16 Ogos 2010

Mahasiswi Dan Era Globalisasi


Bismillah ar-Rahman ar-Rahim..

Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM telah pun berlalu. Menyingkap sejarah PMRAM yang berusia 80 tahun, rentetan sejarah pahit manisnya kembali dihayati.Sebagaimana PMRAM, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) juga punya sejarah yang wajar diterokai dan diingati.

Sejak penubuhannya pada tahun 1955 lalu sehingga ke alaf 20 ini, HEWI PMRAM telah pun menjangkau umur 55 tahun. Biarpun jarak perbezaan usianya kurang 25 tahun dari usia PMRAM sekarang, kini HEWI juga mampu berdiri teguh bersama PMRAM ke arah memacu pentadbiran hal ehwal wanita Islam yang menjadi sayap kiri PMRAM dalam menjayakan segenap agenda misi dan visi.

Tanpa sokongan antara satu sama lain,belum tentu PMRAM mahupun HEWI mampu bertahan sehingga ke hari ini. Firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nahl, ayat 97 yang bermaksud :

“ Barangsiapa mengerjakan kebajikan baik lelaki-lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. “

Antara sejarah penting yang perlu diketahui semua ialah revolusi perubahan yang berlaku di dalam HEWI suatu ketika dahulu telah menjana satu perubahan positif dari segi penampilan, syakhsiah dan integriti mahasiswi sehingga arus itu dapat dilihat menonjol baik pada masa kini.

Namun yang demikian,masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa agar mahasiswi acuan Al-Azhar selari dengan era kini malah menepati kaedah syar’ie.

Perkembangan dan peningkatan dapat dilihat dari semasa ke semasa apabila mahasiswi sudah pun mula tampil ke hadapan dalam menepati beberapa keperluan antaranya mengendalikan majlis-majlis, mahir mengendali teknologi audio video, mengetuai program-program selain memberi pengisian di hadapan khalayak umum dan lain-lain lagi.

Walaupun yang demikian bukanlah bermakna mahasiswi sebelum ini tidak berperanan dan ke hadapan akan tetapi peranan yang dimainkan hanya di posisi belakang. Keberanian ini sepatutnya mendapat sokongan daripada semua pihak agar keyakinan mahasiswi terus berganda.

Tidak dinafikan adanya kritikan-kritikan membina didengari malah ianya sentiasa diambil kira dalam pada untuk melihat peranan mahasiswi tidak dibataskan seterusnya digilap dan dibentuk mengikut acuan syariat yang bermanhaj wasotiyah (sederhana). Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :

“ Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan ”

HEWI pada hari ini akan terus meningkatkan prestasi disamping menyahut seruan ke arah proaktif jati diri yang akan terus digemakan di setiap ruang dan peluang yang ada. Kita tidak tegar untuk terus dilabelkan sebagai mahasiswi jumud dan tertutup.

Dakwaan yang mengatakan bahawa mahasiswi Islam tidak boleh maju dan jauh melangkah adalah disebabkan sekatan oleh pihak-pihak tertentu dan langkah sentiasa dikawal dan disekat batas syariat adalah tidak benar sama sekali. Syariat sentiasa meraikan kedudukan wanita malah peranannya amat dipandang tinggi oleh agama.

Kebebasan yang diberikan oleh agama kepada wanita adalah sesuai dan wajar dengan tuntutan keperluan peribadi mahupun selain darinya. Namun yang demikian apa jua peraturan yang digariskan syariat itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan wajib diikuti selaku hamba-Nya yang beriman.

Tahniah saya ucapkan kepada mahasiswi pada hari ini dengan perubahan dan anjakan paradigma yang dilakukan. Ini telah membuktikan bahawa betapa mahasiswi kita bukanlah terlalu jumud seperti yang didakwakan. Biarpun begitu,teruskan memperbaiki setiap kekurangan yang ada agar kita tidak lagi disangkal dan dipandang rendah oleh beberapa pihak. Sama-sama buktikan bahawa mahasiswi Islam juga mampu berdiri sebaris dan ke hadapan dalam membawa panji ummah.

Salam perjuangan,

Nadianabila binti Zainudin,
Ketua Unit Sambutan dan Rehlah,
HEWI PMRAM 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails