31 Disember 2010

PMRAM Kecewa Dengan Isu Yang Menimpa BKAN Melaka

KAHERAH 30 Disember - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime melahirkan rasa kekecewaan teradap isu yang menimpa Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).


Katanya, isu yang berlaku tersebut merupakan isu kemanusiaan yang perlu diketahui umum dan perlu mendapat perhatian di semua peringkat. Bukan hanya sekadar berlegar dikalangan mahasiswa-mahasiswi Melaka sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa isu seumpama ini pernah terjadi pada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) suatu ketika dahulu. Akan tetapi, sifat kesatuan yang ada pada ahli negeri terbabit menyebabkan persatuan baru yang ditubuhkan oleh pihak pegawai terkubur.

Katanya lagi, memahami sejarah yang pernah menimpa mahasiswa-mahasiswi Mesir, PMRAM mahukan sifat bersatu diterapkan di dalam seluruh jiwa mahasiswa-mahasiswi.

"Apabila sifat bersatu ini wujud di dalam jiwa umat Islam, maka tidak mudah bagi pihak musuh untuk menghancurkan kesatuan serta melaksanakan agenda jahat mereka. Dan inilah peranan PMRAM serta BKAN dan DPM bagi membentuk jatidiri mahasiswa Islam di Mesir" Ujar beliau ketika memberi penjelasan isu di Rumah Kelantan Baru.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa terkilan terhadap ucapan Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Mohd Ali bin Rustam yang melemparkan fitnah terhadap PMRAM ketika sesi ramah mesra di rumah Melaka.

Justeru katanya, fitnah seperti yang dilemparkan oleh Ketua Menteri tersebut merupakan isu lapuk yang pernah PMRAM hadapi suatu ketika dahulu. Apa yang penting adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti kebajikan, pendidikan serta meningkatkan pencapaian akademik di kalangan ahli.

Walaubagaimana pun katanya, PMRAM tetap mengambil sikap bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi memudahkan urusan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di bumi Mesir ini. Dan beliau menegaskan bahawa PMRAM merupakan persatuan yang bersifat profesional dan bukan persatuan yang melaksanakan tindakan dengan cara 'kampung'.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan ahli mampu melahirkan jati diri dan integriti di dalam jiwa umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails