehendak sendiri atau pun tidak"

Kata-kata Saidina Umar ini melambangkan bertapa peri pentingnya mendalami ilmu muamalah dalam islam. Agak sukar untuk mencari kitab perbahasan fiqh al-muamalah yang membincangkan secara terperinci dan mudah difahami.

Bagi saya kitab ini agak ringkas dan padat dengan isi serta mudah difahami. Pemahaman tentang fiqh as-syafie memang cukup mendalam bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Hadramout Yaman.

Sebelum ini saya membaca kitab At-Takrirat As-Sadidah di tempat yang sama setiap hari Ahad dan Rabu selepas solat maghrib. Sekarang ini masih berada dalam perbahasan darah haid bagi wanita.

Kitab tersebut sempat saya habiskan pembacaan sedikit demi sedikit bersama Al-Fadhil Ustaz Fadhil bin Ismail Al-Yamani suatu ketika dahulu. Saya juga sempat mengambil ijazah sanad daripada beliau ketika majlis khatam yang dibuat pada tahun 2006.

Keadaan sekarang ini sebenarnya menuntut kepada kita untuk menyelamatkan ilmu-ilmu Islam serta menyelamatkan umat manusia dengan Islam. Bukan hanya sekadar berdakwah dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam sahaja. Semoga usaha sekelumit ini akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Bait Muhajirin,
Iskandariah Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails