Segala pujian bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Islam merupakan agama yang meraikan fitrah kejadian manusia. Hukum hakam yang diperintahkan oleh Allah SWT pun sebenarnya bertepatan dengan kehendak naluri kejadian diri manusia. Sebab itulah terdapat hukum yang dikhususkan kepada lelaki tidak pada perempuan. Begitu juga sebaliknya.
Justeru, Islam menggariskan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh lelaki mahupun wanita untuk penyebaran dakwah dan menegakkan kalimah Allah SWT. Kedua-duanya perlu saling bantu-menbantu serta memahami tugasan masing-masing agar kerja-kerja Islam yang dilaksanakan tidak terkeluar daripada batasan syarak.
Saya terbaca berita di blog HEWI PMRAM. Alhamdulillah timbul rasa bersyukur kepada Allah SWT dengan sikap dan tindakan yang ditunjukkan oleh HEWI PMRAM. Bagi saya ini merupakan satu bukti bahawa mahasiswi Islam di Mesir juga mampu menjalankan peranan selaku wanita dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat.
Mahasiswi Islam di Mesir seringkali dilabelkan sebagai 'pemalu tak bertempat' apabila diminta untuk berucap di hadapan khalayak ramai. Manakan tidak, jika dilihat mahasiswi Islam di Malaysia jauh lebih kehadapan dalam membincangkan isu-isu seputar mahasiswa atau isu-isu yang berkaitan dengan negara.
Jangankan pembentangan di hadapan khalayak ramai, berhujah dan berdebat pun mereka mampu kerana mereka dilatih untuk berhadapan dengan masyarakat.
PMRAM mengharapkan semoga peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini kepada mahasiswi Islam di Mesir digunakan sehabis baik yang mungkin. Kelebihan mahasiswi Islam di Mesir berbanding mahasiswi Islam di Malaysia ialah dikelilingi oleh para alim ulamak serta beribu kitab rujukan.
Apa yang paling penting ialah, sikap tidak menolak tawaran untuk belajar membentuk diri menjadi kelompok yang lebih baik dari semasa ke semasa. Pembelajaran tersebut perlulah dibatasi dengan garis panduan syarak agar tidak terkeluar dari landasan.
SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK
Shahrizan bin Mohd Hazime,
Pejabat PMRAM,Kaherah, Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan