24 Ogos 2010

Aktivis PMRAM : Laksanakan Tugas Di Posisi Masing-Masing

Sumber : Minda Presiden PMRAM

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan kepada sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Melaksanakan kerja-kerja Islam marupakan tanggungjawab bagi mereka yang melafazkan dua kalimah syahadah. Islam mengajar umatnya memahami kalimah syahadah bukan hanya sekadar bermain di bibir bahkan meyakini dengan hati yang ikhlas serta membuktikan dengan tindakan dan perbuatan.

Untuk melaksanakan kerja-kerja Islam tersebut, Rasulullah SAW tidak hanya menyuruh umatnya tetapi ditinggalkan cara dan gaya stategi melalui sejarah jatuh bangun Islam bermula di zaman Nabi Adam AS sehingga wafatnya Rasulullah SAW.

Sejarah berharga tersebut perlu dijadikan sebagai kamus pedoman bagi menyusun kerangka strategi perlaksanaan kerja-kerja Islam dalam masyarakat. Justeru dengan kesedaran yang ada, PMRAM menyusun gerak kerja untuk aktivis PMRAM bermain di posisi masing-masing.

Terdapat beberapa peringkat kerja-kerja yang perlu difahami oleh aktivis PMRAM agar tugasan yang dilakukan tidak terkeluar daripada landasan matlamat yang disasarkan. Peringkat tersebut adalah :-

1. At-Ta'rif (pengenalan dan pengajaran)
2. At-Takwin (pembentukan dan penyusunan)

3. At-Tanfiz (perlaksanaan menuju ke arah matlamat)


AT-TA'RIF

Di peringkat permulaan ini, banyak ilmu-ilmu pengetahuan tentang Islam disebarluaskan kepada masyarakat. Sasaran bagi peringkat permulaan ini adalah masyarakat yang umum. Justeru di peringkat ini pelbagai cara bertindak digunakan demi menarik minat pelbagai golongan di setiap peringkat.

Memahami situasi mahasiswa di Mesir, PMRAM tidak terlepas daripada menyusun aktiviti dan program demi menyebarkan ilmu-ilmu Islam serta menonjolkan wajah Islam yang sebenar. Antara agenda yang dilaksanakan ialah Kolokium Ilmuan, muhadharah bersama masyaikh, Madrasah Imam As-Syafie, diskusi kitab dan lain-lain.

Matlamat utama bagi peringkat at-ta'rif ini adalah mengubah keadaan masyarakat daripada kejahilan kepada berilmu.
Akidah serta mentaliti orang awam diubah agar berpegang teguh dengan ajaran dan ilmu Islam.

Aktivis PMRAM yang culas dalam melaksanakan tugasan di peringkat ini bakal melahirkan kelompok masyarakat yang bersemangat memperjuangkan Islam tanpa ilmu dan kefahaman. Situasi ini akan menyebabkan mereka berputus asa (futur) di pertengahan jalan membawa risalah Islam.

PMRAM berusaha membendung virus putus asa (futur) dikalangan petugas-petugas Islam dengan menanam kefahaman yang mendalam dari sudut akidah serta syariat Islam.


AT-TAKWIN

Peringkat yang kedua dalam perlaksanaan kerja-kerja Islam ialah at-takwin atau dikenali dengan pembentukan dan penyusunan. Di tahap ini, kelompok yang melepasi peringkat pertama akan dikumpulkan kemudian diikat dengan ikatan ukhuwah dan pembinaan syakhsiah.

Matlamat utama posisi ini adalah mengubah keadaan individu atau kumpulan daripada berilmu kepada berfikrah dan bersama persatuan. Tugasan yang perlu dimainkan oleh aktivis PMRAM di posisi ini ialah membina pemikiran masyarakat supaya ilmu pengetahuan yang dipelajari itu digunakan pada jalan yang benar. Bentuk pemikiran juga berubah menjadi lebih matang serta mampu menganalisis sesuatu peristiwa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh agama Islam.

Justeru PMRAM menjadikan peringkat yang kedua ini sebagai medium pembentukan fikrah Islam. Ilmu yang dipelajari di peringkat permulaan tadi disusun mengikut manhaj yang telah ditetapkan oleh ilmuan Islam.

Antara medium penbentukan fikrah yang dilaksanakan oleh PMRAM ialah muzakarah berkelompok, mukhayyam (perkhemahan), qiamullail, program mega serta aktiviti-aktiviti PMRAM dikalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Sebab itulah PMRAM mengecam golongan yang menjadikan muzakarah berkelompok sebagai tempat bertalaqqi atau pengajian. Bagi PMRAM, golongan ini sebenarnya tidak memahami peranan yang perlu dimainkan di posisi yang kedua ini.

Aktivis PMRAM yang culas dalam melaksanakan tugasan di peringkat ini bakal melahirkan kelompok yang hanya berfikir tentang diri sendiri. Isu semasa atau kemungkaran yang dilakukan mahasiswa sekeliling tidak diendahkan. Kebajikan yang diajar oleh Islam hanya tinggal teori semata-mata.

Sekiranya virus ini tidak dibendung, masalah pertikaian terhadap aktivis PMRAM akan terus berlaku. Virus ini akan melahirkan golongan yang hanya mampu bercakap lantang tanpa membuktikan dengan tindakan. Padahal Islam itu tidak akan tertegak dengan kata-kata.


AT-TANFIZ

Di peringkat yang terakhir ini, individu atau kumpulan yang telah melalui tahapan dakwah akan memiliki peribadi yang bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Mereka ini bersedia menerima arahan dan melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh pimpinan.

Matlamat utama di peringkat ketiga adalah menjadikan golongan pelaksana ini bersama persatuan mencapai matlamat mencari redho Allah SWT. Kelompok ini akan menjalankan tugas dan amanah demi menonjolkan wajah Islam yang sebenar dalam masyarakat.

Aktivis PMRAM yang berada di posisi ini wajib melakukan amal soleh sebagai bekalan menghadapi ujian yang terbentang di hadapan. Bukan hanya sekadar itu bahkan mereka juga perlu melaksanakan keja-kerja Islam secara berkumpulan. Tugasan yang dilakukan secara 'lone ranger' bakal melahirkan jiwa yang putus asa (futur).

Justeru PMRAM melaksanakan aktiviti seperti mesyuarat, merangka strategi, membuat kajian serta menyusun jadual dan graf pencapaian demi mencapai matlamat yang disasarkan. Aktivis PMRAM yang culas bermain di posisi ini akan menjadikan kesatuan yang dibawa tidak seimbang.

Oleh itu posisi yang ketiga inilah sebenarnya yang akan menentukan pembawakan persatuan kini dan masa hadapan. Tamadun PMRAM akan terbina kukuh dengan pemahaman yang jelas oleh aktivis PMRAM di peringkat ini.

Semoga aktivis PMRAM memahami serta menjalankan tugas di posisi masing-masing demi keseimbangan pembawakan PMRAM pada sesi ini iaitu KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH.


Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails