02 Disember 2010

Persatuan Medium Bina Bakat Kepimpinan - TYT Duta


MOHANDISEEN, 1 Dissember - TYT Duta Prof Madya Dr. Fakhrudin bin Abd. Mokhti menyatakan bahawa persatuan merupakan medium yang terbaik untuk melatih bakat kepimpinan.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika pertemuan bersama Presiden PMRAM Shahrizan bin Mohd Hazime serta seluruh YDP Badan Kebajikan Anak Negeri.

Pertemuan yang bermula jam 11.30 tengah hari tersebut membincangkan permasalahan yang berlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswi terutamanya mahasiswa yang tinggal di Kaherah.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah di sekitar tahun 70an itu menyeru kepada seluruh pimpinan yang hadir untuk menjadikan persatuan sebagai tempat untuk berhubung dengan masyarakat.

"Orang yang hanya hebat dalam akademik dan pelajaran belum tentu dapat menonjolkan diri dalam masyarakat kerana sifat memimpin masyarakat memerlukan cara dan uslub yang tak dipelajari di kuliah. Cara tersebut akan kita perolehi melalui pengalaman memimpin mahasiswa ketika di peringkat universiti". Ujar beliau ketika pertemuan tersebut.

Perbincangan yang mengambil masa selama hampir 3 jam tersebut membuktikan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah begitu serius dalam menangani permasalahan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia di bimi Mesir ini.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut Bendahari Kehormat PMRAM Saudara Firdauz bin Noh yang mengiringi Presiden PMRAM.

Menurut Presiden PMRAM, ini merupakan kunjung hormat seluruh YDP BKAN ke pejabat kedutaan kali yang kedua setelah kunjung hormat yang diadakan pada 4 Mei bersama Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar bin Mohammad.
"PMRAM mengharapkan hubungan yang baik ini akan dapat diteruskan demi menjayakan agenda akademik dan kebajikan terhadap mahasiswa-mahasiswi di Mesir". Ujar beliau ketika ditemui selepas bersurai di pejabat kedutaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails