Sumber : Web PMRAM
MOHANDESIN 24 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM tetap mengambil pendirian bekerjasama dengan pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).
Katanya, walaupun isu-isu seputar mahasiswa di Mesir melibatkan salahlaku beberapa orang pegawai JPMK, ini tidak bermakna PMRAM memutuskan hubungan rasmi dengan pihak JPMK yang telah lama dibina.
Sehubungan itu, beliau selaku ketua yang memimpin mahasiswa Islam di Mesir tidak mahu kesalahan yang sama berulang di mana salahlaku tersebut akan memburukkan nama baik kerajaan Malaysia.
"Sekiranya salahlaku pegawai ini tidak diubah, maka PMRAM bimbang nama baik kerajaan Malaysia akan menjadi buruk". "Tindakan salahlaku penjawat awam ini seolah-olah tidak menepati 'Gagasan 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia" ujar beliau di hadapan sidang media berdekatan bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
Penyerahan memorandum tuntutan mahasiswa-mahasiswi Islam terhadap salahlaku pegawai JPMK kepada Kuasa Usaha Sementara En Shaiful Anuar bin Mohamad itu diketuai oleh Presiden PMRAM sendiri.
Turut hadir sama ketika penyerahan tersebut Naib Presiden II Saudara Mohd Azlan Hj. Alias, Setiausaha Agung Saudara Mohd Taufiq bin Dahlan, Pengerusi DPM Tanta Saudara Sulaiman bin Ismail dan Mantan Pengerusi DPM Tanta Saudara Zulhilmi bin Roslan.
Justeru, tambahnya PMRAM begitu serius menjaga kecemerlangan akademik serta kebajikan mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir.
Oleh itu, hubungan baik dan kerjasama tetap dijalankan kerana peranan JPMK juga adalah untuk menjaga kecemerlangan serta kebajikan mahasiswa.
Beliau menambah, PMRAM sesekali tidak pernah mengajar mahasiswa untuk membenci pihak JPMK akan tetapi sikap dan tingkahlaku yang menyalahi polisi dan etika ini yang perlu diubah.
Sidang media yang diadakan di hadapan Bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah itu berakhir pada jam 1.30 petang.
PMRAM hantar memorandum salah laku Pegawai JPMK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan